Tuesday, September 11, 2012


Tukar kurikulum subjek Sejarah, Muhyiddin ‘bunuh’ semangat patriotik pelajar



Kita sangat meragui niat sebenar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mahu menukar kurikulum subjek Sejarah dengan alasan kononnya mahu menaikkan semangat patriotik pelajar.
Kita sangsi dengan kenyataan ini kerana adakah yang disasarkan Muhyiddin itu patriotik dan taat setia kepada pemimpin Umno sahaja?. Ini bukan ilusi atau omong-omong kosong kerana apa yang dilakukan oleh Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran sangat tidak patriotik.
Muhyiddin sepatutnya menggunakan kuasanya sebagai menteri penuh untuk meningkatkan mutu dan sistem pendidikan negara. Sebaliknya Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang pemimpin kerajaan Negeri Selangor memasuki sekolah kebangsaan.
Malah, beliau bertindak kejam dengan tidak membenarkan pihak sekolah menggantung gambar-gambar pemimpin negeri terutama gambar Menteri Besar Selangor.
Muhyiddin mengamalkan politik sempit dengan menguatkuasakan peraturan berat sebelah. Kini beliau bercakap isu meningkatkan kesedaran patriotik tetapi sedarkah perbuatan beliau telah membunuh semangat patriotik di kalangan pelajar.
Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi sebagai pemimpin untuk pelbagai kaum di Malaysia, kita sepatutnya bersatu dan bekerjasama membangunkan serta memajukan lagi sistem pendidikan negara.
Jika kehadiran ahli politik ke sekolah akan menganggu pemikiran pelajar, kuatkuasakan larangan kepada semua parti bukan terhad kepada pemimpin Pakatan Rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, pemimpin Barisan Nasional bebas keluar masuk ke sekolah tanpa halangan.
Muhyiddin dan pemimpin BN di Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka telah kalah pada pilihan raya umum yang lalu dan bukan lagi pentadbir di negeri ini. Hormati keputusan rakyat untuk memiliki kepimpinan yang baharu.
Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35624

'Perang' Najib-Muhyiddin jejas para pelajar

Abdul Aziz Mustafa,12 Sep 2012
KUALA LUMPUR: 'Perang' antara Perdana Menteri dan timbalannya dibimbangi akan menjejaskan kepentingan pelajaran generasi masa hadapan negara ini, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Hubungan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan sebagai "retak menanti belah".

"Muhyiddin juga ialah Menteri Pelajaran manakala Najib juga adalah Menteri Kewangan. Kita bimbang perang antara mereka melarat kepada tindakan mengurangkan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2013 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat ini.

"Jika itu berlaku, para pelajar dan institusi pelajaran rakyat yang akan jadi mangsa," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yakin, Najib sedang memerhatikan tindak tanduk Muhyiddin yang dilaporkan menggunakan Kementerian Pelajaran untuk membina kekuatan politiknya.

"Pelbagai peruntukan dan projek di dalam Kementerian Pelajaran boleh digunakan oleh Muhyiddin untuk membina empayar politiknya di dalam Umno dan sekaligus menggerhanakan pengaruh Najib.

"Jika itu berlaku dan sukar dinafikan perkara itu berlaku, Najib mungkin akan mengambil langkah untuk menyekat tindakan teersebut dan salah satu caranya ialah dengan meminimumkan habis-habisan peruntukan untuk Kementerian Pelajaran," kata Mahfuz.

Beliau bimbang, jika perkara itu berlaku, bukan Muhyiddin tetapi rakyatlah yang akhirnya akan menjadi mangsa dan menanggung akibat.

"Guru-guru dan para pelajarlah yang akan menerima padah dari perang mereka berdua," katanya.

Mahfuz juga bimbang belanjawan akan datang akan dijadikan sebagai alat kepentingan politik Najib dalam menghadapi tekanan ke atasnya di dalam Umno.

"Para pengkaji politik menjangkakan hari-hari Najib sebagai Perdana Menteri semakin menuju ke penghujungnya.

"Penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.



"Jika perkara itu berlaku, Muhyiddin yang sebelum ini berjaya memaksa Pak Lah (Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berundur tentu akan memaksa Najib berundur yang sekaligus membuka ruang kepadanya untuk mengambil alih tempat Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.

