Nasharudin: DAP cabar dasar Pas
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, DAP sudah jelas mencabuli dasar hormat-menghormati yang dijalin melalui 'tahaluf siyasi' apabila ia secara terang mencabar beberapa asas dan dasar perjuangan Pas.
Tahaluf siyasi bermaksud kerjasama badan Islam dengan pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam dalam perjuangannya, bagi mencapai matlamat sama.
Beliau berpendapat tindakan itu adalah satu sikap yang tidak menghormati semangat kesepakatan antara parti yang sekaligus menandakan mereka tidak ikhlas dalam bertahaluf dengan Pas.
"Tahaluf siyasi yang disepakati oleh Pas pada peringkat awal tertubuhnya pakatan pembangkang bersetuju untuk menghormati dasar parti masing-masing," katanya dalam lintas langsung eksklusif melalui BH Online bertajuk 'Mengupas Kemelut Dalaman Pas' hari ini.
"Tetapi kelihatan mutakhir ini, dasar hormat-menghormati ini sudah tercabar dengan DAP secara khususnya secara terang mencabar beberapa asas dan dasar perjuangan Pas," katanya.
Menjawab pertanyaan faktor yang menyebabkan Pas telah keluar dari landasan perjuangannya, Nasharudin berkata, mungkin keadaan itu berlaku kerana tuntutan politik semasa yang kelihatan begitu mendesak bagi Pas meraikan tuntutan berkenaan.
"Akibatnya, kelihatan beberapa pendirian dan dasar Pas terpaksa diolah mengikut kehendak itu yang mengakibatkan persepsi yang timbul adalah Pas lari daripada landasan perjuangannya," katanya yang sedang menerima rawatan fisioterapi sakit belakang dan berkaitan saraf di sebuah pusat perubatan swasta, di sini.
Ditanya sama ada majoriti undi orang Islam akan berubah kepada Pas apabila parti itu bersendirian, beliau berkata, kekuatan Pas terletak kepada agenda perjuangan Islamnya yang menjadi sebab penubuhan Pas.
"Jadi, saya melihat kalau sekiranya Pas itu bersendiri, Pas akan lebih bebas untuk melaksanakan agenda terbabit," katanya sambil menambah sudah ada banyak suara yang merasakan Pas akan lebih terserlah jika bersendirian.
Berhubung laporan mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang seolah-olah marah kepada beliau, Nasharudin berkata, memang ada timbul tanda tanya pada dirinya tentang sikap Mursyidul Am itu terhadap beliau.
"Sejak daripada isu kerajaan perpaduan yang timbul satu ketika dulu, sehinggalah hari ini. Saya tidak tahu apa puncanya, namun saya masih menghormati beliau sebagai pimpinan tertinggi parti," katanya sambil memberitahu sehingga saat ini masih belum menerima sebarang hitam putih mengenai pemecatan beliau.
Ditanya sama ada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pernah campur tangan dalam urusan dalaman Pas, beliau berkata, mungkin ada, dan itu tidak sepatutnya berlaku.
Mengenai pandangan beliau terhadap Anwar dan perjuangan yang dibawa olehnya, beliau berkata, berbangkit beberapa isu berkaitan Anwar yang menimbulkan keraguan.
"Saya berpandangan sebagai ahli Pas, sudah tentu kepimpinan tertinggi parti saya sebagai calon terbaik untuk memimpin," katanya.
Mengenai gambar beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah Ogos lepas, Nasharudin berkata, beliau menyertai banyak rombongan rasmi sebagai anggota Parlimen ke luar negara, termasuk secara kebetulan bersama perdana menteri.
Katanya, menyertai rombongan ke luar negara adalah tugas sebagai Ahli Parlimen untuk mewakili negara ke beberapa persidangan dan program.
"Saya pernah keluar negara dengan menteri, dengan speaker Parlimen dengan anggota Parlimen dan secara kebetulan, mutakhir ini dengan perdana menteri," katanya.
Kehadiran Nasharudin yang dilihat bersama Najib semasa pertemuan dengan beberapa ulama selepas sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menimbulkan pelbagai tanggapan pihak tertentu dalam Pas berhubung pendirian beliau.
Ditanya sama ada akan menerima pelawaan Umno untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang sekiranya Pas memecat beliau, Nasharudin berkata, beliau tidak pernah dan belum pernah menerima sebarang pelawaan daripada Umno
untuk menjadi calon PRU13.
Sementara itu, Nasharudin berpendapat isu kalimah ALLAH yang dimainkan oleh pimpinan DAP adalah sekadar untuk meraih undi daripada mereka yang beragama Kristian.
"Pada pandangan saya, yang mereka mahukan sekadar meraih undi daripada rakan-rakan kita yang beragama Kristian. Karpal Singh yang kuat bersuara pun pada hemat saya, bukan beragama Kristian. Jadi, apa perlunya Karpal Singh bersuara dalam isu ini sedangkan dia sendiri tidak beriman dengan Kristian," katanya.
Beliau berkata, isu kalimah ALLAH harus dipertahankan daripada digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat Islam.
"Bagi saya, ia adalah isu akidah yang menjadi tanggungjawab kita semua," katanya yang mahu keputusan Majlis Syura Ulama ditaati dengan sepenuhnya oleh semua anggota dan pemimpin Pas. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/politik/nasharudin-dap-cabar-dasar-pas-1.128524
No comments:
Post a Comment