Monday, August 11, 2014

Ramadan ditinggalkan, gerun kebesaran Allah

http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=460:ramadan-ditinggalkan-gerun-kebesaran-allah&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud; “Dan kamu hendaklah menyempurnakan ibadat puasa bulan Ramadan dengan sempurnanya dan cukup mengikut masa dan harinya, dan kamu juga hendaklah membesarkan dan memuliakan Allah dengan takbir, tasbih dan tahmid, kerana mengenangkan kurnia Allah yang tidak terhingga dengan nikmat menjadi orang-orang Islam. Dan mengerjakan ibadat secara Islam supaya kamu termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur”.
Kepada seluruh muslimin dan muslimat, saudara-saudari yang dikasihi sekalian.
Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri setelah kita selesai menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan oleh Allah di bulan Ramadan. Bulan kita semua dijemput menjadi tetamu Allah SWT dengan hidangan rohani dan jasmani bagi menguatkan diri kita, jasad dan roh serta menjadi orang Islam yang bertaqwa kepada Allah SWT. Dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Bersedia untuk mengikut segala petunjuk yang terkandung di dalam al-Quran Karim dengan beriman dan yakin kepada ketuhanan kebesaran dan kemuliaan Allah SWT, yang tiada tandingan dan tiada bandingan bagi meneruskan perjuangan menegakkan agama Islam ini, supaya menjadi agama yang berdaulat, agama yang memerintah, agama yang sebenarnya membawa rahmat kerana Islam adalah rahmat dari Allah SWT kepada seluruh manusia.
Hukumnya yang adil, hukumnya yang bijaksana dari Tuhan Yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Islam menjadi penyelamat kepada seluruh manusia sama ada Islam atau bukan Islam. Pelbagai bangsa dan puak sepanjang zaman, tempat kerana Islam adalah ciptaan Tuhan seluruh alam ini. Bukan sahaja manusia, tempat termasuklah masa dan zaman.
Maka, yakinlah kita dengan petunjuk Allah ini setelah kita meninggalkan Ramadan dengan rasa gerun kepada kebesaran Allah SWT. Maka, kita menganggap kuasa-kuasa besar dunia dan pengikut-pengikut mereka yang menghalang cita-cita Islam ini adalah terlalu kecil di hadapan kebesaran Allah SWT. Marilah, kita merasa Izzah, merasa kemuliaan dan kehebatan bersama dengan Islam. Khususnya ketika umat Islam menghadapi cabaran yang menguji mereka apabila saudara-saudara kita seIslam diserang bertubi-tubi di Gaza (Palestin). Dihujani dengan serangan di udara, darat dan laut dalam satu kawasan yang kecil. Mereka tegak bersama dengan Iman dan keyakinan kepada Islam, dan kepada Allah SWT.
Mereka adalah kumpulan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud “Akan tetap ada di kalangan umat aku satu kumpulan yang berdiri berjuang menegakkan kebenaran agama Allah. Mereka tidak boleh dikalahkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah SWT, yang berakhir dengan kemenangan Islam. Lalu para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW, siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah SAW, “Mereka ialah penduduk-penduduk Baitul Maqdis dan yang mengelilingi Baitul Maqdis”. Mereka adalah kumpulan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW yang bercakap dengan benar, bercakap dengan wahyu, bercakap dengan ilham dan petunjuk yang benar daripada Allah SWT.
Maka, binasalah orang-orang yang membiarkan mereka, orang-orang yang mengecewakan mereka di keliling bumi Gaza, di keliling bumi Palestin, di keliling Masjidil Aqsa yang tidak membuat apa-apa kenyataan. Mereka diam membisu walau pun dalam keadaan mengaku sebagai orang-orang Islam dan penganut Islam, tetapi merasakan kuasa-kuasa besar dunia lebih hebat dari Allah SWT.
Ada pun kita orang-orang yang beriman mestilah menganggap ini adalah satu ujian dari Allah SWT untuk menapis umat Islam di akhir zaman ini. Siapakah yang benar-benar beriman secara ikhlas, siapa yang cakapnya beriman tetapi bohong. Inilah firman Allah SWT yang bermaksud; “Adakah kamu mengira kamu dapat masuk Syurga dengan percuma. Padahal belum lagi datang kepada kamu ujian kesengsaraan yang penderitaan yang dialami oleh umat lebih dahulu daripada kamu. Mereka digoncang dengan kehebat-hebatnya sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersama dengannya. Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah, ingatlah pertolongan Allah itu terlalu hampir dan pertolongan Allah pasti datang”.
Perkara yang akan datang adalah dekat sekiranya kita beriman, yakin dan percaya. Marilah seluruh umat Islam menguatkan saf mereka, merapatkan persaudaraan mereka dan menyatukan kedudukan mereka, menyelesaikan pertelingkahan yang dialami sesama umat Islam. Menghindarkan fitnah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di akhir zaman. “Jangan kamu menyeleweng selepas aku wafat nanti kamu bunuh-membunuh di antara satu sama lain”.
Marilah, kita melihat fitnah yang dilanda umat Islam di akhir zaman ini sehingga jumlah orang Islam yang dibunuh sesama Islam di bumi Islam lebih ramai dari mangsa di Gaza, mangsa di Palestin dan mangsa umat Islam yang dibunuh oleh musuh kalangan yang bukan Islam.
Di manakah kesilapannya, mari kita muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah SWT. Dengan kita kembali kepada Islam petunjuk Allah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, yang dinyatakan oleh sabdanya bermaksud; “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selepas aku (wafat) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu al-Quran dan Sunnahku”. Ajaran Rasulullah SAW dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala, petunjuk yang menyatukan umat Islam dan berpeganglah kamu semua dengan tali agama Allah, jangan kamu berpecah belah dan bercerai-berai.

