Sunday, November 4, 2012

10 anggota bomba cedera tangki minyak letup
ROSALWANI CHE SOH

4 November 2012
10 anggota bomba cedera tangki minyak letup


Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang tayar tidak beroperasi di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa. - Foto Sinar Harian oleh Khiru Shaleh Abdullah
KOTA BHARU- 10 anggota bomba cedera dalam kebakaran yang melibatkan empat tangki minyak di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak di sini pagi tadi.
Anggota bomba berdepan detik cemas selepas dua daripada tangki minyak terbabit yang dipercayai mengalami kebocoran meletup ketika mereka cuba mengawal api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu.


Wartawan dan Jurufoto Sinar Harian juga yang turut berada di lokasi kejadian, sempat menyelamatkan diri dari kebakaran itu yang mengambil masa hampir dua jam untuk dikawal.


Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.


Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, dalam kejadian itu lima anggota dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala selebihnya menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II.


"Buat masa ini tiga mangsa yang cedera parah iaitu Nazah Napi, Abdullah Mohamad, Abdul Razak Abdullah yang bertugas di Balai Bomba Kota Bharu ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).


"Selebihnya yang mengalami kecederaan di leher, tangan dan badan menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Azmi berkata, ketika kebakaran berlaku lima jentera dengan 39 anggota iaitu dari Balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, dan Darul Naim dihantar ke tempat kejadian.
"Ketika cuba memadam api, bomba menghadapi kesukaran disebabkan masalah bekalan air yang tidak mencukupi namun masih berusaha mengawalnya.
"Buat masa ini punca kebakaran dan kerugian masih disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit," katanya.

ANTARA GAMBAR ANGGOTA BOMBA YANG MENJADI WIRA....HEBAT SUNGGUH....





Tiada jalan lain, Utusan terpaksa selamatkan Chua

Harakahdaily,05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Selepas menyinggung perasaan umat Islam dan dimalukan teruk apabila penulis blog seks berkata rakan karib mereka adalah idolanya, Umno cuba menyelamatkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dengan membiarkan Mingguan Malaysia meletakkan penjelasan Chua di muka depan semalam.



“Tapi sudah terlambat. Laporan itu back-fire lagi, Chua kini dilihat dari menghina Islam kepada menghina kebijaksaan umat Islam terutamanya pengundi Umno dengan penjelasannya,” kata sumber dalaman Umno kepada Harakahdaily.

“Apakah perlu lepas 2 minggu lamanya baru beri penjelasan? Sudah tentu tidak. Penjelasan Chua sepatutnya datang lebih awal. Tapi kerana penulis blog seks berkata Chua adalah idolanya, maka penjelasan itu terpaksa ditangguhkan. Kalau keluar masa yang sama, keadaan akan menjadi sangat kelakar dan kekok pada Umno,” tambahnya lagi.

Sumber itu memberitahu kerana Umno tidak dapat menceraikan MCA, dan tidak boleh melakukan apa-apa untuk memaksa Chua turun takhta, maka jalan terakhir ialah untuk cuba menyelamatkannya dan cuba selamatkan balik apa yang telah dirosakkan Chua terhadap undi Melayu atas pagar.

Semalam, Chua mengeluarkan satu kenyataan panjang mendakwa bahawa beliau dan MCA hanya menentang hudud PAS dan menuduh Pakatan Rakyat memutar belit kenyataannya.

“Itulah yang orang terasa Chua sedang menghina intelek orang Melayu Umno. Masa Adun Johor buat usul hudud, beliaulah orang pertama yang menghinanya berkata beliau hilang idea dan kemudian kata nak keluar BN,” kata sumber dalaman Umno itu.

