Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini berkata ahli perniagaan balak, Michael Chia, tidak pernah ditahan di Hong Kong ekoran dakwaan penyeludupan wang berjumlah RM40 juta.
Beliau berkata, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) tidak pernah menahan ahli perniagaan itu yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
"Berdasarkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Michael Chia tidak pernah ditangkap di Hong Kong dan ICAC juga tidak pernah tangkap Michael Chia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.
Nazri berkata pihak Jabatan Peguam Negara dan SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ICAC Hong Kong sehingga siasatan selesai.
Di samping itu, beliau berkata sebagai tambahan SPRM juga telah menjalankan siasatan dengan mengumpul segala keterangan dan dokumen berkaitan kes itu.
"Setelah siasatan disempurnakan oleh kedua-dua pihak, pihak ICAC Hong Kong mendapati bahawa elemen rasuah tidak dapat dibuktikan. Sehubungan itu, ICAC Hong Kong menarik balik dakwaan dan mengembalikan wang yang disita itu," katanya.
Sementara itu, Nazri mengalu-alukan penyertaan khususnya daripada anggota parlimen pembangkang untuk satu pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Katanya, pelbagai perkara berbangkit termasuk isu percantuman lokaliti yang menjadi isu pokok selama ini boleh dibincangkan dengan pihak SPR.
"Benda serius kita kena selesaikan. Kita tidak mahu ada perasaan tidak puas hati dan syak wasangka, saya mahu perkara ini diselesaikan," katanya.