Tuesday, February 5, 2013


Tahun Baru Cina: Plus perkenal jadual waktu perjalanan

5 Februari 2013
PLUS Expressways Bhd (PLUS)

PLUS Expressways Bhd (PLUS)
PETALING JAYA - Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan Plus Expressways Bhd hari ini mengeluarkan cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) bagi melancarkan pergerakan lalu lintas sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata, jumlah kenderaan di lebuh raya itu dijangka meningkat 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.
TTA yang dicadangkan untuk pengguna dari Lembah Klang pulang ke kampung dari Jumaat (8 Februari) hingga Sabtu (9 Februari) ini ialah seperti berikut:-     
* Kedah, Perlis dan Pulau Pinang (melalui Juru) sebelum 12 tengah hari;    
* Johor (melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak) sebelum 12 tengah hari;    
* Kuala Kangsar dan Changkat Jering antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Melaka (melalui Ayer Keroh) antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng antara pukul 3 dan 6 petang;    
* Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat antara 3 hingga 6 petang;
* Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River dan Tanjung Malim selepas 6 petang;    
* Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.
Bagi perjalanan pulang dari kampung pada minggu berikutnya iaitu 12 Februari (Selasa) hingga 17 Februari (Ahad) pula, jadual yang dicadang ialah:-    
* Perjalanan dari utara dan selatan ke Lembah Klang sebelum 12 tengah hari atau selepas 8 malam. 
* Perjalanan lain yang tidak melalui Lembah Klang antara 12 tengahari hingga 8 malam.
Noorizah berkata Plus turut mengekalkan jadual perjalanan dengan membahagi kenderaan mengikut nombor pendaftaran ganjil dan genap bagi dua jambatan iaitu di Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang.
"Bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihat menggunakan dua jambatan itu pada setiap jam ganjil, contoh 9 pagi, 1 petang dan 7 malam.
"Bagi kenderaan bernombor plat genap, disaran mengikut setiap jam genap contohnya 10 pagi, 2 petang dan 8 malam bagi perjalanan pergi dan pulang pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini," katanya.
Bagi pengguna yang menggunakan sistem pembayaran elektronik pula akan menikmati rebat sebanyak 20 peratus pada 7 Februari (Khamis) dan 15 Februari (Jumaat) manakala 30 peratus pada 10 Februari (Ahad).
"Plus akan membuka hampir 1,000 kaunter tol dan menambah lebih 3,100 kakitangan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina ini iaitu kenaikan 30 peratus dari hari biasa.
"Bagi Plusronda pula seramai 213 pasukan akan bertugas 24 jam, manakala 650 anggota Rela akan bertugas membantu di lokasi terpilih.
Pengguna juga boleh mengetahui maklumat trafik terkini dan promosi khas sempena Tahun Baru Cina kali ini dengan melayari laman web www.plus.com.my atau twitter Plus di www.twitter.com/plustrafik atau hubungi Plusline di talian 1-800-88-0000. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/tahun-baru-cina-plus-perkenal-jadual-waktu-perjalanan-1.128531
CONTOH JADUAL PERJALANAN PLUS 2012 :- 

Gangnam tarik pengundi muda
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) dianggap terdesak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk menarik pengundi muda hingga sanggup menggunakan apa sahaja kaedah, termasuk membawa masuk artis K-Pop yang menjadi kegilaan ramai.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, ini membuktikan pimpinan BN menyedari orang muda tidak lagi percaya kepada mereka.

“Saya anggap ini usaha terakhir BN yang terdesak,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan billboard Himpunan Kebangkitan Rakyat # KL112 di Bulatan Tok Adam di sini, kelmarin.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai artis Korea, Psy yang mencetuskan fenomena dengan lagu dan tarian Gangnam Style yang akan dijemput mengadakan persembahan sempena Tahun Baru Cina anjuran BN di Pulau Pinang minggu depan.

Difahamkan, Psy meminta bayaran RM2.3 juta untuk persembahan di Malaysia.Sebuah syarikat swasta gergasi mengakui menaja konsert  itu.

