Personaliti tanah air: Pengalaman 2012, harapan 2013
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2012
ANDA mungkin mengenali mereka sebagai tokoh politik yang anda kagumi, selebriti, personaliti, jaguh sukan, ikon atau anda gelarkan mereka sebagai idola anda kerana pencapaian mahu pun kredibiliti mereka dalam bidang yang diceburi masing-masing.
Idea mahu pun bakat mereka anda kagumi. Tapi tahukah anda, apa yang mereka fikirkan tentang pencapaian hidup mereka sepanjang tahun 2012 dan harapan mereka untuk tahun 2013?
Oleh itu, sebelum kita sama-sama menutup tirai 2012 ini, kami kongsikan dengan anda semua pengalaman suka duka mereka yang kami berikan jolokan sebagai pencetus berita 2012!
"Sebaik selesai PRU13, kita perlu mengenepikan perbezaan-perbezaan, bermuhasabah dan memulakan "diskusi baru" tentang keadaan negara. Ini kerana kita terlalu lama terikat dengan perbincangan yang berorientasi politik sehingga hampir hilang pertimbangan rasional. Diskusi baru perlu berasaskan pemikiran progresif, budaya ilmu dan keperluan masa depan.
"Secara peribadi, saya ingin meningkatkan kualiti masa bersama famili dan menerbitkan buku saya yang keenam." - Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
"Saya mengharapkan Malaysia yang terus maju, bersatu, aman dan toleran. Sebenarnya Tuhan amat menyanyi Malaysia kerana dengan faktor-faktor kaum, budaya dan agama yang berbagai, ditambah dengan pemisahan oleh laut yang luas, Malaysia boleh binasa dengan sekelip mata sahaja.
"Hakikatnya, hari ini, Malaysia masih teguh, masih aman, masih berpadu tanpa sengketa sejak merdeka hingga kini. Dalam 2013 nanti, kita harus lebih banyakkan rasa kesyukuran kita kepada Tuhan dan menghargai rahmat-Nya kepada negara kita Malaysia."
- Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah
"Bagi pencapaian sepanjang 2012, saya sudah cuba buat yang terbaik sebagai seorang ahli Parlimen dan Naib Presiden Pas yang telah masuk penggal ke-2. Hari ini saya bangga melihat Pas dapat menjadi sebuah parti komponen penting dalam Pakatan Rakyat (PR). Pas melalui slogannya, 'Pas For All' juga semakin diterima baik oleh semua kaum dan pencapaian ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan dalam parti.
"Manakala bagi 2013, saya nekad membantu pimpinan PR mencipta sejarah di Johor. Langkah ini bagi membalas jasa parti yang telah memberikan peluang kepada saya menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Kelantan. Kini tiba masanya saya kembali ke negeri asal untuk merancakkan kejayaan pada PRU13 akan datang. Kesempatan ini saya ingin mengajak semua orang Johor memberikan komitmen dalam pecutan terakhir ini demi mencapai kejayaan. Semua harus fokus untuk memastikan Pas cemerlang pada PRU akan datang."
- Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Naib Presiden Pas
"Rakyat Malaysia mempunyai kesedaran tinggi tentang integriti dan rasuah dan inginkan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan. Ini adalah satu petanda yang baik untuk negara. Oleh itu penjawat awam termasuk pegawai kerajaan dan swasta perlu menitikberatkan integriti dan akauntabiliti dalam memberikan perkhidmatan mereka pada masyarakat." - Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara
"Bersyukur ke hadrat ALLAH SWT dengan izin-Nya banyak perubahan-perubahan yang dibuat olieh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menambah baik lagi proses pilihan raya yang akan datang hasil kerjasama dan cadangan semua pihak terutamanya daripada Jawatankuasa Khas Parlimen.
"Saya berdoa kehadrat ALLAH SWT semoga SPR akan dapat melaksanakannya dengan berkesan pada PRU13 nanti, Insya-ALLAH. Rakyat Malaysia yang belum mendaftar, harap mendaftar segera, dan bagi yang telah mendaftar, semak ketepatan maklumat masing-masing, jika perlu buat pembetulan." - Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
"Tahun 2013, saya berharap ia menjadi tahun yang lebih baik lagi untuk kita semua. Sudah tentu saya ingin membuat banyak lagi. Mengguna masa saya untuk membuat benda-benda yang bermakna lagi. Lebih berbanding 2012. Sebagai contoh mungkin, saya harap saya dapat juga bukan saja dari segi berkongsi pengetahuan saya tentang sains sahaja. Saya juga ingin berkongsi pengetahuan saya tentang kesihatan atau tentang benda-benda yang saya lebih minat kepada masyarakat.
