Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Karpal Singh tidak berhak mencampuri atau mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini. 
   
"Saya tidak berhasrat untuk menasihatkan Karpal Singh tetapi itu (isu kalimah Allah) bukan bidangnya dan jangan masuk campur dalam bidang yang beliau sendiri tidak ketahui," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata demikian selepas melancarkan program 1ACP dan laman portal kerjaya WWW.Kerjayaveteran.my, di sini.
   
Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang menyebut Karpal Singh, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu, secara lantang menggesa Majlis Syura Ulama Pas meneliti semula keputusannya tidak membenarkan kalimah Allah diguna dalam Bible versi bahasa Melayu.
   
Majlis Syura Ulama Pas memutuskan perkara itu pada 13 Jan.

Ahmad Zahid berkata isu penggunaan kalimah Allah tidak wajar dipolitikkan oleh sesetengah pihak bagi meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.
   
Beliau berkata keputusan Majlis Syura Pas itu adalah sama dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru ia merupakan hukum yang tidak boleh dikompromi.
   
Isu Kalimah Allah mula timbul apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian di negara ini menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/zahid-karpal-tidak-berhak-pertikai-keputusan-majlis-syura-pas-1.128529