HAMPIR sebulan ruangan ini tidak mengetengahkan dan membicarakan tokoh-tokoh ulama yang menjadi fokus perbicaraan ruangan ini. Rentetan daripada seminar yang diadakan baru-baru ini, mengembalikan semula perbicaraan mengenai perkara tersebut.
Seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan tajuk ‘Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008’, diadakan pada 22 November baru-baru ini di Pusat Konvensyen, KUIS.
Walaupun tokoh ulama-ulama yang dibicarakan ini bukan hasil kajian penulis (Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah), namun pada dasarnya mempunyai tujuan yang sama. Oleh itu, pada ruangan kali ini adalah perbicaraan tokoh-tokoh ulama Selangor yang dibentangkan hasil dari seminar tersebut.
Antara objektif seminar tersebut adalah mengetengahkan tokoh-tokoh ulama di negeri Selangor dan sumbangan mereka dalam bidang ilmu agama dan dakwah Islamiah. Ia juga bertujuan mempromosi serta menyebarkan hasil kajian dan cetusan intelektual tokoh-tokoh ulama Selangor kepada masyarakat umum.
Antara yang diketengahkan dalam seminar tersebut termasuklah beberapa ulama-ulama yang pernah Wan Mohd. Shaghir nukilkan dalam ruangan ini. Maka perbicaraan tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi, namun ditambah dengan beberapa kajian tokoh-tokoh ulama yang dihasilkan oleh pembentang-pembentang seminar dari pelbagai institusi.
Perbicaraan ulama ini juga turut dibentangkan oleh cucu ulama yang terkenal itu sendiri, iaitu Ustaz Ahmad Syukri Ghazali yang diberi judul Riwayat Hidup Kiai Haji Muhammad Dahlan Bin Hassan Minhaj: Kadi, Imam dan Sheikh Tariqah dengan kupasan maklumat yang padat dan terperinci.
Melalui seminar seumpama ini juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan ulama-ulama lain yang belum ditonjolkan lagi. Malah dilihat objektif seminar dapat dicapai iaitu untuk mengetengahkan tokoh-tokoh ulama di Negeri Selangor agar menimbulkan kesedaran dan kecintaan masyarakat Islam hari ini terhadap golongan ulama dan karya-karya yang dihasilkan.
Berikut adalah ulama-ulama yang tiada dalam koleksi penyelidikan Wan Mohd. Shaghir dan diperoleh melalui seminar tersebut, iaitu:
1. Kiai Muhammad Ali Qaribun, yang ditulis dan dbentangkan oleh Ustaz Ahamd Syukri Ghazali.
2. Kiai Haji Husain Bin Haji Abbas, yang ditulis dan dibentangkan oleh seorang pensyarah KUIS, Ustaz Mohd Khafidz Soroni.
3. Kiai Khalil Ibn Abu ‘Ammar, yang ditulis dan dibentangkan oleh Ustaz Mahfuz Muhammad al-Khalil.
4. Datuk Hassan Haji Azhari, yang ditulis dan dibentangkan oleh Dr. Abdul Rauf Hassan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
5. Mohammad Shahar Sulaiman, yang ditulis oleh anak-anak tokoh ulama tersebut iaitu Ustaz Ahmad Fauzi Mohammad Shahar dan Ustaz Abd. Muhaimin Mohammad Shahar, juga dengan kerjasama para pensyarah Akademi Islam KUIS iaitu Ustaz Isma Addi Jumbri, Ustaz Kheril Anuar Darus dan Ustaz Syarul Azman Shaharudin.
6. Kiai Muhammad Hairawi, yang ditulis dan dibentangkan oleh pensyarah-pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Ustaz Ahmad Yunus Mohd. Noor dan Ahmad Dahlan Salleh.
7. Datuk Dr. Amran Kasimin, yang ditulis dan dibentangkan oleh pensyarah Akademi Islam KUIS iaitu Ustaz Abdul Rahim Ahmad.
8. Wan Mohd. Shaghir Abdullah, yang dibentangkan oleh Saifulrizan Mohd Said yang mewakili Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji).
Maklumat-maklumat mengenai ulama-ulama yang disebutkan di atas perlu dibicarakan dengan perbicaraan yang lebih panjang lagi. Ianya amat menarik untuk diperkenalkan dan disebarkan agar dapat diteruskan tradisi membudayakan pengkajian ilmu-ilmu Islam oleh tokoh-tokoh agama tersebut. Maka perbicaraan ulama-ulama tersebut akan dilanjutkan pada ruangan lain yang lebih khusus
Tokoh-tokoh Mufti Selangor
Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 yang dianjurkan dilihat adalah menyeluruh. Seminar tersebut bukan sahaja mengimbas kembali tokoh-tokoh ulama silam, bahkan turut membicarakan ulama-ulama yang pernah dilantik sebagai mufti Selangor.
Perbicaraan berkaitan tersebut ditulis oleh Ustaz Zahari Mahad Musa dan Ustaz Azman Ab. Rahman yang diberi judul Tokoh Mufti Dalam Institusi Fatwa Di Selangor: Satu Tinjauan Biografi.
Wadah
Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 tersebut dilihat sebagai satu wadah untuk memperkenalkan dan memartabatkan tokoh-tokoh Islam berserta karya-karya yang dihasilkan kepada masyarakat.
Dengan adanya seminar seumpama ini, secara tidak langsung menarik minat sesetengah pihak untuk cuba menyelongkar khazanah-khazanah ulama silam dan kini. Usaha-usaha seumpama ini wajar dicontohi agar lebih banyak kajian dan sumbangan yang dilakukan oleh pelbagai pihak dan institusi-institusi tertentu.
No comments:
Post a Comment