Pada satu waktu genting di dalam perang Uhud, tiada siapa pun bersama-sama Rasulullah SAW untuk berperang di sisinya, selain dari Talhah bin Ubaidillah dan Sa’ad bin Abi Waqqas Radhiallahu’anhum, itulah saat yang cemas di dalam hidup Baginda yang telah berdarah kecederaan dan patah giginya. Sedangkan inilah saat dan peluang keemasan bagi pihak musyrikin.
10 SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA
Sa’ad bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah Radhiallahu’anhum telah bertindak penuh kepahlawanan dan bertempur dengan tiada bandingannya, hingga tidak memberi kesempatan langsung kepada kehendak kaum musyrikin hendak membunuh baginda Nabi SAW, kerana mereka berdua adalah antara pemanah yang terhandal di kalangan bangsa Arab Quraisy. Kedua-duanya pula yang disebut antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga Allah SWT.
Semasa Sa’ad bin Abi Waqqas meluncurkan panah-panahnya, Rasulullah SAW bertindak menghulurkan anak-anak panahnya kepada Sa’ad sambil bersabda: “Panahlah mereka hai Sa’ad, bapaku dan ibuku jadi jaminanmu”. Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad SAW pernah mendoakannya: “Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.”
Sa’ad Abi Waqas juga mendapat gelaran ‘Singa yang Menyembunyikan Kukunya’.
Ibnu Asakir mengeluarkan dari Ibnu Syihab, dia berkata: “Pada hari pertempuran di Uhud Sa’ad bin Abu Waqqas telah membunuh tiga orang musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Sa’ad itu. Maka Sa’ad berkata: “Rasulullah SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali.”
Di dalam hadith yang lain, ada diceritakan tentang keperwiraan Abu Talhah semasa peristiwa di perang tersebut yang bermati-matian mempertahankan keselamatan Rasulullah SAW dengan busurnya.
Dari Anas bin Malik RA, katanya : Ketika berlakunya peperangan Uhud dan tentera Islam berada dalam keadaan kucar kacir, tidak ramai sahabat yang bersama Rasullullah SAW. Abu Talhah RA berada di samping Nabi SAW sambil baginda berlindung dengan perisainya. Abu Talhah RA pakar memanah sehingga pada waktu itu patah dua hingga tiga batang anak panah (kerana kuatnya panahan beliau).
Seorang lelaki berjalan bersamanya sebuah busur dengan anak panahnya dan baginda berkata: “Serahkannya kepada Abi Talhah.” Nabi Allah SAW naik ke tempat tinggi dan melihat kaum musyrikin lantas Abu Talhah RA berkata: “Wahai Nabi Allah, Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku! Jangan engkau naik ke tempat tinggi. Tidak ada satu anak panah musuhpun yang yang akan menembusimu. Leherku akan mempertahankan lehermu.”
– Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Dari ‘Amr bin ‘Abasah RA katanya: “saya mendengar Rasulullah bersabda:”
“Barangsiapa melempar dengan sebatang anak panah dalam peperangan fisabilillah , maka baginya adalah pahala yang sama dengan memerdekakan seorang hamba sahaya”.
– Hadith riwayat Abu Daud dan Turmuzi
Rasulullah SAW turut menggunakan panah di hari Uhud itu, sebagaimana yang diceritakan oleh Qutadah bin al-Nukman, Rasulullah memanah dengan busurnya hingga terpatah hujungnya.
SATU ANAK PANAH YANG MEMBAWA 3 ANAK ADAM KE SYURGA
Telah dikhabarkan oleh Abdullah bin Muhammad Abu Qasim Al-Thaghari, katanya telah menceritakan kepada kami oleh Daud, katanya telah menceritakan kepada kami Mubarak iaitu Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya telah menceritakan kepada Abu Muslim dari Khalid bin Yazid, katanya: “Aku adalah seorang pemanah.” Maka Uqbah bin Amir lalu dekatku sambil berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala memasukkan tiga orang ke Syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pemilik anak panah itu yang mengharapkan kebaikan daripadanya, pemanah (yang melepaskan anak panah) dan pembuat anak panah itu. Memanahlah kamu dan tungganglah kuda, sesungguhnya jika kamu memanah, lebih-lebih aku sukai dari kamu menunggang kuda, tidak sia-sia seseorang yang melatih kuda untuk permainan keluarganya dan melatih memanah dengan busur dan anak panahnya. Sesiapa yang meninggalkan memanah atas kehendaknya sendiri setelah mempelajarinya, sesungguhnya ia telah meninggalkan (semua kebaikan) ini atau telah mengingkari perintah Pesuruh Allah.”
Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas RA dari Nabi SAW katanya:
“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!”
…bersambung di artikel seterusnya.
credit to : http://arramy.com/artikel/pemanah-yang-dijanjikan-syurga/
No comments:
Post a Comment