Tuesday, October 9, 2012


Pas: Projek Rapid diteruskan jika diberi mandat
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Oktober 2012
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR - Pas menjelaskan bahawa mereka akan meneruskan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor, walaupun ditolak rakan sekutu PKR.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, ia pandangan peribadi dan tidak menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat (PR) bagi mana-mana pihak mengeluarkan pendapat.
“Kami (pembangkang) bukan menolak projek mega, tetapi setiap projek harus diteliti dengan terperinci agar nasib rakyat tidak terpinggir akibat daripada arus pembangunan.

“Sekiranya pembangkang diberi mandat dalam pilihan raya nanti, projek Rapid akan diberi perhatian, malah Petronas boleh membangunkan projek Rapid di Pengerang ataupun mana-mana tempat di negeri Johor,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen mendakwa adalah satu pembaziran bagi menggunakan wang sebanyak RM60 bilion bagi pembinaan satu loji penapis kerana kerajaan telah mempunyai loji yang sedia ada milik Petronas di Kerteh, Terengganu.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan projek Rapid adalah sebuah projek nasional di bawah kendalian Petronas yang bakal memberi pulangan besar untuk diagihkan semula kepada rakyat.

Beliau juga turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang mempersoalkan projek berkenaan dan dilihat sebagai strategi mengalih perhatian masyarakat daripada masalah dalaman mereka.

Salahuddin berkata, beliau bersedia untuk berdialog dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berhubung projek tersebut bagi kepentingan rakyat.

“Saya bersedia untuk datang bersama dengan beberapa orang yang memiliki kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah dan industri minyak dan gas.

“Ia penting supaya pembangunan di Pengerang itu dapat mencapai objektif dan penduduk setempat tidak menjadi mangsa,” katanya.


Dua pegawai kastam dihukum gantung kerana edar dadah

9 Oktober 2012
ALOR SETAR - Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, hari ini.
  
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Mansor, 43, dan Nazni Seman, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
  
Kedua-dua tertuduh yang berkhidmat dengan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis, Perlis, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 6,705 gram di kawasan tapak parkir lori kilang simen, Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis pada pukul 9.30 malam, 27 April 2011.
  
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Y.Anbananthan.
  
Semasa penghakiman, Mohd Zaki berkata keterangan pembelaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan kenyataan kedua-dua tertuduh hanya diada-adakan bagi melepaskan diri.
  
Sementara itu, Anbananthan ketika rayuan memaklumkan bahawa Nazni dan Ismail, masing-masing telah bertugas selama 17 dan 14 tahun dengan KDRM. - Bernama


Pinjaman perumahan: Cuepacs mahu runding dengan bank

9 Oktober 2012
logo cuepacs
Cuepacs
KUALA LUMPUR - Cuepacs berhasrat mengadakan rundingan secara komprehensif dengan institusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam.
  
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng dalam kenyataan hari ini berkata, rundingan itu, yang tidak dinyatakan tarikhnya, adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.
  
"Kebimbangan pekerja adalah syarat-syarat pinjaman perumahan yang dikenakan institusi kewangan lebih ketat dan fokus kepada keuntungan.
  
"Manakala kerajaan yang sebelum ini menguruskan pinjaman itu lebih memberi keutamaan dengan membantu pekerja memperoleh rumah dengan tidak membebankan dan menyusahkan mereka," katanya dalam kenyataan itu.
  
Kerajaan, dalam Bajet 2013 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, mencadangkan bahawa Skim Pinjaman Perumahan Sektor Awam yang diuruskan Bahagian Pinjaman Perumahan, akan dipinda ke bank-bank, untuk menguruskan semua pinjaman itu.
  
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, setakat ini empat bank komersil terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam. - Bernama


Kuala Terengganu: BN mahu diberi peluang, PR sedia beri saingan
NORADILA MAHAMAD & W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
9 Oktober 2012
Fokus PRU 13
Fokus PRU 13
Kuala Terengganu: BN mahu diberi peluang, PR sedia beri saingan
Orang ramai mendengar ceramah disampaikan Wahid dalam perhimpunan memperingati stadium runtuh di Gong Badak, baru-baru ini.
KETIKA Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, sudah cukup membuktikan mandat tidak diberi kepada parti itu, sebaliknya dimiliki pembangkang.

Walaupun Terengganu dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said iaitu selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, itu belum cukup untuk Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membangunkan kawasan itu semaju mungkin seperti yang didakwa pembangkang.
Bahu yang tidak menggalas 1001 impian rakyat, tidak akan dapat merasa kepahitan yang perlu ditelan apatah lagi satu persatu kesalahan dijaja pembangkang demi menjatuhkan pihak lawan.

Mengupas lebih mendalam isu mandat yang ditolak ke kiri dan kanan itu, Sinar Harian bersemuka dengan Wan Farid bagi meminta jawapan beliau secara profesional.

Menurutnya, pembangkang perlu faham, apabila beliau selaku Ketua Umno Bahagian berjumpa Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun untuk meminta peruntukan, dengan mudah kedua-dua pemimpin itu dapat menafikan haknya.

