Wednesday, November 14, 2012


PUM Selangor gesa henti polemik kebebasan agama

Harakahdaily,14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Selangor mengingatkan semua pihak agar menghentikan polemik berkaitan isu kebebasan menukar agama agar tidak mencetuskan suasana yang tidak harmonis antara sesama rakyat yang telah hidup dengan muhibbah selama ini.


Setiausahanya, Mohd Khairunnizam Mohd Supian berkata, pihaknya juga ingin mengingatkan semua pihak agar merujuk perkara yang berkaitan agama kepada pihak yang berkenaan terutamanya para ulama muktabar dan pihak berkuasa agama.

Berikut kenyaan penuh beliau.

Persoalan akidah adalah suatu perkara yang sangat sensitif bagi umat Islam yang menjadi penduduk majoriti Negara Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai Agama Persekutuan dengan Raja-raja Melayu menjadi Ketua Agama dan pelindungnya.

Sehubungan dengan itu;

1.      Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Selangor mengingatkan semua pihak agar menghentikan polemik berkaitan isu kebebasan menukar agama agar tidak mencetuskan suasana yang tidak harmonis antara sesama rakyat yang telah hidup dengan muhibbah selama ini.

2.      PUM Selangor juga ingin mengingatkan semua pihak agar merujuk perkara yang berkaitan agama kepada pihak yang berkenaan terutamanya para ulama muktabar dan pihak berkuasa agama. Walaupun secara umumnya sebagai umat Islam mereka berhak untuk berbicara tentang agama mereka secara asasnya, namun dalam perkara yang melibatkan perbahasan hukum yang mendalam, pihak ulama dan cendekiawan Islam merupakan pihak yang lebih berautoriti untuk dirujuk manakala pihak berkuasa berhak menguat kuasakan mana-mana pandangan ulama muktabar yang sesuai dengan realiti tempat dan masa berdasarkan kaedah; "Tassaruf al-Imam manutun bil al-maslahah" iaitu tindak-tanduk imam (pihak berkuasa) terikat dengan maslahah.

3.      Perlu diingatkan, kebebasan beragama telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dengan erti kata penganut agama bukan Islam berhak menjalani amalan dan ibadah mereka tanpa diganggu dan mengganggu orang lain, manakala umat Islam sebagai penduduk asal dan majoriti negara ini berhak untuk mengamalkan ajarannya termasuklah dalam hal menyekat penukaran agama yang dilarang dalam agama Islam secara qat'ie.

4.      Sehubungan dengan itu pihak PUM Selangor kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh SIS (Sister In Islam) yang menyokong murtad secara tidak langsung. Walaupun menafikan menyokong murtad namun kenyataan mereka tentang kebebasan keluar masuk agama Islam tidak boleh diterima atas alasan apa pun kerana hukum yang digunapakai di Malaysia jelas mengenainya.

5.      Pihak PUM Selangor amat memandang berat tentang banyak kenyataan NGO tersebut yang bertentangan dengan kehendak ajaran Islam dan menggesa pihak berkuasa agama berbuat sesuatu dengan mengadakan pertemuan dengan mereka seterusnya tindakan lain yang perlu bagi membendung kefahaman yang salah seperti liberalisme, pluralisme dan inklusivisme daripada merebak.

6.      Akhir sekali pihak PUM Selangor ingin mempertegaskan sekali lagi agar isu kebebasan agama ini tidak ditafsirkan secara melulu tanpa merujuk kepada pandangan ulama muktabar disamping tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik dalam masyarakat majmuk.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14507-pum-selangor-gesa-henti-polemik-kebebasan-agama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...