Untuk memajukan kemahiran memanah sehingga peringkat memanah berkuda, hanya ada satu jalan yang harus tempuhi, iaitu menguasai kemahiran memanah secara dinamik.
Apakah yang dikatakan Panahan Dinamik? Sebelum ini kita telah membincangkan memanah secara instinktif (tradisional) dan juga memanah secara pandangan berpejera (moden). Kita juga telah membincangkan gaya memanah dengan tarikan Meditteranean (Western archery) dan tarikan Monggol (Eastern/Asiatic archery).
Untuk memudahkan kefahaman kerana banyaknya istilah-istilah, kemahiran seni memanah dapat diringkaskan seperti berikut:-
Ilmu memanah yang MUTLAK adalah memanah secara instinktif tradisional, sedangkan memanah secara moden hanyalah SATU PER BAHAGIAN daripadanya. Ibarat satu surah daripada satu juzuk daripada keseluruhan AlQuran.
Baik gaya memanah dengan tarikan Mediterranean mahupun Monggol, kedua-duanya adalah sebahagian dari kaedah memanah instinktif tradisional. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Untuk cepat mahir, perlu memilih dan hanya memberi tumpuan kepada satu di antaranya. Perlu diingatkan terdapat banyak lagi jenis-jenis tarikan yang kurang diketahui, tetapi tidak kurang berbahaya berbanding kedua-dua gaya tarikan tadi.
Teknik memanah secara statik/pegun (Panahan Statik) adalah asas kepada memanah moden dengan berpejera, walaupun ia juga adalah cabang-cabang daripada memanah secara instinktif tradisional. Namun secara kontras, teknik memanah secara dinamik hanya eksklusif untuk pemanah-pemanah instinktif tradisional sahaja. Pro dan kontra, Panahan Statik dan Panahan Dinamik boleh diaplikasikan kepada kedua-dua gaya tarikan Meditterranean dan Monggol.
Perbezaan dari segi teknik
Panahan Statik bergantung kepada titik penjangkaran (anchoring point) tunggal, pergerakan tarikan (drawing motion) yang lancar dan seragam tanpa renjatan (jerking) supaya keadaan anggota badan dan sendi-sendi lain yang tidak berkaitan adalah PEGUN sepenuhnya. Ini membataskan pergerakan pemanah untuk seketika.
Panahan Dinamik juga bergantung kepada titik penjangkaran, untuk dua sebab; 1) untuk menyeragamkan panjang tarikan@tujahan busur, dan 2) mencapai laluan pergerakan tarikan yang MELURUS kepada titik penjangkaran; untuk proses lepasan sebaik sahaja mencapai panjang tarikan (draw length) yang dikehendaki. Keadaan anggota badan dan sendi-sendi lain yang tidak berkaitan adalah BEBAS (samada pada kedudukan kekuda yang berkenaan ataupun semasa bergerak) dan kurang diambil-kira. Faktor samada renjatan yang berlaku akan mempengaruhi ketepatan panahan akan diatasi melalui kaedah pemasaan ketika lepasan anak panah.
Langkah-langkah panahan
Panahan Statik melibatkan 4 langkah pergerakan; iaitu 1) membuat tarikan kepada kepada titik penjangkaran, 2) berhenti untuk membidik semasa tarikan penuh, 3) melepaskan anak panah dan 4) anggota tubuh lain kekal pegun semasa susulan (follow-through) sehingga anak panah kena ke sasaran.
Panahan Dinamik melibatkan 2 langkah pergerakan sahaja; iaitu 1) membuat tarikan SAMBIL membidik sehingga ke titik penjangkaran dan 2) melepaskan anak panah dengan serta merta tanpa berhenti. Pergerakannya lebih ringkas. Sesuai dengan bidalan Inggeris “less is more”. Latihan dan ulangan yang berterusan, secara berperingkat-peringkat, mengurangkan kebergantungan kepada daya pena’akulan, iaitu apabila proses pertukaran maklumat antara otak, deria dan otot-otot pada anggota badan membentuk memori-memori yang boleh dicapai dengan sangat cepat (tanpa berfikir). Pada tahap berikutnya, 2 langkah pergerakan ini seumpama satu pergerakan tunggal yang spontan sahaja.
