Sunday, December 30, 2012


Majlis Perasmian XPDC Dakwah & Pelancaran Konvoi Kempen Anti Zina 8


Majlis Perasmian XPDC Dakwah & Pelancaran Konvoi Kempen Anti Zina 8 Daerah Hulu Langat akan diadakan pada :

Tempat: Masjid Bt.14 Hulu Langat
Tarikh: 29 Disember12 (Sabtu)
Masa: 12.30 tengahari
Perasmi: YB. Dr. Che Rosli Che Mat

Tentatif program:
12.00 - pendaftaran pserta XPDC & Konvoi  & Makan tengahari
1.30 - Solat Zohor
2.00 - Majlis Perasmian
3.00 - Gimik Perlepasan Konvoi
4.00 - Edaran Risalah
5.00 - Bersurai

Marilah lapangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis ini.

Kerajaan Selangor sentiasa mengambil tindakan yang holistik ,berjangka panjang dan inklusif dengan menggunakan segala sumber yang sudah ada dan mengupayakan segala sumber  termasuk rakyat dan pimpinan rakyat untuk menyokong dan mendokong satu gerakan bersama membasmikan masalah zina yang tidak mahu diatasi oleh kerajaan terdahulu.

Keseriusan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dibukti dengan  langkah-langkah berikut:
  1. Mewujudkan  JAWATANKUASA INDUK MENANGANI GEJALA SOSIAL
  2. Peruntukan khusus sebanyak RM1juta setahun berbandingkan dengan kerajaan BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM10 sahaja setahun;
  3. Sedang mewujudkan satu sistem pengurusan sosial yang  dibangunkan dan diuruskan untuk fasa pertamanya di FAKULTI PENDIDIKAN DAN SAINS SOSIAL UNISEL  untuk membangun sistem data segala prasarana, sumber fizikal dan juga sumber tenaga manusia yang akan di kursuskan untuk menangani gejala sosial di peringkat kawasan setempat serta sistem sokongan. Laporan terus kepada Pusat Pengurusan Sosial Selangor(PPSS) secara maya dan melalui penyelia setempat seperti ketua kampung/penghulu mengenai insiden gejala sosial dan akan masukkan data terkini dalam sistem ini dan membantu kerajaan negeri daripada mengesan trend, memantau keberkesanan dan kecekapan ‘key personnel’ untuk mengambil tindakan dan penerima input terus daripada masyarakat umum dan pengadu khusus.
Melalui Program Generasi Idaman Selangor (GeMS)  Kerajaan Negeri Selangor  mahu mengatasi isu gejala sosial bukan sahaja masalah zina  di Negeri Selangor. Langkah dan tindakan kerajaan negeri terutamanya  Kempen Anti Zina  bukan sekadar banner tetapi Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa menangani gejala sosial (peringkat INDUK DAN PERINGKAT DAERAH) yang dianggotai oleh jabatan serta agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin akar umbi seperti JKKK,  ibubapa, masjid/surau seperti berikut :
  1. Pejabat Daerah
  2. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk PeBT
  3. Polis Diraja Malaysia
  4. Jabatan Agama Islam Selangor
  5. Jabatan Pelajaran Selangor
  6. Agensi Anti Dadah Kebangsaan
  7. Jabatan Kebaikan Masyarakat
  8. Jabatan Agama Islam Selangor
  9. Jabatan Imigresen
  10. Jabatan Penjara
  11. Jabatan Kesihatan
  12. Jabatan Pendaftaran Negara
  13. RELA
  14. Pertubuhan Belia
  15. Pertubuhan Wanita
  16. Institusi Pengajian Tinggi
  17. Majlis Permuafakatan Guru MPPBIG
  18. Majlis Permuafakatan Tadika Selangor
  19. Majlis Institusi Pendidikan Islam Selangor
  20. Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor
  21. Ketua-ketua kaum
  22. Persatuan Pesara
  23. Kaunselor
Peranan jawatankuasa ini untuk menjadi penyelaras yang dapat menghasilkan perancangan strategik dalam meningkatkan usaha menangani gejala sosial secara efektif.

Hasil daripada jawatankuasa terdapat beberapa program yang telah dilaksanakan antaranya :
  1. Kempen Anti Zina (7siri) yang disertai bersama oleh 40 NGO Islam
  2. Seminar Pengurusan Cinta(JOM JODOH)
  3. Kursus Kepimpinan Masyarakat
  4. Pusat Sehenti Gems(One-Stop GeMS Centre)
  5. Pengupayaan sistem sokongan masyarakat termasuk pengukuhan keluarga
  6. Menonjolkan ikon remaja/belia positif sebagai idola alternatif seperti celebriti berakhlak dan  tunas ILMUWAN
  7. Mewujudkan trend budaya positif(trend setting) di kalangan pemimpin dan pelaksana hingga ke masyarakat umum
  8. Memperbanyakkan program pembangunan jaringan sosial
Sehingga kini sebanyak 7 kali operasi sempena Kempen Anti Zina diadakan untuk mencegah dan menangani masalah zina.

Statistik menunjukkan bahawa penurunan di beberapa Daerah seperti Kuala Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sabak Bernam, manakala  di Daerah- Daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan tangkapan iaitu Daerah Kuala Langat, Sepang, dan Hulu Selangor. Terdapat beberapa faktor yang menunjukkan peningkatan  kes seperti di Hulu Selangor terdapat banyak kes tangkapan yang di buat di apartmen yang bersempadan dengan Genting Highlands dan ia adalah antara salah satu faktor penyumbang berlakunya kes khalwat ataupun zina.

