Friday, October 12, 2012


Formula Mengira Waktu Solat Dhuha

 

Solat sunat Dhuha merupakan satu ibadat sunat yang dituntut berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A. seperti berikut;

ثلاث هن علي فرائض، وهن لكم تطوع: الوتر، والنحر وصلاة الضحى

Maksudnya:“Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu, sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang Dhuha”[1]

Waktu melakukannya ialah dari waktu naik matahari sehingga waktu condong matahari ke arah barat dan pengiraan waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.

Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;
- Waktu Dhuha = Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)
Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Hulu Langat;

Waktu Subuh : 0543 pagi
Jadi
Waktu Syuruk: 0659 pagi

Waktu Dhuha di Hulu Langat  ialah :
Waktu Syuruk ( 0659 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0659 pagi – 0543 pagi = 1jam 14 Minit @ 74 minit)
= 0659 pagi + 1/3 (74 Minit)
= 0659 pagi + 25 minit
= 0726 pagi.

(Unit Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM. Kaedah Panduan Falak Syarie .hlm.44)
[1] Wahbah Az Zuhaili.1996. Fiqh dan Perundangan Islam. Penterjemah Syed Ahmad Syed Hussain et. el. Jilid III hlm. 690


Imam Hoslan berpeluang berdakwah dalam penjara

Salmiyah Harun,12 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Husin, 46, yang baru sahaja kembali ke pangkuan anak dan isterinya semalam selepas hampir tujuh bulan menjalani hukuman penjara akan meneruskan kehidupan biasa dengan  berniaga buku dan kitab-kitab pengajian agama Islam.

Itulah sumber pendapatan beliau selain bekerja makan gaji dengan vendor alam sekitar sebagai 'water monitoring'.

(Gambar: Hoslan mencium seorang anaknya sebaik dibebaskan, semalam. Foto: SK)
Bagaimanapun, beliau akan merujuk semula dengan majikannya itu kerana difahamkan akan diberi ruang untuknya di sana selepas ini.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh perjuangannya. 

"Saya berterima kasih dengan pegawai Jawi yang sama-sama bertugas di Masjid Ar Rahimah kerana menghulurkan sumbangan kepada keluarga selama saya dipenjara," katanya ketika ditemui.

Hoslan cukup teruja untuk menceritakan pengalaman yang baru sepanjang beliau berada di Penjara Kajang.

Menurut Hoslan yang juga  bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, sepanjang berada di sana beliau mengambil tugas-tugas sebagai pendakwah di dalam Unit Halaqah.

"Saya cukup sedih, ramai banduan orang Melayu Islam di dalam sana tidak tahu apa itu syahadah apatah lagi mahu mengucap (syahadah).

"Saya juga pernah melakukan sembahyang ghaib untuk salah seorang pegawai penjara yang meninggal dunia. Walaupun ada sedikit pertikaian tetapi saya berjaya menjelaskan sebaiknya," katanya.

Selama berada di sana, beliau cukup gembira apabila berpeluang berdakwah dan memberi kata-kata nasihat kepada banduan-banduan lain.

"Saya diberi kebenaran menyampaikan nasihat oleh pegawai penjara. Antara yang saya tekankan 'jalan kehidupan Allah telah tunjuk, tugas kita hanya ikut sahaja jalan itu'," ujarnya.

Namun, beliau menyifatkan hukuman yang diterimanya sebagai pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Sementara itu, isteri beliau Noorliza Mat Isa, 43, melahirkan kegembiraan yang teramat sangat sehingga tidak terluah dengan kata-kata sebaik sahaja melihat suami yang kini sudah berada di depan mata. 

"Tidak tahu nak cakap, saya cukup gembira. Suami dan ayah kepada anak-anak saya akhirnya berada di depan mata kami," katanya dengan linangan air mata.