Tambahnya lagi, orang dan pemimpin Umno juga terasa kecil hati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata hudud tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam ditempelak Chua seperti beliau seolah-olah seorang menteri agama yang bodoh kerana tidak membuat kajian terperinci sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Jamil cuba damage control akibat keceluparan Chua dan MCA pada perhimpunan agung mereka, tapi Chua tak faham dan ego mempercayai bahawa keberanian menegur Jamil bakal membantu MCA mendapatkan kembali sedikit undi Cina. Tapi Chua tersilap, dan UMCEDEL dah buktikan isu hudud dah tak makan,” terang sumber dalaman Umno itu kepada Harakahdaily.

Sumber dalaman Umno itu turut berkata dalaman Umno kini berpecah pada pendapat mereka terhadap Chua.

“Kem anti-1Malaysia tidak mahu lagi bersekongkol dengan Chua kerana merasakan Chua dan MCA sudah tidak berguna malah kini menjadi lebih tidak berguna dan berbahaya kepada undi Melayu yang mereka perlukan untuk kekal berkuasa.

“Kem pro-1Malaysia pula merasakan PRU13 BN akan tewas jika tiada sokongan bukan Islam dan mengharapkan serangan Chua bertubi-tubi pada PAS akan dapat mendapatkan kembali sedikit undi Cina pada BN,” kata sumber dalaman Umno itu lagi.

Tapi segalanya berubah, kata beliau apabila Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia bertanding di Pekan sekiranya diarahkan oleh parti.

Sumber politik itu berkata kenyataan Hadi telah menjadikan slogan PAS ganti Umno kini betul-betul akan diperdebat dan dibandingkan oleh rakyat jelata berhubung tahap pemimpin PAS dengan pemimpin Umno.

““Isu itu menyebabkan orang bukan Islam terutamanya Cina dan Melayu kini terus membuat perbandingan antara PAS dengan Umno. Lihat barisan ini – Nik Aziz banding dengan Dr Mahathir, Najib dengan Hadi, Muhyiddin dengan Mat Sabu, Mahfuz (Omar), Salahuddin (Ayub), Husam (Musa) dengan Hishamuddin (Hussein), Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Tuan Ibrahim dengan Ahmad Maslan – Umno dah tewas 7-0 dari segi integriti, kebolehpercayaan dan amanah – dalam erti kata lain boleh ganti Umno dengan PAS,” katanya.

Jadi penjelasan Chua, katanya, sudah terlambat bahkan merugikan dan merumitkan lagi keadaan kepada Umno.

“Kesian kat backbenchers Umno-BN yang mengambil isu-isu ekonomi untuk melawan Pakatan Rakyat… tiba-tiba Chua merosakkan semuanya kembali dengan kenyataan terbarunya,” kata sumber itu lagi.

Perhimpunan Agung Umno akan datang, kata sumber dalaman Umno akan menentukan sama ada MCA diperlukan lagi atau tidak bersama Umno untuk menghadapi PRU13.

“Tidak mungkin tendang MCA keluar, tapi Umno akan menyuruh MCA menutup mulut sehingga PRU13 selesai. MCA dah tewas habis, cuma sekarang jangan susahkan Umno lagi,” kata beliau.


Fathul Bari: 'Soi Lek persoal hudud versi Pas'
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
5 November 2012
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari 
Mat Jahaya
SHAH ALAM – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ini yang mengecam pelaksanaan hudud adalah berdasarkan kajian dan analisis ke atas enakmen hudud yang mahu dilaksanakan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sebagai bukan Islam, rujukan Soi Lek adalah berbeza kerana beliau merujuk kepada ekonomi, keamanan dan pendapatan negara jika hudud dilaksanakan.

Menurutnya, oleh sebab maklumat yang tidak tepat itu, Soi Lek sering mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hudud.

Menurutnya, atas inisiatif sendiri, Ilmu mengadakan pertemuan dengan Soi Lek dan beberapa pemimpin MCA lain bagi menerangkan isu ini.

“Beliau (Soi Lek) faham dan menghormati bahawa hudud adalah undang-undang Islam dan seluruh umat Islam patut menerima hudud. Beliau juga faham Islam adalah agama Persekutuan.

