Sunday, September 30, 2012

Ratusan rakyat Libya serah senjata
Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya,01 Okt 2012
(Rakyat Libya berbaris menyerahkan senjata mereka)

BENGGHAZI (Libya): Ratusan rakyat Libya Sabtu lalu berkumpul di dataran utama di Benghazi dan satu lagi di Tripoli sebagai reaksi positif kepada seruan pihak tentera untuk menyerahkan senjata mereka.

Mereka hadir dengan membawa kereta berperisai, kereta kebal, kenderaan dengan senjata anti-pesawat dan ratusan pelancar roket.

Seruan oleh ketua kakitangan Libya telah disiarkan di stesen TV swasta Ogos lalu.

Tetapi ia baru mendapat reaksi positif ekoran serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi di mana duta Amerika dan tiga kakitangan konsulat telah terbunuh.

Insiden itu diikuti oleh kegemparan militia bersenjata yang semakin mencabar pihak berkuasa.

Sebagai tindak balas, kerajaan telah mengarahkan pembubaran semua militia atau mereka menyertai pusat yang menyelaraskan antara pihak tentera dan militia.

Kerajaan telah banyak bergantung kepada militia untuk mengawal keselamatan semasa kekacauan berikutan penyingkiran dan pembunuhan Moammar Gaddafi.

Kolonel tentera, Omran al-Warfali berkata kehadiran penyerahan senjata amat memberangsangkan.

"Ratusan orang datang sejak awal pagi ini untuk menyerahkan senjata mereka dari semua lapisan masyarakat, lelaki, wanita, dewasa, belia, termasuklah kanak-kanak yang datang untuk menyerahkan peluru yang mereka jumpai di jalanan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menganggarkan bahawa lebih 200,000 rakyat Libya adalah bersenjata.

Kerajaan telah mencuba beberapa skim penyerahan senjata, termasuk menawarkan pekerjaan kepada mereka yang menyerahkan senjata, atau menawarkan untuk membeli senjata. Skim-skim tersebut bagaimanapun tidak begitu berhasil.

Seorang pegawai tentera telah menggesa rakyat Libya melalui iklan di stesen TV yang popular untuk menyerahkan senjata mereka.

Stesen TV tersebut, Libya alHurra atau Libya yang Bebas menyiarkan secara langsung program penyerahan senjata Sabtu lalu.

Ahmed Salem, penganjur program di Benghazi berkata, lebih 800 orang menyerahkan senjata di pusat pungutan utama.

Lebih dari 600 jenis senjata telah dikumpulkan, termasuk senjata anti-pesawat, bom tanah, pelancar roket dan roket meriam.

Moussa Omr, bekas pejuang menentang Gaddafi yang tinggal di pinggir bandar Benghazi berkata, sudah tiba masanya untuk menyerahkan senjata ke negara Libya.

"Apabila saya melihat pengumuman di televisyen saya datang ke Benghazi dengan isteri dan anak saya untuk menyerahkan senjata kepada tentera kerana saya mahu bergerak dari peringkat revolusi ke pembangunan negara," katanya.

"Saya percaya kepada tentera. Mereka telah bersama kami di barisan hadapan dan saya kenal mereka seorang demi seorang. Saya tidak memerlukan senjata selepas hari ini, militia telah diusir dari Benghazi dan tentera akan melindungi kita."

Kemarahan terhadap militia tercetus selepas serangan September 11 ke atas konsulat AS.

Kebanyakan militia Libya muncul semasa perang lapan bulan menentang Gaddafi, tetapi kebanyakan yang lain pula muncul selepas berakhirnya pertempuran Oktober lepas.

Militia tidak begitu mengendahkan kerajaan interim yang cuba membina semula negara selepas pemerintahan diktator selama 42 tahun.

Militia dituduh membuli rakyat, menjalankan operasi penjara, dan mengadakan perbicaraan ringkas ke atas pengikut setia Gaddafi.

Hujung minggu lalu, ribuan penunjuk perasaan berarak membantah  militia di Benghazi, tempat bermulanya pemberontakan menentang Gaddafi, dan menyerbu dua halaman militia.

Di Tripoli, sekurang-kurangnya 200 bekas pejuang telah menyerahkan senjata mereka, termasuk dua kereta kebal, di dataran Martyrs di pusat bandar.

Seorang ulama menggesa pejuang-pejuang muda untuk menyerahkan senjata mereka.

"Negara ini dibina dengan pengetahuan bukannya senjata," ucapnya sambil berdiri di tengah-tengah dataran.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...