Sunday, September 27, 2015

JENIS-JENIS BUSUR TRADISIONAL

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Terdapat banyak rekabentuk busur tradisional yang diberi nama mengikut negara, bangsa dan puak tertentu; seperti Turki, Monggol, Han, Avar, Assyria, Parsi, Mesir, Tartar, Cina, Manchu, Rum, Hungary (Magyar), Skitia, India, Bashkir, Korea (Hwarang), Jepun (Yumi) dan sebagainya. Sukar untuk membuat penilaian ke atas busur-busur ini berdasarkan nama mereka sahaja melainkan dengan melihat kepada bahan-bahan dan kaedah pembuatan busur-busur itu sendiri.

assyrian archer mural
Semua busur tradisional yang dihasilkan pada hari ini, adalah satu bentuk interpretasi oleh tukang-tukang busur terhadap bentuk-bentuk busur zaman lampau, melalui bahan-bahan bertulis dan arkib sejarah, untuk menghasilkan semula busur-busur rekabentuk tertentu dengan bahan dan kaedah baru, atau lama, atau gabungan kedua-duanya. Misalnya, busur Monggol buatan Toth Zoltan berbeza kaedah pembuatan, bahan-bahan, kemasan dan rupa luarannya berbanding yang dibuat oleh Grozer Csaba, apatah lagi kalau dibandingkan dengan buatan tukang di Mongolia.
Dengan pembahagian kepada kategori-kategori berikut, perbezaan dapat dilihat dengan lebih ketara, dan seterusnya dapat dibuat penilaian lanjut tentang pro dan kontra sesuatu busur itu, dari segi kualiti pembuatan (bahan-bahan, ketahanan, kemasan), kualiti panahan (rasa tarikan; di permulaan dan tarikan maksimum (stacking)), prestasi (kelajuan anak panah, panjang tarikan maksimum), berat dan saiz, rupa-bentuk dan keaslian sesuatu busur yang terhasil.

BUSUR ASAS / SELF BOW

Busur Rasulullah SAW dari sebatang buluh
Binaannya hanya dari sekeping kayu atau buluh. Pembuatan melibatkan proses memotong, mengetam dan mengikis, di samping proses membentuk dan meluruskan secara rawatan haba/api. Biasanya bahan dipilih dari jenis kayu tumpat/teras (heartwood). Busur paling terkenal adalah busur Nabi Muhammad SAW yang tersimpan di Muzium Topkapi di Turki yang diperbuat dari buluh. Kerana memerlukan saiz yang panjang, maka ia tidak sesuai digunakan untuk memanah berkuda. Selain itu, ia juga adalah sejenis busur lurus, dan tidak termasuk ke dalam kategori busur refleks yang lebih canggih.

BUSUR PVC / PVC BOW

Secara rekabentuk busur ini adalah busur tradisional instinktif, walaupun bahan asasnya adalah sejenis plastik. PVC adalah sejenis termo-plastik resin, yang lembut apabila dipanaskan. Cara pembuatan adalah dengan mengambil paip PVC yang boleh dibeli di kedai-kedai logam dan dipanaskan menggunakan pistol haba (heat gun), seterusnya dibentuk kepada bentuk yang diingini apabila bahan telah menjadi lembut.
Busur ini biasanya dipasarkan sebagai busur murah untuk bermula memanah, walaubagaimanapun, ia mempunyai kekurangan yang sangat ketara, iaitu jangka-hayat yang terhad disebabkan kelemahan bahan PVC. PVC adalah reaktif kepada ulangan regangan dan tekanan semasa memanah. Secara progresif, ia melemahkan ikatan molekul PVC sehingga akhirnya menyebabkan retakan mikroskopik dan menghasilkan kepanasan pada titik paling regang. Ini dikenali sebagai ‘material fatigue’ di dalam ilmu sains bahan dan akan menyebabkan busur mudah patah.

BUSUR LOGAM / METAL BOW

Busur Besi Mughal
Sejarah busur logam adalah sangat pendek, ianya bermula apabila teknologi pembuatan busur refleks bio-komposit tradisional telah mencapai kemuncaknya dan sehingga datangnya era senjata api. Hari ini, boleh dikatakan tiada tukang busur yang masih membuat busur logam dan ianya adalah ilmu yang telah pupus. Karakteristik unik busur jenis ini adalah ia mempunyai profil yang hampir sama sebelum dan selepas tali busur dipasang, kerana sifat daya lentur bahan logam yang tinggi. Bahan asas busur logam adalah besi, tembaga atau campuran aloi.
Busur jenis ini muncul di sekitar rantau Indo-Parsi dan jarang-jarang ditemui. Disebabkan ia diperbuat dari bahan logam, busur yang asal masih terpelihara dalam keadaan baik dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran barangan antik.

BUSUR RESIN GENTIAN-KACA / RESIN FIBERGLASS BOW

Untuk busur jenis ini, tukang-tukang busur menggunakan E-fiberglass yang dibentuk di dalam acuan dan resin sintetik sebagai gam, untuk menghasilkan keseluruhan badan busur (bahagian pemegang, lengan atas dan bawah) secara tunggal. Subjektif kepada rekabentuk, ia kemudiannya disambung dengan siyah dari kayu pada kedua-dua hujung. Bahagian yang diperbuat dari gentian-kaca kemudiannya ditutupi dengan lapisan kulit dan dihias. Kerana pembuatannya lebih mudah, kebiasaannya, busur dari jenis ini dijual dengan harga yang paling murah berbanding lain-lain jenis busur tradisional komersil. Busur jenis ini agak lasak dan mempunyai prestasi panahan yang baik.
Busur resin fiberglass Toth Monggol dan Grozer Rum
Busur resin fiberglass Toth Monggol dan Grozer Rum
Walaupun begitu sesetengah tukang busur seperti Grozer membuat busur resin gentian-kaca dengan tarikan yang agak ketat, menjadikannya kurang sesuai untuk yang baru bermula memanah. Busur jenis ini kebiasaannya mempunyai panjang tarikan maksimum sehingga 29 inci atau kurang sahaja. Lengan-lengan busur kompaun yang berprestasi tinggi adalah diperbuat menggunakan kaedah ini, jadi ia tidak boleh dikatakan sebagai teknik pembuatan yang tidak bermutu. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Toth Zoltan, busur Toth Istvan, busur Tamas Kovacs dan juga busur asas Grozer (basebow).