Mengambilkira perkara itulah, Mahfuz berkata, amat sukar untuk menolak kemungkinan Najib akan menggunakan habis-habisan belanjawan akan datang untuk kepentingan politiknya dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Malaysiakini melaporkan, tanda-tanda keretakan semakin ketara pada keutuhan kepimpinan yang digambarkan itu dan contoh paling jelas dilihat melalui reaksi mereka yang bertentangan dan mengelirukan berhubung pindaan Akta Keterangan.

Susulan kepada bantahan Seksyen 114A Akta Keterangan oleh pengendali laman web, Najib pada 14 Ogos mengumumkan di Twitter bahawa beliau akan mengarahkan kabinet mengkaji semula peruntukan undang-undang yang menimbulkan kontroversi itu.

Sehari kemudian, Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat kabinet semasa ketiadaan Najib membuat keputusan yang bertentangan arahan perdana menteri supaya mengkaji semula pindaan tersebut.

Malaysiakini juga melaporkan, menurut sumber PKR, puak Umno yang memihak kepada Muhyiddin dipercayai bertanggungjawab membocorkan dokumen projek sambungan LRT laluan Ampang yang mengaitkan Najib dalam pemberian kontrak kontroversi itu kepada George Kent (Malaysia) Bhd.

PKR menggunakan dokumen tersebut untuk menyerang Najib dengan dakwaan bahawa perdana menteri masuk campur dalam proses tender terbuka projek tersebut supaya memihak kepada konsortium George Kent.

Pengerusi konsortium tersebut ialah Tan Sri Tan Kay Hock yang disifatkan sering bermain golf dengan Najib.

Free Malaysia Today pula melaporkan bahawa tokoh-tokoh Umno kini sedang bertungkus lumus untuk mengatasi perang antara kedua mereka.
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/13076-perang-najib-muhyiddin-jejas-para-pelajar

Mukhriz sahkan negara hilang RM3.5b tiap tahun akibat agihan AP tak telus


Saya mengalu-alukan maklum balas pertama Datuk Mukhriz Mahathir terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan beliau adalah antara orang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara, atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Saya sertakan laporanBernama bertarikh 7 September 2012 mengenai kenyataan yang dibuat beliau semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Jerlun:
Mukhriz: ‘BN tidak berani buat janji kosong’
Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat janji yang tidak mampu ditunaikan oleh parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau berkata semua yang tertulis di dalam manifesto pilihan raya BN akan dianggap sebagai janji kepada rakyat dan semua itu perlu ditepati untuk memberi kesenangan kepada rakyat.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak akan berani untuk membuat sebarang janji yang ia tahu tidak akan mampu dilaksanakan.
“Lainlah dengan pembangkang. Mereka kata manifesto yang dibuat itu bukannya janji sebaliknya hanya cadangan, sebab itu mereka tidak serius dalam menunaikan semua yang ditulis dalam manifesto pilihan raya yang lepas.
“Apabila mereka sendiri dah kata macam tu, apa kita nak harapkan lagi daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai di sini hari ini.
Beliau berkata janji menurunkan harga kereta yang dibuat oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah bersifat populis.
Katanya strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.
“Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP (permit import) kereta menggunakan kaedah opsyen.
“Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut,” katanya.
Mukhriz berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut termasuk dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu.
“Silap-silap kita (negara) akan menjadi muflis,” katanya.
Kenyataan Datuk Mukhriz yang mengesahkan anggaran kementerian beliau bahawa permit import (AP) akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka mempunyai kesan yang besar kepada kewangan negara.
Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana kementerian yang turut diketuai Datuk Mukhriz kini hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.
Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno Barisan Nasional.
Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat KEADILAN dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat. Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno/Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat.
Kenyataan Datuk Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang berpihak kepada tauke kaya dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.
Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini. Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat.
KEADILAN mengesyorkan supaya pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.
Demi menerangkan lagi mekanisme ini kepada Datuk Mukhriz, KEADILAN ingin menjemput Datuk Mukhriz untuk turut sama hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini (13 September 2012) jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan YB Tony Pua, YB Dr Dzulkifly Ahmad, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Saudara Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad.
Jika beliau benar-benar berjiwa besar demi kepentingan rakyat, kami yakin Datuk Mukhriz akan sudi singgah bersama-sama dengan rakyat berbincang kaedah terbaik untuk menurunkan harga kereta, terutamanya apabila beliau sendiri sudah mengesahkan bahawa kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakannnya.
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarah Komunikasi KEADILAN

AA : 
keep it up Rafizi... Udah terang lagi bersuluh ...

