Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) dianggap terdesak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk menarik pengundi muda hingga sanggup menggunakan apa sahaja kaedah, termasuk membawa masuk artis K-Pop yang menjadi kegilaan ramai.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, ini membuktikan pimpinan BN menyedari orang muda tidak lagi percaya kepada mereka.

“Saya anggap ini usaha terakhir BN yang terdesak,” katanya kepada Sinar Harian selepas melancarkan billboard Himpunan Kebangkitan Rakyat # KL112 di Bulatan Tok Adam di sini, kelmarin.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai artis Korea, Psy yang mencetuskan fenomena dengan lagu dan tarian Gangnam Style yang akan dijemput mengadakan persembahan sempena Tahun Baru Cina anjuran BN di Pulau Pinang minggu depan.

Difahamkan, Psy meminta bayaran RM2.3 juta untuk persembahan di Malaysia.Sebuah syarikat swasta gergasi mengakui menaja konsert  itu.

Psy, atau nama sebenarnya Park Jae-Sang, merupakan artis paling sensasi dari Korea Selatan dikatakan akan membuat persembahan pada 11 Februari ini di padang sekolah Han Chiang yang dijangka menarik 50,000 penonton.

Mohamad berkata, sekiranya penganjuran konsert itu melibatkan wang kerajaan, ia tidak wajar kerana melibatkan perbelanjaan terlalu besar.
“Kalau melibatkan wang kerajaan, memang tak patut, tapi kalau wang syarikat swasta itu hak dia,” katanya.

Mengenai tarikh PRU13 yang masih rahsia, beliau berkata, BN hanya akan adakan PRU13 selepas mengagihkan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia kedua (BR1M 2.0).

“Kita (Pas) tidak terjejas dengan tarikh yang dilewatkan dan kita juga memberi penerangan supaya rakyat tidak menolak bantuan tersebut.

“Apa yang perlu diingat ialah itu bukan wang lebihan negara. Rakyat kena sama-sama pikul kesannya nanti,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/gangnam-tarik-pengundi-muda-1.128579