Thursday, November 1, 2012


Exco: Lembah Sireh mungkin gagal tapi tiada penyelewengan
ROSMIZA KASIM & SAPINAH AB GHANI
2 November 2012
Takiyuddin Hassan

Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan wujud penyelewengan dalam projek Pembangunan Lembah Sireh walaupun mengakui pelaksanaannya tidak menepati masa.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun setakat ini projek tersebut dilihat kurang berjaya, namun tidak ada unsur penyelewengan di sebalik pelaksanaannya.

"Projek ini mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi tidak ada penyelewengan, macam mana dikatakan ada penyelewengan sedangkan kita ada jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

"Pada pandangan kerajaan kita akan bagi penjelasan kepada Ketua Audit Negara, benda ini telus, kalau kata ada penyelewengan itu tidak betul," katanya, semalam.

Takiyuddin berkata, isu tersebut sengaja diperbesarkan pihak- pihak tertentu untuk tujuan yang hanya diketahui pihak terlibat.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, pintu kerajaan sentiasa terbuka untuk mana- mana pihak berkuasa menjalankan siasatan jika terdapat laporan mengenai penyelewengan terhadap projek berkenaan," katanya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri bersedia menemui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memperjelaskan isu Lembah Sireh berikutan perkara itu dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2011.

Katanya, pihak audit mengesyorkan agar Kerajaan Negeri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil beberapa langkah termasuk membuat penilaian terhadap sumbangan syarikat yang menjalin kerjasama, di mana penilaian itu berdasarkan nilaian tanah semasa serta kemudahan disediakan.

"Selain itu, setiap projek usaha sama perlu dikaji dengan teliti oleh pakar dan agensi Kerajaan Negeri yang dilantik bagi mengurus dan memantau pelaksanaannya, dan untuk projek di tebing Sungai Kelantan ini kita sudah ada jawatankuasa pemandu sejak dari dulu lagi yang diketuai Timbalan Menteri Besar, selain semua jawatan teknikal berkaitan serta wakil syarikat ada dalam jawatankuasa ini," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak audit turut mengesyorkan supaya UPEN mengambil tindakan segera untuk memastikan pihak syarikat menyerahkan bon sebagaimana tercatat dalam perjanjian.

"Memang dalam perjanjian syarikat perlu bagi permance bon yang jumlahnya RM150, 000, syarikat telah buat banyak, pada masa itu kita berpandangan performance bon itu dikontra dengan projek- projek dibuat syarikat, tetapi pihak audit memaklumkan bon itu perlu dimasukkan bersama, dan kerajaan sudah berbincang dengan syarikat serta sudah mencapai persetujuan," katanya.

Menurutnya, selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga perlu meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama supaya kepentingan rakyat terjamin.

Takiyuddin berkata pembangunan di kawasan itu sedang giat dijalankan di bawah perjanjian dengan pihak pemaju, dan dijangka siap menjelang 2019.

"Sehingga kini hanya lima peratus sahaja pembangunan sudah dilaksanakan di kawasan itu sejak dimulakan pada 2007 yang lalu, dan kita mempunyai masa sehingga 2019, pihak kerajaan yakin seluruh kawasan itu akan dapat dibangunkan nanti," katanya.



'Tangguh AES demi strategi PRU13'
NORSHAHZURA MAT ZUKI
2 November 2012
AES

Sistem AES
SHAH ALAM – Kerajaan perlu menangguhkan sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) demi kepentingan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pensyarah Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, kerajaan perlu berbuat demikian kerana AES dijadikan modal politik bukan sahaja pembangkang, tetapi sesetengah kelompok dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, BN perlu memberikan persepsi penangguhan bukan kerana mahu memancing undi, tetapi kajian perlu dilakukan untuk menjawab kritikan terhadap AES.

“Tidak rugi BN menangguhkan AES, malah ia memberikan manfaat kerana mendengar kritikan rakyat walaupun ada kalanya kritikan tidak masuk akal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Bung Mohtar Radin berkata, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan menggunakan isu pelaksanaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, kerajaan wajar menangguhkan pelaksanaan AES bagi memberikan keyakinan kepada rakyat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, dalam soal menjaga keselamatan, rakyat perlu dididik bukannya penguatkuasaan undang- undang dengan mengenakan denda kerana ia menyusahkan rakyat.

”Memberikan denda kepada rakyat adalah mudah tetapi tidak mengatasi masalah iaitu sikap rakyat. Ia juga tidak membantu mencapai matlamat mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, cadangan Pemuda Umno menangguhkan AES juga menunjukkan pandangan berbeza di kalangan pemimpin Umno.