Menteri Jepun bunuh diri angkara skandal
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Tadahiro Matsushita
Menteri Perkhidmatan Kewangan Jepun, Tadahiro Matsushita Matsushita membunuh diri selepas skandalnya terdedah.
TOKYO - Menteri Perkhidmatan Kewangan Jepun ditemui mati bunuh diri, dua hari sebelum majalah tabloid mendedahkan skandal beliau dengan seorang wanita.

Tadahiro Matsushita, 73,  ditemui tergantung di rumahnya di Tokyo berserta surat kepada isterinya dan Perdana Menteri Yoshihiko serta dan anggota kabinet.

Seorang wakil dari majalah tabloid Shukan Shincho berkata, berita skandal melibatkan pemimpin itu dengan akan disiarkan minggu ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan Jepun, Jun Azumi berkata, mendiang adalah seorang ahli politik berpengalaman dan mempunyai disiplin serta kualiti kerja yang tinggi dan sungguh produktif.

Azumi akan mengambil alih tugas Matsushita sebagai menteri perkhidmatan kewangan, termasuk melaksanakan tugasan sebagai menteri bertanggungjawab menyelia rangkaian penswastaan pejabat pos.
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (An-Nisa' : 29) "Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu karena bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al Qur'an)." (QS. Al-Kahfi ; 6)..
AA : beza nya, dkt m'sia ni kantoi apa pun, dok tang tu juga buat muka x bersalah....ni kasi peringatan awal...takut ramai puak2 umno yang bunuh diri lepas PRU 13 ni...lari  luar negara xpa...takat mana hangpa nak lari....

Rakyat Mesir protes filem hina Nabi Muhammad

Mohamad Yahya ,12 Sep 2012

Penunjuk perasaan Mesir, memanjat dinding kedutaan Amerika Syarikat  di Kaherah Selasa lalu, menuju ke halaman kedutaan dan menurunkan bendera Amerika Syarikat, menggantikan ia dengan bendera hitam dengan inskripsi Islam untuk membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad.


Ratusan penunjuk perasaan berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di tengah bandar Kaherah, berhimpun di luar kedutaan dan melaung-laung membantah filem tersebut, yang menurut laporan diterbitkan Amerika Syarikat.

"Katakan, jangan takut: Duta mereka mesti beredar," laung penunjuk perasaan.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan kemudian memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera dari tiang di halamannya dan membawa bendera tersebut kepada penunjuk perasaan di luar kedutaan.

Penunjuk perasaan mengoyakkan bendera tersebut selepas gagal dalam cubaan awal untuk membakarnya.

Penunjuk perasaan di atas dinding kedutaan kemudiannya menaikkan bendera hitam yang tertulis dua kalimah syahadah: "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah."

Di Washington, jurucakap Jabatan Negera, Victoria Nuland berkata AS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Mesir untuk memulihkan ketenteraman.

Hampir semua kakitangan telah meninggalkan kedutaan sebelum ia diceroboh, lapor seorang pegawai AS.

Hanya beberapa kakitangan masih berada di dalam kedutaan, kerana pihak keselamatan kedutaan telah menghantar pulang kakitangan ke rumah mereka lebih awal selepas mendapat maklumat tentang protes yang bakal berlangsung.

Keadaan masih tidak stabil, lapor pegawai yang enggan namanya didedahkan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu.

Seorang pegawai di kedutaan AS di Kaherah berkata Duta AS tiada di kedutaan pada hari tersebut.

Media Mesir mengatakan filem itu diterbitkan di Amerika Syarikat oleh kumpulan anti-Islam.

Filem tersebut, yang  kini terdapat di YouTube, menggambarkan Muhammad sebagai penipu, menunjukkan Muhammad melakukan hubungan seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai.

Protes meletus selepas media Mesir membuat liputan berkenaan filem itu untuk beberapa hari, dengan ulama-ulama turut muncul di kaca televisyen untuk membantah filem tersebut.