BUSUR KAYU BERLAPIS / WOODEN LAMINATED BOW

Kebanyakan busur tradisional dengan kualiti yang lebih baik adalah terdiri dari jenis ini. Bahan asas adalah lapisan-lapisan kayu sebagai teras utama yang digamkan di bawah tekanan berselang-seli dengan bahan gentian-kaca. Jenis kemasan selalunya mengikut jenis kayu pada lapisan paling luar; seperti Ash, Zebrano, Mahogany, Yew, Black Poplar, Indian Cherry dan sebagainya, manakala teras utama hanya dari jenis kayu tertentu sahaja. Selain kemasan kayu semula-jadi, ada juga kemasan cat atau disudahi dengan elemen dekoratif dan motif tradisional. Di samping itu, ia dilengkapi dengan aksesori tambahan pada busur menggunakan bahan dari kulit dan tanduk binatang.
Busur kayu berlapis Oszkar Magyar dengan plat tanduk pada siyah
Busur kayu berlapis Oszkar Magyar dengan plat tanduk pada siyah
Busur kayu berlapis dikenali kerana mempunyai tarikan lembut dan lancar. Walaupun berada di tangga kedua pada hirarki harga, ia sebenarnya sangat disarankan untuk bermula dalam memanah. Terdapat busur jenis ini, seperti busur Oszkar dari Hungary yang dijual lebih murah berbanding busur resin gentian-kaca. Busur kayu berlapis boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 30-33 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk.
Ratio campuran dan jenis bahan gentian-kaca dan resin sintetik yang digunakan adalah rahsia utama tukang-tukang busur yang dijaga rapi kerana ia mempengaruhi kelembutan tarikan busur. Disebabkan faktor ini, busur Saluki mendapat perhatian ramai dan dijual dengan harga yang sangat tinggi. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Oszkar, Kassai, Grozer, Szaloki, Saluki, Vegh, Akos, Tarvei dan lain-lain.
Busur Kaya dari Korea berada di dalam kategori yang sedikit terasing dan boleh diletakkan di dalam kategori hibrid moden kerana meletakkan bahan karbon di lapisan dalaman, iaitu pada perut busur. Ia juga satu-satunya jenis busur yang menggunakan bahan fabrik sebagai kemasan luar. Busur tradisional barat; seperti busur Panjang (Long bow) dan busur tradisional Amerika (American traditional bow) juga adalah dari busur jenis kayu berlapis ini.

BUSUR TANDUK BIO-KOMPOSIT / BIO-COMPOSITE HORN BOW

Busur jenis ini adalah lebih mahal dan baik dari jenis sebelumnya, dengan karakteristik tarikan yanng sangat lembut dan lancar. Ia pada asasnya adalah juga sejenis busur kayu berlapis. Ia terdiri dari bahan kayu sebagai teras utama (middle core layer), sinew termampat (tendon binatang) pada lapisan luar (outer layer) dan tanduk termampat pada lapisan dalaman (inner layer) iaitu bahagian perut busur. Lapisan tanduk ini adalah sama ada dari tanduk kerbau air, biri-biri liar (Bighorn), kambing gunung (Ibex) dan juga lembu Kelabu Hungary (Steppe cattle).
Sinew-Wood-Horn composite bow
Diagram binaan sinew-kayu-tanduk pada busur tradisional Turki
Kesemua lapisan ini dilekatkan di bawah tekanan, menggunakan gam epoxy atau resin sintetik yang diperkuat dengan gentian-kaca yang fleksibel.
Kemasan akhir boleh jadi lapisan sinew di luar lengan dan tanduk di perut busur sahaja, atau ditutupi dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) dengan atau tanpa diberikan dekorasi motif tradisional. Lain- lain komponen busur pada bahagian pemegang dan siyah adalah diperbuat dari tanduk, kayu, kulit dan tulang. Kadang-kadang lapisan sinew digantikan dengan lain-lain bahan sintetik moden, menjadikannya di bawah jenis sub-kategori busur tanduk komposit sintetik.
Busur tanduk buatan Grozer – perhatikan lapisan plat tanduk pada bahagian lapisan dalaman / perut busur
Kerana penggunaan tanduk pada lapisan dalaman, busur jenis ini juga dipanggil busur tanduk (horn bow). Sesetengah busur kayu berlapis biasa ada meletakkan lapisan hiasan/pelindung dari tanduk pada bahagian siyah, ini tidak menjadikannya sejenis busur tanduk.
Busur tanduk bio-komposit boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 31-35 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur buatan Kassai, Grozer dan Saluki, di samping tukang-tukang tradisional yang lain.

BUSUR TANDUK REPLIKA SEJARAH / HISTORICAL REPLICA HORN BOW

Busur ini adalah busur tanduk bio-komposit yang menggunakan 100% bahan pembuatan klasik semula-jadi. Bahan-bahan utama adalah kayu, sinew dan tanduk. Kemasan selalunya adalah dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) yang dihiaskan dengan elemen dekoratif tradisional mengikut tema rekabentuk busur, sementara lain-lain komponen busur diperbuat daripada tanduk, kayu dan tulang.
Lapisan-lapisan kayu, sinew dan plat tanduk dilekatkan dengan kaedah lama melalui pulasan tali menggunakan gam yang hanya boleh direbus atau diekstrak dari perut ikan sturgeon, yang kini diklasifikasikan sebagai hidupan yang terancam. Tukang-tukang yang mahir dengan kaedah lama ini amat sedikit, sekaligus membataskan pengeluaran busur ini. Kalau di Korea dan di Jepun, tukang-tukang lama ini diberikan status “National Living Treasure” untuk mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan mereka di dalam seni pembuatan busur. Busur tanduk replika sejarah menggunakan bahan pembuatan klasik semula-jadi ditambah kaedah pembuatan yang asli.
Kerumitan hiasan motif Islamik dan tradisional pada busur tanduk Turki
Kerumitan hiasan motif Islamik dan tradisional pada busur tanduk Turki
Teknik pembuatan adalah menggunakan kaedah atau olahan kaedah dari abad dahulu-kala berdasarkan kajian kepada sejarah dan rekod penulisan lampau. Disebabkan itu, proses pembuatan busur ini boleh mengambil masa yang panjang (antara 10-12 bulan) dan menjadi mahal.
Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Grozer dan Saluki, di samping busur buatan tukang-tukang tradisional Turki, China, Mongolia, Korea dan lain-lain.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/jenis-jenis-busur-tradisional/

PENGENALAN KEPADA BUSUR KOMPAUN

in the name of God, the supremely merciful, the most kind

Busur Kompaun Berburu

BUSUR KOMPAUN

i. Busur Kompaun Berburu.
ii. Busur Compound Sasaran.

