Wednesday, October 10, 2012


Mesej MP: Kerajaan wajar tangguh pelaksanaan AES

Harakahdaily,11 Okt 2012
KUALA LUMPUR: “Mungkin ada cara lain yang lebih berkesan dan mendidik pengguna supaya patuh dengan peraturan jalan raya dan menjadikan mereka lebih berdisiplin,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.


Beliau menyatakan demikian ekoran penyokong kerajaan dan Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat bersepakat menolak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk kesalahan lalu lintas yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Katanya, apabila Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, iaitu Sim Tong Him bangun mempertikaikan perlaksanaan AES sambil meminta pelaksanaannya ditangguhkan dahulu bangun pula Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz menyokong gesaan tersebut.

Menurutnya, jarang-jarang berlaku persepakatan antara pembangkang (Pakatan Rakyat) dan Kerajaan (BN) di Parlimen.

“Biasanya akan terjadi insiden bertikam lidah antara kedua pihak bagi mempertahankan hujah masing-masing.

“Biasa juga berlaku apabila kedua-dua pihak mencapai kesepakatan apabila isu yang dibangkitkan itu melibatkan isu antarabangsa atau isu sejagat yang tiada pihak mampu pertikaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun, ujarnya dalam isu AES nampak sangat kedua-dua pihak seakan bersetuju bahawa ianya tidak perlu dilaksanakan di negara ini.

Katanya, kedua-dua pihak seperti mengakui sistem ini akan menyebabkan ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa kesalahan yang direkodkan ke atas mereka.

“Apabila sistem ini dipertikaikan oleh banyak pihak, ia menjadi tanda bahawa pelaksanaannya tidak disenangi.

“Justeru, Ahli-ahli Parlimen ini memberi suatu mesej penting supaya kerajaan mengkaji dahulu implikasi jangka panjang pelaksanaannya sebelum ianya benar-benar di implementasi dalam negara ini,” katanya.

Justeru, ujarnya biar sesuatu dasar itu dilumati dengan betul dan disepakati oleh banyak pihak supaya selepas ini tiada kumpulan atau individu yang menentangnya.

“Memanglah hasrat pelaksanaan AES ini untuk melihat kadar kemalangan jalan raya di negara ini akan berkurangan serta menjadikan pemandu lebih berdisiplin.

“Tetapi jika usaha ini menjadi punca kemarahan orang ramai, sehingga ramai orang merasakan sistem ini seperti menganiaya mereka, lebih baik ia tidak dilaksanakan dahulu,” ujarnya lagi.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...