Psy, atau nama sebenarnya Park Jae-Sang, merupakan artis paling sensasi dari Korea Selatan dikatakan akan membuat persembahan pada 11 Februari ini di padang sekolah Han Chiang yang dijangka menarik 50,000 penonton.

Mohamad berkata, sekiranya penganjuran konsert itu melibatkan wang kerajaan, ia tidak wajar kerana melibatkan perbelanjaan terlalu besar.
“Kalau melibatkan wang kerajaan, memang tak patut, tapi kalau wang syarikat swasta itu hak dia,” katanya.

Mengenai tarikh PRU13 yang masih rahsia, beliau berkata, BN hanya akan adakan PRU13 selepas mengagihkan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia kedua (BR1M 2.0).

“Kita (Pas) tidak terjejas dengan tarikh yang dilewatkan dan kita juga memberi penerangan supaya rakyat tidak menolak bantuan tersebut.

“Apa yang perlu diingat ialah itu bukan wang lebihan negara. Rakyat kena sama-sama pikul kesannya nanti,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/gangnam-tarik-pengundi-muda-1.128579






Zahid: Karpal tidak berhak pertikai keputusan Majlis Syura Pas

5 Februari 2013
Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Karpal Singh tidak berhak mencampuri atau mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini. 
   
"Saya tidak berhasrat untuk menasihatkan Karpal Singh tetapi itu (isu kalimah Allah) bukan bidangnya dan jangan masuk campur dalam bidang yang beliau sendiri tidak ketahui," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata demikian selepas melancarkan program 1ACP dan laman portal kerjaya WWW.Kerjayaveteran.my, di sini.
   
Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang menyebut Karpal Singh, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu, secara lantang menggesa Majlis Syura Ulama Pas meneliti semula keputusannya tidak membenarkan kalimah Allah diguna dalam Bible versi bahasa Melayu.
   
Majlis Syura Ulama Pas memutuskan perkara itu pada 13 Jan.

Ahmad Zahid berkata isu penggunaan kalimah Allah tidak wajar dipolitikkan oleh sesetengah pihak bagi meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.
   
Beliau berkata keputusan Majlis Syura Pas itu adalah sama dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru ia merupakan hukum yang tidak boleh dikompromi.
   
Isu Kalimah Allah mula timbul apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian di negara ini menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/zahid-karpal-tidak-berhak-pertikai-keputusan-majlis-syura-pas-1.128529

Hadi: Isu lucut Nasha hal Majlis Syura

4 Februari 2013
hadi awang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM -  Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu parti itu meneliti semula pemecatan Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura parti itu.

Beliau berkata perkara itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Syura Ulama parti itu memandangkan keputusan tersebut dibuat oleh majlis berkenaan.

"Saya tidak perlu (di)tanya (mengenai pemecatan Nasharudin), orang perlu tanya Majlis Syura Ulama Pas. Itu hal (urusan) majlis tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan
anjuran Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini. 

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk tokoh Pas mahu parti itu mengkaji semula keputusan memecat Nasharudin yang merupakan bekas Timbalan Presiden Pas sebagai anggota Majlis Syura Ulama. 

Selain kajian semula keputusan pemecatan itu, mereka turut mahu Pas memberi peluang membela diri terhadap setiap tuduhan yang dibuat.

Nasharudin yang sentiasa konsisten dalam mempertahankan isu hudud, penubuhan negara Islam, kalimah ALLAH dan sering kali mengkritik hubungan antara parti itu dengan DAP dipecat daripada Majlis Syura berkuat kuasa 13 Januari lepas.

Pemecatan Nasharudin dibuat atas alasan kerana kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/hadi-isu-lucut-nasha-hal-majlis-syura-1.128155

Nasharudin: DAP cabar dasar Pas

5 Februari 2013
 Nasharudin Mat Isa

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, DAP sudah jelas mencabuli dasar hormat-menghormati yang dijalin melalui 'tahaluf siyasi' apabila ia secara terang mencabar beberapa asas dan dasar perjuangan Pas.