Busur kompaun (compound bow) diklasifikasikan kepada dua sub-kategori, iaitu busur kompaun berburu (hunting compound bow) dan busur kompaun sasaran (target compound bow). Tiada perbezaan ketara antara keduanya melainkan pada aksesori, corak dan warna kemasan luaran. Pun begitu, busur kompaun sasaran dikatakan mempunyai prestasi lebih tinggi, lebih ringan dan lebih mahal, dan banyak digunakan di dalam pertandingan. Pembuatan busur adalah dari logam aloi magnesium (lebih ringan) atau aloi aluminum (lebih murah) dan lain -lain logam.
Kedua-dua sub-kategori ini menggunakan gandingan alat pengintai dan pemandang (sight & peep) untuk membidik sasaran, yang selalunya turut dilengkapi dengan kit pelepas (release kit) untuk menghapuskan ralat dan menjamin ketepatan maksimum.
Teknik samaran semasa berburu dengan busur kompaun
Teknik samaran semasa berburu dengan busur kompaun
Busur kompaun (compound bow) menggunakan sistem takal untuk mengurangkan beban tarikan secara mekanikal semasa membidik sasaran, ia boleh menghasilkankelegaan (let off) antara 75-80% kepada beban tarikan busur. Secara ringkas, untuk busur seberat 50lbs, beban tarikan hanya tinggal sekitar 10-13lbs semasa kedudukan tarikan penuh (full draw), untuk membolehkan penjimatan tenaga, lanjutan masa serta lebih tumpuan diberikan untuk membidik sasaran. Aplikasi kejuruteraan yang tinggi memastikan pemindahan tenaga kinetik dari lenturan lengan busur dan regangan tali sehingga anak panah dilepaskan adalah sangat efektif sehingga menghasilkan kelajuan panah yang tinggi dan hanya mengeluarkan sedikit bunyi.
Rekabentuk busur adalah panahan-lurus (straight-shot), iaitu mempunyai keluk pada busur untuk tempat menyangga anak panah dan sebagai jendela laluan ke sasaran, pada satu satah dengan daya tujahan busur.
Busur Kompaun Sasaran
Teknik memanah pandangan dengan kit pelepas
Kelebihan:
  • Kelajuan panahan, jarak efektif dan ketepatan busur sangat tinggi berbanding busur-busur lain.
  • Mudah dipelajari dan dikuasai dalam masa yang singkat.
  • Satu-satunya busur yang sesuai untuk mempertahankan diri dan rumah kediaman, kerana tali/kabel busur dalam keadaan terpasang dan tidak perlu ditanggalkan selepas memanah.
  • Kebanyakan busur kompaun mempunyai julat beban tarikan boleh laras, berbanding busur jenis lain dengan beban tarikan yang tetap, atau perlu ditukarlengan yang lain untuk menambah atau mengurangkan berat tarikan.
  • Busur kompaun juga mempunyai julat panjang tarikan (draw length) boleh laras, untuk menyesuaikannya dengan fizikal pengguna yang berbeza.
Kekurangan:
  • Sistem mekanikal busur yang rumit memerlukan penjagaan yang teliti dan cenderung untuk rosak tanpa penggunaan yang betul.
  • Prestasi sebenar busur hanya boleh dicapai dengan aksesori lengkap (rest, sight, peep, release, stabilizer), kombinasi anak panah yang sesuai dan penjajaran yang optimum.
  • Harga busur, aksesori dan komponen gantian adalah mahal.
Teknik: Memanah Pandangan (Sight Archery)
…bersambung di artikel seterusnya.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/pengenalan-kepada-busur-kompaun/

PANAHAN STATIK VS PANAHAN DINAMIK

in the name of God, the supremely merciful, the most kind

Untuk memajukan kemahiran memanah sehingga peringkat memanah berkuda, hanya ada satu jalan yang harus tempuhi, iaitu menguasai kemahiran memanah secara dinamik.

Apakah yang dikatakan Panahan Dinamik? Sebelum ini kita telah membincangkan memanah secara instinktif (tradisional) dan juga memanah secara pandangan berpejera (moden). Kita juga telah membincangkan gaya memanah dengan tarikan Meditteranean (Western archery) dan tarikan Monggol (Eastern/Asiatic archery).
Untuk memudahkan kefahaman kerana banyaknya istilah-istilah, kemahiran seni memanah dapat diringkaskan seperti berikut:-
Cukupkah mengambil hanya sebahagian?
Ilmu memanah yang MUTLAK adalah memanah secara instinktif tradisional, sedangkan memanah secara moden hanyalah SATU PER BAHAGIAN daripadanya. Ibarat satu surah daripada satu juzuk daripada keseluruhan AlQuran.
Baik gaya memanah dengan tarikan Mediterranean mahupun Monggol, kedua-duanya adalah sebahagian dari kaedah memanah instinktif tradisional. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Untuk cepat mahir, perlu memilih dan hanya memberi tumpuan kepada satu di antaranya. Perlu diingatkan terdapat banyak lagi jenis-jenis tarikan yang kurang diketahui, tetapi tidak kurang berbahaya berbanding kedua-dua gaya tarikan tadi.
Teknik memanah secara statik/pegun (Panahan Statik) adalah asas kepada memanah moden dengan berpejera, walaupun ia juga adalah cabang-cabang daripada memanah secara instinktif tradisional. Namun secara kontras, teknik memanah secara dinamik hanya eksklusif untuk pemanah-pemanah instinktif tradisional sahaja. Pro dan kontra, Panahan Statik dan Panahan Dinamik boleh diaplikasikan kepada kedua-dua gaya tarikan Meditterranean dan Monggol.
Perbezaan dari segi teknik
Panahan Statik bergantung kepada titik penjangkaran (anchoring point) tunggal, pergerakan tarikan (drawing motion) yang lancar dan seragam tanpa renjatan (jerking) supaya keadaan anggota badan dan sendi-sendi lain yang tidak berkaitan adalah PEGUN sepenuhnya. Ini membataskan pergerakan pemanah untuk seketika.

