Rusia tuntut Turki jelaskan pemintasan pesawat Syria
Terjemahan Mohamad Yahya, | 12 Okt 2012 |
(Moscow menuduh Ankara membahayakan nyawa penumpang dengan memintas pesawat Syria dengan dakwaan membawa kargo "bukan awam".)
MOSCOW: Moscow mendakwa Ankara membahayakan nyawa warga Rusia selepas memaksa pesawat penumpang Syria mendarat dan merampas kargo yang disyaki peralatan ketenteraan dari Rusia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Damsyik berkata Khamis lalu bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.
Jet tentera mengiringi pesawat Airbus A-320 yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Moscow ke Damsyik, ke lapangan terbang Ankara lewat Rabu lalu selepas Turki menerima maklumat perisikan bahawa pesawat tersebut membawa "kargo bukan awam".
Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.
"Nyawa dan keselamatan penumpang telah terancam," Kementerian Luar Rusia berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 17 warga negaranya dihalang dari mendapat akses kepada kakitangan diplomatik Rusia.
Kawalan senjata
Turki berkata mereka bertindak dalam lingkungan undang-undang antarabangsa.
"Kami berazam untuk mengawal pemindahan senjata kepada rejim yang melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai terhadap orang awam. Kami tidak boleh menerima bahawa pemindahan sedemikian dibuat menggunakan ruang udara kami," ujar Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Turki.
"Kami menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo yang tidak mematuhi peraturan penerbangan awam," katanya semasa lawatan rasmi di Athens.
Sementara itu, Mahmoud Said, Menteri Pengangkutan Syria, menuduh Turki sebagai "lanun ruang udara", menurut stesen televisyen Lubnan, Al-Manar.
Syria juga telah menutup ruang udara kepada pesawat Turki, selepas pengisytiharan Ankara bahawa ruang udara Syria adalah "tidak selamat" untuk pesawat Turki.
Rusia merupakan salah satu sekutu rapat kerajaan Assad dan telah menyekat beberapa resolusi PBB terhadap Damsyik.
"Sekali seminggu, pesawat Syria Airlines terbang dari Moscow ke Damsyik," agensi berita Interfax memetik jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo, Yelena Krylova sebagai berkata. "Pesawat berlepas seperti biasa, tiada sebarang kejadian yang berlaku."
Kenyataan Assad
Assad menyifatkan Syria dan Turki sebagai "saudara" dalam temubual yang disiarkan Khamis lalu, dan berkata bahawa Turki "tidak mempunyai sebab untuk berperang" selepas isu pertempuran merentas sempadan baru-baru ini.
"Kita harus berkerja bersama-sama dalam isu ini," katanya kepada akhbar Turki, Aydinlik, seminggu selepas serangan yang menyebabkan lima rakyat Turki terbunuh.
"Dalam masa seperti ini, negara-negara harus membetulkan kesilapan mereka dengan berbincang antara satu sama lain. Rakyat Turki adalah orang yang mulia. Kami tidak mempunyai masalah dengan rakyat Turki dan tentera Turki. Syria bukan merupakan musuh kepada Turki. Kami sentiasa menanggap Turki sebagai saudara kami. "
Tetapi temuduga tersebut, yang tampak sebagai satu usaha untuk meredakan ketegangan, juga mengandungi teguran.
"Kami mempunyai masalah dengan kerajaan Turki," kata Assad. "Kami menghadapi masalah di sepanjang sempadan Turki kerana sikap kerajaan Turki. Kerajaan Turki juga bertanggungjawab atas kematian warga Turki. Dan hubungan antara Syria dan Turki yang sampai ke tahap ini juga merupakan salah kerajaan Turki. Bukannya rakyat Turki. "
Komen tersebut telah diterbitkan sehari selepas pendaratan pesawat penumpang Syria yang dipintas dalam perjalanan dari Moscow ke Damsyik.
Pesawat tersebut yang membawa kira-kira 30 penumpang, telah dibenarkan untuk meninggalkan Turki dan meneruskan perjalanan ke Damsyik.
No comments:
Post a Comment