Fokus PRU 13
Fokus PRU 13
Kuala Terengganu: BN mahu diberi peluang, PR sedia beri saingan
Orang ramai mendengar ceramah disampaikan Wahid dalam perhimpunan memperingati stadium runtuh di Gong Badak, baru-baru ini.
KETIKA Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, sudah cukup membuktikan mandat tidak diberi kepada parti itu, sebaliknya dimiliki pembangkang.

Walaupun Terengganu dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said iaitu selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, itu belum cukup untuk Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membangunkan kawasan itu semaju mungkin seperti yang didakwa pembangkang.
Bahu yang tidak menggalas 1001 impian rakyat, tidak akan dapat merasa kepahitan yang perlu ditelan apatah lagi satu persatu kesalahan dijaja pembangkang demi menjatuhkan pihak lawan.

Mengupas lebih mendalam isu mandat yang ditolak ke kiri dan kanan itu, Sinar Harian bersemuka dengan Wan Farid bagi meminta jawapan beliau secara profesional.

Menurutnya, pembangkang perlu faham, apabila beliau selaku Ketua Umno Bahagian berjumpa Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun untuk meminta peruntukan, dengan mudah kedua-dua pemimpin itu dapat menafikan haknya.

“Mereka boleh mendakwa saya, Parlimen Kuala Terengganu kalah dan rakyat tidak memerlukan pembangunan yang saya rancang kerana memilih pembangkang sebagai pelaksana impian mereka.

“Melainkan saya mendapat mandat daripada rakyat tempatan, baru boleh saya berjanji dengan rakyat dan menunaikan impian mereka,” katanya.
Sekiranya difikir secara logik itu semua tugas ahli Parlimen di kawasan itu kerana rakyat ‘memangkahnya’ dan seharusnya dialah yang perlu melunaskan janji yang ditabur.

“Ada pun pembangkang ketika diberi mandat, mereka tidak melaksanakan pembangunan terutama di Wakaf Mempelam.

“Berbeza pula dengan (Barisan Nasional) BN, walaupun kalah, masih cuba sedaya mungkin menghidupkan kawasan-kawasan ini, dan bayangkan sekiranya BN menang dan diberi mandat oleh rakyat,” katanya.

Mandat daripada pengundi adalah perlu sebagai kekuatan moral baginya berjumpa kepimpinan atasan dan menimbalbalik sokongan yang diberi.

Dalam usaha menarik pengundi, jentera parti perlu membangkitkan ‘psychology of winning’ kerana sesetengahnya di dalam Umno atau BN timbul sekatan minda.

Sepatutnya, psikologi itu perlu diruntuhkan supaya pemikiran negatif berakhir dan pemikiran positif bermula.

“Kalau telah buat sekatan minda bahawa tidak menang, payah lah. Sepatutnya kita perlu memberi khidmat lebih baik dan tiada apa yang dapat menghalang untuk memperoleh kemenangan. Kerja keras nombor dua, yang utama 'psychology of winning',” katanya.

Jentera parti juga perlu menerapkan ‘sweetness of winning’ kerana selagi tidak mengecapi kemenangan, mereka tidak dapat merasai kemanisan itu.
Kerajaan jangan salahkan pembangkang
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menyelar pihak kerajaan yang sering kali menyalahkan wakil rakyat pembangkang dengan alasan mandat yang diberi rakyat terhadap mereka telah menggagalkan perancangan kerajaan untuk membangunkan kawasan setempat.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Pas menjelaskan, tugas terbabit adalah tanggungjawab yang perlu dipikul kerajaan dan menegaskan alasan sedemikian hanya menunjukkan kelemahan sendiri.
Beliau dalam nada sinis turut mencadangkan BN memberi ruang kepada pembangkang mengambil alih kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum akan datang sekiranya enggan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh.

“Tugas pembangunan adalah tugas kerajaan untuk kebaikan rakyat dan kita tidak tolak perkara itu. Walaupun melibatkan kawasan pembangkang sekalipun, ia tetap tugas kerajaan. Kalau mereka kata tidak mahu buat pembangunan, biar kita ambil alih pula,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, aspek pembangunan boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar melaksanakan tanggungjawab tanpa mengambil kira sama ada kawasan tersebut disandang wakil rakyat pembangkang.

Ditanya tindakan pembangkang yang didakwa tidak melaksanakan aspek pembangunan ketika mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004, beliau menolak perkara tersebut sambil menegaskan pelaksanaan yang dilakukan Pas telah dinafikan BN.
Yakin BN hadapi zaman gelap
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam berkata, walau apa pun alasan kerajaan menyalahkan pembangkang, pihaknya tidak gentar berhadapan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau tidak menolak, pihak kerajaan akan menggunakan pelbagai janji dengan projek pembangunan di Kuala Terengganu kepada rakyat menjelang pilihan raya umum nanti.

“Itu rasuah, dia janji wang untuk buat macam itu macam ini. Mana boleh ugut rakyat. Kenapa bila menang tidak buat?

“Kita sudah lama tunggu bila pilihan raya. Kita tunggu bulan Jun tiada, bulan 11 tiada. Tiada keputusan (berhubung tarikh pilihan raya). Walaupun apa pun strategi BN, kita akan berhadapan dengan mereka,” katanya.
Beliau juga yakin BN akan berhadapan dengan ‘zaman gelap’ menjelang pilihan raya umum nanti dan menjangka berlaku perubahan landskap politik di peringkat negeri atau negara.
Beliau berkata, perkara itu juga turut berkait dengan sokongan pengundi muda serta bukan Melayu yang memperlihatkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) ketika ini.

“Tempoh untuk BN sudah tiada, masa sudah habis dan rakyat sudah memberi masa 55 tahun memerintah negara.

“Orang sekarang cerdik dan sampai bila mereka mahu ditipu. Kita jangka akan berlaku perubahan. Kita tidak  boleh janji untuk dapatkan kesemua kerusi tetapi kita akan pastikan menang dan dapat mana-mana kawasan,” katanya.