“Mereka boleh mendakwa saya, Parlimen Kuala Terengganu kalah dan rakyat tidak memerlukan pembangunan yang saya rancang kerana memilih pembangkang sebagai pelaksana impian mereka.

“Melainkan saya mendapat mandat daripada rakyat tempatan, baru boleh saya berjanji dengan rakyat dan menunaikan impian mereka,” katanya.
Sekiranya difikir secara logik itu semua tugas ahli Parlimen di kawasan itu kerana rakyat ‘memangkahnya’ dan seharusnya dialah yang perlu melunaskan janji yang ditabur.

“Ada pun pembangkang ketika diberi mandat, mereka tidak melaksanakan pembangunan terutama di Wakaf Mempelam.

“Berbeza pula dengan (Barisan Nasional) BN, walaupun kalah, masih cuba sedaya mungkin menghidupkan kawasan-kawasan ini, dan bayangkan sekiranya BN menang dan diberi mandat oleh rakyat,” katanya.

Mandat daripada pengundi adalah perlu sebagai kekuatan moral baginya berjumpa kepimpinan atasan dan menimbalbalik sokongan yang diberi.

Dalam usaha menarik pengundi, jentera parti perlu membangkitkan ‘psychology of winning’ kerana sesetengahnya di dalam Umno atau BN timbul sekatan minda.

Sepatutnya, psikologi itu perlu diruntuhkan supaya pemikiran negatif berakhir dan pemikiran positif bermula.

“Kalau telah buat sekatan minda bahawa tidak menang, payah lah. Sepatutnya kita perlu memberi khidmat lebih baik dan tiada apa yang dapat menghalang untuk memperoleh kemenangan. Kerja keras nombor dua, yang utama 'psychology of winning',” katanya.

Jentera parti juga perlu menerapkan ‘sweetness of winning’ kerana selagi tidak mengecapi kemenangan, mereka tidak dapat merasai kemanisan itu.
Kerajaan jangan salahkan pembangkang
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menyelar pihak kerajaan yang sering kali menyalahkan wakil rakyat pembangkang dengan alasan mandat yang diberi rakyat terhadap mereka telah menggagalkan perancangan kerajaan untuk membangunkan kawasan setempat.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Pas menjelaskan, tugas terbabit adalah tanggungjawab yang perlu dipikul kerajaan dan menegaskan alasan sedemikian hanya menunjukkan kelemahan sendiri.
Beliau dalam nada sinis turut mencadangkan BN memberi ruang kepada pembangkang mengambil alih kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum akan datang sekiranya enggan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh.

“Tugas pembangunan adalah tugas kerajaan untuk kebaikan rakyat dan kita tidak tolak perkara itu. Walaupun melibatkan kawasan pembangkang sekalipun, ia tetap tugas kerajaan. Kalau mereka kata tidak mahu buat pembangunan, biar kita ambil alih pula,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, aspek pembangunan boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar melaksanakan tanggungjawab tanpa mengambil kira sama ada kawasan tersebut disandang wakil rakyat pembangkang.

Ditanya tindakan pembangkang yang didakwa tidak melaksanakan aspek pembangunan ketika mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004, beliau menolak perkara tersebut sambil menegaskan pelaksanaan yang dilakukan Pas telah dinafikan BN.
Yakin BN hadapi zaman gelap
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam berkata, walau apa pun alasan kerajaan menyalahkan pembangkang, pihaknya tidak gentar berhadapan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau tidak menolak, pihak kerajaan akan menggunakan pelbagai janji dengan projek pembangunan di Kuala Terengganu kepada rakyat menjelang pilihan raya umum nanti.

“Itu rasuah, dia janji wang untuk buat macam itu macam ini. Mana boleh ugut rakyat. Kenapa bila menang tidak buat?

“Kita sudah lama tunggu bila pilihan raya. Kita tunggu bulan Jun tiada, bulan 11 tiada. Tiada keputusan (berhubung tarikh pilihan raya). Walaupun apa pun strategi BN, kita akan berhadapan dengan mereka,” katanya.
Beliau juga yakin BN akan berhadapan dengan ‘zaman gelap’ menjelang pilihan raya umum nanti dan menjangka berlaku perubahan landskap politik di peringkat negeri atau negara.
Beliau berkata, perkara itu juga turut berkait dengan sokongan pengundi muda serta bukan Melayu yang memperlihatkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) ketika ini.

“Tempoh untuk BN sudah tiada, masa sudah habis dan rakyat sudah memberi masa 55 tahun memerintah negara.

“Orang sekarang cerdik dan sampai bila mereka mahu ditipu. Kita jangka akan berlaku perubahan. Kita tidak  boleh janji untuk dapatkan kesemua kerusi tetapi kita akan pastikan menang dan dapat mana-mana kawasan,” katanya.


