Friday, October 12, 2012


BN ingat rakyat senang ditipu kes RM40 juta?

Harakahdaily,12 Okt 2012
KUALA LUMPUR: “Adakah SPRM telah membuat siasatan penuh termasuk mengambil kenyataan Datuk Seri Musa?” tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Semalam, katanya kerajaan BN bangga mengumumkan pembebasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman daripada skandal wang tunai S$16 juta (RM40 juta) ekoran tindakan SPRM untuk menggugurkannya daripada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, mengikut jawapan bertulis Parlimen Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pejabat Ketua Peguam Negara tidak menjumpai apa-apa elemen rasuah dalam kes seorang ahli peniagaan Sabah yang ditahan di Hong Kong kerana menyeludup wang berjumlah RM40 juta dalam mata wang Singapura.

Katanya, Nazri berkata bahawa siasatan menunjukkan duit itu sebenarnya merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.

“Adakah BN ingat bahawa rakyat Malaysia senang tertipu dengan cerita sebegini dan menerima bahawa tidak ada masalah kerana duit yang diseludup itu adalah untuk Umno Sabah dan bukan untuk Musa?” soalnya dalam satu kenyataan.

Tanya beliau  lagi, apakah syarat-syarat di sebalik sumbangan RM40 juta itu dan kenapakah ia dilakukan dengan mata wang Singapura.

Bagi Ahli Parlimen Bagan itu, sekali lagi SPRM cuba untuk menutup skandal politik wang oleh BN.

“Skandal penyeludupan RM40 juta wang tunai ini menyusul selepas dua lagi skandal yang melibatkan dua orang lagi ketua menteri BN,” katanya.

Baru-baru ini, ujarnya sebuah NGO Switzerland telah mendakwa bahawa kekayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dianggarkan mencecah RM46 bilion, lantas menobatkannya sebagai orang terkaya di Malaysia.

“Lepas itu, kita berhadapan dengan majlis kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, di mana 130,000 orang tetamu telah dijamu dalam sambutan yang memecah rekod.

Sehingga hari ini, ujarnya Ali Rustam masih lagi gagal menjelaskan bagaimana beliau mampu menanggung kenduri yang begitu mewah yang mendakwa kosnya hanya RM600,000 dan mendapat tajaan.

Justeru, kata Lim, rakyat Malaysia sudah tidak boleh tahan dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin BN yang bukan sahaja mengaut kekayaan yang luar biasa tetapi juga menonjolkannya di khalayak umum.


Perangi Syaitan yang dikenali. Siri 1

Nasrudin bin Hassan at Tantawi,12 Okt 2012


Muqaddimah.

1.               Mari kita baca satu ayat dari surah An Nisa’ ayat 76 sebagai muqaddimah siri Perangi Syaithan Yang diKenali ini. Firman Allah swt :

الذِيْنَ آمَنُوْا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيْلِ اللهِ
وَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا يُقَاتِلُوْنَ فِي سَبِيْلِ الطَّاغُوْتِ
فَقَاتِلُوْا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ
إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيْفًا
Maksudnya :

Orang yang beriman mereka berperang [ berjuang ] di Jalan Alah swt sementara orang yang kufur [ ingkar ], mereka berperang [ berjuang ] di jalan Toghut. Maka perangilah penolong – penolong syaithan, sesungguhnya tipu daya syaithan adalah terlalu lemah.

2.               Ayat diatas menjelaskan kedudukan bagaimana dua kategori manusia berjuang , iaitu mereka yang beriman kepada Allah swt dan mereka yang kufur kepada Allah swt. Hanya ada dua landasan perjuangan yang dipilih. Pertama landasan Allah swt [ سبيل الله ] dan kedua ialah landasan Toghut [ سبيل الطاغوت ]

3.               Landasan Allah swt adalah jalan perjuangan orang yang beriman sementara mereka yang kufur kepada Allah swt pastinya berada diatas Landasan Toghut. Toghut secara umumnya mempunyai banyak definisi. Antaranya ialah taarif yang disebut oleh Saiyidina Umar al Khattab Rha bahawa Toghut ialah طروق الشياطين iaitu jalan – jalan tajaan syaithan.

4.               Ertinya, Toghut ialah jalan syaithan. Mereka yang berjuang diatas Landasan  Toghut aka Jalan Syaithan maka mereka pula adalah [ أولياء الشيطان ] iaitu penolong – penolong syaithan. Penolong syaithan inilah yang diperintah oleh Allah swt. dalam ayat di atas supaya kita orang yang beriman memeranginya habis – habisan.

