PLUS Expressways Bhd (PLUS)

PLUS Expressways Bhd (PLUS)
PETALING JAYA - Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan Plus Expressways Bhd hari ini mengeluarkan cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) bagi melancarkan pergerakan lalu lintas sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata, jumlah kenderaan di lebuh raya itu dijangka meningkat 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.
TTA yang dicadangkan untuk pengguna dari Lembah Klang pulang ke kampung dari Jumaat (8 Februari) hingga Sabtu (9 Februari) ini ialah seperti berikut:-     
* Kedah, Perlis dan Pulau Pinang (melalui Juru) sebelum 12 tengah hari;    
* Johor (melalui Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak) sebelum 12 tengah hari;    
* Kuala Kangsar dan Changkat Jering antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Melaka (melalui Ayer Keroh) antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
* Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng antara pukul 3 dan 6 petang;    
* Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat antara 3 hingga 6 petang;
* Tapah, Bidor, Sungkai, Slim River dan Tanjung Malim selepas 6 petang;    
* Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.
Bagi perjalanan pulang dari kampung pada minggu berikutnya iaitu 12 Februari (Selasa) hingga 17 Februari (Ahad) pula, jadual yang dicadang ialah:-    
* Perjalanan dari utara dan selatan ke Lembah Klang sebelum 12 tengah hari atau selepas 8 malam. 
* Perjalanan lain yang tidak melalui Lembah Klang antara 12 tengahari hingga 8 malam.
Noorizah berkata Plus turut mengekalkan jadual perjalanan dengan membahagi kenderaan mengikut nombor pendaftaran ganjil dan genap bagi dua jambatan iaitu di Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang.
"Bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihat menggunakan dua jambatan itu pada setiap jam ganjil, contoh 9 pagi, 1 petang dan 7 malam.
"Bagi kenderaan bernombor plat genap, disaran mengikut setiap jam genap contohnya 10 pagi, 2 petang dan 8 malam bagi perjalanan pergi dan pulang pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini," katanya.
Bagi pengguna yang menggunakan sistem pembayaran elektronik pula akan menikmati rebat sebanyak 20 peratus pada 7 Februari (Khamis) dan 15 Februari (Jumaat) manakala 30 peratus pada 10 Februari (Ahad).
"Plus akan membuka hampir 1,000 kaunter tol dan menambah lebih 3,100 kakitangan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina ini iaitu kenaikan 30 peratus dari hari biasa.
"Bagi Plusronda pula seramai 213 pasukan akan bertugas 24 jam, manakala 650 anggota Rela akan bertugas membantu di lokasi terpilih.
Pengguna juga boleh mengetahui maklumat trafik terkini dan promosi khas sempena Tahun Baru Cina kali ini dengan melayari laman web www.plus.com.my atau twitter Plus di www.twitter.com/plustrafik atau hubungi Plusline di talian 1-800-88-0000. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/tahun-baru-cina-plus-perkenal-jadual-waktu-perjalanan-1.128531
CONTOH JADUAL PERJALANAN PLUS 2012 :-