Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR - Pas menjelaskan bahawa mereka akan meneruskan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor, walaupun ditolak rakan sekutu PKR.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, ia pandangan peribadi dan tidak menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat (PR) bagi mana-mana pihak mengeluarkan pendapat.
“Kami (pembangkang) bukan menolak projek mega, tetapi setiap projek harus diteliti dengan terperinci agar nasib rakyat tidak terpinggir akibat daripada arus pembangunan.

“Sekiranya pembangkang diberi mandat dalam pilihan raya nanti, projek Rapid akan diberi perhatian, malah Petronas boleh membangunkan projek Rapid di Pengerang ataupun mana-mana tempat di negeri Johor,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen mendakwa adalah satu pembaziran bagi menggunakan wang sebanyak RM60 bilion bagi pembinaan satu loji penapis kerana kerajaan telah mempunyai loji yang sedia ada milik Petronas di Kerteh, Terengganu.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan projek Rapid adalah sebuah projek nasional di bawah kendalian Petronas yang bakal memberi pulangan besar untuk diagihkan semula kepada rakyat.

Beliau juga turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang mempersoalkan projek berkenaan dan dilihat sebagai strategi mengalih perhatian masyarakat daripada masalah dalaman mereka.

Salahuddin berkata, beliau bersedia untuk berdialog dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berhubung projek tersebut bagi kepentingan rakyat.

“Saya bersedia untuk datang bersama dengan beberapa orang yang memiliki kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah dan industri minyak dan gas.

“Ia penting supaya pembangunan di Pengerang itu dapat mencapai objektif dan penduduk setempat tidak menjadi mangsa,” katanya.