Panahan Dinamik juga bergantung kepada titik penjangkaran, untuk dua sebab; 1) untuk menyeragamkan panjang tarikan@tujahan busur, dan 2) mencapai laluan pergerakan tarikan yang MELURUS kepada titik penjangkaran; untuk proses lepasan sebaik sahaja mencapai panjang tarikan (draw length) yang dikehendaki. Keadaan anggota badan dan sendi-sendi lain yang tidak berkaitan adalah BEBAS (samada pada kedudukan kekuda yang berkenaan ataupun semasa bergerak) dan kurang diambil-kira. Faktor samada renjatan yang berlaku akan mempengaruhi ketepatan panahan akan diatasi melalui kaedah pemasaan ketika lepasan anak panah.
Panahan Dinamik
Langkah-langkah panahan
Panahan Statik melibatkan 4 langkah pergerakan; iaitu 1) membuat tarikan kepada kepada titik penjangkaran, 2) berhenti untuk membidik semasa tarikan penuh, 3) melepaskan anak panah dan 4) anggota tubuh lain kekal pegun semasa susulan (follow-through) sehingga anak panah kena ke sasaran.

Panahan Dinamik melibatkan 2 langkah pergerakan sahaja; iaitu 1) membuat tarikan SAMBIL membidik sehingga ke titik penjangkaran dan 2) melepaskan anak panah dengan serta merta tanpa berhenti. Pergerakannya lebih ringkas. Sesuai dengan bidalan Inggeris “less is more”. Latihan dan ulangan yang berterusan, secara berperingkat-peringkat, mengurangkan kebergantungan kepada daya pena’akulan, iaitu apabila proses pertukaran maklumat antara otak, deria dan otot-otot pada anggota badan membentuk memori-memori yang boleh dicapai dengan sangat cepat (tanpa berfikir). Pada tahap berikutnya, 2 langkah pergerakan ini seumpama satu pergerakan tunggal yang spontan sahaja.
Perhatikan, kedua-dua jenis panahan melibatkan ‘titik penjangkaran’ untuk menyeragamkan tarikan, ini adalah antara asas yang utama.
Selain itu ada juga teknik Panahan Dinamik yang menggunakan 2 titik penjangkaran, ini adalah kawalan tambahan untuk mencapai keseragaman yang lebih baik kepada arah vektor tarikan. Caranya adalah melalui pergerakan tarikan yang MELURUS kepada titik penjangkaran pertama dan meleretkan tangan ke titik penjangkaran kedua sebaik selepas lepasan. Teknik ini lebih sukar untuk dikuasai.

KELEBIHAN PANAHAN DINAMIK

– Teknik panahan tempur yang sebenar.
– Memanah dengan daya potensi manusia yang optimum.
– Melatih berfikir dengan pantas/spontan.
– Panahan lebih laju dan jauh kerana pengurangan beban (vektor tenaga negatif) ke atas daya tujahan busur, dapat diterangkan juga sebagai perpindahan tenaga keupayaan kepada tenaga kinetik yang lebih lancar. Kesannya adalah anak panah dilepaskan dengan kadar pecutan yang lebih tinggi, seumpama menggunakan anak panah dari bahan yang lebih ringan.

Panahan Dinamik adalah apa yang dimaksudkan dengan memanah dengan ‘melambung anak panah’, ia adalah teknik lepasan yang lebih efektif berbanding memanah dengan tarikan yang panjang (overdraw) secara statik. Semakin cepat anak panah dilepaskan semasa mencapai tarikan penuh, semakin lancar dan bersih daya tujahan busur menolak keluar anak panah ke sasaran.

BUSUR TRADISIONAL DAN PANAHAN DINAMIK

Antara ciri unik busur tradisional Timur/Asia adalah kayu siyah pada kedua hujung lengan busur. Kurang diketahui, fungsi kayu ini sebenarnya adalah sebagai pemberat untuk menambah momentum tujahan busur, yang disesuaikan untuk penggunaan anak panah dengan mata perang yang lebih berat. Panahan Statik menyebabkan siyah gagal berfungsi, bahkan akan memperlahankan daya pecutan dari tujahan busur kerana telah menjadi beban tambahan. Dengan Panahan Dinamik, barulah siyah dan anggota lain busur akan bergandingan secara efektif dan produktif untuk mencapai potensi sebenar panahan.
Busur ‘Ketam’ Indo-Parsi dengan siyah yang ekstrim vs busur tradisional kulit putih Amerika
Amaran dan langkah berjaga-jaga
Panahan Dinamik adalah kaedah yang agak berbahaya kepada pemanah berbanding Panahan Statik. Pemanah perlu berlatih secara Panahan Statik untuk tempoh yang lama sebelum beralih kepada teknik ini. Ini adalah penting untuk melatih memori otot kepada pergerakan yang seragam apabila membuat tarikan ke titik penjangkaran.
Melainkan seseorang itu betul-betul mahir dan telah tetap panjang tarikannya, pastikan panjang anak panah adalah sekurang-kurangnya 2-4 inci lebih panjang dari panjang tarikan. Menarik panahan melebihi panjang anak panah boleh menyebabkan anak panah menembusi tangan yang memegang busur.
Panahan Dinamik adalah peringkat memanah instinktif tradisional yang tinggi, sukar menguasainya melainkan telah berlatih bertahun-tahun. Pemanah-pemanah pada peringkat pertengahan hanya mampu memanah secara dinamik untuk jarak dekat dan sederhana (kurang 50 meter). Selepas pada jarak ini, hampir kebanyakan pemanah akan kembali kepada Panahan Statik.
Selain untuk memanah berkuda, pemanah perlu menguasai kemahiran Panahan Dinamik untuk mahir setiap teknik panahan pantas dan juga untuk memanah sasaran yang sedang bergerak.
Nota
Terma Panahan* (shot) adalah gabungan antara Tarikan* (draw) dan Lepasan* (release) secara berturutan. Terma Panahan Statik mempunyai maksud yang sama dengan Lepasan Statik, terma yang digunakan di dalam memanah busur recurve moden, yang juga dikenali sebagai lepasan mati (dead release).

pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/panahan-statik-vs-panahan-dinamik/

MEMANAH DAN UNDANG-UNDANG

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Anda berminat untuk memanah, lebih-lebih lagi untuk memanah secara sunnah, malahan anda berminat untuk menjadi golongan ghuraba yang tekad untuk membebaskan diri dari segala bentuk perhambaan, kecuali perhambaan secara mutlak kepada Sang Pemilik Alam Semesta.
Tapi anda bimbang anda akan disalah-erti. Anda bimbang masyarakat awam akan curiga melihat anda, sebagai golongan yang berpotensi mencetuskan kekacauan kepada keamanan dan keharmonian.
Malaysia Laws relating to archery
Jika anda mempunyai keraguan untuk memiliki busur dan anak panah atau mengenai aktiviti memanah disebabkan faktor undang-undang, berikut adalah fakta penting yang anda perlu tahu.
Memanah digazetkan sebagai satu bidang sukan di Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Laws of Malaysia – Sports Development Act 1997).
Busur dan anak panah diklasifikasikan sebagai peralatan sukan dan tidak memerlukan apa-apa permit atau lesen dari pihak berkuasa; untuk memiliki atau menggunakannya. Tidak ada pengkelasan khusus dari sudut ini yang membezakan antara busur tradisional, busur kompaun atau busur moden untuk pertandingan di sukan olimpik.
Namun begitu ada beberapa keadaan tertentu yang boleh menyebabkan anda ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa yang berkenaan bersabit dengan panah dan busur.
1. Pelbagai kesalahan memburu dengan busur dan panah bersabit spesies hidupan liar yang diperlindungi.
RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010 (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan).
Sehingga tarikh ini, busur dan panah adalah BUKAN senjata berburu yang sah di Malaysia.
2. Kesalahan yang boleh disabitkan mengikut Akta 357 Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Ofensif 1958.
Seksyen 6(1) Akta 357 memperuntukkan, mana-mana orang yang membawa atau memiliki di mana-mana jalan atau tempat awam apa apa senjata ofensif kecuali dengan kebenaran yang sah bagi maksud yang sah, adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga sebatan.
Kesalahan ini merujuk kepada semua jenis senjata berjadual* di dalam akta yang sama, tetapi terguna-pakai untuk segala jenis ancaman senjata lain secara UMUM dengan kehadiran 3 faktor berikut;
  1. Wujudnya ‘senjata ofensif’ iaitu apa-apa peralatan yang sekiranya digunakan untuk menyerang boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan.
  2. Berada di dalam tempat awam.
  3. Bermaksud mendatangkan kecederaan.
* Takrifan ‘senjata berjadual‘ bermaksud sebarang senjata ofensif yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta 357 (rujuk di bawah).
FAKTA 1 – Membawa busur dan panah sahaja tidak dianggap sebagai membawa senjata ofensif di tempat awam. Sentiasa pastikan anda tidak menjadi ancaman kepada orang lain.
FAKTA 2 – Di sebaliknya pula, membawa apa-apa senjata ofensif berjadual(walaupun tersembunyi) telah dianggap sebagai membawa senjata ofensif berbahaya di tempat awam.
Senarai Senjata Ofensif Berjadual.
AKTA 357: AKTA BAHAN-BAHAN KAKISAN DAN LETUPAN DAN SENJATA BERBAHAYA 1958.
JADUAL KEDUA (Seksyen 2 dan 12).
  1. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘flick knife’, yang mengeluarkan bilah secara automatik dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
  2. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘gravity knife’, yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tekanan graviti atau kuasa pusat putaran, yang mana bila dilepaskan, akan terkunci pada tempatnya dengan sesuatu butang, spring, tuas dan sebagainya.
  3. Alat sebatan/libasan (whip) diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
  4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
  5. Semua jenis bilah atau alatan lain yang dilekatkan ke atas, atau membentuk sebahagian pam basikal, paip besi atau pemegang yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
  6. Sebarang peralatan seperti pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing, kadang-kadang dipanggil sebagai ‘bearing-scraper’.
  7. Senjata berbentuk kapak kecil.
  8. Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
  9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
  10. Lembing dan mata lembing.
  11. Panah-silang (crossbow).
  12. Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.
Senjata berjadual hanya tidak menjadi kesalahan ketika berada di premis persendirian. TIADA permit dikeluarkan atau diperlukan untuk menyimpan senjata berjadual, tapi pastikan anda mempunyai sebab yang kukuh.
Kesalahan berkaitan senjata berjadual
Seksyen 7(1) Akta 357 memperuntukkan, sesiapa yang, melainkan bagi tujuan yang tidak menyalahi undang-undang –
(a) membawa atau memiliki di bawah kawalannya;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu;

mana-mana senjata berjadual adalah menjadi kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun, atau denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Undang-undang sedia-ada sebenarnya bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Jika anda memanah dengan sebab yang benar, tidak ada sebab untuk berasa gusar. Namun begitu, sentiasalah berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan yang perlu semasa memanah kerana busur dan panah adalah senjata yang boleh membunuh dan juga mengakibatkan kecederaan yang serius.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/memanah-dan-undang-undang/

MEMANAH DENGAN MATA-HATI

in the name of God, the supremely merciful, the most kind

Memanah dengan mata-hati juga dikenali sebagai memanah instinktif/naluri/gerak-rasa. Ini adalah bentuk memanah yang asal seperti mana cara memanah manusia di peradaban awal sebelum terciptanya busur-busur dan kaedah memanah moden berbantuan pejera optik. Nama-nama yang diberikan ini, tidak lain hanya bertujuan membezakan teknik memanah ini dengan teknik memanah moden.