فَقَاتِلُوْا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ
[ Perangilah olehmu akan penolong – penolong Syaithan ]

5.               Penolong syaithan tidak boleh dibiarkan bermaharajalela melangsungkan hasrat dan cita – cita syaithan yang dikenali untuk merosakkan ummah dan masa depan mereka.

6.               Asasnya penolong syaithan ini akan bekerja keras untuk melunaskan apa jua agenda syaithan dan prinsip utama agenda syaithan ialah melakukan kekejian dan kemungkaran. Samaada kemungkaran sosial, kemungkaran ekonomi mahupun kemungkaran politik. Ianya merangkumi perbuatan keji seperti zina, liwat, rogol, pergaulan bebas, rasuah, penyalahgunan kuasa, penipuan, pecah amanah, penindasan dan kezaliman.

Firman Allah swt. surah an Nuur ayat 21 :

يَأيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تَتَّبِعُوْا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ
وَ مَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَ الْمُنْكَرِ

Wahai orang yang beriman ! Jangan kamu ikut jejak langkah syaithan dan barangsiapa yang mengikut jejak langkah syaithan maka sesunguhnya syaithan itu mengajak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

7.               Orang beriman usah gentar berdepan dan menghadapinya, sungguhpun penolong - penolong syaithan yang dikenali ini adalah ‘orang besar’ dan berjawatan tinggi seperti berpangkat dato seri, tan sri pula berjawatan menteri dan sebagainya. Seorang yang beriman, ia pasti yakin, mampu dan berani berjuang untuk menumpaskan syaithan yang dikenali ini termasuk segala jenis juaknya.  Justeru Allah telah menegaskan bahawa tipu daya dan perancangan mereka adalah terlalu lemah. Firman Alah swt :

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيْفًا
[ Sesungguhnya tipudaya syaithan adalah lemah ]