“Ada puak cuba melemahkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia adalah gejala tidak baik menjelang PRU13,” katanya.


Rahmat tersembunyi Operasi Lalang 1987

Ahmad Lutfi Othman,02 Nov 2012
Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri". 

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA). Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya)  di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff,  merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa. Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup hari ke hari membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun. 

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum  itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman. Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya.  DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul Percikan Darah Syuhada. Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati. Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!  

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan  tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong. Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman. Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP  mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.


Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara. Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu:  "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim  Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja." 

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang. Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP. Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas 1999, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga berpindah dari lokap dan penjara ...


Menanti impak besar himpunan di Seremban, 3 Nov

Ahmad Lutfi Othman,31 Okt 2012
 
Demonstrasi aman, perhimpunan raksasa atau perarakan besar-besaran menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil, sejak kali pertama diadakan pada November 2007, sememangnya  mendapat sambutan cukup menggalakkan. 

Penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat semakin meningkat, tanda kesedaran rakyat terhadap tuntutan asas demokrasi itu bertambah terbuka dan menyeluruh. Proses pendemokrasian yang merupakan trend global dan fenomena sejagat tidak mampu disekat lagi. Malah Malaysia seharusnya berada dalam liga teratas bersama negara-negara demokratik yang memberi peluang sepenuhnya rakyat untuk berpartisipasi secara bebas.  

Dalam himpunan terakhir, Bersih 3.0, pada April 2012, penyertaan masyarakat Tionghua lebih menyerlah, menunjukkan keresahan berdepan pelbagai penipuan dan manipulasi semasa pilihan raya kini dikongsi lebih ramai khalayak. Ia juga bukti nyata bahawa tsunami politik Mac 2008 masih mempunyai momentum yang kuat.

Pemerintahan Najib Razak cuba memberi reaksi positif, dengan melakukan beberapa pembaharuan politik dan berusaha menampakkan imej lebih baik, untuk sedia mendengar kehendak rakyat, meskipun dalam masa sama, tumpuan diberikan bagi memalitkan wajah hodoh buat peserta dan penganjur Bersih.

Iklan tanpa berbayar di TV digunakan sepenuhnya untuk menggambarkan "Bersih Yang Kotor". Malang sekali, kian kerap ia diputar, penonton semakin jelak dan mual. Media baru terutama YouTube menjadi agen paling efektif memaparkan klip video adegan sebenar, menyanggah tohmahan peserta melakukan keganasan. 

Bersih juga dipersepsikan seperti kebangkitan rakyat di Timur Tengah (apa salahnya demonstrasi menggulingkan diktator seperti Hosni Mubarak, kan?), untuk menghitamlegamkan lagi pemimpin Pakatan yang bersama dalam perarakan besar-besaran sekitar Dataran Merdeka itu.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PAS) terpaksa ditubuhkan, membabitkan wakil Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat; 22 cadangan telah dikemukakan selepas mengadakan siri mesyuarat dan pertemuan awam, termasuk menganjurkan lawatan kerja ke luar negara.  Meneliti proposalnya itu, jawatankuasa tersebut seperti mahu menjawab lapan tuntutan utama Bersih, sekali gus menunjukkan kerajaan peka dengan desakan rakyat. 

Namun begitu, senarai daftar pemilih yang cukup meragukan, terutama di kerusi-kerusi tumpuan BN, langsung tidak dibersihkan, malah semakin menimbulkan tanda tanya dengan penemuan dan pendedahan yang mengejutkan. Nama-nama pengundi yang pelik dan aneh muncul, di samping alamat sama dikongsi begitu ramai pemilih, dengan bilangan yang tidak munasabah langsung.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap dilihat sebagai agensi kerajaan yang terbabit aktif dalam komplot BN bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara, bagi mempertahankan Putrajaya dan menawan negeri-negeri yang kini diterajui Pakatan, terutama sekali Selangor.


Tuntutan akses media yang bebas dan adil pula langsung tidak dipedulikan. Pastinya Najib, melalui menteri berkaitan, Dr Rais Yatim akan mengemukakan cadangan seolah-olah Pakatan juga mempunyai ruang untuk berbicara langsung dengan rakyat, sekurang-kurangnya dapat membentangkan manifesto dalam siaran televisyen semasa berkempen nanti (jangan lupa, dengan syarat ketat yang mengikat). 