Teknik memanah dengan mata-hati tidak bercanggah dengan teknik memanah moden bahkan kedua-duanya adalah bersifat komplementari. Untuk memberi kefahahaman mudah, memanah dengan mata-hati adalah bentuk memanah moden yang lebih rumit dan sukar; dengan menanggalkan alat pejera optik dan penetap panjang tarikan seperti clicker dan hanya bergantung kepada naluri; melalui penyelarasan memori otot dan panca-indera untuk memanah anak panah ke sasaran.
Semasa memanah, pemanah dengan mata-hati yang sebenar memandang tepat kepada sasaran dengan sepenuh tumpuan, tidak menyepetkan sebelah mata, tidak melihat unjuran arah anak panah, tidak merujuk kepada kepala anak panah dan tidak memanah secara jangkaan ke kanan atau ke kiri untuk membetulkan paradoks panahan. Pemanah dengan mata-hati yang sebenar hanya tahu panahannya pasti menuju ke sasaran.
Jangan terkeliru dengan terma ‘teknik memanah dengan mata-hati’ dengan ‘teknik memanah tradisional’, kerana yang awal itu merujuk kepada kaedah sedangkan yang kemudian itu pula merupakan jenis-jenis gaya memanah. Namun begitu, semua jenis gaya memanah tradisional pada umumnya adalah juga merupakan teknik memanah dengan mata-hati.
Kesilapan terbesar pemanah-pemanah tradisional adalah gagal menghayati ilmu sains seni panah dan terjun ke dalam sukan memanah beranggapan memanah dengan mata-hati adalah automatik dan ringkas berbanding memanah moden, walhal yang sebenar adalah sebaliknya. Falsafah, konsep dan sains di sebalik kedua-duanya adalah sama, walaupun yang satu itu hanyalah pecahan dari keseluruhannya. Prinsip-prinsip fizik trajektori panahan, pengiraan berat dan kelenturan batang panah, sifat aerodinamik anak panah, momentum dan penetrasi kepala panah, daya tujahan, refleks, panjang tarikan optimum dan jarak panahan busur; semuanya adalah tetap sama. Yang membezakan antara keduanya hanyalah kaedah moden telah menghapuskan penggunaan deria dalaman manusia dan hanya menumpukan kepada faktor fizikal dan deria luaran.
Memanah dengan mata-hati tidak seringkas me’lempar’kan anak panah ke sasaran. Memanah dengan mata-hati tetap melibatkan proses mengambil kekuda, mencagak , menarik sambil membidik dan melepaskan anak-panah. Cuma sesetengah proses ini, berlaku dengan cepat, spontan dan hampir serentak apabila seseorang itu mahir dengan teknik ini. Untuk mahir akan mengambil masa latihan bertahun-tahun, kerana kaedah memanah dengan mata-hati adalah mudah dipelajari tetapi sangat sukar untuk dikuasai.
Teknik memanah dengan mata-hati adalah teknik panahan yang tinggi, tetapi ada teknik memanah yang lebih tinggi.
Memanah instinktif

TEKNIK MEMANAH YANG TERTINGGI

Firman Allah;
“Maka (hakikatnya) bukanlah kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jua yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang memanah ketika kamu memanah tetapi Allah jua yang memanah. Dan Dia hendak menguji orang yang beriman dengan ujian yang baik daripada-Nya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (17).”
Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang)
Inilah kemuncak ilmu seni panah, yang membawa ke syurga. Ramai yang beranggapan apabila mereka memanah dengan mata-hati mereka juga telah memanah dengan teknik ini. Jadi teknik ini sangat ramai yang berkhayal mereka telah melalui dan mencapainya.
Ketahuilah panahan burukmu yang selalu tersasar itu bukanlah panahanNya.
Bersabda Rasulullah SAW:
“Ya Hayyu Ya Qayyum! Demi Rahmatmu aku memohon perelokkanlah bagiku segala urusanku, dan jangan biarkan aku kepada diriku walaupun untuk sekelip mata.”
Hadith riwayat Al-Hakim

