Menyambut Kelahiran Cahaya Mata Dengan Pelaburan Hartanah?
Khabar yang membimbangkan.
Umum bersetuju bahawa PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) merupakan dana pinjaman pelajaran terbesar di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak RM41.6 billion ringgit telah diperuntukkan bagi tujuan ini.
PTPTN Tidak Lagi Menampung Kos Sara Hidup Pelajar
Ia melibatkan 1.87 juta orang pelajar yang meminjam.
Baru-baru ini, kecoh satu Malaysia apabila Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional atau PTPTN berhasrat untuk menawarkan pinjaman bagi membiayai kos pengajian sahaja mulai 2013.
Belum pasti lagi tapi cadangan ini telah pun dibawa ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk diperhalusi.
Jika Kementerian bersetuju, cadangan ini akan dibawa ke kabinet untuk diluluskan.
Sebelum ini, ramai ibu-bapa menarik nafas lega apabila wang pinjaman PTPTN boleh dgunakan untuk sara hidup pelajar tersebut. Namun jika cadangan ini dilaksanakan, ibu bapa perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.
Maka, ramailah ibu-bapa yang mula risau.
Pendidikan tinggi, kos juga tinggi
Sememangnya pendidikan di peringkat tinggi merupakan satu keperluan asas pada masa kini. Namun disebabkan kadar inflasi, kos pengajian di universiti dan kolej meningkat dari semasa ke semasa.
Menabung Untuk Pendidikan Anak-anak
Melihat kepada kos yang tinggi ini, dilihat ibu-bapa muda sekarang yang rata-ratanya merupakan peminjam PTPTN mula sedar untuk memulakan tabungan bagi tujuan pendidikan anak-anak mereka.
Ada yang menyimpan di dalam akaun simpanan kanak-kanak, di dalam tabung amanah atau melalui skim insurans pendidikan yang ditawarkan oleh syarikat insurans.
Untuk menyimpan di dalam akaun simpanan atau akaun amanah, ibu bapa perlu mengetepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam tabung ini. Jangan pula ibu-bapa yang terdesak memerlukan wang pergi keluarkan duit simpanan ini. Habislah simpanan tersebut dibelanjakan nanti.
Bagi skim insurans pendidikan pula, wang tersebut hanya boleh dikeluarkan apabila kanak-kanak tersebut mencecah umur 18 tahun. Namun pulangan simpanan ini sangat rendah, jauh lebih rendah dari simpanan di dalam Amanah Saham Bumiputera atau Amanah Saham Didik.
Beli hartanah setiap kali menerima cahaya mata.
Kenapa Pelaburan Hartanah Menguntungkan Ibu Bapa?
Apa kata jika ibu bapa muda ini mula membuat pelaburan hartanah? Beli rumah atau unit komersial untuk disewakan.
Soalan wajib saya kepada kawan-kawan yang sudah pun mempunyai cahaya mata,
“Berapa orang anak anda sekarang?”
Jika mereka jawab dua, maka jawapan saya adalah,
“Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua buah rumah yang disewakan sekarang.”
Jika mereka kata empat, jawapan saya juga adalah empat buah hartanah.
Pelaburan hartanah ternyata jauh lagi menguntungkan dari skim insurans pendidikan. Anda hanya perlu menyediakan deposit sebanyak 10% sahaja.
Kemudian penyewa akan menolong membayar pinjaman tersebut setiap bulan melalui wang sewa yang mereka bayar kepada anda.
Kemudian, apabila genap 17 tahun, anda boleh menjualnya atau membuat pembiayaan semula. Wang keuntungan yang diperoleh boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan anak tersebut.
Sebagai contoh, katakan anda membeli sebuah apartmen kos sederhana rendah pada harga RM80,000. Anda membayar RM8,000 sebagai wang deposit dan selebihnya melalui pinjaman bank.
Andaikan kadar sewa di situ adalah sebanyak RM550 sedangkan bayaran ansuran bank anda hanyalah lebih kurang RM 370 dengan andaian kadar faedah sebanyak 4.6% dan tempoh pinjaman selama 30 tahun.
Andaikan juga bayaran penyelenggaran apartmen tersebut adalah sebanyak RM50. Ini bermakna komitmen bulanan kasar anda adalah sebanyak RM420 iaitu bayaran ansuran pinjaman ditambah dengan bayaran penyelenggaran.
Jika anda menyewakannya pada harga sewa semasa iaitu RM550, anda akan memperoleh sebanyak RM130 pula sebagai wang lebihan masuk ke poket anda. Untung bukan?
17 tahun kemudian apabila anak kecil anda ini sedang atau akan menghadapi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), anda boleh menjual atau membuat pembiayaan semula berdasarkan harga semasa.
Anda dicadangkan menjualnya semasa anak anda masih di Tingkatan 5 kerana proses jual beli rumah boleh mengambil masa 6 hingga 9 bulan untuk diselesaikan.
Modal RM8,000, Untung RM110,000
Secara keseluruhannya, harga hartanah akan naik dari semasa ke semasa. Berdasarkan Indeks Harga Rumah suku tahun ketiga 2011 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Malaysia mencatat kenaikan harga sebanyak 6.6% pada tahun 2011 berbanding suku tahun ketiga pada tahun 2010.
Namun begitu, untuk ilustrasi, kita andaikan kadar kenaikan adalah tetap pada kadar 5%. Ini bermakna 17 tahun lagi pada tahun 2029, harga apartment ini pada waktu itu bukan lagi bernilai RM80,000 tetapi RM174,629.
Katakanlah anda berjaya menjualnya pada harga RM160,000. Pada masa yang sama, baki pinjaman yang belum dijelaskan pada masa itu cumalah lebih kurang RM41,000.
Secara kasar, jika wang jualan hartanah ini ditolak dengan baki pinjaman bank, anda akan memperoleh keuntungan sebanyak RM119,000. Jika ditolak kos peguam, mungkin tinggal lagi RM110,000.
Nah, dengan hanya bermodalkan RM8,000, anda berjaya memperoleh wang sebanyak RM110,000 untuk membiayai pengajian anak anda di universiti. Tidakkah ini menguntungkan?
Pelaburan Hartanah vs Simpanan ASB
Sebagai perbandingan, katakan anda menyimpan RM100 setiap bulan di dalam Amanah Saham Bumiputra. Secara purata, pulangan dividen ASB adalah sebanyak 8%.
Selepas 17 tahun, anda hanya akan memperoleh wang simpanan sebanyak RM43, 740 sahaja. Ini termasuklah wang sebanyak RM20,400 dari duit gaji anda sendiri dan andaian anda tidak mengeluarkan sesen pun dari wang simpanan ini atau dividen yang anda peroleh.
Bandingkan pulangan yang bakal anda peroleh melalui pelaburan hartanah dan melalui simpanan konsisten setiap bulan. Yang mana satukah yang memberi pulangan yang lebih untuk pendidikan anak anda?
Atas perkiraan jangkaan pulangan inilah, anda sangat digalakkan untuk membeli satu unit hartanah untuk disewa dan disimpan bagi setiap orang cahaya mata anda.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengulangi langkah ini setiap kali orang baru muncul dalam keluarga anda.
Jika anda merancang masa depan pembiayaan pendidikan anak anda dengan baik dan bijak, sudah pasti anda tidak perlu risau jika tanpa disedari anak anda sudah pun mula mengisi borang permohonan ke universiti atau kolej idamannya nanti.