Thursday, October 11, 2012


Tidak daftar SABK bukti Pusat diskriminasi SAR

Harakahdaily,11 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Hanya menyalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mahu mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)  dengan Kementerian Pelajaran untuk tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat adalah alasan yang lemah dan menunjukkan diskriminasi ke atas SAR.

Sehubungan itu, Teras menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengadakan pertemuan bersemuka dengan wakil SAR untuk mendengar alasan mereka kenapa ada yang tidak mahu mendaftar sebagai SABK.

“Adalah sangat angkuh bila Timbalan Menteri Datuk Puad Zarkashi menuding Lembaga dan Mudir SAR tidak mahu kehilangan kuasa jika berdaftar dengan Kementerian Pelajaran kerana ini seolah menyatakan SAR ditubuhkan untuk kepentingan peribadi,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, pihak menteri perlu kembali kepada dasar memberi peruntukan perkapita kepada SAR seperti sebelumnya yang telah dibatal oleh kerajaan ketika Tun Mahathir menjadi PM.

Beliau berkata, Tun Mahathir dan Timbalan PM ketika itu termasuk sejumlah menteri dalam kerajaan telah menuduh SAR sebagai sarang pembangkang dan Datuk Seri Najib sendiri menyatakan SAR adalah umpama bom jangka.

“Inilah sebenarnya alasan yang menyebabkan SAR dianaktirikan. Pada hal jasa dan manfaat kepada rakyat tidak dapat dinafikan termasuk meringankan beban kerajaan untuk menyediakan sekolah aliran agama yang semakin popular di kalangan masyarakat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Teras menggesa pihak kerajaan mendengar tuntutan wakil guru dan pelajar yang telah berhimpunan di Parlimen hari ini (gambar) untuk menuntut hak mereka dari kerajaan.

Menurutnya, SAR adalah institusi rakyat yang unik di negara ini sebagai upaya dari masyarakat Islam yang mahu melaksanakan pendidikan Islam dalam erti kata sebenar.

“Walaupun mungkin ada kelemahan yang boleh diperbaiki namun pendekatan yang harus dilakukan harus bersifat mengukuh dan menambahbaik bukan mengambil alih seperti yang ada dalam skim dan syarat SABK,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...