Thursday, October 11, 2012


Tidak daftar SABK bukti Pusat diskriminasi SAR

Harakahdaily,11 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Hanya menyalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mahu mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)  dengan Kementerian Pelajaran untuk tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat adalah alasan yang lemah dan menunjukkan diskriminasi ke atas SAR.

Sehubungan itu, Teras menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengadakan pertemuan bersemuka dengan wakil SAR untuk mendengar alasan mereka kenapa ada yang tidak mahu mendaftar sebagai SABK.

“Adalah sangat angkuh bila Timbalan Menteri Datuk Puad Zarkashi menuding Lembaga dan Mudir SAR tidak mahu kehilangan kuasa jika berdaftar dengan Kementerian Pelajaran kerana ini seolah menyatakan SAR ditubuhkan untuk kepentingan peribadi,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, pihak menteri perlu kembali kepada dasar memberi peruntukan perkapita kepada SAR seperti sebelumnya yang telah dibatal oleh kerajaan ketika Tun Mahathir menjadi PM.

Beliau berkata, Tun Mahathir dan Timbalan PM ketika itu termasuk sejumlah menteri dalam kerajaan telah menuduh SAR sebagai sarang pembangkang dan Datuk Seri Najib sendiri menyatakan SAR adalah umpama bom jangka.

“Inilah sebenarnya alasan yang menyebabkan SAR dianaktirikan. Pada hal jasa dan manfaat kepada rakyat tidak dapat dinafikan termasuk meringankan beban kerajaan untuk menyediakan sekolah aliran agama yang semakin popular di kalangan masyarakat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Teras menggesa pihak kerajaan mendengar tuntutan wakil guru dan pelajar yang telah berhimpunan di Parlimen hari ini (gambar) untuk menuntut hak mereka dari kerajaan.

Menurutnya, SAR adalah institusi rakyat yang unik di negara ini sebagai upaya dari masyarakat Islam yang mahu melaksanakan pendidikan Islam dalam erti kata sebenar.

“Walaupun mungkin ada kelemahan yang boleh diperbaiki namun pendekatan yang harus dilakukan harus bersifat mengukuh dan menambahbaik bukan mengambil alih seperti yang ada dalam skim dan syarat SABK,” ujarnya lagi.


Kajian: Himpunan Bersih 3.0 jejas prestasi BN

Harakahdaily,11 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kajian oleh Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati isu Himpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu mampu menjejaskan undi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Kajian yang meletak persoalan "Adakah demonstrasi Bersih 3.0 yang menuntut pilihan raya bersih boleh menjadi isu yang kan menjejaskan prestasi BN dalam PRU13?" itu ditanyakan kepada 1536 responden.

Kajian ini dijalankan pada 1 September 2012 hingga 16 September 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia dengan menggunakan kaedah temubual secara bersemuka dan soalan kaji selidik berstruktur.

Hasil kajian itu mendapati, 52 peratus daripada responden bersetuju dengan menyatakan isu himpunan Bersih 3.0 itu memberi kesan kepada BN.

Jika mengikut pecahan kaum pula, 62 peratus kaum Cina menjawab 'YA' diikuti India (51%) manakala Melayu (49%).

Kajian ini juga merekodkan 60 peratus daripada pengundi kali pertama bersetuju bahawa Himpunan Bersih 3.0 itu menjejaskan BN, manakala pengundi kali kedua pula sebanyak 52 peratus.

Selain isu Himpunan Bersih 3.0. kajian juga turut dibuat terhadap isu-isu lain seperti NFC, Lynas, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati), kegagalan mengurangkan kadar jenayah dan integriti pempimpin BN.

Daripada kesemua isu tersebut, paling boleh menjejaskan BN adalah isu berkaitan integriti pemimpin BN dengan kadar 66 peratus.

Ianya diikuti isu kebanjiran Pati (60%), Lynas (59%), NFC (55)%, kegagalan mengurangkan kadar jenayah (54%).


