harapan 2013

.
Dr Mohd Tap Salleh

Dr Mohd Tap Salleh
SHAH ALAM - Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertanggungjawab menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan integriti rakyat Malaysia mendapati perkembangan positif di kalangan rakyat Malaysia dari segi nilai terutama dalam aspek penghindaran daripada perbuatan rasuah.

Menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh, ia suatu perkembangan yang baik dan ia wajar dilonjakkan lagi di masa-masa hadapan.  

"Peningkat jika kita bandingkan dengan tahun-tahun lalu misalannya kita menjangkakan ia boleh sampai ke skala 7 daripada 10 yang kita lihat sebagai perkembangan memberangsangkan," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara, baru-baru ini.

Ujarnya, perkembangan ini dilihat selari dengan kajian yang dilakukan oleh Transparency International (TI) yang mendapati pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 bertambah baik dengan kedudukan di tangga 54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara, tahun lalu.

Pencapaian terbaru dikeluarkan menunjukkan skor CPI Malaysia pada 49 mata daripada skala 0 hingga 100 berbanding 43 mata pada 2011.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan Republik Czech, Latvia dan Turki yang turut meraih 49 mata.

"Saya yang terlibat secara langsung ini dan kajian yang kita buat beberapa tahun kebelakangan ini mendapati, kesedaran tentang perlunya kita beretika mempunyai nilai yang baik ini amat menggalakkan.

"Tapi kita perlu melonjak dan lebih lagi tindakannya atau pun kesedaran kita itu dan amalkan, jangan kita bercakap sahaja, kita kena amalkan," tegas beliau.

Wawancara yang diadakan bersama Mohd Tap adalah untuk mengimbas perkembangan dan perubahan sikap rakyat Malaysia sepanjang 2012 dan harapan agensi itu menjelang 2013, tahun paling penting dalam arena politik negara.

Dalam pertemuan itu, kata beliau, kajian keseluruhan berhubung kajian integriti masyarakat di negara ini belum selesai sepenuhnya.

Namun katanya, trend menunjukkan perkembangan baik dari pelbagai aspek termasuk persepsi masyarakat terhadap agensi korporat di negara ini.

"Ini juga menunjukkan peningkatan yang tinggi. Kami jangkakan dari segi mata kasar kerana masih belum selesaikam kajian ini, tapi lebih meningkat berbanding tahun-tahun lalu," ujar beliau.

Pasca Pilihan Raya Umum 2008, rakyat di negara ini kerap kali disogokkan dengan berita-berita sensasi membabitkan syarikat-syarikat korporat misalnya terbabit dalam kronisme, menjadi kantung wang kepada parti pemerintah untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Nama-nama seperti DRB-Hicom, Khazanah Nasional Berhad, konglomerat hartanah, Tradewinds Corporation Bhd (TCB), UDA Holding dan yang terbaru syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd antara yang digambarkan sebagai lubuk emas kerajaan pada hari ini untuk meraih keuntungan.

Individu-individu yang melakar kejayaan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Rozali Ismail, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, Robert Kuok dan Tan Sri Tony Fernandes dipandang negatif kerana ada hubungan rapat dengan kerajaan.

Namun menurut Mohd Tap, trend berkenaan perlahan-perlahan berlalu berdasarkan maklumat dan dapatan yang diperoleh serta peranan yang dimainkan media dalam menyampaikan maklumat yang telus dan seimbang.

"Kita mesti akur bahawa laporan berkenaan perkara-perkara yang tidak elok ini biasanya akan menjadi darah daging berita. Dalam dunia ini mana-mana kita pergi pun, berita sensasi yang misalnya berlaku kemalangan ngeri, perlakuan tidak baik, ini selalunya mendapat perhatian daripada masyarakat.

"Seperti di mana-mana laporan sensasi menjadi perhatian masyarat. Memang ada tetapi pada saya, kesedarannya sudah kita nampak lah (di Malaysia)," ujar beliau.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak agar bersama-sama menerapkan nilai murni dalam diri masing-masing dan melakukan perubahan sikap ke arah yang lebih positif dan matang tanpa menuding jari ke arah pihak yang lain.

Bercakap dalam konteks Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang semakin hampir, IIM katanya, melihat senario politik hari jauh berbeza pada tahun 2008 dan ia suatu perkembangan yang baik.

"Sebelum 2008 ia hangat tetapi hangat yang biasa, mungkin kerana tiada kejutan tetapi selepas itu, ada perubahan yang ditunjukkan pengundi, maka pilihan raya akan datang ini jadi lebih menyeronokkan," katanya.

Paling mustahak katanya apabila parti-parti politik di Malaysia dan pengundi itu sendiri punya kesedaran yang tinggi dalam segenap aspek dalam memastikan kesejahteraan negara terus terjamin.

"Paling penting ialah kesedaran di kalangan pengundi di Malaysia ini tidak boleh dipandang remeh kerana mereka sudah boleh menyoalkan tiap-tiap parti atau pun mereka yang akan bertanding.

"Ia (politik) lebih terbuka, lebih telus, di waktu yang sama juga apa yang membuatkan saya gembira ialah bahawa pengundi sekarang ini diambil kira secara serius keperluan, kehendak dan kemahuan mereka. Bukan apa yang dibentangkan, kita harap mereke menerima sahaja," ujar beliau lagi.    

Ditanya apakah harapan beliau dan IIM untuk tahun hadapan, Mohd Tap berkata, oleh kerana negara berhadapan dengan detik paling penting dalam arena politik negara tahun depan, beliau mengharapkan masyarakat Malaysia menggunakan ruang ini sebaik-baiknya dan penuh etika dalam menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara bertanggungjawab.  

"Harapan saya senang sahaja supaya kita mengadakan satu pilihan raya yang betul-betul tenteram dan adil dan rakyat diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat yang mereka jangkakan boleh membantu untuk membangunkan negara dan juga masyarakat.

"Saya berharap pemilihan akan dibuat oleh rakyat dengan sebijak-bijaknya. Untuk mencapai ini tugas media, IIM (Institut Integiriti Malaysia) turut menjalankan penerangan dan agensi-agensi lain yang terlibat untuk menentukan rakyat atau pemilih ini mempunyai fakta, mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya sebelum memilih wakil rakyat," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/iim-2012-tahun-cermin-kematangan-rakyat-malaysia-1.116664