Tahaluf siyasi bermaksud kerjasama badan Islam dengan pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam dalam perjuangannya, bagi mencapai matlamat sama.

Beliau berpendapat tindakan itu adalah satu sikap yang tidak menghormati semangat kesepakatan antara parti yang sekaligus menandakan mereka tidak ikhlas dalam bertahaluf dengan Pas.

"Tahaluf siyasi yang disepakati oleh Pas pada peringkat awal tertubuhnya pakatan pembangkang bersetuju untuk menghormati dasar parti masing-masing," katanya dalam lintas langsung eksklusif melalui BH Online bertajuk 'Mengupas Kemelut Dalaman Pas' hari ini.

"Tetapi kelihatan mutakhir ini, dasar hormat-menghormati ini sudah tercabar dengan DAP secara khususnya secara terang mencabar beberapa asas dan dasar perjuangan Pas," katanya.

Menjawab pertanyaan faktor yang menyebabkan Pas telah keluar dari landasan perjuangannya, Nasharudin berkata, mungkin keadaan itu berlaku kerana tuntutan politik semasa yang kelihatan begitu mendesak bagi Pas meraikan tuntutan berkenaan.
   
"Akibatnya, kelihatan beberapa pendirian dan dasar Pas terpaksa diolah mengikut kehendak itu yang mengakibatkan persepsi yang timbul adalah Pas lari daripada landasan perjuangannya," katanya yang sedang menerima rawatan fisioterapi sakit belakang dan berkaitan saraf di sebuah pusat perubatan swasta, di sini.

Ditanya sama ada majoriti undi orang Islam akan berubah kepada Pas apabila parti itu bersendirian, beliau berkata, kekuatan Pas terletak kepada agenda perjuangan Islamnya yang menjadi sebab penubuhan Pas.

"Jadi, saya melihat kalau sekiranya Pas itu bersendiri, Pas akan lebih bebas untuk melaksanakan agenda terbabit," katanya sambil menambah sudah ada banyak suara yang merasakan Pas akan lebih terserlah jika bersendirian. 

Berhubung laporan mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang seolah-olah marah kepada beliau, Nasharudin berkata, memang ada timbul tanda tanya pada dirinya tentang sikap Mursyidul Am itu terhadap beliau.

"Sejak daripada isu kerajaan perpaduan yang timbul satu ketika dulu, sehinggalah hari ini. Saya tidak tahu apa puncanya, namun saya masih menghormati beliau sebagai pimpinan tertinggi parti," katanya sambil memberitahu sehingga saat ini masih belum menerima sebarang hitam putih mengenai pemecatan beliau.

Ditanya sama ada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pernah campur tangan dalam urusan dalaman Pas, beliau berkata, mungkin ada, dan itu tidak sepatutnya berlaku.

Mengenai pandangan beliau terhadap Anwar dan perjuangan yang dibawa olehnya, beliau berkata, berbangkit beberapa isu berkaitan Anwar yang menimbulkan keraguan.

"Saya berpandangan sebagai ahli Pas, sudah tentu kepimpinan tertinggi parti saya sebagai calon terbaik untuk memimpin," katanya.

Mengenai gambar beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah Ogos lepas, Nasharudin berkata, beliau menyertai banyak rombongan rasmi sebagai anggota Parlimen ke luar negara, termasuk secara kebetulan bersama perdana menteri.

Katanya, menyertai rombongan ke luar negara adalah tugas sebagai Ahli Parlimen untuk mewakili negara ke beberapa persidangan dan program.

"Saya pernah keluar negara dengan menteri, dengan speaker Parlimen dengan anggota Parlimen dan secara kebetulan, mutakhir ini dengan perdana menteri," katanya.

Kehadiran Nasharudin yang dilihat bersama Najib semasa pertemuan dengan beberapa ulama selepas sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menimbulkan pelbagai tanggapan pihak tertentu dalam Pas berhubung pendirian beliau.

Ditanya sama ada akan menerima pelawaan Umno untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang sekiranya Pas memecat beliau, Nasharudin berkata, beliau tidak pernah dan belum pernah menerima sebarang pelawaan daripada Umno
untuk menjadi calon PRU13.