"Pada masa yang sama, saya harap saya dapat meningkatkan kemahiran dalam latar belakang saya iaitu bidang pergigian iaitu di mana saya memang ada target untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut. Selain daripada itu, saya juga berharap rakyat Malaysia melihat 2013 ini sesuatu permulaan yang baru di mana harap dapat menggunakan masa itu sebaik mungkin kerana apa? Kerana saya yakin setahun daripada sekarang, pejam celik pejam celik kita tengok dah sampai akhir tahun. Kadang-kadang kita fikir apa yang kita
sudah buat dan harap-harapnya tahun akan datang kita dapat berbangga dengan apa yang kita dah buat. Gunakan masa dengan sewajarnya. - Mejar Dr Faiz Khaleed, calon angkasawan negara dan doktor gigi tentera Angkatan Tentera Malaysia dan selebriti
"Ketahanan induk Malaysia mengatasi cabaran-cabaran global dan dalaman 2012 berpaksi kepada ikatan padu kepelbagaian kaum-kaumnya dengan kepimpinan yang mantap. Diharapkan kelestarian kepimpinan sebegini terus menular ke 2013 dan selanjutnya, Insya-ALLAH." - Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Presiden Mubarak
"Harapan saya senang sahaja, supaya kita mengadakan satu pilihan raya yang betul-betul tenteram dan adil dan rakyat diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat yang mereka jangkakan boleh membantu untuk membangunkan negara dan juga masyarakat.
"Saya berharap pemilihan akan dibuat oleh rakyat dengan sebijak-bijaknya. Untuk mencapai ini tugas media, IIM (Institut Integiriti Malaysia) turut menjalankan penerangan dan agensi-agensi lain yang terlibat untuk menentukan rakyat atau pemilih ini mempunyai fakta, mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya sebelum memilih wakil rakyat."- Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Presiden Institut Integriti Malaysia
"Sebagai Naib Canselor saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua warga UUM yang telah bekerja kuat untuk menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan yang terkemuka dan berjaya mendapat rating lima bintang, berjaya mendapat laman web terbaik dalam sektor awam, dan kisat salah sebuah sekolah perniagaan terkemuka di Malaysia, kita juga mencatat pelbagai kejayaan yang lain juga." - Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia
"Harapan saya untuk melihat perjalanan pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dengan penuh demokratik dan semua pemimpin dari mana-mana parti politik berjiwa besar untuk menerima satu keputusan pilihan raya yang adil dan telus.
"Selepas pilihan raya, saya hendak supaya dasar-dasar kerajaan selepas itu adalah dasar yang mengutamakan ekonomi negara, tidak lagi menggunakan ekonomi negara secara umum dan hanya mengutamakan dasar ekonomi kepada individu-individu berbentuk 'one-off' kerana bagi saya ia satu pembaziran dan tidak ke mana. Suatu hari nanti, saya nak lihat kerajaan beri kail kepada rakyat, bukan memberi ikan." - Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia
"Tahun 2012 menyaksikan kemakmuran sosioekonomi dan kestabilan politik dikecapi di Malaysia. Di samping itu, masyarakat Malaysia juga telah menunjukkan tanda-tanda kematangan politik demokrasi khusus dalam menilai perkembangan pentadbiran dan politik semasa.
"Tahun 2013, saya ingin melihat transformasi yang diimpikan kepimpinan negara dapat direalisasikan dengan jayanya di atas semangat kerukunan agama, nusa dan bangsa dengan tidak mengenepikan nilai-nilai kemasyarakatan yang berprinsipkan kebaikan umum, bukan kebaikan individual. Ini harapan saya." - Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
"Pengalaman (yang tidak boleh dilupakan pada 2012) berkongsi pandangan di hadapan hampir 2000 orang di Dewan Merdeka, PWTC pada November lalu.
"Azam dan harapan, kekhilafan 2012 tidak berulang dan dilimpahi dengan berkat untuk terus melakukan tanggungjawab sebagai ahli akademik dan anggota masyarakat dalam komuniti yang rencam agar kita dapat terus hidup berukun, muhibbah dan stabil serta bahagia."
- Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
"Sepanjang tahun lalu penuh dengan peristiwa konflik politik antara pemerintah dan pembangkang. Tahun hadapan adalah penentu sama ada BN atau PR yang akan memerintah Malaysia. Saya ramalkan BN akan terus memerintah dan Kelantan dimenangi tipis oleh pembangkang." - Profesor Dr Ahmad Atory Hussien, pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
"Semoga umat Islam khususnya pada tahun 2013 dapat bersatu padu untuk mengekalkan pemerintahan dikuasai oleh umat Islam dan bersama meningkatkan usaha-usaha membangunkan kehidupan mereka dalam semua lapangan, baik dalam ibadah atau merebut peluang dalam ekonomi sebagai jihad kerana kita masih jauh ke belakang jika dibandingkan dengan kaum lain." - Datuk Abdul Rahman Othman, Mufti Pahang
"Kita minta kerajaan negeri sediakan satu pangakalan teksi supaya memudahkan pemandu-pemandi teksi mengambil dan menurunkan penumpang.
"Di Klang, dah 40 tahun persatuan kita, kita tak memiliki satu pangkalan teksi yang baik padahal Bandar Klang ini Bandar Diraja, berbanding kerajaan negeri lain yang menyediakan pangkalan dengan baik sekali.
"Kita pun malu, takkan persatuan nak menghadap Tuanku? Saya boleh mengadap Tuanku, tapi alhamdulillah dengan penaung yang baru berjanji nak buat sesuatu, saudara Azmizam Zamanhuri sanggup menyelesaikan masalah sebagai Ahli Majlis sanggup memikul tanggungjawab." - Jahaya Aziz, Yang Dipertua Persatuan Tuan Punya serta Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Klang dan Pantai Selangor
"Saya menjangkakan keadaan ekonomi masih tidak menentu, jadi saya berharap semua ahli kita lebih pruden dalam pengurusan mereka supaya perniagaan ini dapat dilangsungkan ke tahun-tahun ke hadapan. Banyak kes di mana ahli-ahli kita tidak urus pentadbiran dengan cara terbaik, oleh itu banyak ketirisan berlaku dan tidak kecekapan itu kadang kala menyebabkan keuntungan itu hilang.
"Kita dalam perniagaan berbentuk tunai, kalau kita tak jaga betul-betul pengurusan kita, kerja-kerja kita akan terjerumus dalam penyelewengan dan sebagainya. Apa yang kita nak tekankan tahun depan, kita akan mengarahkan semua pengusaha stesen minyak kita bekerjasama dengan syarikat minyak bagi mereka dilengkapi dengan kemahiran pengurusan supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih bagus." - Datuk Hashim Othman, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)
"Secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan prestasi Anak pada tahun ini. Banyak program dan gerakan ke akar umbi yang telah kita lakukan untuk memperjuangkan hak khususnya warga Felda.
"Antara isu besar yang kita tangani, sedikit sebanyak pencapaian itu diakui dalam menangani isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings. Saya fikir suara kita sangat lantang dari awal membantah sehingga ke waktu ini.
"Yang kedua perjuangan kita mengenai tuntutan rumah generasi kedua sehingga dalam Bajet 2013, Perdana Menteri telah mengumumkan, kali ini banyak RM1.5 bilion peruntukan untuk membina 20,000 unit rumah generasi kedua ini." - Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
"Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya membantu Kelantan merangkul juara treble. Cuma sedikit kecewa apabila saya bersama skuad kebangsaan gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki.
"Azam tahun baru nanti saya ingin mempamerkan aksi terbaik dan membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan treble." - Khairul Fahmi Che Mat, pemain bola sepak Kelantan
"Keseluruhan untuk tahun ini semua saya sangat berpuas hati, apa yang saya target semuanya tercapai.
"Jadi, untuk tahun baru sasaran saya adalah untuk melayakkan diri ke kejohanan dunia dan berada di kedudukan 10 pemain terbaik." - Liew Daren, pemain perseorangan kedua badminton negara
"Pencapaian sepanjang tahun 2012 amat memuaskan tidak kira dari peribadi mahupun untuk pasukan saya. Saya berjaya membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi juara Liga Perdana dan layak ke final Piala Malaysia. Itu cukup menggembirakan.
"Untuk tahun baru, saya ingin membantu pasukan saya menjadi juara tidak kira mana-mana piala pun, yang penting satu kejuaraan milik ATM." - Hairuddin Omar (Hai-O), pemain bola sepak ATM
"Tahun 2012 adalah tahun yang kurang memuaskan saya kerana yang pertama tidak dapat membantu pasukan Negeri Sembilan sekurang-kurangnya satu piala dan kedua tidak dapat membantu pasukan negara mempertahankn piala AFF. Itu yang mengecewakan saya.