Jika hari raya Aidilfitri yang lalu, Noorliza berhari raya tanpa suami untuk Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut akhir bulan ini adalah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

"Bersyukur, raya nanti kami gembira sangat, baru ada mood nak raya. Macam Aidilfitri lalu kami tak ada 'mood' nak raya. Anak-anaklah yang paling gembira dan mungkin mereka tidak sabar untuk berbaju raya sedondong," katanya ketika ditemui.


Rusia tuntut Turki jelaskan pemintasan pesawat Syria

Terjemahan Mohamad Yahya,12 Okt 2012

(Moscow menuduh Ankara membahayakan nyawa penumpang dengan memintas pesawat Syria dengan dakwaan membawa kargo "bukan awam".)

MOSCOW: Moscow mendakwa  Ankara membahayakan nyawa warga Rusia selepas memaksa pesawat penumpang Syria mendarat dan merampas kargo yang disyaki peralatan ketenteraan dari Rusia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Damsyik berkata Khamis lalu bahawa pemintasan pesawat Syria tersebut adalah suatu perbuatan lanun, menambahkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria kerana sebelum ini ketua kakitangan Turki memberi amaran bahawa tentera Turki akan bertindak balas dengan lebih hebat jika Syria terus membedil wilayah Turki.

Jet tentera mengiringi pesawat Airbus A-320 yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Moscow ke Damsyik, ke lapangan terbang Ankara lewat Rabu lalu selepas Turki menerima maklumat perisikan bahawa pesawat tersebut membawa  "kargo bukan awam".

Rusia, yang menyokong kerajaan Assad dalam pemberontakan selama 18-bulan yang telah membunuh kira-kira 30,000 orang, marah dan menuntut penjelasan dari Turki.

"Nyawa dan keselamatan penumpang telah terancam," Kementerian Luar Rusia berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 17 warga negaranya dihalang dari mendapat akses kepada kakitangan diplomatik Rusia.


Kawalan senjata

Turki berkata mereka bertindak dalam lingkungan undang-undang antarabangsa.

"Kami berazam untuk mengawal pemindahan senjata kepada rejim yang melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai terhadap orang awam. Kami tidak boleh menerima bahawa pemindahan sedemikian dibuat menggunakan ruang udara kami," ujar Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Turki.

"Kami menerima maklumat bahawa pesawat tersebut membawa kargo yang tidak mematuhi peraturan penerbangan awam," katanya semasa lawatan rasmi di Athens.

Sementara itu, Mahmoud Said, Menteri Pengangkutan Syria, menuduh Turki  sebagai "lanun ruang udara", menurut stesen televisyen Lubnan, Al-Manar.

Syria juga telah menutup ruang udara kepada pesawat Turki, selepas pengisytiharan Ankara bahawa ruang udara Syria adalah "tidak selamat" untuk pesawat Turki.

Rusia merupakan salah satu sekutu rapat kerajaan Assad dan telah menyekat beberapa resolusi PBB terhadap Damsyik.

"Sekali seminggu, pesawat Syria Airlines terbang dari Moscow ke Damsyik," agensi berita Interfax memetik jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo, Yelena Krylova sebagai berkata. "Pesawat berlepas seperti biasa,  tiada sebarang kejadian yang berlaku."


Kenyataan Assad

Assad menyifatkan Syria dan Turki sebagai "saudara" dalam temubual yang disiarkan Khamis lalu, dan berkata bahawa Turki "tidak mempunyai sebab untuk berperang" selepas isu pertempuran merentas sempadan baru-baru ini.

"Kita harus berkerja bersama-sama dalam isu ini," katanya kepada akhbar Turki, Aydinlik, seminggu selepas serangan yang menyebabkan lima rakyat Turki terbunuh.

"Dalam masa seperti ini, negara-negara harus membetulkan kesilapan mereka dengan berbincang antara satu sama lain. Rakyat Turki adalah orang yang mulia. Kami tidak mempunyai masalah dengan rakyat Turki dan tentera Turki. Syria bukan merupakan musuh kepada Turki. Kami sentiasa menanggap Turki sebagai saudara kami. "

Tetapi temuduga tersebut, yang tampak sebagai satu usaha untuk meredakan ketegangan, juga mengandungi teguran.

