Sunday, October 21, 2012


SPR: Faktor cuaca bukan penghalang urus PRU13
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Oktober 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
PUTRAJAYA – Sekiranya Parlimen dibubarkan dalam bulan ini atau awal November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mencari tarikh “paling cantik dalam keadaan yang buruk” untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Hal ini kerana dikhabarkan, bermula pertengahan bulan depan, beberapa negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Namun SPR selaku agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan proses pilihan raya, kata beliau, terpaksa akur untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang telah ditetapkan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Memang salah satu faktor yang dibimbangkan oleh SPR apabila menentukan tarikh-tarikh penting seperti  tarikh penamaan calon dan yang paling penting, tarikh pilihan raya ialah faktor cuaca.

“(Tetapi) kalau hari ini tiba-tiba Perdana Menteri bubar Dewan (Parlimen), saya hanya ada 60 hari termasuklah bulan November,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di sini, Abdul Aziz berkata, SPR memerlukan perancangan yang teliti terutama dalam aspek keselamatan bagi memastikan pilihan raya umum berjalan lancar meskipun berhadapan masalah bencana alam.

“Kita akan mendapatkan kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita berjaga-jagalah.  MKN akan membantu kita dari segi menggunakan perkhidmatan tentera, polis, perkhidmatan bomba, perkhidmatan Jabatan Pertahanan Awam Negara (JPAM) atau jabatan-jabatan lain untuk turut membantu untuk mengangkut atau menyelamat pengundi-pengundi.

“Jika sekiranya Dewan dibubarkan dalam tempoh terdekat, SPR tidak ada pilihan,” katanya.

Lima negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

Jabatan Pengairan dan Saliran turut memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan.

Pengarah Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata, purata hujan tahunan adalah 3,000 milimeter (mm) dan menambah: "dengan 1,800mm yang dicatatkan dari Januari kepada September, ia dijangka akan lebih 1,200mm dari Oktober hingga Disember dan ini merupakan jumlah yang banyak."

Hanapi berkata, banjir yang akan berlaku jika hujan yang turun dalam bulan tersebut berterusan selama satu hingga tiga hari di kawasan yang sama.

Sementara Kuala Lumpur pula dikatakan akan berhadapan dengan banjir kilat dalam tempoh yang sama.

Difahamkan jabatan-jabatan tertentu yang bertanggungjawab juga sudah bersedia untuk menghadapi situasi getir itu.


4 tuntutan 'Grand Final PR' sebelum PRU13
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
22 Oktober 2012
Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
KUANTAN – Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada 12 Januari depan bagi membuat tuntutan terhadap empat perkara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Pada perhimpunan ‘Grand Final’ itu peserta akan memakai empat warna baju sama ada kuning, merah, hijau dan oren yang setiap satunya mewakili tuntutan berkaitan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan itu diadakan susulan daripada Bersih 3.0 yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi tidak dilayan kerajaan.

Menurutnya, selain perhimpunan ‘Grand Final’ berkenaan, pelancaran perhimpunan kebangkitan rakyat akan berlangsung di Seremban pada 3 November ini.

“Pada awalnya perhimpunan besar-besaran itu dijangkakan pada 3 November tetapi atas alasan tertentu ia akan diadakan pada 12 Januari 2013 sekiranya Pilihan raya belum berlangsung.

“Pada perhimpunan itu peserta akan memakai baju kuning sebagai tuntutan Pilihan raya bersih dan tuntutan Bersih 3.0, (warna) hijau tuntutan terhadap penjagaan alam sekitar termasuk mengenai projek Lynas, merah menuntut royalti minyak di Kelantan, manakala oren tuntutan berkaitan Felda," katanya sempena ucaptama Konvensyen PR Peringkat Pahang, di Bukit Sekilau di sini, semalam.

Katanya, tujuan pemakaian baju empat warna itu agar segala tuntutan yang dilakukan pada perhimpunan itu akan ditunaikan.

“Mengenai lokasi, kita akan memilih sama ada di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Merdeka seperti yang pernah dijanjikan Perdana Menteri dan jika tidak dibenarkan perhimpunan akan diteruskan di luar stadium,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan kebangkitan rakyat bukan sahaja akan dilakukan di Seremban tetapi akan diadakan secara berperingkat mengikut lokasi atau zon dan seramai sejuta penyokong disasarkan.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dan pemimpin PR yang lain serta seramai 630 peserta hadir menjayakan konvensyen itu.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, bukan mudah untuk menentang Umno yang mempunyai banyak agenda.

“Kita sebenarnya mempunyai harapan besar untuk menggantikan kerajaan sekarang dan menjadikannya sebagai kerajaan persekutuan PR,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...