Musa Hassan tarik balik kes saman ke atas Anwar
SITI AZIELAH WAHI
16 Oktober 2012
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan insiden 'mata lebam' yang berlaku lebih 10 tahun lalu.
Keputusan itu dicapai dan diputuskan di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad semasa prosiding hari pertama perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dan memutuskan kes itu dibatalkan tanpa sebarang kos.
Musa ketika ditemui media berkata, tindakan menarik semula saman tersebut dibuat selepas kedua-dua pihak berbincang dan melihat semula pertikaian dalam kes tersebut.
“Saya difahamkan ada salah faham pada peranan saya dalam kes ini, oleh pihak defenden, dan saya terima untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti yang dicadangkan defendan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya bersyukur atas tindakan menarik balik saman fitnah oleh Musa terhadapnya.
“Tindakan menarik balik saman ini telah mengesahkan pertuduhan saya tidak dijawab. Ada konspirasi untuk mereka berhubung kes mata lebam dan dakwaan liwat yang pertama,” katanya.
Anwar berkata, tribunal diperlukan untuk menyiasat peranan Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes itu kerana Peguam Negara itu merupakan watak utama dalam kes tersebut, namun sehingga hari ini beliau masih mendiamkan diri.
Musa diwakili Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Anwar diwakili Peguam N Surendran.
Pada 10 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpir menetapkan tiga hari mulai 16 Oktober untuk perbicaraan penuh kes saman Musa terhadap Anwar .
Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 1 Julai 2008 dengan dakwaan Musa dan Abdul Gani telah mereka-reka keterangan dan menyembunyi beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, pada 1998.
Berikutan itu, Musa memfailkan saman terhadap Anwar pada 21 Julai 2008 atas alasan dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Musa menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.
Musa berkata beliau juga tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.
Menurutnya, Anwar berniat jahat apabila membuat laporan polis terhadapnya dan Abdul Gani, dan ketua pembangkang itu berbuat demikian kerana sedang menghadapi pertuduhan baharu liwat.
Musa menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Amaun yang dituntut tidak dinyatakan secara spesifik dalam pernyataan tuntutan itu.
Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Anwar daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.
Anwar, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 24 Oktober 2008, berkata laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan justifikasi.
No comments:
Post a Comment