"Untuk 2013 saya harap dapat mempertingkatkan prestasi agar dapat membantu pasukan baru saya iaitu Perak sekurang-kurangnya satu piala. Saya juga harap dapat kekalkan momentum supaya dapat terus kekal dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2015." - Farizal Marlias, penjaga gol Perak
"Walaupun Selangor tersekat dalam separuh akhir Piala Malaysia, namun saya tetap berpuas hati dan berbangga apabila pasukan saya berjaya melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun depan.
"Jadi, azam saya sempena tahun baru dan bakal mendapat anak kedua nanti, saya berharap mendapatkan kejuaraan untuk pasukan Selangor dan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan." - Amri Yahya, pemain Selangor
"Untuk tahun ini pencapaian tidak memuaskan. Boleh dikatakan tidak mencapai matlamat apa yang saya inginkan. Memang sedikit kecewa, tapi saya anggap itu satu pengajaran buat saya dan pemain untuk terus bekerja keras pada tahun akan datang.
"Pada tahun 2013 nanti saya mensasarkan sekurang-kurangnya satu piala milik Selangor. Kalau tiada piala saya anggap satu kegagalan. Jadi untuk merealisasikan misi tersebut, saya akan cuba sedaya upaya dan bekerja keras bersama pemain." - Irfan Bakti Abu Salim, jurulatih pasukan Selangor
"Secara keseluruhan prestasi pasukan Sime Darby amat memuaskan. Meskipun kami berada di tangga ketiga Liga Perdana, tapi saya tetap berpuas hati. Saya juga bangga apabila kami sebagai pasukan kelab layak ke final Piala FA buat kali pertama.
"Untuk tahun baru, saya berharap pasukan kami akan berada di kedudukan kedua terbaik dalam Liga Perdana agar Sime Darby akan layak secara outomatik ke Liga Super 2014." - Ismail Zakaria, jurulatih pasukan Sime Darby
"Semoga dapat bertanding di Sukan Olimpik lagi nanti, saya mahu mendapatkan pingat. Harap segala persiapan untuk ke Sukan Sea berjalan lancar dan mendapatkan pingat emas, Insya-ALLAH. Semoga tahun 2013 lebih baik dari tahun 2012 dan dimurahkan rezeki."
- Azizulhasni Awang, pelumba basikan negara
"Saya mahu membuat persediaan yang rapi untuk Sukan Sea nanti. Mencapai lebih apa yang sudah saya capai pada tahun-tahun sebelum ini. Sentiasa meningkatkan prestasi diri untuk masa depan." - Nur Ayuni Farhana, atlet menembak negara
"Saya harap untuk tahun 2013 sukan hoki Malaysia akan lebih maju. Untuk pencapaian tahun 2012, kurang memuaskan kerana pencapaian atau prestasi pasukan tidak konsisten. Saya juga berharap agar pasukan hoki Malaysia layak ke Olimpik dan mahu sukan hoki menjadi sukan kegemaran di Malaysia." - Datuk Nur Azmi Ahmad, Timbalan Presiden Persatuan Hoki Malaysia
"Untuk azam tahun 2013 ini, saya mahu pasukan Kedah menjuarai Liga Super dan menaikkan kembali nama pasukan Kedah. Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi prestasi diri untuk membantu pasukan Kedah dan juga skuad kebangsaan."
- Baddrol Bakhtiar, pemain pasukan Kedah dan Malaysia
"Azam saya mahu menebus apa yang tidak tercapai pada tahun 2012 dan mahu mencapai yang lebih baik dari sebelum ini. Saya mahu membantu pasukan Kedah dalam Liga Super itu adalah matlamat utama saya." - Akmal Rizal Ahmad Rakhli, pemain pasukan Kedah, bekas pemain kebangsaan
"Saya harap saya dapat melatih bakat-bakat baru untuk menjadi atlet dan menjadi pelapis negara. Jika berpeluang saya mahu dapatkan pingat emas untuk Malaysia di Sukan Sea nanti.
"Saya mahu menjadi insan yang lebih baik dan berharap agar bertemu jodoh yang baik." - Roslinda Samsu, atlet olahraga
"Apa yang saya harapkan untuk tahun 2013, semoga ALLAH memberi rahmat dan selamat dunia akhirat. Saya juga mahu merapatkan diri dengan Allah, memperbanyakkan amalan dan mensyukuri segala nikmat.