Indikator bagi keberkesanan sesuatu program yang dianjurkan  tidak hanya diukur dengan angka-angka tangkapan yang dibuat. Langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah untuk terus meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk mengetahui hukum-hakamnya berkaitan perbuatan zina. Dengan kesedaran ini masyarakat itu bersifat rasional dan emosional kerana situasi semasa menunjukkan berlaku trend yang meninggalkan hukum dan larangan Allah SWT. Selain itu, strategi menggunakan platform banner sebagai sistem penyebaran maklumat kepada masyarakat  dan ia merupakan salah satu medium yang di gunakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa usaha menangani masalah zina perlu ditangani oleh semua pihak. Peranan Banner amat penting bagi memberi maklumat kepada rakyat bahawa zina merupakan salah satu masalah sosial yang melanda masyarakat masa kini. Perkara yang lebih luas harus dilihat dalam aspek penggunaan banner ialah satu cara meuar-uarkan apa sahaja dasar dan program yang dijalankan serta apa-apa maklumat lebih –lebih lagi dalam konteks dasar tidak demokratik kerajaan persekutuan BN yang menafikan hak kerajaan negeri untuk diperuntukkan ruang dalam media massa perdana.

Kempen anti zina bukan sekadar banner sahaja kerana penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan telah digembeleng dan melibat 3 fasa dan membuktikan kegigihan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat. Ada yang menyengkang mata sehingga subuh untuk menyelamatkan remaja-belia yang tersasar dalam operasi bersepadu ke tempat maksiat.

http://mtddusuntua.blogspot.com/


Menteri UmNo Selamanya Tidak Mampu Berhujah!

PAS menyokong penuh hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk diberi peluang satu jam bagi menjelaskan isu amanat Haji Hadi di RTM1 dan TV3 secara langsung.

Setelah berminggu menyerang Presiden dalam isu ini menggunakan seluruh media perdana, kerajaan sewajarnya memberikan ruang sebagaimana yang diminta Presiden PAS untuk memberikan penjelasan kepada pengikut media perdana yang sama yang mengikuti serangan Umno dalam isu ‘Amanat Hadi’.

PAS melihat isu ini sebagai isu yang sengaja dibangkitkan semula bagi mengelirukan orang ramai. Peluang 1 jam ini wajib diberi kepada Presiden Pas untuk menjawab segala tohmahan jijik ke atas beliau yang telah berminggu lamanya.

Adalah sesuatu yang sangat tidak adil apabila peluang tidak diberi kepada yang dituduh dan sepatutnya golongan yang membuat tuduhan mesti mendengar dahulu penjelasan dari beliau.

Lebih malang bagi kalau ada mufti atau golongan agama yang terikut sama dalam kemelut yang sengaja ditimbulkan oleh golongan yang jahil terhadap agama.

Kenapa Presiden PAS tidak dipanggil, diminta penjelasan dan diberi peluang beliau menjelaskan segala pertuduhan?

Sehubungan dengan desakan Presiden ini, kita harap pihak kerajaan membuka laluan bagi beliau untuk memberi penjelasan melalui media perdana secara langsung. Kerajaan tidak perlu berdolak-dalih dalam isu ini bagi meraih populariti murahan, mahupun membiarkan isu ini menjadi polemik berterusan.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Disember 2012