Teknik panahan terunggul ini adalah semata-mata anugerah dariNya, tetapi ada jalan yang membawa ke sana, iaitu melalui jalan I’tiqad dan mujahadah. Jalan ini adalah jalan tauhid, jalan ihsan, jalan di mana sang hamba bersungguh-sungguh memohon cahaya petunjuk dan hidayahNya dan telah meninggalkan hawa-nafsu dan dirinya, dan menyerahkan jiwa dan rasa kepunyaan ke dalam genggamanNya. Ketahuilah jalan ini ada pada jalan jihad, seumpama pada suatu saat penentu, apabila masa bergerak dengan sangat perlahan, DIA menyentuh dan membawa anak panahmu kepada musuhmu. PanahanNya mengubah potensi kemenangan di dalam perang yang muktamad dan membantu kekasih-kekasih pilihanNya.
Lalu bagaimanakah hendak mendapat pimpinanNya pada panahanmu, arakian seperti itu jugalah mendapatkan pimpinanNya pada kehidupan seharianmu.
Seumpama jalan zikrullah, dengan sentiasa mengingatiNya dan memohon petunjuk dan hidayahNya. Seumpama jalan zikrullah, dengan meninggalkan pintu syirik, pintu nifaq, pintu maksiat, pintu hawa dan pintu dirimu. Maka ketika itulah kamu bersama Dia. Kerana Dia tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, juga orang-orang yang mengikuti hawa-nafsu.
Dalam zikrullah itu ada rasa, ada lafaz dan ada pergerakan. Zikrullah itu adalah hizb harianmu, dalam tidur dan bangun, dalam gerak dan diam, dalam ibadatmu juga hiburmu, apa sahaja yang dirimu lakukan kerana Dia dan untuk bersama Dia.
‘Meninggalkan dirimu’ – analogi dalam amalan zikrullah dan seni memanah.
Dalam amalan zikrullah martabat ihsan, ‘meninggalkan diri’ bermaksud meninggalkan segala rasa pemilikan kekuatan, kemampuan, rasa benar, rasa tahu dan seterusnya dari dalam diri dan meyakini pemilikan yang sebenar hanyalah oleh yang Haq. Ia juga bermaksud meninggalkan segala sifat dan tabiat buruk; ‘ujub, takabbur, riya’, silap, salah dan lain-lain keburukan dan kejelikan dari yang terang dan tersembunyi berpunca dari hawa nafsu. Selepas dari itu barulah, diri dapat bersama Dia, dengan pimpinanNya pada jalan yang lurus.
Apabila diertikan kepada seni memanah, amalan seni panah terunggul adalah bentuk latihan untuk menyediakan anggota diri memanah bersamaNya, dengan memperelok pergerakan dan memperbaiki pada yang ralat dan melencongkan. Jalan kepada menghampiri panahanNya adalah melalui gabungan disiplin latihan fizikal dan kerohanian; dengan meletakkan I’tiqad yang sebanding pada setiap pergerakan panahan. Adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang betul dan dikehendaki, supaya dapat diyakini bahawa itu adalah dariNya. Sedemikian juga adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang salah dan ralat, dari diri yang tidak sempurna, supaya dapat ditinggalkan dan diperbaiki sebelum ia menjadi tabiat dan kebiasaan.
Seperti-mana dirimu tidak akan bersama denganNya sebelum engkau meninggalkan keburukanmu, seperti itulah juga Dia tidak memanah untukmu sebelum engkau meninggalkan apa yang melencongkan panahanmu.
Kaedah latihan memanah moden menitik-beratkan konsistensi pada pergerakan dan kepentingan penggunaan otot yang betul untuk menghapuskan faktor ralat manusia semasa memanah. Rejim latihan pemanah-pemanah moden adalah lebih maju, komprehensif dan terbukti berkesan dalam aspek ini. Perhatikan bagaimana atlet-atlet memanah sentiasa mempunyai dimensi (panjang, arah dan laluan) tarikan, penjangkaran (anchoring) dan pergerakan sendi-sendi penting pada kedudukan YANG TETAP secara lancar tanpa tersekat-sekat. Pergerakan –pergerakan ini sebenarnya dapat diringkaskan sebagai kaedah penetapan fungsi memori otot.
Penetapan memori otot adalah kunci kepada panahan yang baik, bermula dari tarikan anak panah yang lancar pada pergerakan yang lurus dan paling ringkas. Pada saat mencapai tarikan penuh, mata-hati terbuka secara maksimum untuk seketika untuk menghalakan arah panahan secara jitu dan tepat. Semasa panah dilepaskan, tiada lagi pergerakan untuk seketika, saat ini segalanya terhenti-mati sehingga anak panah tembus ke sasaran.
Malangnya penetapan memori otot, memerlukan istiqomah pada disiplin latihan yang berterusan dan mengambil masa yang panjang, dengan mengulangi pergerakan yang sama secara konsisten. Ia hampir sama dengan fungsi memori otak, ianya sesuatu yang boleh dilupai atau menjadi tumpul, menjadikannya sesuatu yang perlu sentiasa diasah dan diamalkan. Ada hadith yang melarang keras meninggalkan sukan memanah setelah mempelajarinya, disebabkan ia dikira sebagai meninggalkan amalan sunnah dan menyebabkan hilangnya kemahiran yang amat penting.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/memanah-dengan-mata-hati/

PEMANAH YANG DIJANJIKAN SYURGA

in the name of God, the supremely merciful, the most kind

Archer Warrior
Pada satu waktu genting di dalam perang Uhud, tiada siapa pun bersama-sama Rasulullah SAW untuk berperang di sisinya, selain dari Talhah bin Ubaidillah dan Sa’ad bin Abi Waqqas Radhiallahu’anhum, itulah saat yang cemas di dalam hidup Baginda yang telah berdarah kecederaan dan patah giginya. Sedangkan inilah saat dan peluang keemasan bagi pihak musyrikin.

10 SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA

Sa’ad bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah Radhiallahu’anhum telah bertindak penuh kepahlawanan dan bertempur dengan tiada bandingannya, hingga tidak memberi kesempatan langsung kepada kehendak kaum musyrikin hendak membunuh baginda Nabi SAW, kerana mereka berdua adalah antara pemanah yang terhandal di kalangan bangsa Arab Quraisy. Kedua-duanya pula yang disebut antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga Allah SWT.
Semasa Sa’ad bin Abi Waqqas meluncurkan panah-panahnya, Rasulullah SAW bertindak menghulurkan anak-anak panahnya kepada Sa’ad sambil bersabda: “Panahlah mereka hai Sa’ad, bapaku dan ibuku jadi jaminanmu”. Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad SAW pernah mendoakannya: “Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.” 
Sa’ad Abi Waqas juga mendapat gelaran ‘Singa yang Menyembunyikan Kukunya’.
Ibnu Asakir mengeluarkan dari Ibnu Syihab, dia berkata: “Pada hari pertempuran di Uhud Sa’ad bin Abu Waqqas telah membunuh tiga orang musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Sa’ad itu. Maka Sa’ad berkata: “Rasulullah SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali.”
Di dalam hadith yang lain, ada diceritakan tentang keperwiraan Abu Talhah semasa peristiwa di perang tersebut yang bermati-matian mempertahankan keselamatan Rasulullah SAW dengan busurnya.
Dari Anas bin Malik RA, katanya : Ketika berlakunya peperangan Uhud dan tentera Islam berada dalam keadaan kucar kacir,  tidak ramai sahabat yang bersama Rasullullah SAW. Abu Talhah RA berada di samping Nabi SAW sambil baginda berlindung dengan perisainya. Abu Talhah RA pakar memanah sehingga pada waktu itu patah dua hingga tiga batang anak panah (kerana kuatnya panahan beliau).
Seorang lelaki berjalan bersamanya sebuah busur dengan anak panahnya dan baginda berkata: Serahkannya kepada Abi Talhah.” Nabi Allah SAW naik ke tempat tinggi dan  melihat kaum musyrikin lantas Abu Talhah RA berkata: “Wahai Nabi Allah, Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku! Jangan engkau naik ke tempat tinggi. Tidak ada satu anak panah musuhpun yang yang akan menembusimu. Leherku akan mempertahankan lehermu.”
– Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Dari ‘Amr bin ‘Abasah RA katanya: “saya mendengar Rasulullah bersabda:” 
“Barangsiapa melempar dengan sebatang anak panah dalam peperangan fisabilillah , maka baginya adalah pahala yang sama dengan memerdekakan seorang hamba sahaya”.
– Hadith riwayat Abu Daud dan Turmuzi

Rasulullah SAW turut menggunakan panah di hari Uhud itu, sebagaimana yang diceritakan oleh Qutadah bin al-Nukman, Rasulullah memanah dengan busurnya hingga terpatah hujungnya.