"Untuk kemajuan sukan pula, saya harap lebih maju ke hadapan, semua atlet lebih memberi tumpuan pada kejohanan yang disertai dan saya doakan semoga semuanya berjaya, Insya-ALLAH." - Datuk Maleek Noor, bekas jaguh bina badan Asia
"Saya mahu majukan lagi diri dalam sukan hoki ini dengan menyertai lebih banyak lagi pertandingan dan matlamat saya untuk menjadi juara. Untuk pasukan, saya harap layak untuk ke Piala Dunia. Harapan untuk tahun 2013 agar dapat meningkatkan prestasi diri."
- Faisal Saari, pemain remaja skuad hoki negara
"Untuk tahun depan, saya harap dapat menganjurkan program-program kejurulatihan yang lebih sempurna dan memperluaskan lagi program ini. Memberi peluang kepada jurulatih tempatan untuk menjadi jurulatih di peringkat elit dan sebagainya. Secara keseluruhan, saya harap dapat melahirkan lebih ramai altet dari pelbagai sukan." - Dr. Balbir Singh Gill, Pengerusi Akademik Kejurulatihan Kebangsaan, Pensyarah kanan Pusat Sukan, Universiti Malaya
"Harap pasukan ATM dapat meraih pencapaian yang lebih bagus dari tahun lepas. Dapat kekalkan prestasi untuk mara ke peringkat seterusnya. Saya mahu membantu pasukan meraih kejuaraan di musim depan." - B Sathianathan, jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia
"Memori tak terlupakan: kahwin dengan Yusri. Harapan: saya doakan yang baik-baik untuk diri kita, orang tersayang, semoga dirahmati ALLAH, diberi rezeki yang diberkati, bawa kita ke arah yang lebih baik." - Lisa Surhani, pelakon
"Azam tahun baru ini Ekin nak jadi usahawan yang berjaya atas produk yang terbaru Ekin dan Mawi iaitu uneQuein. Saya melahirkan Cahaya Malaika, itu anugerah yang tak dapat saya lupakan." - Nora'Asikin Rahmat (Ekin-Mawi), pelakon.
"Peristiwa yang tak dapat dilupakan adalah ketika tercalon dalam semi final Muzik-muzik. Berasa terjua sangat kerana tak sampai setahun menjadi anak seni dalam industri muzik tapi telah berpeluang sampai ke tahap itu.
"Selain itu berasa gembira kerana telah mempunyai peminat dan penyokong yang sentiasa bersama dan menyokong saya. Azam serta harapan untuk tahun 2013 masih fokus 100 peratus kepada pengajian saya dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses memandangkan saya baru masuk semester empat, tahun dua di UNIMAP. Keutamaan masih kepada pelajaran. Tetapi walau bagaimanapun sekiranya ada waktu terluang saya akan cuba untuk membuat lagi lagu-lagu yang lebih berkualiti untuk didengari oleh rakyat Malaysia."
- Ainan Tasneem, penyanyi
"Terlalu banyak peristiwa yang Ana alami pada tahun 2012. Tak perlu Ana ceritakan peristiwa-peristiwa pahit yang Ana tempuh dalam tahun 2012 ini kerana terlalu sakit untuk diluahkan dan diceritakan.
"Ana juga tak nak menyakitkan hati sesiapa atau mengaibkan sesiapa, cuma apa yang Ana dapat kongsikan, setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin sesetengah individu ada juga yang mengetahui atau merasakan apa yg dilalui Ana pada tahun 2012 ini.
"Ana jadikan setiap pengalaman yang Ana tempuh sebagai pengajaran dan tauladan, setiap peristiwa yang berlaku mengajar Ana untuk lebih kuat, berhati-hati dan cekal untuk tempuhi hari-hari akan datang.
"Ia juga akan dijadikan satu kenangan yang akan selalu mengingatkan diri Ana untuk tidak alpa dan leka. Ana sentiasa berdoa dan berharap hari-hari dan tahun yang akan datang akan lebih baik dari tahun tahun sebelum ini. Ana akan membuat penambahbaikan dalam diri
Ana untuk jalani hidup yang baru. Insya-ALLAH Ana juga berdoa agar hidup keluarga dan kerjaya Ana lebih maju dan berjaya. Ana juga inginkan kebahagiaan seperti insan insan lain. Amin." - Ana Dahlia, pelakon
No comments:
Post a Comment