Sementara itu, Nasharudin berpendapat isu kalimah ALLAH yang dimainkan oleh pimpinan DAP adalah sekadar untuk meraih undi daripada mereka yang beragama Kristian.

"Pada pandangan saya, yang mereka mahukan sekadar meraih undi daripada rakan-rakan kita yang beragama Kristian. Karpal Singh yang kuat bersuara pun pada hemat saya, bukan beragama Kristian. Jadi, apa perlunya Karpal Singh bersuara dalam isu ini sedangkan dia sendiri tidak beriman dengan Kristian," katanya.

Beliau berkata, isu kalimah ALLAH harus dipertahankan daripada digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat Islam.

"Bagi saya, ia adalah isu akidah yang menjadi tanggungjawab kita semua," katanya yang mahu keputusan Majlis Syura Ulama ditaati dengan sepenuhnya oleh semua anggota dan pemimpin Pas. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/nasharudin-dap-cabar-dasar-pas-1.128524

UTM tawar biasiswa RM400,000 kepada 10 kakitangan akademik universiti di Gaza

6 Februari 2013
KUALA LUMPUR -  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan biasiswa bernilai RM400,000 kepada 10 kakitangan akademik dari beberapa universiti di Gaza untuk pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, biasiswa itu, adalah dalam bentuk pengecualian pembayaran yuran bagi melanjutkan pengajian untuk tempoh tiga tahun di universiti itu.

"Kita telah pun bagi dua biasiswa itu kepada kakitangan akademik Islamic University of Gaza (IUG) pada awal tahun ini, yang selebihnya kita akan bagi dalam tempoh yang terdekat nanti," katanya pada sidang akhbar di UTM cawangan Kuala Lumpur di sini, semalam.
Turut hadir delegasi IUG diketuai presidennya, Dr Kamalain Shaath dan isteri serta Penyelaras bagi Hal Ehwal Antarabangsa IUG, Dr Wesam Ahmed Almadhoun.
Zaini berkata, penawaran biasiswa itu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju menawarkan 100 biasiswa pengajian tinggi kepada penduduk Gaza semasa lawatan beliau ke wilayah berkenaan, baru-baru ini.
Zaini berkata, Palestin memerlukan lebih ramai modal insan yang terlatih untuk membangunkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat konflik Palestin-Israel.
"Bidang yang ditawarkan antaranya, teknologi pembinaan, sistem kumbahan dan bekalan air dengan bidang-bidang itu mampu membangunkan semula kemudahan asas rakyat Palestin khususnya di Gaza.
"Bukan yang musnah saja kita bangunkan, bahkan yang tak ada pun kita akan adakan," katanya.
Beliau berkata, UTM memberi keutamaan kepada teknologi pendidikan dan maklumat untuk membolehkan rakyat Palestin mendapat pendidikan dan kemudahan perhubungan maklumat yang lebih berkualiti.
Zaini berkata, dalam pada itu UTM turut menawarkan skim pembantu tenaga pengajar kepada 10 pelajar PhD yang membabitkan elaun sebanyak RM1,600 sebulan untuk tempoh empat tahun.
"UTM akan memberi pengecualian yuran pengajian kepada enam pelajar PhD, 10 sarjana dan 13 sarjana muda dari Palestin yang sedang mengikuti pengajian di UTM yang membabitkan kos RM1.3 juta," katanya.
Selain itu, Zaini berkata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan penderitaan penduduk Palestin, iaitu Aqsa Sharif, akan bekerjasama dengan UTM menawarkan tiga biasiswa lagi di peringkat sarjana dan PhD. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/utm-tawar-biasiswa-rm400-000-kepada-10-kakitangan-akademik-universiti-di-gaza-1.128535


Himpunan 12 Jan: Polis minta 13 saksi tampil bantu


6 Februari 2013
Tan Sri Ismail Omar


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
KUALA LUMPUR - Polis meminta baki 13 individu yang dikenal pasti sebagai saksi dalam kes pelanggaran syarat Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu negara pada 12 Januari lepas, tampil membantu siasatan.
   
