Memanah dengan mata-hati juga dikenali sebagai memanah instinktif/naluri/gerak-rasa. Ini adalah bentuk memanah yang asal seperti mana cara memanah manusia di peradaban awal sebelum terciptanya busur-busur dan kaedah memanah moden berbantuan pejera optik. Nama-nama yang diberikan ini, tidak lain hanya bertujuan membezakan teknik memanah ini dengan teknik memanah moden.
Teknik memanah dengan mata-hati tidak bercanggah dengan teknik memanah moden bahkan kedua-duanya adalah bersifat komplementari. Untuk memberi kefahahaman mudah, memanah dengan mata-hati adalah bentuk memanah moden yang lebih rumit dan sukar; dengan menanggalkan alat pejera optik dan penetap panjang tarikan seperti clicker dan hanya bergantung kepada naluri; melalui penyelarasan memori otot dan panca-indera untuk memanah anak panah ke sasaran.
Semasa memanah, pemanah dengan mata-hati yang sebenar memandang tepat kepada sasaran dengan sepenuh tumpuan, tidak menyepetkan sebelah mata, tidak melihat unjuran arah anak panah, tidak merujuk kepada kepala anak panah dan tidak memanah secara jangkaan ke kanan atau ke kiri untuk membetulkan paradoks panahan. Pemanah dengan mata-hati yang sebenar hanya tahu panahannya pasti menuju ke sasaran.
Jangan terkeliru dengan terma ‘teknik memanah dengan mata-hati’ dengan ‘teknik memanah tradisional’, kerana yang awal itu merujuk kepada kaedah sedangkan yang kemudian itu pula merupakan jenis-jenis gaya memanah. Namun begitu, semua jenis gaya memanah tradisional pada umumnya adalah juga merupakan teknik memanah dengan mata-hati.
Kesilapan terbesar pemanah-pemanah tradisional adalah gagal menghayati ilmu sains seni panah dan terjun ke dalam sukan memanah beranggapan memanah dengan mata-hati adalah automatik dan ringkas berbanding memanah moden, walhal yang sebenar adalah sebaliknya. Falsafah, konsep dan sains di sebalik kedua-duanya adalah sama, walaupun yang satu itu hanyalah pecahan dari keseluruhannya. Prinsip-prinsip fizik trajektori panahan, pengiraan berat dan kelenturan batang panah, sifat aerodinamik anak panah, momentum dan penetrasi kepala panah, daya tujahan, refleks, panjang tarikan optimum dan jarak panahan busur; semuanya adalah tetap sama. Yang membezakan antara keduanya hanyalah kaedah moden telah menghapuskan penggunaan deria dalaman manusia dan hanya menumpukan kepada faktor fizikal dan deria luaran.
Memanah dengan mata-hati tidak seringkas me’lempar’kan anak panah ke sasaran. Memanah dengan mata-hati tetap melibatkan proses mengambil kekuda, mencagak , menarik sambil membidik dan melepaskan anak-panah. Cuma sesetengah proses ini, berlaku dengan cepat, spontan dan hampir serentak apabila seseorang itu mahir dengan teknik ini. Untuk mahir akan mengambil masa latihan bertahun-tahun, kerana kaedah memanah dengan mata-hati adalah mudah dipelajari tetapi sangat sukar untuk dikuasai.
Teknik memanah dengan mata-hati adalah teknik panahan yang tinggi, tetapi ada teknik memanah yang lebih tinggi.
TEKNIK MEMANAH YANG TERTINGGI
Firman Allah;
“Maka (hakikatnya) bukanlah kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jua yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang memanah ketika kamu memanah tetapi Allah jua yang memanah. Dan Dia hendak menguji orang yang beriman dengan ujian yang baik daripada-Nya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (17).”Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang)
Inilah kemuncak ilmu seni panah, yang membawa ke syurga. Ramai yang beranggapan apabila mereka memanah dengan mata-hati mereka juga telah memanah dengan teknik ini. Jadi teknik ini sangat ramai yang berkhayal mereka telah melalui dan mencapainya.
Ketahuilah panahan burukmu yang selalu tersasar itu bukanlah panahanNya.
Bersabda Rasulullah SAW:
“Ya Hayyu Ya Qayyum! Demi Rahmatmu aku memohon perelokkanlah bagiku segala urusanku, dan jangan biarkan aku kepada diriku walaupun untuk sekelip mata.”
Hadith riwayat Al-Hakim
Teknik panahan terunggul ini adalah semata-mata anugerah dariNya, tetapi ada jalan yang membawa ke sana, iaitu melalui jalan I’tiqad dan mujahadah. Jalan ini adalah jalan tauhid, jalan ihsan, jalan di mana sang hamba bersungguh-sungguh memohon cahaya petunjuk dan hidayahNya dan telah meninggalkan hawa-nafsu dan dirinya, dan menyerahkan jiwa dan rasa kepunyaan ke dalam genggamanNya. Ketahuilah jalan ini ada pada jalan jihad, seumpama pada suatu saat penentu, apabila masa bergerak dengan sangat perlahan, DIA menyentuh dan membawa anak panahmu kepada musuhmu. PanahanNya mengubah potensi kemenangan di dalam perang yang muktamad dan membantu kekasih-kekasih pilihanNya.
