Tuesday, December 18, 2012


Asri: 'Isu Amanat Hadi harus dihentikan'
HASLINA KAMALUDIN
19 Disember 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai "kisah lama", bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu. 

“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu.

“Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya.

Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

“Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.

Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/politik/asri-isu-amanat-hadi-harus-dihentikan-1.113808


Jangan bermain politik dalam jubah mufti

Harakahdaily,18 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.


Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.


"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.


"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.


Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.


"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang. 


"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.


Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/15357-jangan-bermain-politik-dalam-jubah-mufti






AA : TERPIKIR...BILA @ SIAPA PULA YANG MULA KATA YANG KATA2 NI DI SEBUT SEBAGAI 'AMANAT'...

Polis: Jangan dengar khabar angin, tiada rusuhan kaum
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
19 Disember 2012
Abdul Ghafar ketika mengadakan sidang media di IPD Kuala Muda malam tadi.

Abdul Ghafar ketika mengadakan sidang media di IPD Kuala Muda malam tadi.
SUNGAI PETANI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang bertindak menyebar khabar angin kononnya Kuala Muda dikenakan perintah berkurung akibat rusuhan kaum sepertimana yang disebar menerusi laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab menafikan perkara tersebut dan menegaskan, polis akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang  menyebarkannya kerana tindakan itu satu kesalahan.

“Sehingga kini, hasil siasatan dan risikan polis mendapati insiden awal pagi 16 Disember di Flat Paya Nahu, Sungai Petani itu tiada kaitan dengan (dakwaan) kebencian kaum Melayu ke atas kaum India dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat Polis Kuala Muda malam tadi.

“Kalau dilihat melalui siasatan, ia berpunca daripada kes nak lumba motor, masing-masing nak tunjuk hebat. Bila tak puas hati panggil kawan-kawan dan tercetuskan kejadian itu.

“Saya juga telah berjumpa dengan ketua kaum Melayu dan India pada hari sama jam 3 petang dan merayu mereka memberi penerangan jelas kepada masyarakat supaya jangan bertindak balas, jangan menyebar berita palsu dan jangan menghasut melakukan pergaduhan lebih besar,” katanya.

Menurutnya, kesemua ketua kaum memahami dan berjanji akan memaklumkan kepada anak buah agar tidak bertindak di luar batas undang-undang.

Berhubung insiden itu, katanya, 13 suspek telah ditahan reman dan lima yang tercedera telah menerima rawatan di hospital di mana empat daripadanya sudah dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, katanya, beberapa insiden yang berlaku selepas itu tiada kaitan dengan insiden pertama dan berlaku secara kebetulan.

“Kita merujuk kepada khabar angin ada pergaduhan di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, kes bakar masjid, rusuhan kaum, darurat dan semuanya dikatakan berpunca daripada kes pertama adalah fitnah semata-mata.

“Polis akan terus memantau dan menghantar lebih ramai anggota selain mengadakan sekatan jalan raya bertujuan meredakan keadaan bukannya disebabkan ada rusuhan,” katanya.
Berhubung seorang pegawai polis yang dibelasah katanya, pegawai berkenaan sedang bercuti kerana ingin berkahwin, berkunjung ke sebuah kedai.
“Berdasarkan siasatan, berlaku salah faham antara pegawai tersebut dengan seorang lelaki India yang mencetuskan pergaduhan.
“Tetapi, ia tiada kaitan dengan isu perkauman dan berlaku secara kebetulan bukannya disebabkan insiden pertama,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta penduduk Kuala Muda khususnya Sungai Petani bertenang dan jangan mempercayai berita palsu yang tersebar melalui Facebook, Twitter atau SMS kerana bimbang ada pihak akan terpengaruh yang mendorong kepada perkara tidak sihat.

Menurutnya, polis sendiri menerima banyak panggilan telefon berikutan tersebarnya khabar angin mengatakan berlaku rusuhan antara kaum Melayu dan India di daerah Kuala Muda.

Sehingga kini (sehingga sidang media dilakukan), Kuala Muda masih dalam keadaan aman dan tenteram dan tiada sebarang kematian dilaporkan berhubung isu berkenaan.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/polis-jangan-dengar-khabar-angin-tiada-rusuhan-kaum-1.113681

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...