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, saksi terbabit tidak perlu risau dengan tindakan polis kerana sebahagian besar tanggungjawab pematuhan syarat perhimpunan terletak pada penganjur.
   
"Kita bukan mahu menghukum, cuma ingin menyiasat sebab kenapa perlu bawa kanak-kanak, adakah mereka tidak tahu akta tersebut (Akta Perhimpunan Aman 2012) atau ada perkara lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.
   
Ismail yang ditemui pada majlis Penyerahan Cek Skim Bencana Kerja Ex-Gratia Polis Diraja Malaysia (PDRM), ditanya mengenai nasihat beliau kepada 13 saksi yang masih belum tampil memberi keterangan di balai polis, berhubung pelanggaran syarat perhimpunan yang berlangsung di ibu kota bulan lepas itu.
   
Pada Sabtu lepas, polis merekodkan keterangan seorang daripada 14 saksi yang dicari iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun yang tampil di Ibu Pejabat Polis Kulai Jaya, kira-kira pukul 3 petang.     
   
Pada perhimpunan 12 Januari itu, polis mendapati berlaku pelanggaran tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui penganjur dan polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. Antara syarat yang dilanggar ialah membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.
   
Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau menyarankan para pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang masih belum memiliki polisi insurans hayat memulakan pembeliannya bagi faedah diri dan keluarga masing-masing.
   
"Walaupun dalam bajet tahun lalu, kerajaan telah meluluskan insurans berkelompok kepada warga Polis Diraja Malaysia tetapi sebagai jaminan kepada ahli keluarga mereka perlu mengambil insurans peribadi," katanya.
   
Hari ini 25 orang termasuk balu dan ibu bapa menerima cek skim pampasan bencana kerja ex-gratia.
   
Sejak diwujudkan untuk warga PDRM pada 2008, kira-kira RM19.9 juta telah dibayar membabitkan 393 permohonan. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/himpunan-12-jan-polis-minta-13-saksi-tampil-bantu-1.128858

SILA LIHAT GAMBAR-GAMBAR INDIVIDU YG BERKENAAN  :-

http://mynewshub.my/2013/01/30/kl112-polis-cari-14-individu-bawa-kanak-kanak/




JUGA GAMBAR-GAMBAR DIBAWAH PADA BERSIH 2.0...:-



JUGA NTAH PERHIMPUNAN BILA NTAH :-








Umno sentiasa terbuka untuk Nasharudin
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2013
Syed Hamid Albar

Syed Hamid Albar
SHAH ALAM – Umno sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja termasuklah bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa jika beliau benar-benar mahu menyertai parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN) ini.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamed Aziz berkata, walaupun Nasharudin berkemungkinan tidak menyertai Umno, namun kemahiran dan kebolehannya tetap diperlukan kerajaan terutamanya dalam hubungan antara negara-negara Islam.

Menurutnya, oleh kerana Nasharudin dilihat rapat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan terutamanya Umno, maka atas kemungkinan itu beliau telah dipecat dari Majlis Syura Pas dengan mendakwa pemimpin itu melanggar beberapa peraturan parti.

"Pas sudah tersasar jauh dari perjuangannya, saya pelik bagaimana seorang pemimpin ilmuwan yang berkebolehan tinggi seperti Nasharudin boleh dipecat daripada Majlis Syura, satu badan tertinggi Pas.

"Jadi, jika Nasharudin mahu menyertai Umno, kami terbuka kepada sesiapa sahaja, tiada paksaan. Apa pun ia terpulang kepada Nasharudin sendiri," katanya semalam.

Mohamed yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, dalam berpolitik, semua pihak harus ada batasan dan kembali bersatu jika sesuatu isu melibatkan akidah Islam dan bangsa Melayu.

"Semua orang tidak kira Pas dan Umno perlu berpadu jika melibatkan Islam, ini tidak, dalam isu kalimah ALLAH pelbagai percanggahan dikeluarkan pemimpin Pas.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Umno tidak perlu melamar Nasharudin kerana keputusan tersebut hanyalah terletak di bahu pemimpin Pas tersebut.

