Tuesday, December 4, 2012


Insiden Gombak: Orang BN, PKR cedera
WARTAWAN SINAR HARIAN

5 Disember 2012
gombak cedera


Seorang lagi mangsa yang cedera, foto diperoleh dari akaun Twitter Khairy Jamaluddin.
gombak gaduh


Salah seorang ahli PKR yang dilaporkan mengalami kecederaan. - Foto ihsan Keadilan Daily
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa ceramah Merdeka Rakyat yang dihadiri Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Gombak, Selangor malam tadi diganggu lagi, berakhir dengan pergaduhan membabitkan penyokong PKR dan Umno.
Dalam insiden itu, anggota PKR dan Umno dilaporkan mengalami kecederaan termasuk ada yang ditikam.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kali ini selain serangan batu, tong sampah dan peralatan lain, "kita dikejutkan oleh tikaman pisau yang disyaki dilakukan oleh salah seorang anggota Pemuda Umno."
Serangan itu dilaporkan berlaku di pekarangan Masjid Zakariah, Batu 8, Gombak Utara.
Pemuda Umno dijadual mengadakan sidang media di Kuala Lumpur tengah hari ini berhubung insiden tersebut, yang menarik perhatian ketika Pilihan Raya Umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
"AMK tegaskan bahawa ini merupakan tindakan bacul dan ala pengganas. Dalam tweet Ketua AMK malam tadi, Khairy selaku Ketua Pemuda Umno telah didesak untuk menjelaskan insiden berdarah ini," kata beliau.
Kata beliau, jika ini benar pihaknya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia agar segera mengambil tindakan tegas menahan pihak terbabit.
Khairy menerusi Twitter pagi ini berkata, "insiden Gombak semalam: Siasat semua pihak. Politik keganasan mesti ditolak. Tapi siapa mula provokasi? Orang BN cedera."
Sementara itu, Ketua AMK Gombak, Jafrien Muhammad mendakwa seramai empat orang cedera dalam insiden malam tadi, termasuk seorang daripada mereka ditikam dengan objek tajam di bahagian lengan kiri manakala tiga lagi cedera di bahagian kepala dan anggota badan lain akibat lontaran batu, pasu bunga dan tong sampah.
Katanya, seramai 20 pegawai polis yang berada di tempat kejadian mengawal keadaan.
“Ketika kejadian, saya dapati ada tiga trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk ‘water canon’ berada di tempat ceramah diadakan,” katanya kepada Sinar Harian Online yang dihubungi hari ini.

AKAN MENYUSUL

* Jika pembaca ada maklumat dan foto, boleh berkongsi dengan kami




VIDEO YANG MEMAPARKAN PERANGAI 'LEMBU GILE' BUDAK2 UPAHAN UMNO....KESIAN...


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/insiden-gombak-orang-bn-pkr-cedera-1.109936

Musa Hassan: 'Saya cuma nak betulkan keadaan'
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
5 Disember 2012
Musa Hassan

$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Pandangan yang dikeluarkan berkaitan campur tangan menteri dalam soal Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk menasihati dan mengingatkan bahawa sekiranya ia tidak dibendung akan membawa "rosak", demikian reaksi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini.
Sehubungan itu kata Musa, beliau tidak mahu niatnya disalahertikan oleh mana-mana pihak.
Bercakap kepada Sinar Harian Online, Musa berkata, campur tangan dalam urusan operasi polis oleh pihak atasan misalnya akan menyebabkan reputasi PDRM terjejas.
"Perkara ini saya nak dibetulkan, bukan saya sakit hati kepada sesiapa, nanti orang kata saya ini sebab sakit hati tidak sambung (kontrak), saya iri hati dengan orang...
"... saya sudah seronok pencen. Tapi saya tengok benda ini kalau tidak dibetulkan negara kita akan rosak.
"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," tegas beliau.
Musa diminta mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang menyelar pihak yang mempertikai dan mengkritik tugas yang dilaksanakan sambil memberi contoh seperti dakwaan yang dikenakan ke atas Menteri Dalam Negeri.
Menurut Musa, memang tidak menjadi kesalahan untuk Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan polis seperti dalam hal-hal kenaikan pangkat atau disiplin anggota polis, tetapi tidaklah sampai ke tahap campur tangan dalam hal-hal berkaitan operasi polis yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara.
"Macam Bersih, itu IGP sahaja lah bagi arahan. Tak perlu nak bagi arahan. Kalau salah tindakan IGP, biar IGP sahaja yang kena tindakan. Janganlah atas arahan turun lagi. Orang di bawah pun pening kepala nak buat kerja.
"Campur tangan dari segi pentadbiran itu memang tanggungjawab dia, tetapi jangan lah campur tangan dalam hal-hal buat kerja polis. Campur tangan dalam operasi polislah, macam-macamlah. Operasi tak boleh (campur tangan), pentadbiran tidak apa sebab dia (Menteri Dalam Negeri) Pengerusi Suruhanjaya Polis," jelas beliau.
Ekoran kelantangannya mengkritik institusi polis negara selepas bersara, timbul spekulasi bahawa bekas Ketua Polis Negara itu berminat menceburi bidang politik.
Namun Musa menegaskan, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik, meskipun ada menerima tawaran, tetapi akan terus lantang untuk menyumbang memperbaiki sistem pentadbiran negara.
Ditanya mengapa baru sekarang beliau mahu menyuarakan perkara ini dan sama ada baru sekarang berlakunya campur tangan dalam pentadbiran polis di negara ini, Musa berkata:
"Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah (dengar) jadi begini. Tapi yang baru-baru ni lah."
"Kalau IGP itu tak berani, ia berlakulah (campur tangan), kalau IGP berani, maka tak berlakulah. Saya merasakan kebanyakan IGP tak pernah akan mengikut apa kehendak menteri suruh buat kalau tak betul mengikut undang-undang lah," ujarnya lagi.
TENGOK JUGA KOMEN2 DIBAWAH :-
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/musa-hassan-saya-cuma-nak-betulkan-keadaan-1.109943

Curi telefon, lelaki baru kahwin dijel 3 bulan
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Disember 2012
Curi telefon, lelaki baru kahwin dijel 3 bulan

Muhammad Firdaus Nuqiahbullah mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM399, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang baru memegang status suami dua minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM399 pada 24 November lalu.
Bukan itu sahaja, tertuduh, Muhammad Firdaus Nuqiahbullah Muhamad, 23, turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Keputusan itu dibuat Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh yang berasal dari Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Muhammad Firdaus Nuqiahbullah mengaku mencuri sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Young bernilai RM399 di Kedai Suria SRS Enterprise, Kampung Pagar Ubi, Tepoh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 24 November lalu.
Dengan itu, dia yang bekerja sebagai pemandu itu mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Muhammad Firdaus Nuqiahbullah tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa berusia 14 tahun yang ketika itu menjaga kedai milik bapanya, didatangi tertuduh yang berpura-pura mahu membeli rokok sebelum mengambil telefon bimbit yang ada di dalam laci.
Sejurus menyedari telefon bimbitnya diambil, mangsa cuba menarik baju tertuduh dan meminta dipulangkan kembali telefon bimbitnya itu namun tidak diendahkan sebelum dia melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Viva.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit dan tertuduh kemudian ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di tepi jalan Kampung Banggol Air Lilih, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, 27 November lalu.

BACA PULAK KOMEN2 RAKYAT MARHAEIN :-
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/curi-telefon-lelaki-baru-kahwin-dijel-3-bulan-1.109773

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...