Sokongan kepada PR meningkat, populariti Najib merudum – Kajian UM
KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat (Pakatan) meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.
Sokongan juga meningkat ke atas kerajaan Pakatan di Selangor dan juga Kedah, namun sedikit penurunan di Kelantan.
Kajian itu juga menunjukkan penurunan terhadap keyakinan rakyat bahawa BN akan terus menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti.
Kajian itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Kajian terbaru yang dibuat adalah pada 1 hingga 16 September 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kajian sebelum ini dibuat dalam tempoh 31 Mac 2012 hingga 15 April 2012.
Bilangan responden ialah 1536. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina dan etnik India.
Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.
Ditanya, parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac hingga April menunjukkan keyakinan kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan penurunan kepada 44% sahaja.
Keyakinan kepada Pakatan pula meningkat dari 21% kepada 30%.
Keyakinan kepada kerajaan Pakatan di Selangor juga meningkat dengan ketara dari 38% kepada 50% manakala untuk BN dari 28% jatuh kepada 16%.
Begitu juga di Kedah. Keyakinan kepada Pakatan naik dari 37% kepada 48% dan kepada BN turun dari 40% kepada 32%.
Namun untuk negeri Kelantan, keyakinan kepada Pakatan jatuh sedikit dari 44% kepada 41% manakala BN naik dari 27% kepada 32%. Namun, kecondongan pengundi tetap kepada Pakatan Rakyat.
Populariti Najib jatuh merudum
Kajian itu juga mendapati, harapan rakyat amat tinggi agar berlaku perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
72% berharap supaya debat diadakan manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti.
Menurut kajian itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012. – Harakah Daily
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=36747
No comments:
Post a Comment