Lalu bagaimanakah hendak mendapat pimpinanNya pada panahanmu, arakian seperti itu jugalah mendapatkan pimpinanNya pada kehidupan seharianmu.
Seumpama jalan zikrullah, dengan sentiasa mengingatiNya dan memohon petunjuk dan hidayahNya. Seumpama jalan zikrullah, dengan meninggalkan pintu syirik, pintu nifaq, pintu maksiat, pintu hawa dan pintu dirimu. Maka ketika itulah kamu bersama Dia. Kerana Dia tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, juga orang-orang yang mengikuti hawa-nafsu.
Dalam zikrullah itu ada rasa, ada lafaz dan ada pergerakan. Zikrullah itu adalah hizb harianmu, dalam tidur dan bangun, dalam gerak dan diam, dalam ibadatmu juga hiburmu, apa sahaja yang dirimu lakukan kerana Dia dan untuk bersama Dia.
‘Meninggalkan dirimu’ – analogi dalam amalan zikrullah dan seni memanah.
Dalam amalan zikrullah martabat ihsan, ‘meninggalkan diri’ bermaksud meninggalkan segala rasa pemilikan kekuatan, kemampuan, rasa benar, rasa tahu dan seterusnya dari dalam diri dan meyakini pemilikan yang sebenar hanyalah oleh yang Haq. Ia juga bermaksud meninggalkan segala sifat dan tabiat buruk; ‘ujub, takabbur, riya’, silap, salah dan lain-lain keburukan dan kejelikan dari yang terang dan tersembunyi berpunca dari hawa nafsu. Selepas dari itu barulah, diri dapat bersama Dia, dengan pimpinanNya pada jalan yang lurus.
Apabila diertikan kepada seni memanah, amalan seni panah terunggul adalah bentuk latihan untuk menyediakan anggota diri memanah bersamaNya, dengan memperelok pergerakan dan memperbaiki pada yang ralat dan melencongkan. Jalan kepada menghampiri panahanNya adalah melalui gabungan disiplin latihan fizikal dan kerohanian; dengan meletakkan I’tiqad yang sebanding pada setiap pergerakan panahan. Adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang betul dan dikehendaki, supaya dapat diyakini bahawa itu adalah dariNya. Sedemikian juga adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang salah dan ralat, dari diri yang tidak sempurna, supaya dapat ditinggalkan dan diperbaiki sebelum ia menjadi tabiat dan kebiasaan.
Seperti-mana dirimu tidak akan bersama denganNya sebelum engkau meninggalkan keburukanmu, seperti itulah juga Dia tidak memanah untukmu sebelum engkau meninggalkan apa yang melencongkan panahanmu.
Kaedah latihan memanah moden menitik-beratkan konsistensi pada pergerakan dan kepentingan penggunaan otot yang betul untuk menghapuskan faktor ralat manusia semasa memanah. Rejim latihan pemanah-pemanah moden adalah lebih maju, komprehensif dan terbukti berkesan dalam aspek ini. Perhatikan bagaimana atlet-atlet memanah sentiasa mempunyai dimensi (panjang, arah dan laluan) tarikan, penjangkaran (anchoring) dan pergerakan sendi-sendi penting pada kedudukan YANG TETAP secara lancar tanpa tersekat-sekat. Pergerakan –pergerakan ini sebenarnya dapat diringkaskan sebagai kaedah penetapan fungsi memori otot.
Penetapan memori otot adalah kunci kepada panahan yang baik, bermula dari tarikan anak panah yang lancar pada pergerakan yang lurus dan paling ringkas. Pada saat mencapai tarikan penuh, mata-hati terbuka secara maksimum untuk seketika untuk menghalakan arah panahan secara jitu dan tepat. Semasa panah dilepaskan, tiada lagi pergerakan untuk seketika, saat ini segalanya terhenti-mati sehingga anak panah tembus ke sasaran.
Malangnya penetapan memori otot, memerlukan istiqomah pada disiplin latihan yang berterusan dan mengambil masa yang panjang, dengan mengulangi pergerakan yang sama secara konsisten. Ia hampir sama dengan fungsi memori otak, ianya sesuatu yang boleh dilupai atau menjadi tumpul, menjadikannya sesuatu yang perlu sentiasa diasah dan diamalkan. Ada hadith yang melarang keras meninggalkan sukan memanah setelah mempelajarinya, disebabkan ia dikira sebagai meninggalkan amalan sunnah dan menyebabkan hilangnya kemahiran yang amat penting.
credit to : http://arramy.com/artikel/memanah-dengan-mata-hati/
No comments:
Post a Comment