Friday, January 15, 2016

Rahsia Di Sebalik Pengambilan Makanan Sunnah

Zaman beredar & berubah, namun sunnah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW tetap tidak berubah & masih tegar di ingatan. Sebahagian golongan masih mengamalkannya & segelintirnya lagi mungkin tidak. Justeru, kita tahu banyak sunnah Nabi SAW yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita, tetapi hari ini saya ingin menumpukan sahaja ke arah pengambilan makanan sunnah daripada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang mana tidak semua orang mengetahui kelebihan & juga fadhilat di sebalik makanan sunnah itu sendiri.

Masa berganti hari, minggu berganti bulan & tahun. Tanpa disedari, fenomena pengambilan makanan yang kurang baik untuk kesihatan semakin berleluasa. Adakah ini menunjukkan kita lupa & alpa akan makanan sunnah junjungan kita Nabi Muhammad SAW? Yang penuh dengan khasiat tersirat & baik untuk kesihatan serta pelancaran organ dalaman. Kadangkala kita sering leka & tidak mengambil peduli terhadap makanan yang diambil. Tidak menilai dari aspek kualiti & kesannya kepada diri yang akan menempuh kehidupan yang kita sendiri tidak tahu pelbagai ujian menanti di hadapan.

Terfikirkah kita, apakah rahsia di sebalik khazanah berharga ini? Ya, mungkin ramai juga yang mengamalkan pengambilan makanan sunnah ini tetapi tidak ramai yang meneroka & menyingkap kelebihan serta rahsia di sebaliknya. Seperti yang kita ketahui antara makanan sunnah yang boleh diamalkan dalam pemakanan kehidupan seharian kita adalah seperti buah kurma, kismis, madu, buah tin, buah zaitun, buah delima, buah aprikot, kacang badam, za'faran & banyak lagi. Kesemua makanan sunnah di atas pula dipecahkan lagi dengan pelbagai jenis & aneka rasa. Kadangkala dicampurkan makanan tersebut di dalam masakan, kek, air & juga dimakan begitu sahaja.

Fakta Kelebihan Makanan Sunnah :
Adalah menjadi satu kepentingan bagi seseorang itu tahu akan kelebihan di sebalik makanan sunnah Nabi Muhammad SAW. Ianya bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan dari segi fizikal tetapi juga baik untuk organ dalaman seperti membantu melancarkan penghadaman makanan & pelancaran peredaran darah. Di samping itu, setiap makanan sunnah tersebut ada kelebihannya tersendiri.

1. Buah kurma/tamar :


Kurma dapat membantu pelancaran proses peredaran darah, mencegah serangan strok, baik untuk ibu yang hamil & bersalin. Seperti yang dinyatakan di dalam ayat Al-Quran tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayyidatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa 'Alaihi Salam. Firman Allah SWT :

Maksudnya : "Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak". (Surah Maryam : 25).

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unsur zat besi & kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam Al-Quran & hadis Rasulullah SAW bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa.

Selain itu juga, diriwayat oleh Aisyah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. "Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan". Bahkan buah kurma juga mampu menghindarkan seseorang itu daripada gangguan syaitan, sihir & yang seumpama dengannya. Sebagaimana Rasulullah SAW telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar 'Ajwah' dia akan terkawal daripada kejutan syaitan & sihir pada hari itu".

Kajian & Penemuan Sains Perubatan :
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran & hadis Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Dr. Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku "Tempoh mengandung dari segi perubatan, fiqhiyah & perundangan", hasil kajiannya menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan & membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Manakala hasil kajian Prosefor Madya Aisyah Mohd Zain, Pensyarah Fakulti Sains & Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu & barah usus besar. Selain itu, membantu merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan & melawaskan. Di samping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut. Ini adalah antara kajian sains yang telah dibuat berdasarkan perincian kelebihan buah kurma tersebut.

2. Buah Kismis :


Sebagaimana kurma, kismis juga ada kelebihannya tersendiri. Kismis adalah satu "manisan" asli ciptaan Allah SWT. Ia adalah sejenis buah-buahan kering yang berkhasiat di bumi ini. Ia tidak mengandungi kolesterol atau lemak serta rendah kandungan garam. Di samping membekal tubuh badan dengan banyak vitamin & mineral yang penting seperti zat besi, potassium, magnesium, kalsium & vitamin B1, B3 & B6, kismis juga mengandungi zat besi untuk pembinaan darah bagi pengangkutan oksigen ke otak & ke seluruh badan. Kismis merupakan serat yang baik & kaya dengan agen antioksida (anti-penuaan). Ia mengandungi fruktosa (sejenis gula ringkas yang asli) yang dapat dihadamkan dengan cepat untuk tenaga segera. Sangat sesuai terutama bagi mereka yang menggunakan banyak tenaga untuk berfikir seperti guru & pelajar. Nabi Muhammad SAW bersabda : "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf & menghilangkan letih". Di tambah lagi, "Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian".

