Sunday, September 27, 2015

MEMANAH SECARA SUNNAH – BAHAGIAN 2

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Memanah secara Sunnah

KOMPONEN ZAHIR – KEKUATAN DARI MEMANAH

Yang dimaksudkan kekuatan dari memanah secara zahir adalah sebahagiannya; kekuatan pada panahan dan kekuatan pada tubuh badan pemanah.

KEKUATAN PADA PANAHAN

Kualiti pada panahan naluri dan pandangan dapat dinilai dari tiga pencapaian; iaitu
  1. Ketepatan
  2. Konsistensi
  3. Kejituan
Ketiga-tiga perkara ini pula hanya dapat dicapai dengan;
  1. Pengetahuan dan aplikasi teknik memanah yang betul
  2. Pengetahuan teknikal di dalam sains memanah
  3. Kekuatan fizikal serta penggunaan otot secara efisyen
Hanya dengan menguasai kombinasi 3 perkara ini potensi kekuatan sebenar pada panahan dapat dicapai dan dirungkai.
Teknik memanah tradisional adalah sebaik-baik teknik untuk memanah. Memanah secara tradisional melatih kombinasi penggunaan otak kiri dan otak kanan secara serentak dan menjajar deria keenam, iaitu naluri kepada memanah. Berbanding teknik memanah secara pandangan (yang sangat bergantung kepada satu deria utama), deria naluri menyatukan penggunaan kelima-lima deria yang lain untuk menghasilkan tindak-balas yang lebih cepat, spontan dan lebih berkeupayaan untuk memproses pelbagai input dan faktor pemboleh-ubah secara serentak semasa proses menembak anak panah ke sasaran.
Semasa memanah, kedua-dua tangan ‘merasa’ arah tujahan anak panah, otot menjangka kekuatan tarikan (daya tujahan), kulit merasa arah angin untuk membuat pembetulan, mata memandang tajam ke sasaran dan otak memberi sepenuh tumpuan dan melupakan yang lain-lain.
Dari segi teknik, memanah secara tradisional adalah paling menghampiri memanah secara sunnah. Iaitu anak panah perlu bersentuh dengan tangan yang memegang busur dan tangan yang menarik busur. Ini dapat diperhatikan dari busur tinggalan Rasulullah SAW.
Busur Rasulullah SAW
Tiada dalil ke atas dakwaan memanah secara sunnah memerlukan teknik lepasan ibu-jari (thumb release) iaitu melalui penggunaan cincin ibu-jari (thumb ring) dan menggunakan ibu jari untuk menarik tali busur. Untuk menyandarkan sesuatu kepada baginda Rasulullah SAW kita memerlukan dalil hadith atau atsar para sahabah RA. Pun begitu, tiada kedapatan juga dalil hadith atau atsar bahawa Rasulullah SAW atau para sahabah RA menggunakan teknik menarik dengan 3 jari secara Mediterranean. Maka dari pemerhatian dan deduksi, memanah secara sunnah boleh menggunakan teknik lepasan Monggol (Mongolian release) atau Mediterranean (Mediterranean release).
Gaya Mediterranean vs Gaya Monggol
Teknik lepasan ibu-jari sebenarnya secara silap telah dinamakan sebagai teknik lepasan Monggol bersempena peristiwa bangsa yang berkenaan menakluk sebahagian dari Eropah dan meninggalkan pengaruh mereka ke atas kerajaan setempat. Kajian yang lebih mendalam menunjukkan teknik menarik dengan ibu-jari lebih awal telah dipelopori oleh pahlawan-pahlawan berkuda dari Kesultanan Turki-Seljuk di pergunungan Steppe dan seterusnya diwarisi oleh empayar Khilafah Islam Uthmaniyyah Turki.

Walaubagaimanapun, menarik tali busur dengan ibu-jari dan penggunaan cincin mempunyai kelebihan yang nyata di samping tidak menjejaskan teknik memanah secara naluri. Penggunaan ibu-jari dapat menambah antara 2-4 inci kepada panjang tarikan (draw length) berbanding penggunaan 3-jari dan seterusnya menambah kekuatan pada tujahan anak panah. Melepas anak panah dengan teknik Monggol juga adalah teknik lepasan yang lebih licin dan lancar berbanding teknik Mediterranean dan mampu mempengaruhi ketepatan panahan.

KEKUATAN PADA TUBUH BADAN PEMANAH

Dalam ilmu perubatan moden, anggota badan manusia dikenal-pasti mempunyai kapasiti untuk melakukan pengalihan fungsi otot dalam keadaan-keadaan tertentu. Otot-otot sekunder yang bersambung atau pada kedudukan selari dengan otot primer yang rosak atau gagal berfungsi akan mengambil-alih fungsi otot tersebut secara semula-jadi supaya dapat menghasilkan pergerakan anggota yang serupa atau hampir sama. Contoh yang paling jelas adalah pada pesakit-pesakit strok yang belajar semula untuk berjalan dengan menggunakan otot dan sendi pinggul.
Orang-orang dahulu-kala sebenarnya lebih maju pengetahuan mereka di dalam perkara ini dan boleh disaksikan dari tinggalan warisan seni silat, wushu dan lain-lain seni mempertahankan diri. Kebanyakan ilmu seni mempertahankan diri melatih dan membiasakan tubuh kepada pergerakan ‘berat’, iaitu memaksa penggunaan lebih banyak otot dalam pergerakan. Ini kerana otot adalah kekuatan. Lebih banyak penggunaan otot, lebih banyak kekuatan dapat dihasilkan.
Pada zaman khalifah Uthmaniyyah, kaum lelaki memanah dengan kekuatan tarikan 70 lbs ke atas, manakala kanak-kanak, orang tua dan mereka yang baru bermula memanah menggunakan busur di bawah 70 lbs. Maka bandingkanlah pula dengan kita di zaman ini, mengapakan orang-orang dahulu lebih kuat? Adakah mereka mempunyai susuk fizikal yang berbeza? Adakah disebabkan faktor pekerjaan? Atau mungkinkan kita menggunakan teknik yang salah dan menyebabkan banyak otot menjadi lesu kerana tidak pernah digunakan?
Berbanding teknik memanah moden, pemanah teknik tradisional menjungkitkan sedikit bahagian siku ke atas semasa menarik tali busur. Ini bertujuan untuk memberi lebih tumpuan kepada penggunaan otot bahagian bahu dan belakang badan, sebagai sokongan kepada biseps sebagai otot utama. Latihan dan ulangan pergerakan yang berterusan boleh memperbaiki dan meningkatkan fungsi otot-otot yang berkenaan untuk mencapai potensi kekuatan yang lebih tinggi.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/memanah-secara-sunnah-bhgn-2/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...