TIPS PENJAGAAN KERETA


sistem Brek
Seperti yang kita tahu, brek sangat penting dalam sebuah kereta. Tanpanya tak mungkin kita berani memandu kereta tersebut sekiranya kita mengetahuinya.
Kepada pemilik kereta yang telah menukar injin kereta mereka kepada injin yang mempunyai "kuasa kuda membrek" atau BHP yang lebih tinggi (lebih 25 bhp ke atas), pastikan anda memeriksa dan menilai kembali sistem brek original yang ada pada kereta anda. Jangan kerana nak jimat, anda abaikan sistem brek anda. Lebih baik sekiranya semasa anda membeli haftcut kereta anda, beli bersama sistem brek kereta tersebut dan pasangkan pada kereta anda. Pernah terjadi kereta kancil yang telah di tukar injin kepada Mira L5 tapi sistem breknya masih original. Dan kebetulan semasa keluar dari bengkel, keadaan kecemasan berlaku dan kereta tersebut tidak dapat berhenti walaupun pemandu mengatakan dia tekan brek sampai berdiri.
Sistem asas brek terdiri dari disk atau drum, pelapik brek (pad brek), saluran minyak, pam vacum(objek besar hitam bulat leper betul-betul di hadapan steering dalam kompamen injin), tabung minyak injin, padel brek (tempat tekan brek). Kesemua peralatan asas yang di atas mestilah dijaga dengan baik supaya brek berkesan.
Kereta Baru
Semasa service pertama, minta mekanik memeriksa kesemua disk dan drum brek termasuk pelapik brek. Pastikan pelapik brek betul betul terapung di antara dua angkup dan disk berada di tengah. Untuk drum, pastikan pelapik brek tidak menyentuh drum atau kesan geseran yang kelihatan adalah sama rata. Jika tidak rata, minta mekanik periksa kerana perkara ini akan menjadi masalah bila ia dibiarkan. Kalau dapat minta mekanik melaraskan pedal brek supaya tidak terlalu 'makan' mengejut dan sesuai dengan panjang kaki kita. Sekiranya minyak brek sudah kotor(keruh warnanya), minta mekanik tukar.
Cara Penjagaan Sistem Brek.
1. Setiap sebulan sekali, periksa paras minyak brek kereta anda (botol minyak depan vacum pam). Pastikan minyak berada diparas antara minimum dan maksimum. JANGAN SEKALI-KALI MEMANDU SEKIRANYA PARAS MINYAK BREK BERADA DI BAWAH PARAS MINIMUM.
2. Setiap 6 bulan semasa kita hendak merotate tayar kereta kita, periksa pelapik brek. Pastikan lapisan pencengkam masih tebal. Sekira kita dapati pencengkam 'makan' tidak sama antara kiri dan kanan, minta mekanik periksa sistem saluran minyak brek atau sistem tekanan brek kerana kemungkinanatekana yang dikenakan ke atas kedua-dua brek tidak sama dan ini sangat merbahaya kepada pemanduan terutama membrek semasa kelajuan tinggi. Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada brek drum.
3. Sekiranya terdapat kesan lelehan minyak brek (kelihatan cat atau apa-apa bahan berasal dari petroleum mencair) pada mana-mana bahagian, minta mekanik memeriksanya. Jangan ambil mudah perkara ini kerana kebocoran ini mungkin keci tapi akan menjadi besar semasa membrek kerana tekanan yang dikenakan ke atasnya.
4. Semasa menambah minyak brek, pastikan minyak brek yang betul spesifikasinya. Dot 3 untuk kegunaan biasa (biasanya kereta yang mempunyai disk di depan dan drum di belakang) dan Dot 4 untuk kegunaan berat (untuk kereta yang mempunyai sistem 4 roda disk dan kereta berkuasa tinggi). Jika tidak pasti tanya mekanik kerana kesilapan minyak brek boleh menyebabkan keseluruhan sistem brek kita akan mengalami kerosakan terutama pada seal yang diperbuat daripada getah.
5. Sekiranya terdapat kesan calar pada disk atau pada drum, minta mekanik menilai samada boleh pakai lagi atau tidak. Jika kita hendak menukar pelapik brek, saya cadangkan asah kembali disk atau tukar drum kepada yang lebih baik. Kesan calar ini boleh menjadi penghalang pelapik brek mencengkam disk atau drum. Hasilnya, brek akan kurang berkesan.
6. Kerosakan yang selalu berlaku adalah brek 'jam'. Keadaan ini berlaku kerana pelapik brek tidak kembali terapung apabila kita lepaskan brek dan terus mencengkam disk. Kerosakan adalah pada angkup yang mengawal pelapik brek.
7. Untuk kereta auto, pelapik brek hadapan akan lebih cepat haus daripada belakang (biasanya dua kali ganda cepatnya), pastikan anda lebih kerap memeriksa pelapik brek hadapan.
8. Sekiranya anda ingin mengubahsuai sistem brek kereta anda, pastikan anda mendapat kebenaran bertulis daripada JPJ kerana adalah menjadi kesalahan dan syarikat insuran kita akan melindungi anda sekira kemalangan berlaku disebabkan sistem brek dan sistem brek anda telah ditukar tanap kebenaran JPJ.
9. Semasa memandu elakkan kaki daripad sentiasa berada di atas padel brek. Ini dapat menjimatkan penggunaan pelapik brek.
10. Semasa menuruni bukit yang curam, jangan gunakan brek, sebaliknya gunakan brek injin (gear rendah) untuk mengawal kelajuan kereta anda.
11. Sekiranya anda suka memandu laju dan secara aggresive, tukar pelapik brek kereta anda kepada yang lebih tahan panas seperti project U. Pastikan anda menukar juga sistem saluran minyak brek anda kepada saluran bersalut steel. Ini bagi memastikan sistem brek kereta anda dapat berfungsi dalam keadaan tekanan dan suhu dan tinggi dan tindakbalas brek anda akan lebih cepat apabila padel ditekan.
Akhir sekali, cuma pastikan setiap kali anda hantar kereta anda untuk ditukar minyak injin, minta mekanik memeriksa juga minyak brek, minyak gear box, pelapik brek, lampu brek ketiga, aras padel brek dan clucth, tekanan angin tayar, aligment tayar, spark plug, penapis angin, penapis petrol dan sebagainya. Jangan cuma tukar minyak hitam saje kerana peralatan lain perlu juga selalu diperiksa. Jangan tertipu dengan mekanik yang cuma menukar minyak hitam dan penapis minyak hitam apabila kita menghantar kereta untuk di service dan kita dikenakan bayaran yang tinggi untuk upahnya.



