Sunday, September 27, 2015

MEMANAH DAN UNDANG-UNDANG

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Anda berminat untuk memanah, lebih-lebih lagi untuk memanah secara sunnah, malahan anda berminat untuk menjadi golongan ghuraba yang tekad untuk membebaskan diri dari segala bentuk perhambaan, kecuali perhambaan secara mutlak kepada Sang Pemilik Alam Semesta.
Tapi anda bimbang anda akan disalah-erti. Anda bimbang masyarakat awam akan curiga melihat anda, sebagai golongan yang berpotensi mencetuskan kekacauan kepada keamanan dan keharmonian.
Malaysia Laws relating to archery
Jika anda mempunyai keraguan untuk memiliki busur dan anak panah atau mengenai aktiviti memanah disebabkan faktor undang-undang, berikut adalah fakta penting yang anda perlu tahu.
Memanah digazetkan sebagai satu bidang sukan di Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Laws of Malaysia – Sports Development Act 1997).
Busur dan anak panah diklasifikasikan sebagai peralatan sukan dan tidak memerlukan apa-apa permit atau lesen dari pihak berkuasa; untuk memiliki atau menggunakannya. Tidak ada pengkelasan khusus dari sudut ini yang membezakan antara busur tradisional, busur kompaun atau busur moden untuk pertandingan di sukan olimpik.
Namun begitu ada beberapa keadaan tertentu yang boleh menyebabkan anda ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa yang berkenaan bersabit dengan panah dan busur.
1. Pelbagai kesalahan memburu dengan busur dan panah bersabit spesies hidupan liar yang diperlindungi.
RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010 (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan).
Sehingga tarikh ini, busur dan panah adalah BUKAN senjata berburu yang sah di Malaysia.
2. Kesalahan yang boleh disabitkan mengikut Akta 357 Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Ofensif 1958.
Seksyen 6(1) Akta 357 memperuntukkan, mana-mana orang yang membawa atau memiliki di mana-mana jalan atau tempat awam apa apa senjata ofensif kecuali dengan kebenaran yang sah bagi maksud yang sah, adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga sebatan.
Kesalahan ini merujuk kepada semua jenis senjata berjadual* di dalam akta yang sama, tetapi terguna-pakai untuk segala jenis ancaman senjata lain secara UMUM dengan kehadiran 3 faktor berikut;
  1. Wujudnya ‘senjata ofensif’ iaitu apa-apa peralatan yang sekiranya digunakan untuk menyerang boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan.
  2. Berada di dalam tempat awam.
  3. Bermaksud mendatangkan kecederaan.
* Takrifan ‘senjata berjadual‘ bermaksud sebarang senjata ofensif yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta 357 (rujuk di bawah).
FAKTA 1 – Membawa busur dan panah sahaja tidak dianggap sebagai membawa senjata ofensif di tempat awam. Sentiasa pastikan anda tidak menjadi ancaman kepada orang lain.
FAKTA 2 – Di sebaliknya pula, membawa apa-apa senjata ofensif berjadual(walaupun tersembunyi) telah dianggap sebagai membawa senjata ofensif berbahaya di tempat awam.
Senarai Senjata Ofensif Berjadual.
AKTA 357: AKTA BAHAN-BAHAN KAKISAN DAN LETUPAN DAN SENJATA BERBAHAYA 1958.
JADUAL KEDUA (Seksyen 2 dan 12).
  1. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘flick knife’, yang mengeluarkan bilah secara automatik dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
  2. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘gravity knife’, yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tekanan graviti atau kuasa pusat putaran, yang mana bila dilepaskan, akan terkunci pada tempatnya dengan sesuatu butang, spring, tuas dan sebagainya.
  3. Alat sebatan/libasan (whip) diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
  4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
  5. Semua jenis bilah atau alatan lain yang dilekatkan ke atas, atau membentuk sebahagian pam basikal, paip besi atau pemegang yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
  6. Sebarang peralatan seperti pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing, kadang-kadang dipanggil sebagai ‘bearing-scraper’.
  7. Senjata berbentuk kapak kecil.
  8. Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
  9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
  10. Lembing dan mata lembing.
  11. Panah-silang (crossbow).
  12. Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.
Senjata berjadual hanya tidak menjadi kesalahan ketika berada di premis persendirian. TIADA permit dikeluarkan atau diperlukan untuk menyimpan senjata berjadual, tapi pastikan anda mempunyai sebab yang kukuh.
Kesalahan berkaitan senjata berjadual
Seksyen 7(1) Akta 357 memperuntukkan, sesiapa yang, melainkan bagi tujuan yang tidak menyalahi undang-undang –
(a) membawa atau memiliki di bawah kawalannya;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu;

mana-mana senjata berjadual adalah menjadi kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun, atau denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Undang-undang sedia-ada sebenarnya bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Jika anda memanah dengan sebab yang benar, tidak ada sebab untuk berasa gusar. Namun begitu, sentiasalah berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan yang perlu semasa memanah kerana busur dan panah adalah senjata yang boleh membunuh dan juga mengakibatkan kecederaan yang serius.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/memanah-dan-undang-undang/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...