“Apa yang beliau tentang adalah hudud versi Pas yang dilihat berat sebelah, beliau risau berlaku diskriminasi contohnya jika berlaku kecurian. Pencurinya seorang Islam dan bukan Islam. Jika cukup bukti, seorang dipotong tangan dan seorang lagi tidak, ini memberi implikasi besar kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya sama ada Soi Lek menerima hudud dilaksanakan ke atas semua rakyat, Fathul menjelaskan Soi Lek mendukung prinsip demokrasi.

“Jika majoriti rakyat mahukan hudud untuk semua, maka beliau terima, jika majoriti mahu hudud versi Pas juga beliau terima, negara kita negara demokrasi,” katanya.

Selain itu, Fathul turut menegaskan bahawa tidak adil untuk menyatakan keseluruhan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu tidak tepat kerana banyak perkara yang menepati syarat dan al-Quran.

“Undang-undang yang dibuat manusia terdedah kepada kelemahan dan tidak maksum, apa yang maksum adalah undang-undang ALLAH sahaja. Maka pembetulan perlu dilakukan,” katanya.

Fathul turut mengucapkan terima kasih kepada MCA yang menyambut baik kedatangan rombongannya dan sudi berbincang mengenai hudud.

“Perbincangan ini berjalan dengan amat baik sekali, semua pihak menerima pandangan masing-masing. Walaupun isu hudud ini sensitif, tetapi mereka mendengar dengan baik,” katanya.

Kelmarin, Soi Lek menegaskan beliau tidak pernah menghina undang-undang Islam, hanya mempersoalkan hudud versi Pas.


AA : NI SAPA PULA YANG JADI BARU CSL?.....ADA KE HUDUD ADA VERSI PAS N ALLAH...ERMM...MALANG UMNO DAPAT ULAMA' GINI....

Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah HARUS

Keterangan/Hujah:

1. Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

2. Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas

3. Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah
bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga
adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

4. Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umatI slam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

5. Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.

6. PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan
penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelaburan-dalam-asn-asb-dan-seumpamanya


Penilaian Semula Hukum Pelaburan Aamanah Saham Nasional
(ASN ) Dan Amanah Saham Bumiputera (ASB ) Dan
Seumpamanya
2008/80/1 Muamalat/Ekonomi
Tarikh Keputusan: 12 Apr, 2011

Keputusan:

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:
ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/penilaian-semula-hukum-pelaburan-aamanah-saham-nasional-asn-dan-amanah-saham-bumiputera

Thursday, November 1, 2012


Exco: Lembah Sireh mungkin gagal tapi tiada penyelewengan
ROSMIZA KASIM & SAPINAH AB GHANI
2 November 2012
Takiyuddin Hassan

Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan wujud penyelewengan dalam projek Pembangunan Lembah Sireh walaupun mengakui pelaksanaannya tidak menepati masa.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun setakat ini projek tersebut dilihat kurang berjaya, namun tidak ada unsur penyelewengan di sebalik pelaksanaannya.

"Projek ini mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi tidak ada penyelewengan, macam mana dikatakan ada penyelewengan sedangkan kita ada jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

"Pada pandangan kerajaan kita akan bagi penjelasan kepada Ketua Audit Negara, benda ini telus, kalau kata ada penyelewengan itu tidak betul," katanya, semalam.

Takiyuddin berkata, isu tersebut sengaja diperbesarkan pihak- pihak tertentu untuk tujuan yang hanya diketahui pihak terlibat.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, pintu kerajaan sentiasa terbuka untuk mana- mana pihak berkuasa menjalankan siasatan jika terdapat laporan mengenai penyelewengan terhadap projek berkenaan," katanya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri bersedia menemui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memperjelaskan isu Lembah Sireh berikutan perkara itu dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2011.

