Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUANTAN – Pengundi muda antara komponen penting bagi sesebuah parti dalam menentukan kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peranan pengundi muda dipercayai mampu menentukan kemenangan parti dan semua parti berusaha menawan golongan ini.
Menurutnya, usaha Pas dalam menarik perhatian golongan muda menunjukkan perubahan positif dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada pihak lawan.
“Kira-kira 30 hingga 50 peratus pengundi di negara ini boleh menentukan kemenangan dalam PRU dan perkara ini yang membuatkan Barisan Nasional (BN) takut.
“Mereka berusaha mendapatkan sokongan orang muda, tetapi Pas sudah berjaya mengubah serta menarik perhatian pengundi muda.
“Aktiviti seperti Jambori Amal Pemuda Pas yang dianjurkan boleh menemukan golongan muda dan pertemuan adalah ciri penting dalam Islam,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup jambori berkenaan, di Balok, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, usaha Pas mewujudkan negara berkebajikan mendapat pelbagai reaksi negatif sedangkan ia sebahagian dalam perjuangan Islam.
“Ramai menuduh Pas tergelincir daripada perjuangan selama ini apabila membangkitkan isu negara berkebajikan.
“Mereka yang menuduh sebenarnya tidak mengkaji al-Quran yang ada menyatakan negara berkebajikan adalah salah satu ciri dalam Islam,” katanya.