Ia sekadar mahu mengaburi pandangan umum, sedangkan belum pun Parlimen dibubarkan, siaran TV, baik RTM mahupun stesen swasta sudah dipenuhi slot propaganda BN. Saya kira berbanding semasa era Abdullah Ahmad Badawi dan juga Dr Mahathir Mohamad, dakyah politik BN melalui kaca TV begitu ketara sekali di zaman Najib, terutama melalui lagu-lagu dan iklan politik tidak berbayar yang "disamarkan".

Justeru, apabila dimaklumkan satu Himpunan Kebangkitan Rakyat, menyamai Bersih 4.0, bakal diadakan sebelum Parlimen dibubarkan, saya menyokong penuh saranan itu sambil mengharapkan penganjurannya lebih tersusun dan sistematik lagi. Sesunguhnya padang permainan sama rata, dengan peraturan  dan pengadil yang adil, harus diwujudkan terlebih dahulu, sebelum wisel ditiup! 


Saya mendengar idea awal mengenai perhimpunan mega itu, yang diharapkan mampu mengumpulkan sejuta orang,  apabila berkunjung ke pejabat bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadhir, di Seri Kembangan semasa Ramadan lalu.

Kadir secara serius mencadangkan satu perhimpunan besar-besaran Pakatan Rakyat, dengan target menghimpunkan sejuta orang, di sebuah lokasi tertutup, seumpama Stadium Bukit Jalil atau Shah Alam, bagi menunjukkan kesatuan padu parti-parti pembangkang, dan menolak dakyah elit pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk "mengacau-bilaukan" seteru politiknya.

"Ya, kita boleh boleh namakan apa saja, misalnya Bersih 4.0, dan saya boleh menjadi tenaga pentingnya ... Bariskan serentak pemimpin utama Pakatan, dan buat pengisytiharan bagi menamatkan salah faham, khususnya antara PAS dan DAP. Memang selama ini pun, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah berucap berulang kali mengenai hal itu," tegas Kadir, sambil bertanya apakah saya juga setuju dengan cadangan tersebut.

"Selepas himpunan sejuta di Kuala Lumpur, maka kita akan berpindah ke negeri-negeri, dengan matlamat 100,000 hadirin. Kita perlu himpunan yang mendatangkan impak besar kepada pengundi sebelum PRU13," kata Kadir sambil merujuk kejayaan himpunan Hijau anjuran PAS. "Tapi kali ini ia membabitkan semua parti pembangkang," tambahnya. 

Kadir  mencadangkan agar himpunan itu memfokuskan kepada tuntutan akses media yang adil dan bebas. Katanya, isu media merupakan antara perkara paling pokok dalam sistem demokrasi dan proses pilihan raya. Ia sama sekali tidak boleh dipandang remeh, katanya, sambil menekankan bahawa maklumat harus sampai ke segenap pelosok tanah air dan setiap pintu rumah.

"Tidak semestinya apabila kita berada di pihak yang benar, seperti dalam isu air di Selangor, maka rakyat secara automatik akan memihak kepada kita sekiranya kempen penerangan atau penjelasan kerajaan negeri tidak disusun dengan baik," ujar Kadir.

"Meneliti propaganda yang dimuatkan khususnya dalam TV, saya harap kita jangan pandang mudah perkara ini. Saya perhatikan, ia juga boleh mempengaruhi penonton, apatah lagi jika dipersembahkan dalam bentuk yang boleh menarik perhatian awam," katanya. 

Sekiranya cadangan awal Kadir itu menjadi salah satu pendorong himpunan seumpama Bersih 4.0 digerakkan, bedanya cuma pelancarannya kini dibuat di Seremban Jaya, bukan di Stadium Bukit Jalil, dan ia tidak bertaraf program kemuncak yang mensasarkan sejuta kehadiran.

Namun begitu, ramai mengharapkan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Sabtu 3 Nov ini menjadi pencetus terbaik, bukan sahaja bagi meneruskan tekanan dan lobi agar proses pilihan raya berjalan adil, bebas dan bersih, tetapi juga berupaya menyuntik semangat buat petugas Pakatan melakukan pecutan di pusingan terakhir menjelang tarikh pembubaran Parlimen.

Sebahagian rakan-rakan melahirkan keraguan mampukah Seremban menjadi tuan rumah yang dapat mengumpulkan 100,000 orang? Kebimbangan itu bersandarkan kepada promosi dan hebahan yang kurang  menonjolkan, malah masih ramai aktivis parti yang tidak mendapat maklumat mengenainya.