"Kami mempunyai masalah dengan kerajaan Turki," kata Assad. "Kami menghadapi masalah di sepanjang sempadan Turki kerana sikap kerajaan Turki. Kerajaan Turki juga bertanggungjawab atas kematian warga Turki. Dan hubungan antara Syria dan Turki yang sampai ke tahap ini juga merupakan salah kerajaan Turki. Bukannya rakyat Turki. "

Komen tersebut telah diterbitkan sehari selepas pendaratan  pesawat penumpang Syria yang dipintas dalam perjalanan dari Moscow ke Damsyik.

Pesawat tersebut yang membawa kira-kira 30 penumpang, telah dibenarkan untuk meninggalkan Turki dan meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Rugi tidak berdakwah di pentas PAS - Aishah

Aslani M,12 Okt 2012
KOTA BHARU: Personaliti yang berhijrah, Wan Aishah Wan Ariffin (gambar) meluahkan rasa rugi sekiranya tidak menggunakan peluang untuk berdakwah di pentas PAS bagi mendekatkan masyarakat dengan agama.


“Ada orang tanya kepada saya mengapa tidak berdakwah sahaja dan bukan terbabit dalam politik kalau betul-betul hendak menjadi pendakwah.

“Saya beritahu kalau berdakwah sahaja tanpa ada kuasa politik tentunya suruhan agama tidak dapat dilaksanakan  dengan lebih berkesan.

“Jadi tidak salah PAS menggunakan artis yang berhijrah untuk menarik minat orang ramai yang berbagai. Saya juga guna bakat dan kebolehan yang ada untuk menarik masyarakat datang mendengar ceramah," katanya pada ceramah di Dataran Safa Marwah di sini malam tadi.

Program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri itu turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi, Ketua Muslimat Kota Bharu, Rohani Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Azariza Mohd Alawi.

Sebahagian besar yang memenuhi dataran yang menjadi tempar parkir bas pelancong adalah kalangan muslimat. Esok Aishah dijangka hadir pada program tertutup hanya untuk muslimat di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Sekali sekala kedengaran sorakan anak muda yang asyik menonton perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala Malaysia antara ATM dan Lions di kedai berdekatan.

Wan Aishah yang susur galur sebelah nenek lelaki yang berasal dari Bunut Payong Kota Bharu memberitahu sejak terbabit dengan PAS, beliau terus dihalang mencari rezeki seperti dilakukan sebelum ini biar pun ada kelayakan.

“Seolah-olah mereka bertanya sekarang awak sokong pihak mana dan bukannya memberi pertimbangan kepada kelayakan yang ada pada seseorang.

“Saya percaya orang Melayu kekal tidak berubah biar pun negara sudah 55 tahun merdeka selagi masih diberi peluang Umno menerajui negara. Jadi sekarang kita perlu lakukan perubahan segera,” katanya.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang apabila kerajaan Malaysia membenarkan kapal pengangkut ketenteraan Amerika Syarikat berlabuh di Pelabuhan Klang.

Katanya, kemungkinan boleh berlaku sesuatu yang menjadi rahsia cuba disembunyikan kerajaan Malaysia ketika melihat gelombang kebangkitan rakyat sekarang.