steering-wheel-and-f1-shift

TIPS PENJAGAAN KERETA


Memeriksa Punca Stereng Kereta Berat
Ada ketikanya pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan terutamanya ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.
Antara sebab keadaan ini berlaku termasuk tekanan tayar depan yang terlalu rendah, penjajaran (alignment) tayar depan yang kurang tepat, kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, mula-mula periksalah tekanan tayar hadapan dan pelinciran sambungan rod stereng. Agar pemeriksaan dapat dilakukan dengan mudah, tongkatlah kenderaan hingga kedua-dua roda depan tergantung. Kemudian periksalah adakah sambungan dan skru sistem pengemudian cukup ketat.
Antara bahagian yang harus diutamakan pemeriksaannya termasuk kotak gear stereng, sambungan bebola atau gantungan depan termasuk hujung dan pangkal rod pengikat. Untuk mengetahui kerosakannya, putarlah stereng ke kiri dan ke kanan. Selepas itu putarlah stereng ke kanan penuh, kemudian gerakkan stereng sedikit ke kiri dan ke kanan.
Sistem pengemudian mempunyai peranan yang sangat penting, maka waspadalah terhadap pelbagai kelainan yang wujud. Dalam keadaan lain pula, ketika memandu kenderaan di atas jalan yang datar, stereng terasa cenderung untuk berputar ke sesuatu arah. Jadi, stereng terpaksa dipegang dengan kuat untuk mengelakkannya terus berputar ke satu arah.
Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan tekanan tayar kiri dan kanan yang tidak sama, diameter rim kiri dan kanan yang tidak sama, penyelarasan penjajaran roda depan kurang tepat, pegas (spring) gantungan depan yang sudah lemah, patah atau kurang baik pemasangannya, penggalas roda depan sudah rosak atau kurang baik penyelarasannya dan brek dari salah satu roda depan atau belakang bergesel.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, pertama pastikan bahawa beban kenderaan cukup seimbang. Kemudian periksalah sama ada kedua-dua tayar depan dan belakang sama tekanannya. Jika tidak, samakan. Pandu kenderaan perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah kenderaan, rasa dan perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan masih cenderung untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan pemeriksaan seterusnya.
Diameter luar rim kiri dan kanan (untuk roda depan dan belakang) harus sama. Kemudian periksa adakah salah satu pegas depan sudah lemah atau patah. Selain itu, ada kemungkinan juga penyelarasan brek kurang baik atau hanya sebelah yang berfungsi.
Kerosakan pada sistem kemudi boleh menjejaskan sistem keselamatan. Oleh itu, penjagaan aspek penjajaran roda depan tidak boleh dipandang ringan.



TIPS PENJAGAAN KERETA


Punca Penggunaan Minyak Petrol Bertambah
Sebelum ini anda mengisi RM30 untuk mengisi petrol kereta anda dan boleh bergerak hingga 200 kilometer. Kini dengan jumlah yang sama kereta anda cuma dapat bertahan 150 kilometer saja. Ada yang mengatakan kereta anda sudah kuat makan petrol.
Penggunaan petrol yang bertambah disebabkan beberapa faktor seperti kebocoran, permukaan bahan api dalam ruang pelampung karburetor terlalu tinggi, penapis udara tersumbat atau pelarasan skru pada karburetor kurang tepat.

Selain itu, ia mungkin berpunca daripada saat penyalaan kurang tepat, plag haus, suis pemutus arus terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak berfungsi, ekzos tersumbat, masalah pada cekam atau brek bergesel.
Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu memeriksa dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.

Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di kawasan itu, bermakna kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip petrol, ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika masih bocor, buka skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu kembali.
Sebenarnya ada beberapa tip dan cara yang paling minimum untuk menjimatkan penggunaan bahan api sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian anda. Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol yang banyak di pasaran. Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Umumnya cara terbaik mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin.
Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus di samping teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus atau lebih.
Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa.

Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin.
Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan.

Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut.

Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan mana untuk ke destinasi.

TIPS PENJAGAAN KERETA

Tayar Haus Antara Punca Kenderaan Bergetar
Ada ketikanya pemandu kereta tidak selesa apabila stereng yang dipegang bergetar dan tidak stabil kerana berat ke sebelah kiri atau kanan. Lebih merisaukan apabila seluruh badan kereta ikut bergetar.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, antara sebab utama kerosakan yang berlaku diberi perhatian termasuk tekanan tayar depan terlalu rendah atau ukurannya tidak sama, kehausan tayar depan tidak sama, kehausan atau kelonggaran sambungan sistem kemudi atau kotak gear stereng bergoyang, penyelarasan jajaran roda depan kurang tepat dan roda depan tidak seimbang.