Pusat berdegil teruskan Langat 2 untuk kayakan kroni Umno BN

(Oleh Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 11 September: Kerajaan Persekutuan tetap berdegil mahu meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor), walaupun tanpa mendapat kelulusan Menteri Besar Selangor.
Ketua Penerangan KEADILAN Negeri, Suhaimi Shafie berkata, penerusan projek itu bertujuan untuk mengkayakan kroni Umno BN.
“Rancangan pembinaan loji Langat 2 telah membelakangi rakyat, dan menunjukkan kerajaan BN lebih mengutamakan syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan Umno.
“Walhal kroni yang mendapat projek itu kelak akan menyalurkan dana untuk kempen politik Umno menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai isu itu pada Julai, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara untuk meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.
Isnin lalu, China Press memetik sumber-sumber kerajaan sebagai berkata, Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberitahu jawatankuasa yang dipengerusikan Muhyiddin itu agar meneruskan tender projek tersebut walaupun mendapat tentangan Kerajaan Selangor.
“Pengurusan air ini tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan, malangnya ia bukan sahaja tidak dihormati Umno BN, malah menekan pula Peguam Negara untuk menghalalkan tindakan mereka,” kata Suhaimi.
Sebelum ini, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan George Kent Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan projek sambungan LRT Ampang,  akan menyertai bidaan untuk projek rawatan air Loji Langat 2 ini.
Beliau merujuk laporan Star Biz bahawa  konsortium yang mempunyai pengalaman dalam perpaipan untuk menjalankan projek saluran air mentah Pahang-Selangor itu akan menyertai bidaan tersebut bersama kumpulan pembina infrastruktur terkemuka, Gamuda Bhd dan Loh & Loh Corporation Bhd.
Dokumen tender pembinaan Loji Langat 2 itu akan dikeluarkan bermula esok.
Selangor tetap tolak Langat 2
Sementara itu, Exco Dr Xavier Jayakumar menegaskan, Kerajaan Selangor tetap menolak Langat 2 dan mahu penstrukturan semula air diselesaikan secara holistik.
“Berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan tender projek pembinaan loji air Langat 2, saya kira itu keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan.
“Tetapi bagaimanapun akhirnya mereka perlu kembali merujuk kepada Kerajaan Negeri bagi meluluskannya,” katanya dipetik MediaSelangorku.
Projek Langat 2 dianggar menelan kos RM8.7 bilion dan jika projek itu diteruskan, harga air di Selangor akan melonjak sekaligus membebankan rakyat yang kini menikmati air percuma di bawah dasar Pakatan Rakyat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35820

Saman air percuma: MB serah kepada mahkamah
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri tidak menghalang mana-mana pengguna air di negeri ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri berhubung subsidi air percuma, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“(Pengguna) boleh, kita tidak menghalang. (Saman) ini adalah satu kes percubaan yang kita mesti lakukan. Kes percubaan ini akan memberikan satu pandangan mahkamah tentang bantuan yang diberikan kepada rakyat mempunyai syarat yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jika orang itu tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adakah boleh dibenarkan untuk mendapatkan peruntukan. Kita percaya perkara ini perlu dibincangkan di mahkamah,” katanya.
Menurutnya, pengguna air yang tinggal di rumah pangsa atau flat boleh menikmati air percuma sekiranya menukar meter pukal kepada individu yang tidak memerlukan kos seperti didakwa sebelum ini.
“Kita sudah tunjukkan bahawa tidak perlu kos tetapi hanya perlu dipersetujui oleh penghuni-penghuni kawasan berkenaan.
“Kita telah berbincang dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Syabas bersetuju yang Syabas boleh membenarkan penukaran meter itu dilakukan,” katanya.
Terdahulu, 711 pengguna air di negeri ini memfailkan saman menuntut janji air percuma terhadap Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Peguam yang mewakili pengguna air, Kamarudin Ahmad berkata, tindakan itu berikutan Pakatan Rakyat (PR) gagal menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Negeri tetap mempunyai kuasa terhadap kebenaran pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 walaupun Kerajaan Pusat bertegas meneruskan pembinaan loji tersebut.
Menurutnya, kuasa untuk memberi kelulusan  terutamanya kebenaran merancang dan memasuki tapak projek terletak di tangan Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri mengingatkan petender-petender Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kuasa tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara mengenai tanggungjawabnya.
“Kerajaan Negeri akan mengingatkan bahawa tanggungjawab ini akan dijaga oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikin ketika mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui disiarkan akhbar ini, semalam bahawa Kerajaan Pusat tetap meneruskan pembinaan loji berkenaan walaupun terpaksa berhadapan tindakan undang-undang Kerajaan Negeri.
Abdul Khalid berkata, beliau telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Zawiyah Be Loth Khan berbincang dengan peguam yang dilantik Kerajaan Negeri berhubung bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam isu tersebut.
“Minggu depan Kerajaan Negeri akan memberitahu rakyat Selangor tentang kuasa yang ada di tangan Exco dan Kerajaan Negeri untuk membolehkan mereka yang akan menyertai tender yang dibuka oleh Kerajaan Pusat tentang tanggungjawab dan tanggungan mereka apabila berhadapan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri hanya bersetuju dengan projek berkenaan apabila pembinaannya disertai dengan penyusunan semua industri air di Selangor.
“Kita telah bagi cara penyelesaiannya, iaitu digabungkan penyusunan semula industri air yang saya sendiri bercadang untuk menerangkan secara bertulis kepada menteri air tidak lama lagi,” katanya.