http://mtddusuntua.blogspot.com/

kelantan1

kelantan2
Ini adalah penjelasan balas Pejabat MB Kelantan melalui Setia Usaha Akhbar MB Ahmad Fadhli Shaari, pada 21 Disember 2012, berhubung tanah 10,526 ekar yang dikatakan dipajak oleh pemimpin DAP Perak Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, melalui syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd. Petikan kenyataan Pejabat MB di bawah, diambil dari Harakahdaily seperti berikut:
Saya telah diarahkan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk membuat sedikit penjelasan berkenaan isu sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008. Ia dilaporkan di dalam blog pisau.net yang kemudiannya dijadikan asas kepada laporan polis oleh sebuah badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Nambikkai (Nambikkai) pada 19 Mac 2012. Ia juga turut dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Disember 2012.
Hakikatnya, ini satu lagi fitnah UMNO/Barisan Nasional yang cuba memperdayakan rakyat dengan isu-isu ciptaan mereka khususnya menjelang pilihanraya umum yang ke13. Peluru-peluru terakhir UMNO/BN ini kelihatan berterabur kerana dilancarkan dalam keadaan panik dan kelam kabut ekoran kebimbangan akan terlucut kuasa selepas pilihanraya nanti.
Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menukar status tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari ‘jasa baik’ UMNO terhadap tanah rezab Melayu.
Dalam isu tanah seluas 10,526 hektar yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak, suka untuk dinyatakan bahawa kawasan tersebut yang terletak di Hutan Simpan Relai, Gua Musang telah diluluskan kepada Yayasan Islam Kelantan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 13 September 2000. Ia bertujuan untuk menjana pendapatan YIK bagi tujuan menampung urusan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan. Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2000, Pakatan Rakyat masih belum wujud dan masih belum membentuk kerajaan di Perak.
Pada Disember 2000, Yayasan Islam Kelantan telah bersetuju menawarkan Projek Usahasama memajukan tanah ini kepada sebuah syarikat. Bagaimanapun syarikat tersebut ternyata tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja memajukan tanah terbabit dan ini menyebabkan Mesyuarat Lembaga Yayasan Islam Kelantan pada 18 Ogos 2004 membuat keputusan agar tawaran projek ladang hutan ini ditarik balik dan dibatalkan.
Tawaran kepada syarikat Upayapadu Sdn Bhd (pada masa itu dipengerusikan oleh Dato Seri Wong Yeon Chai) pula dibuat melalui surat Yayasan Islam Kelantan bertarikh 28 Ogos 2005 manakala perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006, hampir dua tahun sebelum pilihanraya umum 2008. Ia merupakan usahasama projek melalui konsep pajakan dan perjanjian selama 50 tahun dengan diberikan leasehold dan bukannya hak milik. Ia juga menjana pendapatan YIK melalui kadar sewaan RM100.00 seekar setahun untuk kawasan getah klon dan RM150.00 seekar setahun untuk kawasan kelapa sawit.
Pertukaran komposisi pengarah dan pegangan saham dalam Upayapadu Plantation Sdn Bhd telah dimaklumkan kepada Yayasan Islam Kelantan pada Mei 2012 di mana ekoran pertukaran tersebut, pihak syarikat dikehendaki membayar sumbangan kepada YIK sebanyak RM1.5 juta.
Berasakan kepada kronologi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa :
1. Dakwaan yang menyatakan YAB Menteri Besar Kelantan telah memberikan ‘habuan’ kepada pemimpin DAP Perak agar memberikan laluan kepada calon PAS mengisis kerusi Menteri Besar adalah fitnah sama sekali. Tarikh perjanjian dengan Upayapadu Sdn Bhd yang ditandatangani pada 3 Mei 2006 dan pertukaran komposisi pada Mei 2012 adalah tidak relevan dengan tarikh pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional hilang kuasa di Perak.
2. Dakwaan blog pisau.net bahawa ‘sekelip mata mereka memperolehi 10,526 ekar dengan nilai pasaran melebihi 30 juta ringgit’ juga adalah dakwaan yang tersasar. Ini kerana tanah tersebut hanya dipajak dan tidak diberikan hak milik. Pajakan pula hanya dalam tempoh 50 tahun sahaja. Blogger terbabit wajib mendatangkan salinan geran tanah sebagai bukti bahawa tanah tersebut telah dipindah milik.
3. Segala urusan perjanjian, pajakan dan transaksi dibuat dan dilaporkan di dalam mesyuarat samada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan, Tender, Pembangunan dan Pelaburan YIK atau Mesyuarat Lembaga YIK. Ia dilakukan melalui prosedur yang sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang.
Saya kira, fitnah terbaru ini tentunya akan menyaksikan satu lagi episod saman yang akan difailkan di mahkamah. Ia jelas merupakan satu fitnah besar terhadap YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. UMNO hakikatnya sudah hilang punca untuk menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu sedangkan pada hakikatnya, merekalah pengkhianat kepada tanah rezab Melayu.
Di Selangor misalnya, UMNO Bahagian Puchong telah cuba menjual sebidang tanah rezab Melayu kepada sebuah syarikat Lagi Gemilang Development Sdn Bhd yang mana pemiliknya adalah 75 peratus bukan bumiputra. Ia disyorkan ditolak oleh Pengarah Tanah dan Galian Selangor Darul Ehsan melalui sepucuk surat kepada Menteri Besar Selangor pada 25 Januari 2010. Inilah dia wajah UMNO yang sebenar!
Barangkali, UMNO meletakkan pihak lain seperti mereka di mana setiap perkara memerlukan habuan dan balasan. Dalam hal ini, menarik juga untuk dibincangkan apakah habuan yang diperolehi oleh UMNO ketika memberikan laluan kepada parti GERAKAN untuk mengisi kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu… – 21 Disember 2012
Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.
 http://www.selangordaily.com/?p=6841

Awas tiroid antara sebab keguguran
MIRIEATIE
29 Disember 2012
Awas tiroid antara sebab keguguran

Foto hiasan
Aida, 32, mempunyai masalah tiroid sejak sebelum hamil lagi. Namun, masalah ini dapat dikawal dengan pengambilan pelbagai jenis ubat termasuk cara perubatan tradisional.

Walau bagaimanapun, apabila hamil anak sulung, masalah tiroid kembali dialami. Masalah tiroidnya semakin meruncing semasa trimester pertama lagi. Selain kuat makan, Aida juga kerap menggeletar badan dan cepat berpeluh.

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Pakar KPJ Selangor, Doktor Haji Mohd Nazri, tiroid adalah sejenis penyakit yang memberi kesan kepada kelenjar tiroid. Ia merupakan kelenjar endoktrin yang mengeluarkan hormon tiroksin (T4) dan hormon triodotiromin (T3).

Biasanya ia terletak di pangkal leher atau di bahagian depan saluran pernafasan atau trakea dan juga saluran makan. Hormon tiroid berfungsi untuk mengawal kadar metabolisma badan.

Di kalangan wanita terutama yang berusia 20 tahun ke atas, terdapat dua jenis tiroid yang biasa dialami iaitu hipertiroid (lebih kerap berlaku) dan hipotiroid.

“Di kalangan wanita hamil, tiroid biasanya berlaku seawal trimester pertama. Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai masalah tiroid ini tidak perlu terlalu bimbang keran mereka masih boleh menjaga dan melindungi kesihatan janin dengan belajar dan mengetahui kesannya terhadap kehamilan dengan mengekalkan ujian fungsi tiroid terhadap kehamilan itu sendiri serta mengambil ubat-ubatan yang diperlukan serta mengikut nasihat pakar berkaitan penggunaan ubat-ubatan ini agar tidak menjejaskan kandungan,” jelas Dr Nazri.

Tambahnya, walaupun tiroid boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi, tetapi pada masa yang sama tiroid juga mempunyai fungsi tersendiri kepada ibu dan bayi berkenaan. Dalam tempoh 10-12 minggu pertama kehamilan, bayi akan bergantung sepenuhnya kepada ibu untuk pengeluaran hormon tiroid.

Bayi hanya akan menghasilkan hormon tiroidnya sendiri pada akhir trimester pertama. Walau bagaimanapun, bayi masih bergantung kepada ibu untuk jumlah pengambilan iodin yang mencukupi dan penting untuk menghasilkan hormon tiroid.

