Monday, August 11, 2014

Soalan Yang Perlu Dijawab MB Selangor Untuk Menyelesaikan Kemelut

http://www.khalidsamad.com/2014/08/soalan-yang-perlu-dijawab-mb-selangor.html#more

Semalam iaitu pada 9 Ogos 2014, TSKI telah dipecat dari PKR secara tiba-tiba. Namun beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan.


Secara umum ianya urusan PKR dan saya tidak mahu memberi apa-apa komen. Walaupun begitu, saya cadangkan supaya TSKI membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan dan pada masa yang sama menjawab soalan yang telah dikemukakan melalui sidang media pada 8 Ogos yang lalu. Ianya merupakan soalan yang hampir sama yang ditujukan kepada beliau oleh PKR dan ramai lagi penyokong PR. Saya yakin sekiranya semua isu ini dijelaskan dengan baik dan menyakinkan, kemelut ini akan selesai.


Bersama ini saya sertakan isi kandungan sidang media saya dan soalan yang perlu dijawab TSKI untuk rujukan bersama.

SURAT DARI PEJABAT SUA PARTI KEADILAN RAKYAT
Saya telah menerima surat dari pejabat SUA PKR pada 6 Ogos 2014, iaitu pada hari Rabu malam Khamis, semasa sedang makan malam di sebuah restoran. Ianya diserahkan kepada saya oleh Sdr Shabrimi, iaitu salah seorang pegawai PR yang duduk di Shah Alam.

Saya yakin surat ini belum lagi diterima, atau sekiranya telah diterima sekali pun, belum lagi sempat dibaca, oleh DS Presiden mahu pun anggota Majlis Syura Ulama’ apabila kenyataan mereka menyokong TSKI dibuat sebelum ini. Ini adalah kerana sokongan mereka berpaksikan keyakinan bahawa TSKI bersih dari sebarang salah guna kuasa dan tindakan pecah amanah. Surat yang diserahkan kepada saya oleh Sdr Shabrimi disertakan dengan beberapa bukti yang mencurigakan dan menunjukkan ianya mungkin sebaliknya.

Memandangkan tarikh mesyuarat AJK PAS Pusat telah pun ditunda, asalnya dari 10 Ogos ke 13 Ogos dan sekarang ke 17 Ogos, maka saya berharap agar kesemua persoalan yang ditimbulkan melalui surat SUA PKR ini dijawab oleh TSKI sebelum mesyuarat ini diadakan. Ke arah itu saya telah mengadakan sidang media di pejabat dan menimbulkan persoalan khusus yang perlu TSKI jawab bagi membersihkan nama beliau. Selepas sidang media tersebut saya telah menghantar melalui fax senarai soalan berkenaan kepada pejabat TSKI. Surat asal akan diserahkan melalui tangan insyaAllah pada esok pagi, Isnin 11 Ogos kepada TSKI.

Saya amat yakin bahawa sekiranya soalan ini dapat dijawab dengan baik dan memuaskan, lengkap dengan segala pembuktian, maka bukan sekadar sokongan PAS tetapi juga sokongan DAP dan PKR akan kembali padu terhadap TSKI. Di bawah ini saya sertakan senarai soalan yang telah saya kemukakan di sidang media berkenaan untuk dijawab oleh TSKI.

SOALAN YANG PERLU DIJAWAB TSKI
Adakah benar:
  1. Baki hutang TSKI dengan BIMB hampir RM 60 Juta pada tahun 2006 setelah sebahagian besar hutang tersebut dibayar melalui penjualan saham TS yang digunakan sebagai cagaran oleh BIMB?
  2. TSKI tidak bayar dan enggan bayar sehingga dibawa ke mahkamah?
  3. Pihak TSKI berhujjah hutang TS tudaj perlu dibayar kerana kaedah Bai’ Bitaman Ajil yang digunakan BIMB adalah bercanggah dengan Syariat maka BIMB melakukan sesuatu yang bercanggah dengan lessen perniagaannya dan oleh itu perjanjian pinjaman itu adalah tidak sah? (Ini satu hujjah yang amat pelik sekiranya benar! Mengapa untuk bayar hutang tidak sah, tetapi ambil hutang sah?)
  4. Bahawa apabila sudah sampai ke peringkat TSKI hampir kalah kes tersebut, tiba-tiba ‘penyelesaian luar mahkamah’ telah dicapai pada Feb 2014.
  5. ‘Penyelesaian luar mahkamah’ ini telah dilakukan tanpa melibatkan samada peguam TS atau peguam BIMB?
Harap TSKI dedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah yang telah tercapai dan rahsia cara ‘melenyapkan hutan RM 59.5 Juta’ untuk pengetahuan dan kegunaan kami bersama.
  1. Bahawa penyelesaian luar mahkamah ini telah dirunding dengan bantuan dari TS Rashid Manaf?
  2. Bahawa TS berkata BIMB telah menarik balik saman di atas sebab TS akan saman PNB dalam masa 3 bulan lagi (pada masa itu) dan akan dapat RM300 Juta dan dengan itu akan bayar balik hutang TS kepada BIMB? Dan BIMB bersetuju dengan cadangan ini?
  3. Tempoh 3 bulan ini telah pun luput dan saman TS terhadap PNB masih tidak kelihatan?
Diharap agar TSKI boleh juga jelaskan bagaimana beliau tahu bahawa akan menang kes saman PNB dalam 3 bulan lagi dan tahu juga jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah?
  1. Tidak sampai sebulan selepas kes ditarik balik oleh BIMB melalui ‘penyelesaian luar mahkamah’ Tropicana Corporation Berhad telah menjual 308.72 ekar tanahnya kepada Ecoworld Berhad yang mana TS Rashid mempunyai kepentingan dan saham dalam Ecoworld Berhad?
  2. Bahawa 308.72 ekar ini adalah sebahagian dari 1,172 ekar tanah yang telah dijual oleh PNSB kepada Tropicana dengan harga RM 1.3 Billion tetapi melalui satu perjanjian yang amat menguntungkan Tropicana? Iaitu dibayarnya RM 50 Juta sahaja dahulu diikuti bayaran-bayaran baki melangkaui tempoh 18 tahun?
  3. Bahawa jualan ini dari PNSB ke Tropicana telah dilakukan semasa tempoh care-taker government setelah Parlimen dan DUN telah dibubarkan iaitu selepas 3 April 2013?
Harap TSKI dapat jelaskan keseluruhan latar-belakang penjualan dan pembelian ini supaya semua memahami sebab Tropicana diberikan layanan istimewa sedemikian rupa dan mengapa jualan Tropicana ke Ecoworld tidak dihalang kerajaan Negeri? Ini adalah kerana sambil Tropicana mendapat tempoh bayaran yang begitu baik, mereka telah mendapat wang segera melalui penjualan kepada Ecoworld Berhad.