Kelebihan Kismis Yang Dikenalpasti :
Membantu meningkatkan memori & hafalan, memperbaiki sirkulasi bagi kondisi seperti varicose veins, bengkak, lebam & kabur pandangan. Ia juga dapat membantu melawaskan pembuangan air besar, melindungi hati, memperbaiki ton & keanjalan kulit, melawan bakteria mulut (oral bacteria) yang menyebabkan pereputan gigi bagi kanak-kanak. Selain itu membantu menguatkan hafalan, menajamkan mata, minda & menambah fahaman serta minat belajar khususnya bagi pelajar.

Secara umumnya, ia membantu memulihkan keletihan saraf, membantu mengurangkan stres, merawat penyakit histeria, penyakit anemia, merawat masalah anak hyperaktif & sebagainya. Jika hendak dijelaskan satu persatu amatlah banyak kelebihan setiap satu makanan sunnah Rasulullah SAW yang boleh diamalkan dalam pemakanan sehari-hari.

Kajian Pakar Terhadap Kismis :
Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak. Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hyper & menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot. Berlainan dengan kismis, kerana ia akan menyebabkan kanak-kanak mendapat tenaga yang seimbang & menyihatkan badan.

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, kita perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

3. Buah Tin :


Fakta sains menjelaskan bahawa buah tin dari jenis (Carica Ficus) di Maroko & negara-negara Afrika Utara lainnya, buah ini dikenal dengan sebutan "karmouss" & kerana keberadaannya yang banyak tersebar di pesisir Laut Tengah, maka buah ini banyak sekali disebutkan dalam literatur-literatur sejarah kuno & sebagaimana juga disebutkan pada kitab-kitab samawi.

Fakta Sains & Hadis :
Dalam fakta sains moden menjelaskan bahawa cairan tin yang dicampurkan pada banyak ramuan-ramuan perubatan memiliki keberkesanan tinggi. Oleh kerana itu Nabi Muhammad SAW menyatakan buah ini dalam salah satu sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Dardaa, bahawasanya telah dihidangkan kepada Nabi sebuah menu dari buah tin, maka Nabi mengajak sahabat-sahabatnya menyantapnya bersama beliau lalu bersabda : "Jika aku mengatakan ada buah yang turun dari langit, maka buah inilah (menunjukkan buah tin)".

Ibn Alqayyim dalam bukunya "Ath-Thib Annabawi" menyatakan riwayat hadis di atas : "Menguji keberkesanan pengubatan Nabi sebagai tersebut dalam hadis ini, dapat disimpulkan beberapa teori. Pada zaman dahulu kala, buah tin telah banyak dipakai untuk kepentingan perubatan, tokoh-tokoh kedoktoran terdahulu seperti Ibn Sina telah banyak mengetahui buah tin mempunyai banyak faedah perubatan".

Kelebihan Buah Tin :
Melalui perubatan tradisional pada dekad terakhir ini juga telah mengenal kemujaraban buah tin di mana dianggap secara perubatan menyembuhkan berbagai penyakit seperti mengubati luka-luka, borok, selesema burung, mag, gangguan sirkulasi menstrurasi & luka terbakar. Di samping itu, buah tin juga kaya dengan vitamin A & B serta kadar tertentu dari vitamin C. Dan mengandungi garam pokok seperti kalsium, fosfur, zat besi yang membangun pertumbuhan badan & pembangkit tekanan darah. Selain itu, kandungan buah tin juga kaya dengan serat, kalium & magnesium yang dapat mengurangi serangan angin & mampu mengawal tekanan darah tinggi serta mampu mengurangi berat badan. Oleh kerana itu, buah tin sangat sesuai mengatasi masalah berat badan.

Dengan lebih jelas, di dalam kitab Tafsir Al Munir tulisan Dr Wahbah Az Zuhaili; seorang tokoh ulama' di bumi Syam As Syarif, mentafsir Surah At-Tin yang mana penulis ada menyatakan bahawa buah tin mempunyai 1001 rahsia penyembuhan. Antara penyakit yang boleh diikhtiarkan penyembuhannya melalui pengambilan buah tin secara konsisten 2 kali sehari paling kurang selama 40 hari adalah :

1. Membersihkan buah pinggang & rawatan buah pinggang yang rosak.
2. Mengurangkan kepanasan badan ketika demam.
3. Memecahkan batu karang di dalam badan.
4. Menyegarkan badan yang lesu.
5. Mengeluarkan toksin & racun dalam badan.
6. Rawatan buasir.
7. Meredakan sakit kulit seperti ruam, panau & lain-lain.
8. Rawatan penyakit gout.