SATU ANAK PANAH YANG MEMBAWA 3 ANAK ADAM KE SYURGA

Telah dikhabarkan oleh Abdullah bin Muhammad Abu Qasim Al-Thaghari, katanya telah menceritakan kepada kami oleh Daud, katanya telah menceritakan kepada kami Mubarak iaitu Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya telah menceritakan kepada Abu Muslim dari Khalid bin Yazid, katanya: “Aku adalah seorang pemanah.” Maka Uqbah bin Amir lalu dekatku sambil berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala memasukkan tiga orang ke Syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pemilik anak panah itu yang mengharapkan kebaikan daripadanya, pemanah (yang melepaskan anak panah) dan pembuat anak panah itu. Memanahlah kamu dan tungganglah kuda, sesungguhnya jika kamu memanah, lebih-lebih aku sukai dari kamu menunggang kuda, tidak sia-sia seseorang yang melatih kuda untuk permainan keluarganya dan melatih memanah dengan busur dan anak panahnya. Sesiapa yang meninggalkan memanah atas kehendaknya sendiri setelah mempelajarinya, sesungguhnya ia telah meninggalkan (semua kebaikan) ini atau telah mengingkari perintah Pesuruh Allah.”
Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas RA dari Nabi SAW katanya:
“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!”

…bersambung di artikel seterusnya.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/pemanah-yang-dijanjikan-syurga/

TAHUKAH KAMU KEKUATAN ITU ADA PADA MEMANAH?

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Telah bersabda Rasulullah SAW:

“Adakah kamu tahu bahawa kekuatan itu ada pada memanah? “
– Sahih Muslim Hadith no. 4711

Sedang dari hadith yang lain, dari Uqbah bin Amir RA dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar:”
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnyakekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”
– Sahih Muslim Hadith no. 1917

pemanah
Dalil-dalil di atas adalah asas yang paling kuat bahawasanya memanah adalah sangat dituntut di dalam Islam.

PEMANAH DAN PERANG DI DALAM SEJARAH ISLAM

Di peringkat awal penentangan terhadap kaum musyrikin Mekah, diriwayatkan tentang pasukan pemanah tentera Islam pimpinan Abdullah bin Jubayr RA telah menyebabkan kucar-kacir seterusnya kekalahan di dalam perang Uhud apabila sebahagian dari mereka turun meninggalkan posisi pertahanan di tepi bukit kerana ingin berebut mengambil ghanimah dengan pasukan di barisan hadapan setelah menyangkakan pasukan Islam telah beroleh kemenangan.
Dapat diperhatikan, pasukan pemanah mempunyai kelebihan strategik yang boleh mempengaruhi keputusan akhir peperangan. Pemanah menjadi tunjang kepada kekuatan tentera Islam di zaman Rasulullah SAW. Sebab itu ketumbukan tentera pemanah adalah aset yang digeruni yang secara bersendiri mampu bertindak sebagai faktor pencegah (deterrent factor) kemaraan pihak musuh.
Banyak ulama dalam menghurai hadith berkenaan memanah cenderung untuk menyimpulkan bahawa seni memanah merupakan kekuatan paling utama di dalam perang di zaman Rasulullah SAW, jadi yang dimaksudkan oleh suruhan baginda sebenarnya adalah untuk mendapatkan kekuatan ketenteraan yang terhebat dalam membuat persiapan untuk perang.

SUNNAH YANG LAPUK?

Hari ni, dalam era misil balistik antara benua (ICBM) yang berkeupayaan nuklear, apakah memanah masih lagi sunnah yang relevan? Apakah kita perlu meninggalkan busur dan anak panah, kerana ia tidak lagi kekuatan ketenteraan yang terhebat, malah adalah lapuk kalau hendak dibandingkan dengan senjata api yang paling kecil sekalipun dari segi kekuatan memusnah?
Almalhamah
Berperanankah lagi busur dan panah hari ini, sebagai persiapan perang ummah untuk menghadapi serangan dari pelbagai pelusuk dan penjuru dari musuh-musuh Islam?
Berperanankah lagi busur dan panah hari ini, untuk para mukmin dalam mempersiapkan diri menyahut seruan jihad, mencari syahid di zaman penuh pancaroba fitnah?
Bagaimanakah pula peranan busur dan panah di dalam perang segala perang, di kemuncak kebinasaan akibat kejahatan tangan-tangan manusia wali-wali syaitan di dalam Almalhamah Kubra?

MENGHIDUPKAN SUNNAH RASULULLAH SAW

Siapakah di kalangan kalian yang sanggup memilih untuk bersama-sama kegemilangan hari semalam dan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabah RA yang dicintai?
Dari Ibnu Abbas RA, dari Rasulullah SAW beliau bersabda:
“Barang siapa yang berpegang teguh pada sunnahku di tengah kerusakan ummatku, maka dia akan mendapatkan pahala seratus orang yang shahid”. 
-Hadith Riwayat Baihaqi & Imam Thabrani

Apakah rahsia di sebalik matan “ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah”, sehinggakan Rasulullah SAW mengulanginya sehingga 3 kali?
Kami di Arramy.com mengajak para pembaca yang budiman bersama-sama menelusuri dan mengkaji sunnah Rasulullah SAW tentang busur dan panah dan peranannya di era papan kekunci, komunikasi satelit dan drone tanpa pemandu yang menyaksikan serangan yang begitu dahsyat boleh dilakukan dengan mudah dari beribu batu jauhnya.
…bersambung di artikel seterusnya.
pemanah-berkuda
credit to : http://arramy.com/artikel/tahukah-kamu-kekuatan-itu-ada-pada-memanah/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...