Menurutnya, atas dasar ukhuwah umat Islam, semua pihak diseru bersama-sama demi akidah dan perpaduan umat tidak kira ideologi politik yang dipegang masing-masing.

“Saya berpendapat, terpulang kepada Nasharudin untuk buat keputusan tentang masa depan politiknya, Umno tidak perlu melamar kerana Umno adalah parti yang terbuka dan demokratik kepada sesiapapun,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/politik/umno-sentiasa-terbuka-untuk-nasharudin-1.126974

Pas: Majlis Syura boleh timbang jika Nasha rayu
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
6 Februari 2013
Nik Zawawi Nik Salleh

Nik Zawawi Nik Salleh
SHAH ALAM - Majlis Syura Pas sedia untuk berbincang dan menimbang semula pelucutan jawatan bekas anggotanya, Nasharudin Mat Isa sekiranya pemimpin itu membuat rayuan berhubung keputusan 13 Januari lalu.
Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, Pas sentiasa terbuka ke arah itu dan Nasharudin boleh berbuat demikian kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti.  

"Kita sangat-sangat terbuka. Tak ada masalah. Bagi Ustaz Nasha, beliau boleh merayu... tak ada masalah.

"Kalau dia hantar surat, kita akan mesyuarat, kita akan bincanglah macam mana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin enggan mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Pas menimbang semula pelucutan Nasha sebagai anggota Majlis Syura.

Ujarnya, perkara itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Syura memandangkan keputusan itu dibuat oleh majlis berkenaan.

Hadi berkata, Ahli Parlimen Bachok itu masih boleh kekal sebagai ahli Pas berdasarkan penilaian yang dibuat parti itu ke atasnya meskipun beliau digugurkan dari Majlis Syura.

Tambahnya, dalam Pas, bukan suatu perkara yang pelik sekiranya seseorang yang dipecat boleh kembali memegang jawatan tertentu dalam parti itu.

Nasharudin pada minggu lalu menegaskan, beliau akan kekal sebagai ahli Pas untuk memastikan perjuangan asal parti itu dalam menegakkan syiar Islam dan membela orang Melayu tidak ‘dicairkan’ berikutan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP.

Mengulas perkara itu, Pas kata, Nik Zawawi senantiasa terbuka dan mengalu-alukan khidmat Nasharudin dalam meneruskan perjuangan parti Islam itu.

"Kalau daripada orang luar pun kita dengar, hatta daripada Umno pun kalau mereka menasihati kita yang benar, kita terima dengan baik dan ucap terima kasih. Apatah lagi Ustaz Nasha yang bekas Timbalan Presiden Pas dan dia pula bekas anggota Majlis Syura Ulama," katanya.

Kata beliau, Nasharudin tidak harus lupa kerjasama secara berjemaah dalam Pas.

"Sudah tentu kita menghormati pandangan dan mengalu-alukan apa-apa sumbangan yang akan diberi dan kita mengharapkan Insya-ALLAH Ustaz Nasha tidak lupa tanggungjawab dia dalam organisasi berjemaah," ujarnya. 

http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-majlis-syura-boleh-timbang-jika-nasha-rayu-1.128533

Kalimah ALLAH: Jangan siram minyak lagi, Hasan Ali nasihat MCCBCHST
HASAN MOHAMED ALI
6 Februari 2013
Hasan Mohamed Ali

Hasan Mohamed Ali
MAJLIS Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) telah mengemukakan pandangan mereka mengenai isu Kalimah ALLAH yang dipetik oleh beberapa portal berita semalam.