“Walau bagaimanapun, risiko bagi ibu hamil yang menghidap tiroid dan tidak memantau dengan betul atau secara teratur masalah ini memungkinkan menjadi salah satu punca keguguran bayi yang dikandungkan, bersalin awal, bayi pramatang, uri lekang awal serta boleh meningkatkan risiko darah tinggi. Sementara bagi bayi dalam kandungan itu pula, keadaan yang dihadapi ibu itu mungkin boleh menjejaskan IQ serta pertumbuhan bayi (bayi kecil),” jelasnya lagi.

Hipertiroidisme & Kehamilan

Secara keseluruhannya, punca tiroid paling biasa (80-85%) semasa hamil adalah penyakit Graves (mengambil sempena orang pertama yang menemui penyakit ini). Ia berlaku 1:1,500 di kalangan wanita hamil. Di samping itu, sebab-sebab lain hipertiroidisme adalah tahap hCG yang tinggi yang biasa dilihat semasa alahan teruk (morning sickness).

“Penyakit Graves biasanya hadir semasa trimester pertama atau mungkin diburukkan lagi sekiranya wanita hamil berkenaan mempunyai masalah gangguan (disorder). Di samping itu, gejala klasik yang dikaitkan dengan hipertiroidisme ialah masalah hipertiroidisme ibu yang tidak dirawat sehingga boleh menyebabkan kelahiran pramatang atau komplikasi serius yang dikenali sebagai pra-eklampsia.

Selain itu, wanita yang mempunyai penyakit Graves aktif semasa mengandung juga berisiko tinggi untuk mendapat hipertiroidisme sangat teruk yang dikenali sebagai Thyroid Storm. Penyakit Graves sering meningkat semasa trimester ketiga kehamilan dan boleh memburukkan keadaan semasa tempoh selepas bersalin,” terang Dr Nazri lagi.

Risiko hipertiroidisme kepada bayi pula bergantung kepada hipertiroidisme ibu. Sekiranya hipertiroidisme ibu yang tidak dikawal, ia boleh menyebabkan masalah tachycardia pada janin (kadar denyutan pantas), bayi kecil, lahir tidak cukup bulan, kelahiran mati dan malformations. Inilah antara sebab kenapa rawatan hipertiroidisme terhadap ibu sangat penting.

Pengambilan dadah anti-tiroid oleh ibu juga boleh menjejaskan bayi dalam kandungan sekiranya tidak dikawal. Pengambilan ubat dadah terapi jenis Methimazole (Tapazole) atau propylthiouracil(PTU) untuk rawatan hipertiroidisme juga dilihat boleh menjejaskan fungsi tiroid bayi dan menyebabkan penyakit Goiter.

Simptom & Rawatan

Lazimnya, antara simptom-simptom bagi penghidap hipertiroid adalah seperti selera makan bertambah, berat badan menurun, menggeletar jari tangan, berdebar-debar, kerap berpeluh, badan terasa panas dan mudah marah. Ia sedikit berbeza dengan simptom hipotiroid di mana pesakit menjadi gemuk, badan sering terasa sejuk, ingatan terganggu, kaki membengkak, kuat tidur dan berasa malas.

Diagnosis biasanya dilihat menerusi tanda-tanda atau gejala tiroid berkenaan. Rawatan yang dijalankan pula adalah bergantung kepada tahap penyakit yang dihidapi. Doktor akan membuat imbasan awal risiko pesakit tiroid dan memberikan diskripsi ubat-ubatan bersesuaian dengan tahap penyakit.

Hipertiroidisme ringan (gejala dan tahap hormon tiroid sederhana) biasanya hanya dipantau tanpa terapi selagi kedua-dua ibu dan bayi dalam keadaan baik. Apabila hipertiroidisme yang teruk memerlukan terapi, ubat-ubatan anti-tiroid akan menjadi rawatan pilihan dengan berpandukan kepada sejarah penggunaan dadah dalam rawatan sebelumnya.

Matlamat rawatan terapi adalah untuk membebaskan ibu daripada masalah T4 dan T3 dengan julat normal tinggi pada dos ubat anti-tiroid terendah. Jumlah tahap hormon ini diharap dapat mengurangkan risiko pembentukan hipotirodisme atau Goiter pada bayi.

Walau bagaimanapun, sekiranya ibu hamil terpaksa menjalani rawatan terapi hipertiroidisme semasa hamil, ia hendaklah dipantau dengan teliti.

Pembedahan membuang kelenjar tiroid jarang disarankan kepada ibu hamil kerana ia mungkin berisiko sama ada dari segi pembedahan itu sendiri mahupun anestesia kepada ibu dan bayi.

Penggunaan rawatan radioaktif iodine semasa hamil juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kemusnahan kelenjar dan menyebabkan hipotiroidisme kekal.

Rawatan Beta-blockers boleh digunakan semasa hamil untuk membantu merawat gegaran dan debaran disebabkan hipertiroidisme. Walau bagaimanapun, ia harus digunakan dengan berhati-hati untuk mengelak menjejaskan pertumbuhan bayi.

Hipertiroidisme/Penyakit Graves selepas bersalin

Biasanya hipertiroidisme/penyakit Graves akan menjadi lebih teruk dalam tempoh tiga bulan pertama selepas bersalin jika tidak dipantau dan dikawal sedari awal. Sekiranya ini berlaku, dos ubat-ubatan anti-tiroid yang tinggi diperlukan. Biasanya, pada masa ini, pemantauan rapi ujian fungsi tiroid adalah perlu.