Jika menghadapi masalah seperti itu pemandu dan penumpang pasti tidak selesa, lebih-lebih lagi jika sedang dalam perjalanan jauh. Untuk itu, punca kerosakan dan getaran perlu diketahui. Apabila memandu kenderaan penumpang atau trak, terutama trak kecil diatas jalan kasar atau rosak, biasanya akan terasa ada goncangan sehingga stereng perlu dipegang dengan kuat. Namun demikian, anda juga dapat merasakan adanya getaran atau goncangan pada stereng dan badan kenderaan walaupun keadaan jalanraya datar dan baik, pada suatu kelajuan antara 70 kilometer sejam (kmj) dan 80km.
Keadaan sebegini dinamakan 'shimmy'. Jadi, jika berhadapan dengan keadaan begini mula-mula periksalah tekanan tayar depan, keadaan sistem kemudi atau skru roda depan. Kemudian periksa kehausan tayar depan, sebaik-baiknya masih mempunyai rusuk bunga dengan tebal sekurang-kurangnya 2mm.
Gunakan tayar baru untuk perjalanan keluar bandar. Ada kemungkinan getaran yang berlaku boleh dihilangkan apabila tayar yang sudah haus diganti dengan tayar baru atau setelah tayar kiri-kanan ditukar kedudukannya. Namun demikian, jika getaran masih terasa juga, sebaiknya pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti kerana dibimbangi kerana disebabkan kehausan atau kelonggaran pada sistem rod kemudi dan sistem gantungan depan; atau kerana penyelarasan penjajaran roda depan yang kurang tepat hingga menyebabkan roda tidak seimbang. Untuk memeriksa dan membuat pembaikan bagi masalah berkenaan diperlukan alat dan kemahiran. Roda tayar dilengkapi satu alat pengimbang. Alat itu menunjukkan letak dan besarnya pengimbang yang harus dipasang pada rim roda.
'Shimmy' boleh terjadi apabila roda tidak dikunci dengan baik pada tempatnya, atau rod gandar tidak segaris dengan lubang pada roda. Jadi, banyak faktor yang boleh menyebabkan 'shimmy'; beberapa kesalahan dapat diperbaiki dengan mudah tetapi ada pula yang memerlukan kepakaran tertentu untuk mengatasinya.



Formula Mengira Waktu Solat Dhuha

 

Solat sunat Dhuha merupakan satu ibadat sunat yang dituntut berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A. seperti berikut;

ثلاث هن علي فرائض، وهن لكم تطوع: الوتر، والنحر وصلاة الضحى

Maksudnya:“Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu, sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang Dhuha”[1]

Waktu melakukannya ialah dari waktu naik matahari sehingga waktu condong matahari ke arah barat dan pengiraan waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.

Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;
- Waktu Dhuha = Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)
Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Hulu Langat;

Waktu Subuh : 0543 pagi
Jadi
Waktu Syuruk: 0659 pagi

Waktu Dhuha di Hulu Langat  ialah :
Waktu Syuruk ( 0659 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0659 pagi – 0543 pagi = 1jam 14 Minit @ 74 minit)
= 0659 pagi + 1/3 (74 Minit)
= 0659 pagi + 25 minit
= 0726 pagi.

(Unit Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM. Kaedah Panduan Falak Syarie .hlm.44)
[1] Wahbah Az Zuhaili.1996. Fiqh dan Perundangan Islam. Penterjemah Syed Ahmad Syed Hussain et. el. Jilid III hlm. 690


Imam Hoslan berpeluang berdakwah dalam penjara

Salmiyah Harun,12 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Husin, 46, yang baru sahaja kembali ke pangkuan anak dan isterinya semalam selepas hampir tujuh bulan menjalani hukuman penjara akan meneruskan kehidupan biasa dengan  berniaga buku dan kitab-kitab pengajian agama Islam.

Itulah sumber pendapatan beliau selain bekerja makan gaji dengan vendor alam sekitar sebagai 'water monitoring'.