Justeru, Allah SWT menyebutkan beberapa jenis buah & tumbuh-tumbuhan di dalam Al-Quran, menyebutkan buah tin sekali saja pada Surah At-Tin. Surah terakhir ini merupakan surah satu-satunya mengambil judul nama tumbuhan, berbeza dengan surah yang bertema binatang yang banyak menjadi judul surah-surah Al-Quran seperti Al-Baqarah = sapi betina, An-Naml = semut, An-Nahl = lebah, Al-'Ankabuut = labah-labah & Al-Fiil = gajah.

Dari keterangan di atas menegaskan bahawa tin merupakan buah yang sangat dahsyat, memiliki kegunaan perubatan yang sangat banyak. Menurut Ibn Al-Qayyim Al-Jouzi lagi bahawa : "Mengingat tin tidak terdapat di daratan Hijaz & kota Madinah, serta langkah penyebutannya dalam sunnah, kerana lahan tin memang tidak serasi dengan lahan kurma. Akan tetapi, Allah bersumpah di dalam Al-Quran demi tin kerana menfaat & kegunaannya yang sangat banyak itu". Maka Ibn Al-Qayyim berkesimpulan bahawa yang dimaksud ayat sumpah adalah buah tin yang telah dikenal luas itu.

4. Madu :


Madu asli mengandungi enzim-enzim hidup yang amat diperlukan manusia untuk meningkatkan fungsi tubuh badan ke tahap optima. Seperti mana kandungan-kandungan yang dihasilkan lebah ialah madu, royal jelly, bee pollen, propolis terdapat bahan-bahan hebat yang tidak dapat dikenalpasti. Lebih menarik lagi, bahan-bahan ini tidak boleh ditiru atau dihasilkan secara sintetik oleh makmal. Ini bermakna madu tidak boleh dihasilkan oleh makmal secara olahan kimia. Madu hanya boleh didapati pada sarang lebah itu sendiri.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :"Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang berfikir". (Surah An-Nahlu, Ayat 68 & 69)

Demikian betapa hebatnya ciptaan Allah SWT yang memberikan segala rahmat-Nya kepada semua manusia di muka bumi ini mengenai khasiat madu yang diperoleh dari lebah. Sesungguhnya, firman Allah itu telah dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang berkali-kali menyatakan bahawa madu adalah sangat baik untuk kesihatan, menyembuhkan penyakit, menguatkan ingatan minda & membawa banyak khasiat lain. Sabda Rasulullah SAW :

1. "Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit".
2. "Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".
3. "Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati & menghilangkan dingin yang ada di dalam dada".
4. "Allah SWT telah meletakkan berkat di dalam madu & menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri & madu telah didoakan oleh 70 Nabi".

Tambahan lagi, madu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit ringan & berat seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, demam, melancarkan peredaran darah, menurunkan suhu badan & banyak lagi. Malah, Ibnu Sina sendiri mengamalkan meminum madu yang dikatakan memberikan padanya umur yang agak panjang & awet muda sehingga ke akhir hayat.

Namun, agak menyedihkan apabila ramai di kalangan kita yang lebih berminat untuk mengambil minuman gas ciptaan barat atau berkafein tinggi meskipun dibuktikan secara saintifik sebagai merbahaya kepada kesihatan manusia.

Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan & buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam Al-Quran sendiri telah menggariskan berbagai pengajaran & maklumat penjagaan diri daripada berbagai penyakit, mahupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah dalam Surah Al-Nahl :"Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan & tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan". (Surah An-Nahl : 69)

Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda :"Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan 2 ubat penyembuh iaitu madu & Al-Quran". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dari hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi & vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh & cepat memberi tenaga.

Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika diamalkan setiap hari akan mencegah daripada berbagai penyakit & memberi tenaga yang cukup.

Khasiat Madu Yang Terbukti :
Madu mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam badan, hemoglobin & dapat mencegah dari serangan anemia. Manakala bila dicampurkan sedikit cuka ia dapat merawat arthirik sendi. Kegunaan madu secara luaran juga dapat mempercepatkan lagi proses penyembuhan, dapat meningkatkan pengeluaran gastrointestinal untuk merawat ulser, sumber laxative yang asli & lembut. Ia juga merupakan sumber utama vitamin & mineral yang kaya, sumber tenaga yang hebat & semulajadi tidak seperti gula pasir yang memudaratkan. Selain itu juga, mampu memulihkan kekuatan tubuh, membersih & menambah darah.