Walau bagaimanapun, ibu yang menghidap masalah ini yang sedang dirawat dengan ubat anti-tiroid masih boleh menyusukan bayinya tetapi dengan pemantauan pengambilan jenis ubat.

·  Dapatkan lagi rencana menarik dalam majalah Seri Dewi & Keluarga edisi Januari 2013
http://www.sinarharian.com.my/famili/awas-tiroid-antara-sebab-keguguran-1.116429

Personaliti tanah air: Pengalaman 2012, harapan 2013
WARTAWAN SINAR HARIAN

31 Disember 2012
harapan 2013


.
ANDA mungkin mengenali mereka sebagai tokoh politik yang anda kagumi, selebriti, personaliti, jaguh sukan, ikon atau anda gelarkan mereka sebagai idola anda kerana pencapaian mahu pun kredibiliti mereka dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Idea mahu pun bakat mereka anda kagumi. Tapi tahukah anda, apa yang mereka fikirkan tentang pencapaian hidup mereka sepanjang tahun 2012 dan harapan mereka untuk tahun 2013?

Oleh itu, sebelum kita sama-sama menutup tirai 2012 ini, kami kongsikan dengan anda semua pengalaman suka duka mereka yang kami berikan jolokan sebagai pencetus berita 2012!

"Sebaik selesai PRU13, kita perlu mengenepikan perbezaan-perbezaan, bermuhasabah dan memulakan "diskusi baru" tentang keadaan negara. Ini kerana kita terlalu lama terikat dengan  perbincangan yang berorientasi politik sehingga hampir hilang pertimbangan rasional. Diskusi baru perlu berasaskan pemikiran progresif, budaya ilmu dan keperluan masa depan.
"Secara peribadi, saya ingin meningkatkan kualiti masa bersama famili dan menerbitkan buku saya yang keenam." - Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi


"Saya mengharapkan Malaysia yang terus maju, bersatu, aman dan toleran. Sebenarnya Tuhan amat menyanyi Malaysia kerana dengan faktor-faktor kaum, budaya dan agama yang berbagai, ditambah dengan pemisahan oleh laut yang luas, Malaysia boleh binasa dengan sekelip mata sahaja.

"Hakikatnya, hari ini,  Malaysia masih teguh, masih aman, masih berpadu tanpa sengketa sejak merdeka hingga kini. Dalam 2013 nanti, kita harus lebih banyakkan rasa kesyukuran kita kepada Tuhan dan menghargai rahmat-Nya kepada negara kita Malaysia."
- Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah


"Bagi pencapaian sepanjang 2012, saya sudah cuba buat yang terbaik sebagai seorang ahli Parlimen dan Naib Presiden Pas yang telah masuk penggal ke-2. Hari ini saya bangga melihat Pas dapat menjadi sebuah parti komponen penting dalam Pakatan Rakyat (PR). Pas melalui slogannya, 'Pas For All' juga semakin diterima baik oleh semua kaum dan pencapaian ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan dalam parti.

"Manakala bagi 2013, saya nekad membantu pimpinan PR mencipta sejarah di Johor. Langkah ini bagi membalas jasa parti yang telah memberikan peluang kepada saya menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Kelantan. Kini tiba masanya saya kembali ke negeri asal untuk merancakkan kejayaan pada PRU13 akan datang. Kesempatan ini saya ingin mengajak semua orang Johor memberikan komitmen dalam pecutan terakhir ini demi mencapai kejayaan. Semua harus fokus untuk memastikan Pas cemerlang pada PRU akan datang."
- Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Naib Presiden Pas


"Rakyat Malaysia mempunyai kesedaran tinggi tentang integriti dan rasuah dan inginkan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan. Ini adalah satu petanda yang baik untuk negara. Oleh itu penjawat awam termasuk pegawai kerajaan dan swasta perlu menitikberatkan integriti dan akauntabiliti dalam memberikan perkhidmatan mereka pada masyarakat." - Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara


"Bersyukur ke hadrat ALLAH SWT dengan izin-Nya banyak perubahan-perubahan yang dibuat olieh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menambah baik lagi proses pilihan raya yang akan datang hasil kerjasama dan cadangan semua pihak terutamanya daripada Jawatankuasa Khas Parlimen.

"Saya berdoa kehadrat ALLAH SWT semoga SPR akan dapat melaksanakannya dengan berkesan pada PRU13 nanti, Insya-ALLAH. Rakyat Malaysia yang belum mendaftar, harap mendaftar segera, dan bagi yang telah mendaftar, semak ketepatan maklumat masing-masing, jika perlu buat pembetulan." - Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


"Tahun 2013, saya berharap ia menjadi tahun yang lebih baik lagi untuk kita semua. Sudah tentu saya ingin membuat banyak lagi. Mengguna masa saya untuk membuat benda-benda yang bermakna lagi. Lebih berbanding 2012. Sebagai contoh mungkin, saya harap saya dapat juga bukan saja dari segi berkongsi pengetahuan saya tentang sains sahaja. Saya juga ingin berkongsi pengetahuan saya tentang kesihatan atau tentang benda-benda yang saya lebih minat kepada masyarakat.