(Gambar: Hoslan mencium seorang anaknya sebaik dibebaskan, semalam. Foto: SK)
Bagaimanapun, beliau akan merujuk semula dengan majikannya itu kerana difahamkan akan diberi ruang untuknya di sana selepas ini.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh perjuangannya. 

"Saya berterima kasih dengan pegawai Jawi yang sama-sama bertugas di Masjid Ar Rahimah kerana menghulurkan sumbangan kepada keluarga selama saya dipenjara," katanya ketika ditemui.

Hoslan cukup teruja untuk menceritakan pengalaman yang baru sepanjang beliau berada di Penjara Kajang.

Menurut Hoslan yang juga  bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, sepanjang berada di sana beliau mengambil tugas-tugas sebagai pendakwah di dalam Unit Halaqah.

"Saya cukup sedih, ramai banduan orang Melayu Islam di dalam sana tidak tahu apa itu syahadah apatah lagi mahu mengucap (syahadah).

"Saya juga pernah melakukan sembahyang ghaib untuk salah seorang pegawai penjara yang meninggal dunia. Walaupun ada sedikit pertikaian tetapi saya berjaya menjelaskan sebaiknya," katanya.

Selama berada di sana, beliau cukup gembira apabila berpeluang berdakwah dan memberi kata-kata nasihat kepada banduan-banduan lain.

"Saya diberi kebenaran menyampaikan nasihat oleh pegawai penjara. Antara yang saya tekankan 'jalan kehidupan Allah telah tunjuk, tugas kita hanya ikut sahaja jalan itu'," ujarnya.

Namun, beliau menyifatkan hukuman yang diterimanya sebagai pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Sementara itu, isteri beliau Noorliza Mat Isa, 43, melahirkan kegembiraan yang teramat sangat sehingga tidak terluah dengan kata-kata sebaik sahaja melihat suami yang kini sudah berada di depan mata. 

"Tidak tahu nak cakap, saya cukup gembira. Suami dan ayah kepada anak-anak saya akhirnya berada di depan mata kami," katanya dengan linangan air mata.

Jika hari raya Aidilfitri yang lalu, Noorliza berhari raya tanpa suami untuk Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut akhir bulan ini adalah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

"Bersyukur, raya nanti kami gembira sangat, baru ada mood nak raya. Macam Aidilfitri lalu kami tak ada 'mood' nak raya. Anak-anaklah yang paling gembira dan mungkin mereka tidak sabar untuk berbaju raya sedondong," katanya ketika ditemui.


Rusia tuntut Turki jelaskan pemintasan pesawat Syria

Terjemahan Mohamad Yahya,12 Okt 2012

(Moscow menuduh Ankara membahayakan nyawa penumpang dengan memintas pesawat Syria dengan dakwaan membawa kargo "bukan awam".)

MOSCOW: Moscow mendakwa  Ankara membahayakan nyawa warga Rusia selepas memaksa pesawat penumpang Syria mendarat dan merampas kargo yang disyaki peralatan ketenteraan dari Rusia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Damsyik berkata Khamis lalu bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.

Jet tentera mengiringi pesawat Airbus A-320 yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Moscow ke Damsyik, ke lapangan terbang Ankara lewat Rabu lalu selepas Turki menerima maklumat perisikan bahawa pesawat tersebut membawa  "kargo bukan awam".

Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.

"Nyawa dan keselamatan penumpang telah terancam," Kementerian Luar Rusia berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 17 warga negaranya dihalang dari mendapat akses kepada kakitangan diplomatik Rusia.


Kawalan senjata

Turki berkata mereka bertindak dalam lingkungan undang-undang antarabangsa.

"Kami berazam untuk mengawal pemindahan senjata kepada rejim yang melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai terhadap orang awam. Kami tidak boleh menerima bahawa pemindahan sedemikian dibuat menggunakan ruang udara kami," ujar Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Turki.

"Kami menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo yang tidak mematuhi peraturan penerbangan awam," katanya semasa lawatan rasmi di Athens.

Sementara itu, Mahmoud Said, Menteri Pengangkutan Syria, menuduh Turki  sebagai "lanun ruang udara", menurut stesen televisyen Lubnan, Al-Manar.

Syria juga telah menutup ruang udara kepada pesawat Turki, selepas pengisytiharan Ankara bahawa ruang udara Syria adalah "tidak selamat" untuk pesawat Turki.

Rusia merupakan salah satu sekutu rapat kerajaan Assad dan telah menyekat beberapa resolusi PBB terhadap Damsyik.

