Monday, September 10, 2012


Sokong Seruan Presiden : Melayu Perlu Perkukuh PAS, Tinggalkan Umno

E-mailCetakPDF
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar rakyat Malaysia berbagai bangsa terutamanya orang-orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara ini.
Ini untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat bagi mengambil alih pemerintahan Malaysia daripada Umno dengan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon-calon pilihan raya PAS dan PR dalam PRU13 nanti.
Demikian ditegaskan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin A Razali dengan hujah-hujah berikut:
1. Umno menerusi Barisan Nasional masih gagal memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu sedangkan kuasa berada di tangan mereka sejak merdeka. Ini berlaku kerana dasar ekonomi kroni mengkayakan segelintir Melayu sahaja menjadi teras pentadbiran Umno.
2. Umno gagal memperkukuhkan politik Melayu di peringkat Malaysia apabila kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri majoriti besar Melayu seperti Kelantan dan Terengganu tidak diperbanyakkan berbanding negeri Pantai Barat dan Malaysia Timur.
3. Umno gagal mengamalkan urus tadbir secara Islam yang membawa kepada ketidaktelusan dan penyelewengan pengurusan wang negara seperti didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara.
4. Umno gagal melahirkan masyarakat berakhlak dan beretika sehingga lahirnya pelbagai gejala sosial dan akhlak yang semakin kritikal termasuk melibatkan bangsa Melayu.
5. Umno gagal memperkasakan peruntukan perlembagaan "Islam agama persekutuan" dengan memberi ruang undang-undang jenayah Islam dilaksanakan sekurang-kurangnya di negeri majoriti Melayu yang telah mengkanunkan enakmen jenayah Islam, iaitu Kelantan dan Terengganu.
Beliau menegaskan, sebagai rakyat yang memiliki kuasa majoriti di Malaysia, orang Melayu Islam wajib menegakkan Islam di negara Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial.
“Malangnya majoriti Melayu telah memberikan mandat kepada golongan yang salah iaitu Umno yang tidak mempunyai matlamat dan hasrat untuk menegakkan Islam,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Jelasnya, Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: "Apabila amanah disia-siakan maka tunggulah kiamat. Sahabat lalu bertanya bagaimanakah mensia-siakan amanah itu? Tegas baginda s.a.w.: Apabila diserahkan urusan (pemerintahan) kepada orang yang tidak berkelayakan maka tunggulah kiamat". (Hadis sahih Bukhari)
Khairuddin menambah, menurut tokoh ulama bernama al-Qari dalam karyanya Mirqat al-Mafaatiih, maksud "urusan" dalam hadis di atas ialah urusan kuasa atau pemerintahan atau kehakiman atau kerajaan. Orang yang tidak berkelayakan pula antaranya, contohnya ialah golongan yang jahil dan ahli maksiat yang fasiq.
“Justeru, sudah tiba masanya untuk Melayu beralih kepada PAS dan tidak dilekakan oleh pujuk rayu Umno yang hanya berhasrat untuk mengekalkan kuasa untuk kepentingan peribadi mereka dan bukannya untuk kepentingan Islam dan Melayu Islam,” ujar beliau lagi. 
Dipetik dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...