Tuesday, September 11, 2012


Tukar kurikulum subjek Sejarah, Muhyiddin ‘bunuh’ semangat patriotik pelajar



Kita sangat meragui niat sebenar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mahu menukar kurikulum subjek Sejarah dengan alasan kononnya mahu menaikkan semangat patriotik pelajar.
Kita sangsi dengan kenyataan ini kerana adakah yang disasarkan Muhyiddin itu patriotik dan taat setia kepada pemimpin Umno sahaja?. Ini bukan ilusi atau omong-omong kosong kerana apa yang dilakukan oleh Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran sangat tidak patriotik.
Muhyiddin sepatutnya menggunakan kuasanya sebagai menteri penuh untuk meningkatkan mutu dan sistem pendidikan negara. Sebaliknya Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang pemimpin kerajaan Negeri Selangor memasuki sekolah kebangsaan.
Malah, beliau bertindak kejam dengan tidak membenarkan pihak sekolah menggantung gambar-gambar pemimpin negeri terutama gambar Menteri Besar Selangor.
Muhyiddin mengamalkan politik sempit dengan menguatkuasakan peraturan berat sebelah. Kini beliau bercakap isu meningkatkan kesedaran patriotik tetapi sedarkah perbuatan beliau telah membunuh semangat patriotik di kalangan pelajar.
Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi sebagai pemimpin untuk pelbagai kaum di Malaysia, kita sepatutnya bersatu dan bekerjasama membangunkan serta memajukan lagi sistem pendidikan negara.
Jika kehadiran ahli politik ke sekolah akan menganggu pemikiran pelajar, kuatkuasakan larangan kepada semua parti bukan terhad kepada pemimpin Pakatan Rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, pemimpin Barisan Nasional bebas keluar masuk ke sekolah tanpa halangan.
Muhyiddin dan pemimpin BN di Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka telah kalah pada pilihan raya umum yang lalu dan bukan lagi pentadbir di negeri ini. Hormati keputusan rakyat untuk memiliki kepimpinan yang baharu.
Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35624

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...