Pimpinan-pimpinan Majlis MCCBCHST mempertikaikan perkara-perkara berikut:

a. Larangan menggunakan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama bukan Islam di anggap sebagai bertentangan dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
b. Larangan tersebut menyentuh kebebasan mengamal agama di kalagan orang bukan Islam apabila mereka hendak menggunakan kalimah ALLAH di dalam menyampaikan mesej agama mereka kepada penganut-penganut agama yang sama.
c. Mempertikai pandangan yang diberi oleh Masi dan mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim yang mana kedua-duanya dengan secara jelas merujuk kepada peruntukan perlembagaan yang ada serta Enakmen Negeri dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan yang tidak membenarkan Kalimah ALLAH digunakano leh penganut bukan Islam.
d.  Mempertikaikan kredibiliti Mais sebagai badan pembuat dasar mengenai Islam di Selangor dan juga kredibiliti mantan Ketua Hakim Negara yang tidak syak lagi merupakan pakar segala pakar dalam hal yang berkaitan dengan perundangan negara dan negeri.

Jelas daripada apa yang dikemukakan oleh MCCBCHST tersebut bahawa mereka mengemukakan fakta yang tidak bersendikan kepada kefahaman yang jelas mengenai perundangan yang ada dan terdapat unsur-unsur melindungkan beberapa fakta seperti wujudnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang secara jelas menyenaraikan perkataan-perkataan termasuk kalimah ALLAH yang tidak boleh digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Perlu disebutkan MCCBCHST gagal mengambil kira bahawa sejak dari dulu belum pernah timbul sebarang permohonan untuk menggunakan kalimah ALLAH oleh mana-mana penganut agama termasuk agama Kristian. Rakyat Malaysia telah hidup dalam suasana aman damai di dalam kerangka saling menghormati penganut dan amalan agama antara satu dengan lain buat sekian lamanya.

Hanya akhir-akhir ini menjelang PRU13,isu kalimah ALLAH ditimbulkan yang sehingga ke hari ini tidak pernah diterangkan motif sebenar di sebalik permohonan itu. Rakyat faham bahawa di Sabah dan di Sarawak memang kalimah ALLAH telah sekian lamanya digunakan oleh masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tetapi agak aneh sekiranya isu Kalimah ALLAH ditimbulkan di Semenanjung sedangkan permintaan seperti ini tidak pernah wujud dalam sejarah hubungan antara agama bagi penduduk di Semanjung Malaysia yang majoriti besarnya beragama Islam.

MCCBCHST sepatutnya sudah menyaksikan kesan yang mungkin timbul jika permintaan sedemikian ditunaikan. Kemarahan umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi. Puluhan laporan polis yang dibuat di beberapa tempat menjadi testimoni kepada gejala buruk ini.

MCCBCHST juga perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk badan-badan Islam yang ada tidak pernah cuba mengawal orang bukan Islam atau mengganggu amalan agama mereka. Apa yang berlaku adalah percubaan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melanggar batas yang ada dengan meminta supaya kalimah ALLAH yang menjadi hak eksklusif orang Islam juga dapat diguna pakai oleh orang bukan Islam. Inilah sebenarnya amalan yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan ketegangan antara bangsa dan agama.

Sepatutnya MCCBCHST yang dianggotai oleh mereka yang berwibawa, arif dengan persikataran sosiobudaya negara ini sepatutnya tidak mengambil langkah menyiram minyak kepada api yang sudah mula marak. Kebijaksanaan yang ada kepada pimpinan MCCBCHST sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menentukan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan yang telah dan sedang dinikmati akan terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Dicadangkan supaya MCCBCHST jangan cuba menjebakkan diri mereka dalam permainan dan percaturan politik yang tidak sihat.

Mereka sebaliknya perlu mengambil sikap yang lebih positif supaya mencari jalan sebaik-baiknya sekurang-kurangnya menasihatkan beberapa orang pimpinan politik Pakatan Rakyat supaya mereka bermuhasabah dan mengkaji apakah tindakan mereka untuk meraih keuntungan politik jangka pendek dapat menjamin hubungan antara bangsa dan agama yang terus damai pada jangka panjangnya.

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/kalimah-allah-jangan-siram-minyak-lagi-hasan-ali-nasihat-mccbchst-1.128852

SILA BACA MENGENAI MCCBCHST DI SINI :-

http://ms.wikipedia.org/wiki/MCCBCHST

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...