"Pada masa yang sama, saya harap saya dapat meningkatkan kemahiran dalam latar belakang saya iaitu bidang pergigian iaitu di mana saya memang ada target untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut. Selain daripada itu, saya juga berharap rakyat Malaysia melihat 2013 ini sesuatu permulaan yang baru di mana harap dapat menggunakan masa itu sebaik mungkin kerana apa? Kerana saya yakin setahun daripada sekarang, pejam celik pejam celik kita tengok dah sampai akhir tahun. Kadang-kadang kita fikir apa yang kita
sudah buat dan harap-harapnya tahun akan datang kita dapat berbangga dengan apa yang kita dah buat. Gunakan masa dengan sewajarnya. - Mejar Dr Faiz Khaleed, calon angkasawan negara dan doktor gigi tentera Angkatan Tentera Malaysia dan selebriti


"Ketahanan induk Malaysia mengatasi cabaran-cabaran global dan dalaman 2012 berpaksi kepada ikatan padu kepelbagaian kaum-kaumnya dengan kepimpinan yang mantap. Diharapkan kelestarian kepimpinan sebegini terus menular ke 2013 dan selanjutnya, Insya-ALLAH." - Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Presiden Mubarak


"Harapan saya senang sahaja, supaya kita mengadakan satu pilihan raya yang betul-betul tenteram dan adil dan rakyat diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat yang mereka jangkakan boleh membantu untuk membangunkan negara dan juga masyarakat.

"Saya berharap pemilihan akan dibuat oleh rakyat dengan sebijak-bijaknya. Untuk mencapai ini tugas media, IIM (Institut Integiriti Malaysia) turut menjalankan penerangan dan agensi-agensi lain yang terlibat untuk menentukan rakyat atau pemilih ini mempunyai fakta, mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya sebelum memilih wakil rakyat."- Datuk Dr Mohd Tap Salleh,  Presiden Institut Integriti Malaysia


"Sebagai Naib Canselor saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua warga UUM yang telah bekerja kuat untuk menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan yang terkemuka dan berjaya mendapat rating lima bintang, berjaya mendapat laman web terbaik dalam sektor awam, dan kisat salah sebuah sekolah perniagaan terkemuka di Malaysia, kita juga mencatat pelbagai kejayaan yang lain juga." - Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia


"Harapan saya untuk melihat perjalanan pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dengan penuh demokratik dan semua pemimpin dari mana-mana parti politik berjiwa besar untuk menerima satu keputusan pilihan raya yang adil dan telus.

"Selepas pilihan raya, saya hendak supaya dasar-dasar kerajaan selepas itu adalah dasar yang mengutamakan ekonomi negara, tidak lagi menggunakan ekonomi negara secara umum dan hanya mengutamakan dasar ekonomi kepada individu-individu berbentuk 'one-off' kerana bagi saya ia satu pembaziran dan tidak ke mana. Suatu hari nanti, saya nak lihat kerajaan beri kail kepada rakyat, bukan memberi ikan." - Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia


"Tahun 2012 menyaksikan kemakmuran sosioekonomi dan kestabilan politik dikecapi di Malaysia. Di samping itu, masyarakat Malaysia juga telah menunjukkan tanda-tanda kematangan politik demokrasi khusus dalam menilai perkembangan pentadbiran dan politik semasa.
"Tahun 2013, saya ingin melihat transformasi yang diimpikan kepimpinan negara dapat direalisasikan dengan jayanya di atas semangat kerukunan agama, nusa dan bangsa dengan tidak mengenepikan nilai-nilai kemasyarakatan yang berprinsipkan kebaikan umum, bukan kebaikan individual. Ini harapan saya." - Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia


"Pengalaman (yang tidak boleh dilupakan pada 2012) berkongsi pandangan di hadapan hampir 2000 orang di Dewan Merdeka, PWTC pada November lalu.

"Azam dan harapan, kekhilafan 2012 tidak berulang dan dilimpahi dengan berkat untuk terus melakukan tanggungjawab sebagai ahli akademik dan anggota masyarakat dalam komuniti  yang rencam agar kita dapat terus hidup berukun, muhibbah dan stabil serta bahagia."
- Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


"Sepanjang tahun lalu penuh dengan peristiwa konflik politik antara pemerintah dan pembangkang. Tahun hadapan adalah penentu sama ada BN atau PR yang akan memerintah Malaysia. Saya ramalkan BN akan terus memerintah dan Kelantan dimenangi tipis oleh pembangkang." - Profesor Dr Ahmad Atory Hussien, pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


"Semoga umat Islam khususnya pada tahun 2013 dapat bersatu padu untuk mengekalkan pemerintahan dikuasai oleh umat Islam dan bersama meningkatkan usaha-usaha membangunkan kehidupan mereka dalam semua lapangan, baik dalam ibadah atau merebut peluang dalam ekonomi sebagai jihad kerana kita masih jauh ke belakang jika dibandingkan dengan kaum lain." - Datuk Abdul Rahman Othman,  Mufti Pahang


"Kita minta kerajaan negeri sediakan satu pangakalan teksi supaya memudahkan pemandu-pemandi teksi mengambil dan menurunkan penumpang.

"Di Klang, dah 40 tahun persatuan kita, kita tak memiliki satu pangkalan teksi yang baik padahal Bandar Klang ini Bandar Diraja, berbanding kerajaan negeri lain yang menyediakan pangkalan dengan baik sekali.

"Kita pun malu, takkan persatuan nak menghadap Tuanku? Saya boleh mengadap Tuanku, tapi alhamdulillah dengan penaung yang baru berjanji nak buat sesuatu, saudara Azmizam Zamanhuri sanggup menyelesaikan masalah sebagai Ahli Majlis sanggup memikul tanggungjawab." - Jahaya Aziz, Yang Dipertua Persatuan Tuan Punya serta Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Klang dan Pantai Selangor



"Saya menjangkakan keadaan ekonomi masih tidak menentu, jadi saya berharap semua ahli kita lebih pruden dalam pengurusan mereka supaya perniagaan ini dapat dilangsungkan ke tahun-tahun ke hadapan. Banyak kes di mana ahli-ahli kita tidak urus pentadbiran dengan cara terbaik, oleh itu banyak ketirisan berlaku dan tidak kecekapan itu kadang kala menyebabkan keuntungan itu hilang.