Liong Sik seorang jujur, kata Mahathir

9 Oktober 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Tun Dr Ling Liong Sik yang dikenalinya selama 30 tahun adalah seorang yang jujur.
Dr Mahathir, 87, berkata bekas Menteri Pengangkutan itu juga melakukan tugas dengan baik terutama dalam membangunkan Pelabuhan Klang.
Beliau yang menjadi saksi keempat pembelaan pada perbicaraan membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berkata demikian ketika disoal peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling mengenai pendapat peribadinya terhadap Liong Sik.
Sebelum soalan tersebut dikemukakan, suasana prosiding agak tegang apabila Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah membuat bantahan terhadap soalan Wong sama ada Ling 'mampu menipu'.
Tun Abdul Majid dengan nada suara yang kuat berkata "siapa tahu dia (Dr Ling) mampu atau tidak tetapi beliau (Dr Ling) tahu" sambil menunjuk ke arah Dr Ling yang berada di dalam kandang tertuduh.
Bantahan Tun Abdul Majid itu mengejutkan orang ramai yang berada di dalam mahkamah dan ada di antaranya mula bersuara dengan kuat hingga Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memberi isyarat supaya mereka diam.
Sementara itu, di awal prosiding Dr Mahathir ditunjukkan dua nota ringkasan bertarikh 29 Oktober 2002 berhubung pengambilan balik tanah di Pulau Indah dan Dr Mahathir menyatakan bahawa tiada seorangpun daripada pegawai Kementerian Kewangan membuat aduan terdapat kesilapan dan mengelirukan dalam dokumen tersebut.
Beliau berkata pada kebiasaannya beliau akan berbincang dengan para pegawai sebelum mesyuarat Kabinet.
Ditanya sama ada beliau pernah membuat laporan polis berhubung dua nota tersebut (terdapat penipuan fakta), Dr Mahathir berkata: "Tidak."
Tambahnya, menteri Kabinet juga tidak membuat sebarang aduan bahawa mereka ditipu dan dikelirukan menerusi dokumen tersebut.
Dr Mahathir juga berkata berdasarkan dokumen itu juga Penasihat Khas beliau Tan Sri Ali Abu Hassan membuat kajian dan menyatakan bahawa projek PKFZ adalah berdaya maju, bersetuju supaya tanah diperoleh mengikut terma-terma yang di antaranya berdasarkan kaedah 'sedia membeli dan sedia menjual', harga tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan tempoh bayaran balik tertangguh selama 15 tahun.
Katanya, pada kebiasaan Ali akan membuat laporan kepadanya mengenai cadangan sesuatu projek tetapi beliau tidak ingat sama ada Ali pernah membuat sebarang aduan terdapat kesilapan di dalam projek PKFZ ataupun tidak.
Sepertimana dalam prosiding semalam, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa pada 2 Oktober 2002 kabinet memutuskan kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 skp dan kaedah pembayaran balik berdasarkan 'bayaran tertunda' selama 15 tahun.
Beliau juga menyatakan kadar RM25 skp itu adalah tidak termasuk faedah kerana ia adalah harga bagi kaedah pembayaran tunai.
Katanya, jumlah keseluruhan pembelian tanah sebanyak RM1.088 juta juga adalah tidak termasuk faedah.
Dr Mahathir berkata sepanjang membincangkan projek itu tiada seorangpun daripada menteri Kabinet membuat aduan bahawa harga tersebut adalah terlalu tinggi dan keputusan yang dicapai dalam kabinet adalah 'secara kolektif dan sebulat suara'.
Liong Sik didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp (sekaki persegi) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Dia juga didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Bekas Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986 itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.
Hakim Ahmadi menetapkan esok untuk menyambung keterangan Dr Mahathir. - Bernama


Pas: 'Perjuangan kami tidak ubah'
JAMILAH HAMZAH
9 Oktober 2012
mahfuz omar
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR - Pas menyangkal pandangan Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad sambil menegaskan, perjuangan parti itu masih mengikut landasan yang telah ditetapkan enam dekad lalu walaupun bekerjasama dengan rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP.

Sehubungan itu menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, kenyataan ahli seumur hidup Pas itu hanya satu pandangan peribadi.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas tidak pernah berubah daripada matlamat asal parti.

Menurutnya, tujuan PR, yang dianggotai Pas, DAP dan PKR, hanya untuk menjatuhkan Umno yang menjadi parti teras Barisan Nasional (BN).

"Perjuangan kita sama seperti dulu dan tak pernah berubah," kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Laporan Bernama semalam memetik Shahnon berkata, kerjasama antara Pas dan DAP seharusnya bersandarkan kepada amalan politik Islam yang diajar Rasulullah SAW dan bukannya seperti yang berlaku kini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut memberitahu bahawa kenyataan dikeluarkan Shahnon adalah pandangan peribadi beliau.

Beliau berkata, Pas mempunyai Majlis Syura untuk dijadikan rujukan dalam apa jua perkara berkaitan dengan perjuangan parti.

"Kita ada Majlis Syura, sama ada bercanggah atau tidak, kita akan merujuk Majlis Syura. Beliau juga bukan tahu perjuangan yang kita bawa," katanya lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...