"Sekali seminggu, pesawat Syria Airlines terbang dari Moscow ke Damsyik," agensi berita Interfax memetik jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo, Yelena Krylova sebagai berkata. "Pesawat berlepas seperti biasa,  tiada sebarang kejadian yang berlaku."


Kenyataan Assad

Assad menyifatkan Syria dan Turki sebagai "saudara" dalam temubual yang disiarkan Khamis lalu, dan berkata bahawa Turki "tidak mempunyai sebab untuk berperang" selepas isu pertempuran merentas sempadan baru-baru ini.

"Kita harus berkerja bersama-sama dalam isu ini," katanya kepada akhbar Turki, Aydinlik, seminggu selepas serangan yang menyebabkan lima rakyat Turki terbunuh.

"Dalam masa seperti ini, negara-negara harus membetulkan kesilapan mereka dengan berbincang antara satu sama lain. Rakyat Turki adalah orang yang mulia. Kami tidak mempunyai masalah dengan rakyat Turki dan tentera Turki. Syria bukan merupakan musuh kepada Turki. Kami sentiasa menanggap Turki sebagai saudara kami. "

Tetapi temuduga tersebut, yang tampak sebagai satu usaha untuk meredakan ketegangan, juga mengandungi teguran.

"Kami mempunyai masalah dengan kerajaan Turki," kata Assad. "Kami menghadapi masalah di sepanjang sempadan Turki kerana sikap kerajaan Turki. Kerajaan Turki juga bertanggungjawab atas kematian warga Turki. Dan hubungan antara Syria dan Turki yang sampai ke tahap ini juga merupakan salah kerajaan Turki. Bukannya rakyat Turki. "

Komen tersebut telah diterbitkan sehari selepas pendaratan  pesawat penumpang Syria yang dipintas dalam perjalanan dari Moscow ke Damsyik.

Pesawat tersebut yang membawa kira-kira 30 penumpang, telah dibenarkan untuk meninggalkan Turki dan meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Rugi tidak berdakwah di pentas PAS - Aishah

Aslani M,12 Okt 2012
KOTA BHARU: Personaliti yang berhijrah, Wan Aishah Wan Ariffin (gambar) meluahkan rasa rugi sekiranya tidak menggunakan peluang untuk berdakwah di pentas PAS bagi mendekatkan masyarakat dengan agama.


“Ada orang tanya kepada saya mengapa tidak berdakwah sahaja dan bukan terbabit dalam politik kalau betul-betul hendak menjadi pendakwah.

“Saya beritahu kalau berdakwah sahaja tanpa ada kuasa politik tentunya suruhan agama tidak dapat dilaksanakan  dengan lebih berkesan.

“Jadi tidak salah PAS menggunakan artis yang berhijrah untuk menarik minat orang ramai yang berbagai. Saya juga guna bakat dan kebolehan yang ada untuk menarik masyarakat datang mendengar ceramah," katanya pada ceramah di Dataran Safa Marwah di sini malam tadi.

Program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri itu turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi, Ketua Muslimat Kota Bharu, Rohani Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Azariza Mohd Alawi.

Sebahagian besar yang memenuhi dataran yang menjadi tempar parkir bas pelancong adalah kalangan muslimat. Esok Aishah dijangka hadir pada program tertutup hanya untuk muslimat di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Sekali sekala kedengaran sorakan anak muda yang asyik menonton perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala Malaysia antara ATM dan Lions di kedai berdekatan.

Wan Aishah yang susur galur sebelah nenek lelaki yang berasal dari Bunut Payong Kota Bharu memberitahu sejak terbabit dengan PAS, beliau terus dihalang mencari rezeki seperti dilakukan sebelum ini biar pun ada kelayakan.

“Seolah-olah mereka bertanya sekarang awak sokong pihak mana dan bukannya memberi pertimbangan kepada kelayakan yang ada pada seseorang.

“Saya percaya orang Melayu kekal tidak berubah biar pun negara sudah 55 tahun merdeka selagi masih diberi peluang Umno menerajui negara. Jadi sekarang kita perlu lakukan perubahan segera,” katanya.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang apabila kerajaan Malaysia membenarkan kapal pengangkut ketenteraan Amerika Syarikat berlabuh di Pelabuhan Klang.