'Orang parti' jual tanah, dakwa Pemuda Umno
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 September 2012
Wan Amizan Wan Abdul  Razak
Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak
BANDAR JERANTUT - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penjualan tanah di kawasan bandar Jerantut yang didakwa berlaku penyelewengan membabitkan penjawat awam dan ahli  Umno sendiri.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul  Razak berkata, kes itu perlu disiasat supaya imej dan nama baik Umno dapat dibersihkan daripada segala unsur rasuah.
Menurutnya, Pemuda Umno berasa terpanggil membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat perkara itu bukan sahaja untuk membersihkan imej parti, malah bagi mengekang segala manipulasi projek dalam kawasan bandar oleh pihak tertentu.
"Laporan kepada SPRM akan dikemukakan dalam minggu ini supaya siasatan segera boleh dilakukan bagi membuktikan sama ada pihak tertentu memainkan peranan sehingga menyebabkan tanah di bandar ini beralih kepada syarikat bukan Melayu.
“Siasatan perlu dijalankan berikutan perkara ini kerap dibangkitkan ahli Umno di sini, malah Pemuda Umno turut menerima aduan daripada orang ramai supaya  kes ini disiasat mengikut undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.
Wan Amizan berkata, dalang yang didakwa dalam kalangan orang kuat Umno itu sendiri telah menyebabkan banyak tanah di bandar Jerantut  bertukar milik kepada pihak lain.
Katanya, sebilangan tanah di Bandar Baru yang menempatkan tapak rekreasi, stesen teksi dan bas contohnya, sudah terlepas kepada syarikat tertentu akibat tindakan pihak terbabit.
“Pemuda Umno juga mahu SPRM membuat siasatan mengenai manipulasi ‘projek silang’ dalam kawasan bandar yang dilihat dimonopoli syarikat tertentu.
“Kita khuatir wujud unsur korupsi, penyalahgunaan kuasa dan gejala lain bagi kepentingan satu pihak, sedangkan rakyat seperti peniaga, pemandu teksi dan pengusaha kecil ditindas,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda Umno sedia mengemukakan bukti supaya mereka yang terlibat disiasat mengikut undang-undang.
Wan Amizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan berkata, laporan yang akan dikemukakan Pemuda Umno kepada SPRM itu adalah untuk membersihkan imej Umno yang dilihat tercalar oleh perbuatan segelintir ahlinya.
"Perbuatan mereka menyebabkan parti pembangkang mengambil kesempatan, memperlekeh Umno dan memberi impak pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
“Siasatan perlu dibuat dan perlu dibuktikan untuk pengetahuan rakyat sesuai dengan perjuangan Umno yang lebih telus. Ini penting bagi melakarkan perubahan di samping perlu mempunyai pemimpin yang berintegriti dan amanah,” katanya.
AA fikir : Perlu juga dengan kata Tun Mahadhir, dalam UMNO ni cuma 2 orang aja yang x makan rasuah, yang lain....heh....mari lihat :-

Allah SWT berfirman :

إن خير من استأجرت القوي الأمين

Maksudnya : “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah" (al-Qashas, ayat: 26)
 

Sabda Rasulullah SAW :
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْرٍ ح و حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ ح و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُرَّةَ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya : “Empat perkara, barangsiapa yang memiliki kesemuanya maka dia adalah munafiq yang sebenar dan barangsiapa yang memiliki salah satu daripadanya maka dia telah memiliki salah satu daripada sifat munafiq dan dia kekal memiliki ciri-ciri munafiq sehingglah dia meninggalkannya: apabila diberi amanah di khianat, apabila berkata dia menipu, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila bermusuhan dia berlaku jahat”.
(Shohih Muslim – Hadis ke 88)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...