Jangan beri gambaran salah pada Nabi

  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 12:19PM Okt 5 2012
Ramai orang Muslim sayangkan Nabi Muhammad SAW. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang dari beberapa sudut.

Kadang-kala ia datang dari musuh-musuh, kadang-kala ia datang dari umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang baginda.

Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi SAW.

Palsu dan cacat

Umat yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu mengenai Nabi SAW lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda.

Mereka inilah yang Nabi SAW sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka".

Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka.

Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi SAW digambarkan bagaikan seorang ahli politik seperti mereka.

Sifat-sifat indah baginda dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi SAW seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara.
Sementara yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan baginda seakan sibuk untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang masa.

Bagi yang berperwatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi SAW itu keras sepertinya.

Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Rasulullah SAW itu sentiasa tewas dan mengalah.

Adapun yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi SAW yang seakan mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh kononnya.
Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau batasan Islam.

Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi SAW seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai.
Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida'ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi SAW itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu.

Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.

Hidup Nabi SAW bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.

Keindahan peribadi baginda

Dalam catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi Nabi SAW untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil dari riwayat yang sahih.

Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah.

Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa.

Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang.

Apabila baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi.

Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: "Sejak aku menjadi muslim, tidak pernah Rasulullah SAw berjumpa denganku melainkan senyum padaku." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata ‘Abdullah bin al-Harith: "Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah SAW." (Riwayat al-Tirmizi, hadis sahih)

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi SAW itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut:

"Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu", tetapi baginda menyebut: "Mengapa ada pihak yang berkata sebegini." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Kehalusan budi

Kata Anas bin Malik: "Aku berkhidmat kepada Nabi SAW sepuluh tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘Ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: 'Mengapa engkau buat begitu?'. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: "Mengapa engkau tidak buat?" (Riwayat al-Tirmizi, sahih)

Rasulullah SAW seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak' apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:

"Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang." (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida' (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda.

Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.

Nabi SAW itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang masalah mereka.

Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat.

Baginda bersabda kepada tuannya: "Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya." (Riwayat Abu Daud, sahih).

Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.

Nabi SAW seorang yang tawaduk (rendah diri), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka.
Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya.

Baginda pernah bersabda: "Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima." (Riwayat al-Bukhari)

Ini sehingga baginda pernah diracun oleh wanita Yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.

Baginda juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.

Banyak lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China ataupun India.

Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.

Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya.

Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-Muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Harun Taib: Nasha cakap perkara betul
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
11 Oktober 2012
Harun Taib
Harun Taib
SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat apa yang dinyatakan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa itu adalah betul.

“Betullah tu apa yang dikatakannya. Islam perlu jadi perkara utama... hal-hal lain perlu jadi perkara susulan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bachok itu mengingatkan Pas agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Kata Nasharudin, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat Islam sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kenyataan terbuka yang dikeluarkan Nasharudin itu telah menimbul pelbagai persepsi  banyak pihak  sehingga ada andaian menyatakan Pas telah lari dari perjuangan asal.

Harun berkata, Pas tidak pernah lari daripada perjuangan asal dan masih menjadikan Islam sebagai pegangan utama.

Ketika ditanya sama ada Nasharudin berhak berkata demikian, Harun berkata, Nasharudin boleh menyuarakan pendapat beliau tidak kira secara dalaman atau terbuka.

“Beliau bebas... boleh kata apa sahaja, beliau juga ahli Majlis Syura. Tidak salah beliau gunakan Majlis Syura untuk suarakan pandangan ini.

“Apa yang berlaku sekarang ini ramai yang berkata atas kepentingan diri sendiri,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan apa yang dikatakan Nasharudin itu sebagai perkara biasa.

“Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita,” katanya.

Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan Pas.

Tambah beliau, kuasa yang ada akan memberi parti jalan untuk memerintah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...