Katanya, kemungkinan boleh berlaku sesuatu yang menjadi rahsia cuba disembunyikan kerajaan Malaysia ketika melihat gelombang kebangkitan rakyat sekarang.


Tiada bukti kaitkan Musa dengan rasuah untuk kegunaan Umno Sabah, kata Nazri


KUAL LUMPUR, 11 Okt — Nazri Aziz dalam jawapan balas kepada ahli parlimen PKR, Chua Tian Chang berkata tiada elemen perbuatan rasuah dapat dibuktikan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah ke atas Datuk Seri Musa Aman serta berkata wang berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan adalah bertujuan untuk kegunaan Umno Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut juga berkata pihak Peguam Negara (AG) telah meneliti perkara tersebut dan menutup kes itu selepas mendapati tiada unsur rasuah dibuktikan seperti yang didedahkan oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report awal tahun ini.
“Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada badan perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri,” jawab Nazri (gambar).
Nazri juga berkata Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) turut menyiasat kes tersebut tetapi tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland, ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama.
“Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama dinyatakan di atas,” kata Nazri lagi.
Pada April lalu, Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah mempunyai sejumlah US$30 juta (RM92 juta) dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki oleh Musa.
Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa ini merupakan pelabur balak yang banyak menjalan menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Island yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.
Musa menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah S$16 juta (RM40 juta).
Menurut laporan media, Chia memberitahu kerajaan Hong Kong bahawa wang tersebut adalah milik Musa.
“Saya nafikan semua tuduhan ini,” kata Musa.
Musa sebaliknya mendakwa Sarawak Report cuba menjatuhkannya dan mengatakan ia sebahagian daripada konspirasi pembangkang untuk menawan negeri tersebut.
Pada Jun lalu, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan balas kepada Chua memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah melengkapkan siasatan dan telah dihantar kepada AG untuk membuat pertimbangan. 


Penduduk saman Syabas RM2.5 juta

Selangorku,12 Okt 2012

SHAH ALAM: Seorang penduduk Kampung Kerdas, Gombak memfailkan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana didakwa gagal menyediakan perkhidmatan air terbaik kepada kediamannya sejak empat tahun lalu.


Plaintif, Hashim Maon yang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga menuntut ganti rugi sejumlah RM2.5 juta daripada Syabas kerana menuduhnya sebagai ‘pencuri air’.



Hashim memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 September lalu melalui syarikat guaman Roland and Co.



Menurutnya, tuntutan itu dibuat berasaskan kecuaian dan kegagalan defendan melaksanakan tanggungjawab dan tugas membekalkan air kepada pengguna.





Kecuaian tersebut kata plaintif, bertentangan dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 53, 54, 57 dan 58 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Seksyen 40 dan 41 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.



Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas dan am, faedah, kos dan relif yang difikirkan perlu.



“Saman itu akan didengar di depan hakim pada 15 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.



“Saya saman fitnah kepada defendan sebanyak RM2 juta tidak termasuk tuntutan khas seperti tuntutan ganti rugi dan kos-kos lain yang jumlah keseluruhannya kia-kira RM 2.5 juta,” katanya.



Sebelum ini, Hashim mendakwa dia dan keluarga berdepan tekanan air rendah. Sebaliknya air yang dibekalkan Syabas kepada kediamannya juga tidak bersih kerana paip saluran yang digunakan sudah lama, berkarat dan perlu diganti.



Perkara itu berulang kali diajukan kepada Syabas, namun mereka menyatakan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan akibat kekangan kewangan Syabas.



Ekoran itu, beliau mengambil inisiatif sendiri melakukan penyambungan baru di luar bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumahnya.



Tetapi tindakan itu menyebabkan Syabas menuduhnya sebagai pencuri.



Beliau berkata, tekanan air di rumahnya kini bertambah baik selepas campur tangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang mengarahkan Syabas membuat sambungan baru daripada paip utama kepada meter air di kediamannya.



Namun begitu katanya, tuntutan saman akan tetap diteruskan kerana Syabas telah memfitnah beliau sekeluarga sehingga merosakkan reputasi mereka.


Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat

Abdul Hadi Awang,12 Okt 2012
Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :



لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).


(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).


Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.


Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.


Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.


Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).


Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:


الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).


(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).


Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut , walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :


المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).


(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).


PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.


Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.


Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.


Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.


Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.


PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.


Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.


Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.


Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.


Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.


Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.


Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.


Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.


Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...