"Kita dalam perniagaan berbentuk tunai, kalau kita tak jaga betul-betul pengurusan kita, kerja-kerja kita akan terjerumus dalam penyelewengan dan sebagainya. Apa yang kita nak tekankan tahun depan, kita akan mengarahkan semua pengusaha stesen minyak kita bekerjasama dengan syarikat minyak bagi mereka dilengkapi dengan kemahiran pengurusan supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih bagus." - Datuk Hashim Othman, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)


"Secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan prestasi Anak pada tahun ini. Banyak program dan gerakan ke akar umbi yang telah kita lakukan untuk memperjuangkan hak khususnya warga Felda.

"Antara isu besar yang kita tangani, sedikit sebanyak pencapaian itu diakui dalam menangani isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings. Saya fikir suara kita sangat lantang dari awal membantah sehingga ke waktu ini.

"Yang kedua perjuangan kita mengenai tuntutan rumah generasi kedua sehingga dalam Bajet 2013, Perdana Menteri telah mengumumkan, kali ini banyak RM1.5 bilion peruntukan untuk membina 20,000 unit rumah generasi kedua ini." - Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)


"Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya membantu Kelantan merangkul juara treble. Cuma sedikit kecewa apabila saya bersama skuad kebangsaan gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki.

"Azam tahun baru nanti saya ingin mempamerkan aksi terbaik dan membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan treble." - Khairul Fahmi Che Mat, pemain bola sepak Kelantan


"Keseluruhan untuk tahun ini semua saya sangat berpuas hati, apa yang saya target semuanya tercapai.

"Jadi, untuk tahun baru sasaran saya adalah untuk melayakkan diri ke kejohanan dunia dan berada di kedudukan 10 pemain terbaik." - Liew Daren, pemain perseorangan kedua badminton negara


"Pencapaian sepanjang tahun 2012 amat memuaskan tidak kira dari peribadi mahupun untuk pasukan saya. Saya berjaya membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi juara Liga Perdana dan layak ke final Piala Malaysia. Itu cukup menggembirakan.
"Untuk tahun baru, saya ingin membantu pasukan saya menjadi juara tidak kira mana-mana piala pun, yang penting satu kejuaraan milik ATM." - Hairuddin Omar (Hai-O), pemain bola sepak ATM


"Tahun 2012 adalah tahun yang kurang memuaskan saya kerana yang pertama tidak dapat membantu pasukan Negeri Sembilan sekurang-kurangnya satu piala dan kedua tidak dapat membantu pasukan negara mempertahankn piala AFF. Itu yang mengecewakan saya.

"Untuk 2013 saya harap dapat mempertingkatkan prestasi agar dapat membantu pasukan baru saya iaitu Perak sekurang-kurangnya satu piala. Saya juga harap dapat kekalkan momentum supaya dapat  terus kekal dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2015." - Farizal Marlias, penjaga gol Perak


"Walaupun Selangor tersekat dalam separuh akhir Piala Malaysia, namun saya tetap berpuas hati dan berbangga apabila pasukan saya berjaya melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun depan.

"Jadi, azam saya sempena tahun baru dan bakal mendapat anak kedua nanti, saya berharap mendapatkan  kejuaraan untuk pasukan Selangor dan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan." - Amri Yahya, pemain Selangor


"Untuk tahun ini pencapaian tidak memuaskan. Boleh dikatakan tidak mencapai matlamat apa yang saya inginkan. Memang sedikit kecewa, tapi saya anggap itu satu pengajaran buat saya dan pemain untuk terus bekerja keras pada tahun akan datang.
"Pada tahun 2013 nanti saya mensasarkan sekurang-kurangnya satu piala milik Selangor. Kalau tiada piala saya anggap satu kegagalan. Jadi untuk merealisasikan misi tersebut, saya akan cuba sedaya upaya dan bekerja keras bersama pemain." - Irfan Bakti Abu Salim, jurulatih pasukan Selangor


"Secara keseluruhan prestasi pasukan Sime Darby amat memuaskan. Meskipun kami berada di tangga ketiga Liga Perdana, tapi saya tetap berpuas hati. Saya juga bangga apabila kami sebagai pasukan kelab layak ke final Piala FA buat kali pertama.

"Untuk tahun baru, saya berharap pasukan kami akan berada di kedudukan kedua terbaik dalam Liga Perdana agar Sime Darby akan layak secara outomatik ke Liga Super 2014." - Ismail Zakaria, jurulatih pasukan Sime Darby


"Semoga dapat bertanding di Sukan Olimpik lagi nanti, saya mahu mendapatkan pingat. Harap segala persiapan untuk ke Sukan Sea berjalan lancar dan mendapatkan pingat emas, Insya-ALLAH. Semoga tahun 2013 lebih baik dari tahun 2012 dan dimurahkan rezeki."
- Azizulhasni Awang, pelumba basikan negara


"Saya mahu membuat persediaan yang rapi untuk Sukan Sea nanti. Mencapai lebih apa yang sudah saya capai pada tahun-tahun sebelum ini. Sentiasa meningkatkan prestasi diri untuk masa depan." - Nur Ayuni Farhana, atlet menembak negara

"Saya harap untuk tahun 2013 sukan hoki Malaysia akan lebih maju. Untuk pencapaian tahun 2012, kurang memuaskan kerana pencapaian atau prestasi pasukan tidak konsisten. Saya juga berharap agar pasukan hoki Malaysia layak ke Olimpik dan mahu sukan hoki menjadi sukan kegemaran di Malaysia."  - Datuk Nur Azmi Ahmad, Timbalan Presiden Persatuan Hoki Malaysia

"Untuk azam tahun 2013 ini, saya mahu pasukan Kedah menjuarai Liga Super dan menaikkan kembali nama pasukan Kedah. Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi prestasi diri untuk membantu pasukan Kedah dan juga skuad kebangsaan."
- Baddrol Bakhtiar, pemain pasukan Kedah dan Malaysia


"Azam saya mahu menebus apa yang tidak tercapai pada tahun 2012 dan mahu mencapai yang lebih baik dari sebelum ini. Saya mahu membantu pasukan Kedah dalam Liga Super itu adalah matlamat utama saya." - Akmal Rizal Ahmad Rakhli, pemain pasukan Kedah, bekas pemain kebangsaan


"Saya harap saya dapat melatih bakat-bakat baru untuk menjadi atlet dan menjadi pelapis negara. Jika berpeluang saya mahu dapatkan pingat emas untuk Malaysia di Sukan Sea nanti.