Begitu juga dengan penjualan 1,172 ekar tanah kepada Tropicana semasa DUN telah dibubarkan. Adakah ini wajar dan beretika? Adakah ianya sebagai persediaanexit strategy TS sekiranya kalah PRU13?

  1. Bahawa sebulan selepas BIMB menarik balik kes TSKI, maka TS telah menandatangani MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik yang dianggarkan bernilai RM 591 Juta?
  2. Bahawa pada asalnya projek berkenaan telah ditawarkan melalui open tender pada tahun 2010 dan kerajaan Negeri sedang pada ketika itu berunding dengan pihak yang telah disenarai-pendek dan ianya bukan Ecoworld Berhad?
Harap TSKI boleh jelaskan samada tawaran kepada Ecoworld ini telah melalui proses tender terbuka atau sebaliknya. Dan sekiranya sebaliknya, maka mengapa ianya dilakukan.

KESIMPULAN
Pada dasarnya surat SUA PKR menimbulkan kesangsian terhadap ‘kebebasan’ TSKI setelah beliau dibantu menyelesaikan hutang beliau sebanyak RM 59.5 Juta dengan BIMB melalui ‘penyelesaian luar mahkamah’ dengan cara yang agak mencurigakan. Kecurigaan ini bertambah apabila sebaik sahaja ianya diselesaikan, Ecoworld Berhad, iaitu syarikat di mana TS Rashid Manaf mempunyai kepentingan, telah mendapat projek dan berjaya membeli tanah melalui proses yang agak kabur. Kronologi peristiwa utama dalam drama ini adalah seperti berikut:
  1. 14 Mac 2014 - BIMB menarik balik kes terhadap TSKI secara rasmi setelah tercapai ‘penyelesaian luar mahkamah’ yang butirannya dirahsiakan. Dimaklumkan bahawa penyelesaian tercapai melalui bantuan TS Rashid Manaf.
  2. 19 Mac 2014 - Ecoworld Berhad menandatangi MOU untuk projek pembinaan 2,400 rumah pangsa mampu milik. TS Rashid Manaf memiliki kepentingan dengan Ecoworld.
  3. 25 Mac 2014 - Penjualan 308.72 ekar Tropicana kepada Ecoworld Berhad yang mana tanah ini adalah sebahagian dari 1,172 ekar tanah yang PNSB jual kepada Tropicana pada 2013 semasa Parlimen dan DUN dibubarkan.
Seorang Menteri Besar, mesti bebas dari apa jua ikatan yang boleh mendorong beliau bertindak dengan cara yang songsang dan tidak adil mengikut kepentingan pihak yang ‘memilikinya’. Oleh itu sekiranya kesangsian terhadap kebebasan TSKI dari ikatan sebegini rupa tidak dihapuskan, maka kelayakan TS untuk terus menjadi MB akan terus dipertikaikan. Tiada siapa inginkan seseorang itu sebagai MB sekiranya benar beliau telah dikompromi dan hidungnya telah dicucuk, walaupun dengan rantai emas bernilai berjuta-juta!

Saya yakin TSKI mampu memberi jawapan yang jelas dan menyakinkan dan dengan itu menyelesaikan segala kemelut berhubung jawatan MB Selangor yang sedang kita alami sekarang. Saya berharap agar jawapan akan dikemukakan dengan kadar seberapa segera, khususnya sebelum tarikh mesyuarat AJK PAS Pusat yang telah dijadualkan pada 17 Ogos 2014.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...