Tiada bukti kaitkan Musa dengan rasuah untuk kegunaan Umno Sabah, kata Nazri


KUAL LUMPUR, 11 Okt — Nazri Aziz dalam jawapan balas kepada ahli parlimen PKR, Chua Tian Chang berkata tiada elemen perbuatan rasuah dapat dibuktikan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah ke atas Datuk Seri Musa Aman serta berkata wang berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan adalah bertujuan untuk kegunaan Umno Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut juga berkata pihak Peguam Negara (AG) telah meneliti perkara tersebut dan menutup kes itu selepas mendapati tiada unsur rasuah dibuktikan seperti yang didedahkan oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report awal tahun ini.
“Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada badan perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri,” jawab Nazri (gambar).
Nazri juga berkata Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) turut menyiasat kes tersebut tetapi tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland, ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama.
“Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama dinyatakan di atas,” kata Nazri lagi.
Pada April lalu, Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah mempunyai sejumlah US$30 juta (RM92 juta) dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki oleh Musa.
Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa ini merupakan pelabur balak yang banyak menjalan menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Island yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.
Musa menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah S$16 juta (RM40 juta).
Menurut laporan media, Chia memberitahu kerajaan Hong Kong bahawa wang tersebut adalah milik Musa.
“Saya nafikan semua tuduhan ini,” kata Musa.
Musa sebaliknya mendakwa Sarawak Report cuba menjatuhkannya dan mengatakan ia sebahagian daripada konspirasi pembangkang untuk menawan negeri tersebut.
Pada Jun lalu, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan balas kepada Chua memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah melengkapkan siasatan dan telah dihantar kepada AG untuk membuat pertimbangan. 


Penduduk saman Syabas RM2.5 juta

Selangorku,12 Okt 2012

SHAH ALAM: Seorang penduduk Kampung Kerdas, Gombak memfailkan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana didakwa gagal menyediakan perkhidmatan air terbaik kepada kediamannya sejak empat tahun lalu.


Plaintif, Hashim Maon yang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga menuntut ganti rugi sejumlah RM2.5 juta daripada Syabas kerana menuduhnya sebagai ‘pencuri air’.



Hashim memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 September lalu melalui syarikat guaman Roland and Co.



Menurutnya, tuntutan itu dibuat berasaskan kecuaian dan kegagalan defendan melaksanakan tanggungjawab dan tugas membekalkan air kepada pengguna.





Kecuaian tersebut kata plaintif, bertentangan dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 53, 54, 57 dan 58 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Seksyen 40 dan 41 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.



Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas dan am, faedah, kos dan relif yang difikirkan perlu.



“Saman itu akan didengar di depan hakim pada 15 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.



“Saya saman fitnah kepada defendan sebanyak RM2 juta tidak termasuk tuntutan khas seperti tuntutan ganti rugi dan kos-kos lain yang jumlah keseluruhannya kia-kira RM 2.5 juta,” katanya.



Sebelum ini, Hashim mendakwa dia dan keluarga berdepan tekanan air rendah. Sebaliknya air yang dibekalkan Syabas kepada kediamannya juga tidak bersih kerana paip saluran yang digunakan sudah lama, berkarat dan perlu diganti.



Perkara itu berulang kali diajukan kepada Syabas, namun mereka menyatakan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan akibat kekangan kewangan Syabas.



Ekoran itu, beliau mengambil inisiatif sendiri melakukan penyambungan baru di luar bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumahnya.



Tetapi tindakan itu menyebabkan Syabas menuduhnya sebagai pencuri.



Beliau berkata, tekanan air di rumahnya kini bertambah baik selepas campur tangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang mengarahkan Syabas membuat sambungan baru daripada paip utama kepada meter air di kediamannya.



Namun begitu katanya, tuntutan saman akan tetap diteruskan kerana Syabas telah memfitnah beliau sekeluarga sehingga merosakkan reputasi mereka.


Tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat

Abdul Hadi Awang,12 Okt 2012
Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :



لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).


(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).


Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.


Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.


Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.


Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).


Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:


الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).


(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).


Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut , walaupun mereka itu daripada  kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :


المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).


(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).


PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.


Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf  yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf  Siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.


Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.


Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.


Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.


PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan  menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli parlimennya  yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.


Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas  selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.


Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan  tahaluf  siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya,  kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang  PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.


Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.


Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.


Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud  laksana ayam jantan kukuk berderai  pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.


Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.


Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.


Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...