Thursday, November 24, 2011

SELANGORKU

Auku: Jangan ulangi janji mansuh ISA

credit to Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari (gambar), kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan yang sedia ada sudah mula faham dan akur dengan desak pelbagai pihak yang saban tahun memperjuangkan permansuhan Auku sejak Tun Dr Mahathir Mohamad lagi iaitu pada tahun 1971 berikutan demonstrasi Baling di Kedah.

Katanya, setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan, begitu juga dengan Auku.

“Saya melihat Auku ini digubal bertitik tolak pada beberapa peristiwa antaranya PMUM isytihar manifesto sokong pembangkang dalam PRU ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969.

“Juga Demonstrasi Anti Tunku oleh PMUM di Universiti Malaya pada 29 Ogos 1969 dan Demonstrasi ‘Papan Tanda’ 5 Okt 1970 iaitu pertembungan PMUM dan PBMUM sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu bahasa Melayu dan pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Setelah itu, katanya kerajaan membentuk ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ sehingga tergubal dan diwartakan Auku pd 18 Mac 1971.

Ini, ujarnya membuktikan niat Auku digubal untuk sebenarnya ialah untuk menutup ‘pekung’ kerajaan sebenarnya.
“Saya juga melihat Auku ini juga membunuh aktivisme mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan secara idealis dan akademik malah kehidupan mereka sentiasa diancam,” katanya lagi.

Natijahnya, tambah beliau mahasiswa Malaysia saban ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an, malah ianya turut terkesan kepada pensyarah-pensyarah universiti.

“Gamis harapkan pengumuman ini tidak berulang sepertimana pengumuman mansuhkan ISA yang lalu, sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh,” katanya.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa pengumuman Perdana Menteri untuk meminda seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang menghalang mahasiswa berpolitik membuktikan akta itu sememangnya bahana yang membunuh idealisme dan patriotisme anak muda selama ini.

Sambil menyambut baik pengumuman tersebut, Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, ianya membolehkan mahasiswa kembali menjadi anak muda negara yang bebas mengamalkan perlembagaan sebagai warganegara Malaysia.

"Mahasiswa meminta semua pihak terutama pentadbir universiti menerima pengumuman Perdana Menteri secara terbuka.

"Mahasiswa sedar bahawa pentadbir universiti akan menjadi tonggak penting dalam memastikan idealisme mahasiswa kembali pulih setelah Auku dimansuhkan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hal ini termasuklah usaha universiti dalam membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dengan pergerakan politik di Malaysia.

Beliau berkata demikian dengan memberi contoh speaker corner yang "lesu" kerana pihak universiti menyambutnya secara dingin.

"Hal ini kerana terdapat pihak pentadbiran yang mewujudkan undang-undang melampau walaupun Auku telah membenarkan Speaker Corner," katanya.

Selain itu SMM katanya, mencadangkan pihak kerajaan memperhalusi beberapa tuntutan mahasiswa dalam menjayakan semangat pemansuhan Auku.

"Mahasiswa tidak sekadar melihat pemansuhan Auku secara tunggal, tapi apa yang lebih penting ialah pengisian terhadap aktiviti kemahasiswaan setelah Auku dimansuhkan.

Tuntutan mahasiswa ini katanya telah dikemukakan dalam Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang dilancarkan baru baru ini.

"Antara tuntutan mahasiswa ialah mengembalikan hak pentadbiran kemahasiswaan kepada mahasiswa secara total yang mana tugas ini pada masa ini dikuasai sepenuhnya oleh bahagian hal ehwal pelajar (HEP)," katanya.

Selain itu SMM juga menuntut agar urusan pilihanraya kampus diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa bagi memastikan mahasiswa mendapat pendidikan politik secara menyeluruh dan tidak sekadar terdidik sebagai pengundi.

"Tuntutan ini diharap dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan pindaan Auku disusuli dengan pengisian yang mempu mendidik mahasiswa menjadi rakyat yang berfungsi kepada negara," katanya.

Calon SPM ditangkap khalwat

Oleh : Wartawan Sinar Harian

Tarikh : November 24, 2011

LEDANG – “Saya hanya berehat dan menonton televisyen di bilik ini.”

Demikian alasan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dicekup berkhalwat bersama pasangannya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Remaja perempuan berusia 17 dan pasangannya berusia 27 itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi ketika sedang berdua-duaan di dalam sebuah bilik di bengkel jentera di Serom 6, Sungai Mati, di sini.

Pelajar itu juga mendakwa dia datang ke bilik teman lelakinya itu sekadar untuk mengisi masa lapang kerana tiada kertas peperiksaan yang diduduki pada hari tersebut, selain akan pulang ke rumah di Muar sebaik sahaja selesai berehat di bilik itu.

Manakala, teman lelakinya adalah duda beranak dua dan baru sahaja bekerja di bengkel itu sejak sebulan lalu.
Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Zainal Kadiran memeriksa bilik di bengkel itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“Para penguat kuasa hanya me­nunggu kira-kira dua minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T dan berseluar pendek sedang baring di atas tilam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing.

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

kata aku : moga Allah pelihara diri ku dan ahli2 keluarga dari fitnah sebegini...
Rakyat tolak ‘khurafat’ dipertahankan Umno

Aslani M

TUMPAT, 24 Nov: Unsur ‘khurafat’ kononnya hanya Umno mampu mentadbir negara yang dipertahankan pemimpin parti itu sejak 54 tahun lalu, kini semakin hilang.

Ini dibuktikan di Kelantan sejak 21 tahun lalu rakyat memilih ketuanan Islam yang ternyata mampu melahirkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, ‘khurafat’ yang bermati-matian dipertahankan pemimpin Umno sebelum ini sudah tidak lagi diendahkan rakyat.
“Umno dok jaja hanya merekalah yang mampu mentadbir negara buat selama-lamanya, kononnya parti lain tidak ada kemampuan.

“Sebaliknya rakyat Kelantan membuktikan mereka sudah lama menolak ‘khurafat’ peninggalan Umno sejak pilihan raya 1990 sehingga sekarang,” katanya pada ceramah isu semasa di Dataran Pasir Pekan malam semalam.

Hadir sama Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, aggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim.

Orang ramai tetap memenuhi ruang tempat ceramah biar pun hujan lebat sepanjang hari.

Mohamad berkata, pemimpin Umno sejak merdeka lagi melaungkan dogma tanpa Umno rakyat negara ini tidak akan menikmati pembangunan.

Bagaimanapun katanya, Kelantan yang bukan ditadbir Umno sejak lebih 21 tahun lalu juga membangun pesat seperti negeri-negeri lain.

“Umno mendabik dada sebenarnya kerana sejak dahulu sehingga sekarang mereka bergantung kepada undi pos, pengundi di Felda, Felcra dan sokongan rakyat Sabah serta Sarawak,” ujarnya.

Kamaruddin pula berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan begitu rimas sekarang sehingga teragak-agak mahu menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Katanya, kalau sebelum ini geger diperkatakan Perdana Menteri gemarkan tarikh 11.11.2011 untuk membubarkan parlimen, namun tidak pula menjadi kenyataan.
”Presiden Umno dilihat seperti takut sekarang, lagi lama menduduki kerusi Perdana Menteri musuhnya bertambah ramai.

”Musuh bukan sahaja berada di luar, sebaliknya berada dalam Umno sendiri. Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut Umno busuk sehingga ke usus,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...