Katanya, pihak audit mengesyorkan agar Kerajaan Negeri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil beberapa langkah termasuk membuat penilaian terhadap sumbangan syarikat yang menjalin kerjasama, di mana penilaian itu berdasarkan nilaian tanah semasa serta kemudahan disediakan.

"Selain itu, setiap projek usaha sama perlu dikaji dengan teliti oleh pakar dan agensi Kerajaan Negeri yang dilantik bagi mengurus dan memantau pelaksanaannya, dan untuk projek di tebing Sungai Kelantan ini kita sudah ada jawatankuasa pemandu sejak dari dulu lagi yang diketuai Timbalan Menteri Besar, selain semua jawatan teknikal berkaitan serta wakil syarikat ada dalam jawatankuasa ini," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihak audit turut mengesyorkan supaya UPEN mengambil tindakan segera untuk memastikan pihak syarikat menyerahkan bon sebagaimana tercatat dalam perjanjian.

"Memang dalam perjanjian syarikat perlu bagi permance bon yang jumlahnya RM150, 000, syarikat telah buat banyak, pada masa itu kita berpandangan performance bon itu dikontra dengan projek- projek dibuat syarikat, tetapi pihak audit memaklumkan bon itu perlu dimasukkan bersama, dan kerajaan sudah berbincang dengan syarikat serta sudah mencapai persetujuan," katanya.

Menurutnya, selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga perlu meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama supaya kepentingan rakyat terjamin.

Takiyuddin berkata pembangunan di kawasan itu sedang giat dijalankan di bawah perjanjian dengan pihak pemaju, dan dijangka siap menjelang 2019.

"Sehingga kini hanya lima peratus sahaja pembangunan sudah dilaksanakan di kawasan itu sejak dimulakan pada 2007 yang lalu, dan kita mempunyai masa sehingga 2019, pihak kerajaan yakin seluruh kawasan itu akan dapat dibangunkan nanti," katanya.



'Tangguh AES demi strategi PRU13'
NORSHAHZURA MAT ZUKI
2 November 2012
AES

Sistem AES
SHAH ALAM – Kerajaan perlu menangguhkan sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) demi kepentingan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pensyarah Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, kerajaan perlu berbuat demikian kerana AES dijadikan modal politik bukan sahaja pembangkang, tetapi sesetengah kelompok dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, BN perlu memberikan persepsi penangguhan bukan kerana mahu memancing undi, tetapi kajian perlu dilakukan untuk menjawab kritikan terhadap AES.

“Tidak rugi BN menangguhkan AES, malah ia memberikan manfaat kerana mendengar kritikan rakyat walaupun ada kalanya kritikan tidak masuk akal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Bung Mohtar Radin berkata, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan menggunakan isu pelaksanaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, kerajaan wajar menangguhkan pelaksanaan AES bagi memberikan keyakinan kepada rakyat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, dalam soal menjaga keselamatan, rakyat perlu dididik bukannya penguatkuasaan undang- undang dengan mengenakan denda kerana ia menyusahkan rakyat.

”Memberikan denda kepada rakyat adalah mudah tetapi tidak mengatasi masalah iaitu sikap rakyat. Ia juga tidak membantu mencapai matlamat mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, cadangan Pemuda Umno menangguhkan AES juga menunjukkan pandangan berbeza di kalangan pemimpin Umno.

“Ada puak cuba melemahkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia adalah gejala tidak baik menjelang PRU13,” katanya.


Rahmat tersembunyi Operasi Lalang 1987

Ahmad Lutfi Othman,02 Nov 2012
Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri". 

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA). Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya)  di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff,  merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa. Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup hari ke hari membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun. 

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum  itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman. Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya.  DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul Percikan Darah Syuhada. Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati. Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!  

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan  tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong. Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman. Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP  mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.


Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara. Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu:  "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim  Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja." 

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang. Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP. Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas 1999, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga berpindah dari lokap dan penjara ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...