Perhatikan, kedua-dua jenis panahan melibatkan ‘titik penjangkaran’ untuk menyeragamkan tarikan, ini adalah antara asas yang utama.
Selain itu ada juga teknik Panahan Dinamik yang menggunakan 2 titik penjangkaran, ini adalah kawalan tambahan untuk mencapai keseragaman yang lebih baik kepada arah vektor tarikan. Caranya adalah melalui pergerakan tarikan yang MELURUS kepada titik penjangkaran pertama dan meleretkan tangan ke titik penjangkaran kedua sebaik selepas lepasan. Teknik ini lebih sukar untuk dikuasai.
KELEBIHAN PANAHAN DINAMIK
– Teknik panahan tempur yang sebenar.
– Memanah dengan daya potensi manusia yang optimum.
– Melatih berfikir dengan pantas/spontan.
– Panahan lebih laju dan jauh kerana pengurangan beban (vektor tenaga negatif) ke atas daya tujahan busur, dapat diterangkan juga sebagai perpindahan tenaga keupayaan kepada tenaga kinetik yang lebih lancar. Kesannya adalah anak panah dilepaskan dengan kadar pecutan yang lebih tinggi, seumpama menggunakan anak panah dari bahan yang lebih ringan.
Panahan Dinamik adalah apa yang dimaksudkan dengan memanah dengan ‘melambung anak panah’, ia adalah teknik lepasan yang lebih efektif berbanding memanah dengan tarikan yang panjang (overdraw) secara statik. Semakin cepat anak panah dilepaskan semasa mencapai tarikan penuh, semakin lancar dan bersih daya tujahan busur menolak keluar anak panah ke sasaran.
BUSUR TRADISIONAL DAN PANAHAN DINAMIK
Antara ciri unik busur tradisional Timur/Asia adalah kayu siyah pada kedua hujung lengan busur. Kurang diketahui, fungsi kayu ini sebenarnya adalah sebagai pemberat untuk menambah momentum tujahan busur, yang disesuaikan untuk penggunaan anak panah dengan mata perang yang lebih berat. Panahan Statik menyebabkan siyah gagal berfungsi, bahkan akan memperlahankan daya pecutan dari tujahan busur kerana telah menjadi beban tambahan. Dengan Panahan Dinamik, barulah siyah dan anggota lain busur akan bergandingan secara efektif dan produktif untuk mencapai potensi sebenar panahan.
Amaran dan langkah berjaga-jaga
Panahan Dinamik adalah kaedah yang agak berbahaya kepada pemanah berbanding Panahan Statik. Pemanah perlu berlatih secara Panahan Statik untuk tempoh yang lama sebelum beralih kepada teknik ini. Ini adalah penting untuk melatih memori otot kepada pergerakan yang seragam apabila membuat tarikan ke titik penjangkaran.
Melainkan seseorang itu betul-betul mahir dan telah tetap panjang tarikannya, pastikan panjang anak panah adalah sekurang-kurangnya 2-4 inci lebih panjang dari panjang tarikan. Menarik panahan melebihi panjang anak panah boleh menyebabkan anak panah menembusi tangan yang memegang busur.
Panahan Dinamik adalah peringkat memanah instinktif tradisional yang tinggi, sukar menguasainya melainkan telah berlatih bertahun-tahun. Pemanah-pemanah pada peringkat pertengahan hanya mampu memanah secara dinamik untuk jarak dekat dan sederhana (kurang 50 meter). Selepas pada jarak ini, hampir kebanyakan pemanah akan kembali kepada Panahan Statik.
Selain untuk memanah berkuda, pemanah perlu menguasai kemahiran Panahan Dinamik untuk mahir setiap teknik panahan pantas dan juga untuk memanah sasaran yang sedang bergerak.
Nota
Terma Panahan* (shot) adalah gabungan antara Tarikan* (draw) dan Lepasan* (release) secara berturutan. Terma Panahan Statik mempunyai maksud yang sama dengan Lepasan Statik, terma yang digunakan di dalam memanah busur recurve moden, yang juga dikenali sebagai lepasan mati (dead release).
credit to : http://arramy.com/artikel/panahan-statik-vs-panahan-dinamik/
No comments:
Post a Comment