Negeri Sembilan dilihat mempunyai keistimewaan tertentu, terutama dari segi kedudukannya yang strategik bagi memberi laluan buat momentum tsunami politik 2008 bergerak ke selatan. Dalam PRU13, Pakatan hanya kekurangan empat kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru. Majoriti dua pertiga BN dalam sidang Dun sudah berjaya dipecahkan.

Meskipun himpunan 3 Nov ini bukannya lanjutan demonstrasi Bersih kerana ia dianjurkan Pakatan sendiri dan tidak melibatkan gabungan NGO seperti tiga perhimpunan terdahulu, saya kira bukan hanya jumlah kehadiran yang perlu dititik-beratkan, tetapi impak terhadap tuntutan membersihkan daftar pemilih dan akses media harus diambil kira.

Berbeda dengan Himpunan Hijau anjuran PAS  yang mencapai kejayaan gemilang, terutama di majlis pelancarannya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, awal Jun lalu, program di Seremban Jaya Sabtu ini mempunyai objektif lebih khusus, terutama untuk menarik perhatian seramai mungkin rakyat bagi mengenakan tekanan berterusan kepada pemerintah.

Selama ini, dalam keadaan agak uzur, Alhamdulillah,  saya tidak pernah absen daripada mengikuti siri perarakan Bersih di Kuala Lumpur. Dan secara peribadi, saya berasa seronok, enjoy dan puas hati, meskipun tidak dapat berada dalam kelompok puluhan ribu demonstran, sekadar menjadi pemerhati di tepi jalan!

Semoga Seremban menjadi saksi, bukan sahaja kepada kemeriahan peserta yang dijangka memakai baju pelbagai warna khas (kuning, oren, hijau dan merah), mewakili tuntutan berbeda dengan hasrat yang sama, tetapi juga kepada tekad membara dan keazaman yang padu setiap rakyat  yang mahukan proses pilihan raya negara ini menjadi lebih matang dan demokratik.



Tolak royalti 20%, PAS Sabah bidas Shafie Apdal

Anis Nazri,01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Sabah terlebih dahulu perlu menerima hasil dari sumber minyaknya sebelum diagihkan ke negeri-negeri lain.

Apabila terdapat lebihan dari agihan tersebut, barulah ia wajar diagihkan ke negeri-negeri lain, tegas Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang menolak tawaran Pakatan Rakyat memberikan bayaran royalti sebanyak 20 peratus jika berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika sambutan hari Malaysia di Sabah sebelum ini, Islam telah memperingatkan mana-mana hasil yang diperoleh dari negeri tersebut perlu diagihkan untuk keperluan negeri itu sendiri sebelum diagihkan ke negeri lain.

"Justeru, untuk mengagihkannya (hasil negeri) untuk negeri lain dengan meninggalkan Sabah terus terpinggir dari arus pembangunan, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima rakyat Sabah," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, mengapa Sabah perlu berkongsi kemakmuran bersama di saat Sabah ketinggalan dari pelbagai aspek keperluan asas.

Katanya, Sabah masih ketinggalan dari segi jajaran jalan rayanya, bekalan air terawat, kemudahan elektrik yang menghantui penduduk Sabah sekian lama.

"Kenapa hasil dari Sabah itu tidak ditawarkan kepada Sabah terlebih dahulu?  Jika selesai masalah di Sabah, tidak mengapalah jika hendak diagihkan kepada negeri lain sekalipun," kata Aminuddin lagi.

Sambil menyifatkan Shafie sebagai pemimpin yang tidak memahami denyut nadi penduduk Sabah, Aminuddin berkata kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat terhadap Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak sedar apa yang mereka ucapkan.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, sebelum ini berkata tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

Menteri itu juga sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.


Hudud: Utusan jahil terus kelirukan rakyat

Datuk Harun Taib,01 Nov 2012
Utusan masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk ‘Polemik Hukum Hudud PAS’ menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.

Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat 2 versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab teknikal dan bukannya isu pokok, apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.

Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu bahawa Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya.

Pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.

Berkenaan isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun dijawab oleh Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak tidak keberatan mengulanginya.

Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para ulamak.

Berkenaan dakwaan bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak, masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.

Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.

Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang dikemukakan oleh PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang membangkitkan isu ini.

Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.

Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.

Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen kelantan dan Terengganu jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut undang-undang mereka.

Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya”.

Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu Allah s.w.t memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan mereka. Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...