"Saya mahu menjadi insan yang lebih baik dan berharap agar bertemu jodoh yang baik." - Roslinda Samsu, atlet olahraga


"Apa yang saya harapkan untuk tahun 2013, semoga ALLAH memberi rahmat dan selamat dunia akhirat. Saya juga mahu merapatkan diri dengan Allah, memperbanyakkan amalan dan mensyukuri segala nikmat.

"Untuk kemajuan sukan pula, saya harap lebih maju ke hadapan, semua atlet lebih memberi tumpuan pada kejohanan yang disertai dan saya doakan semoga semuanya berjaya, Insya-ALLAH." - Datuk Maleek Noor, bekas jaguh bina badan Asia


"Saya mahu majukan lagi diri dalam sukan hoki ini dengan menyertai lebih banyak lagi pertandingan dan matlamat saya untuk menjadi juara. Untuk pasukan, saya harap layak untuk ke Piala Dunia. Harapan untuk tahun 2013 agar dapat meningkatkan prestasi diri."
- Faisal Saari, pemain remaja skuad hoki negara


"Untuk tahun depan, saya harap dapat menganjurkan program-program kejurulatihan yang lebih sempurna dan memperluaskan lagi program ini. Memberi peluang kepada jurulatih tempatan untuk menjadi jurulatih di peringkat elit dan sebagainya. Secara keseluruhan, saya harap dapat melahirkan lebih ramai altet dari pelbagai sukan." - Dr. Balbir Singh Gill, Pengerusi Akademik Kejurulatihan Kebangsaan, Pensyarah kanan Pusat Sukan, Universiti Malaya


"Harap pasukan ATM dapat meraih pencapaian yang lebih bagus dari tahun lepas. Dapat kekalkan prestasi untuk mara ke peringkat seterusnya. Saya mahu membantu pasukan meraih kejuaraan di musim depan." - B Sathianathan, jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia


"Memori tak terlupakan: kahwin dengan Yusri. Harapan: saya doakan yang baik-baik untuk diri kita, orang tersayang, semoga dirahmati ALLAH, diberi rezeki yang diberkati, bawa kita ke arah yang lebih baik." - Lisa Surhani, pelakon


"Azam tahun baru ini Ekin nak jadi usahawan yang berjaya atas produk yang terbaru Ekin dan Mawi iaitu uneQuein. Saya melahirkan Cahaya Malaika, itu anugerah yang tak dapat saya lupakan." - Nora'Asikin Rahmat (Ekin-Mawi), pelakon.


"Peristiwa yang tak dapat dilupakan adalah ketika tercalon dalam semi final Muzik-muzik. Berasa terjua sangat kerana tak sampai setahun menjadi anak seni dalam industri muzik tapi telah berpeluang sampai ke tahap itu.

"Selain itu berasa gembira kerana telah mempunyai peminat dan penyokong yang sentiasa bersama dan menyokong saya. Azam serta harapan untuk tahun 2013 masih fokus 100 peratus kepada pengajian saya dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses memandangkan saya baru masuk semester empat, tahun dua di UNIMAP. Keutamaan masih kepada pelajaran. Tetapi walau bagaimanapun sekiranya ada waktu terluang saya akan cuba untuk membuat lagi lagu-lagu yang lebih berkualiti untuk didengari oleh rakyat Malaysia."
 - Ainan Tasneem, penyanyi


"Terlalu banyak peristiwa yang Ana alami pada tahun 2012. Tak perlu Ana ceritakan peristiwa-peristiwa pahit yang Ana tempuh dalam tahun 2012 ini kerana terlalu sakit untuk diluahkan dan diceritakan.

"Ana juga tak nak menyakitkan hati sesiapa atau mengaibkan sesiapa, cuma apa yang Ana dapat kongsikan, setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin sesetengah individu ada juga yang mengetahui atau merasakan apa yg dilalui Ana pada tahun 2012 ini.

"Ana jadikan setiap pengalaman yang Ana tempuh sebagai pengajaran dan tauladan, setiap peristiwa yang berlaku mengajar Ana untuk lebih kuat, berhati-hati dan cekal untuk tempuhi hari-hari akan datang.

"Ia juga akan dijadikan satu kenangan yang akan selalu mengingatkan diri Ana untuk tidak alpa dan leka. Ana sentiasa berdoa dan berharap hari-hari dan tahun yang akan datang akan lebih baik dari tahun tahun sebelum ini. Ana akan membuat penambahbaikan dalam diri
Ana untuk jalani hidup yang baru. Insya-ALLAH Ana juga berdoa agar hidup keluarga dan kerjaya Ana lebih maju dan berjaya. Ana juga inginkan kebahagiaan seperti insan insan lain. Amin." - Ana Dahlia, pelakon

http://www.sinarharian.com.my/nasional/personaliti-tanah-air-pengalaman-2012-harapan-2013-1.116712

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...