Madu juga baik untuk pertumbuhan janin & bayi dari segi fizikal & mental, menyembuh dengan segera cirit-birit, mengeluarkan lendir dalam badan bayi & menguatkan minda kanak-kanak. Secara umumnya ia membantu menguatkan jantung, buah pinggan & badan. Selain membantu menyembuhkan penyakit, ia juga membantu mengurangkan kesakitan bagi golongan wanita yang didatangi haid & baik untuk perempuan mengandung serta bersalin.

5. Delima :


Di dalam Al-Quran, terakam indah firman Allah yang bermaksud : "Di dalam kedua-duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma & delima". (Surah Al-Rahman Ayat 68)

Allah menyebut buah delima (rumman) sebanyak 3 kali di dalam ayat-Nya untuk menunjukkan betapa hebatnya penciptaan Allah itu & ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Mengapa begitu sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai anugerah kepada makhluk-Nya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik sebiji buah delima?

Dari sudut pemakanan, buah delima amat kaya dengan sodium & mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium & fosforus. Manakala zat protein & lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai nilai pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.

Justeru, ia digelar "superfruit" mengandungi antioksidan yang unggul diterajui oleh asid alergik yang berupaya melindungi kalenjar prostat, payudara, organ paru-paru & jantung atau sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan delima boleh memusnahkan sel kanser payudara tanpa memudaratkan sel sihat & menghalang sel kanser payudara membentuk.

Selain itu, delima boleh menurunkan tekanan sistolik sehingga 5%. Fakta ini amat membantu dalam pengawalan penyakit jantung atau sistem kardiovaskular. Ia juga boleh mencegah & melambatkan penyakit nyanyuk atau penyakit Alzheimer. Beberapa kajian lain menunjukkan delima boleh mengurangkan pembentukan plak gigi, mencegah kemerosotan rawan & menghalang radang sendi.

Dalam sebuah hadis Mauquf & Marfu', Rasulullah SAW bersabda bahawa buah delima termasuk buah syurga."Tak satupun buah delima yang kalian tanam, melainkan ia dibuahi dengan biji buah delima syurga". Harb & lainnya meriwayatkan juga dari Ali bin Abi Thalib bahawa Rasulullah bersabda yang ertinya, "Makanlah buah delima berserta minyak & atau lemaknya kerana ia dapat mengaktifkan pencernaan" (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Ibnu Qayyim dalam buku At Tibb An Nabawi berkata tentang buah delima,"Sesungguhnya buah delima itu sangat baik untuk perut kerana dapat menguatkannya". Menurut Ibnu Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas & lembap, oleh sebab itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada & paru-paru kerana ia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali & Abu Nu'aim yang bermaksud : "Buah delima & kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman". Jus buah delima dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan & ia dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan & akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Oleh sebab itu buah delima tidak disarankan kepada mereka yang menghidap demam. Ia juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit-birit, anemia, tekanan darah tinggi & arthritis. Di samping itu, buah delima dapat menguatkan jantung & membantu dalam fungsi saraf & otot. Oleh kerana itulah, ia mampu menghilangkan rasa keletihan.

Maka di sini kita dapat lihat bahawa setiap makanan sunnah Rasulullah SAW itu memiliki kelebihan & rahsianya yang tersendiri untuk kebaikan & kesihatan tubuh badan manusia. Selaras dengan firman Allah SWT & hadis Nabi SAW di atas yang menjelaskan peranan & kepentingan buah atau makanan tersebut. Banyak lagi makanan sunnah yang mempunyai kelebihan yang tidak kita ketahui secara terperinci.

Oleh itu tanggungjawab bersama untuk melatih diri mengamalkan pengambilan makanan sunnah Rasulullah SAW yang memberi kesan positif untuk tubuh badan serta minda kita dalam menjalani kehidupan seharian. Seperti kata pepatah melayu "Mencegah lebih baik daripada mengubati".

Credit to : Berita Harian (05/04/2013), Oleh : Wirdatul Jannah Mohamad, Universiti Sains Islam Malaysia

BERMINAT untuk mencuba produk kami?
Boleh PM/SMS/WhatsApps saya di 019-3511776
MCT SABICO ENTERPRISE
Email : olivehousemctsabico@gmail.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...