Salam Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Soalan Yang Perlu Dijawab MB Selangor Untuk Menyelesaikan Kemelut

http://www.khalidsamad.com/2014/08/soalan-yang-perlu-dijawab-mb-selangor.html#more

Semalam iaitu pada 9 Ogos 2014, TSKI telah dipecat dari PKR secara tiba-tiba. Namun beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan.


Secara umum ianya urusan PKR dan saya tidak mahu memberi apa-apa komen. Walaupun begitu, saya cadangkan supaya TSKI membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan dan pada masa yang sama menjawab soalan yang telah dikemukakan melalui sidang media pada 8 Ogos yang lalu. Ianya merupakan soalan yang hampir sama yang ditujukan kepada beliau oleh PKR dan ramai lagi penyokong PR. Saya yakin sekiranya semua isu ini dijelaskan dengan baik dan menyakinkan, kemelut ini akan selesai.


Bersama ini saya sertakan isi kandungan sidang media saya dan soalan yang perlu dijawab TSKI untuk rujukan bersama.

SURAT DARI PEJABAT SUA PARTI KEADILAN RAKYAT
Saya telah menerima surat dari pejabat SUA PKR pada 6 Ogos 2014, iaitu pada hari Rabu malam Khamis, semasa sedang makan malam di sebuah restoran. Ianya diserahkan kepada saya oleh Sdr Shabrimi, iaitu salah seorang pegawai PR yang duduk di Shah Alam.

Saya yakin surat ini belum lagi diterima, atau sekiranya telah diterima sekali pun, belum lagi sempat dibaca, oleh DS Presiden mahu pun anggota Majlis Syura Ulama’ apabila kenyataan mereka menyokong TSKI dibuat sebelum ini. Ini adalah kerana sokongan mereka berpaksikan keyakinan bahawa TSKI bersih dari sebarang salah guna kuasa dan tindakan pecah amanah. Surat yang diserahkan kepada saya oleh Sdr Shabrimi disertakan dengan beberapa bukti yang mencurigakan dan menunjukkan ianya mungkin sebaliknya.

Memandangkan tarikh mesyuarat AJK PAS Pusat telah pun ditunda, asalnya dari 10 Ogos ke 13 Ogos dan sekarang ke 17 Ogos, maka saya berharap agar kesemua persoalan yang ditimbulkan melalui surat SUA PKR ini dijawab oleh TSKI sebelum mesyuarat ini diadakan. Ke arah itu saya telah mengadakan sidang media di pejabat dan menimbulkan persoalan khusus yang perlu TSKI jawab bagi membersihkan nama beliau. Selepas sidang media tersebut saya telah menghantar melalui fax senarai soalan berkenaan kepada pejabat TSKI. Surat asal akan diserahkan melalui tangan insyaAllah pada esok pagi, Isnin 11 Ogos kepada TSKI.

Saya amat yakin bahawa sekiranya soalan ini dapat dijawab dengan baik dan memuaskan, lengkap dengan segala pembuktian, maka bukan sekadar sokongan PAS tetapi juga sokongan DAP dan PKR akan kembali padu terhadap TSKI. Di bawah ini saya sertakan senarai soalan yang telah saya kemukakan di sidang media berkenaan untuk dijawab oleh TSKI.

SOALAN YANG PERLU DIJAWAB TSKI
Adakah benar:
  1. Baki hutang TSKI dengan BIMB hampir RM 60 Juta pada tahun 2006 setelah sebahagian besar hutang tersebut dibayar melalui penjualan saham TS yang digunakan sebagai cagaran oleh BIMB?
  2. TSKI tidak bayar dan enggan bayar sehingga dibawa ke mahkamah?
  3. Pihak TSKI berhujjah hutang TS tudaj perlu dibayar kerana kaedah Bai’ Bitaman Ajil yang digunakan BIMB adalah bercanggah dengan Syariat maka BIMB melakukan sesuatu yang bercanggah dengan lessen perniagaannya dan oleh itu perjanjian pinjaman itu adalah tidak sah? (Ini satu hujjah yang amat pelik sekiranya benar! Mengapa untuk bayar hutang tidak sah, tetapi ambil hutang sah?)
  4. Bahawa apabila sudah sampai ke peringkat TSKI hampir kalah kes tersebut, tiba-tiba ‘penyelesaian luar mahkamah’ telah dicapai pada Feb 2014.
  5. ‘Penyelesaian luar mahkamah’ ini telah dilakukan tanpa melibatkan samada peguam TS atau peguam BIMB?
Harap TSKI dedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah yang telah tercapai dan rahsia cara ‘melenyapkan hutan RM 59.5 Juta’ untuk pengetahuan dan kegunaan kami bersama.
  1. Bahawa penyelesaian luar mahkamah ini telah dirunding dengan bantuan dari TS Rashid Manaf?
  2. Bahawa TS berkata BIMB telah menarik balik saman di atas sebab TS akan saman PNB dalam masa 3 bulan lagi (pada masa itu) dan akan dapat RM300 Juta dan dengan itu akan bayar balik hutang TS kepada BIMB? Dan BIMB bersetuju dengan cadangan ini?
  3. Tempoh 3 bulan ini telah pun luput dan saman TS terhadap PNB masih tidak kelihatan?
Diharap agar TSKI boleh juga jelaskan bagaimana beliau tahu bahawa akan menang kes saman PNB dalam 3 bulan lagi dan tahu juga jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah?
  1. Tidak sampai sebulan selepas kes ditarik balik oleh BIMB melalui ‘penyelesaian luar mahkamah’ Tropicana Corporation Berhad telah menjual 308.72 ekar tanahnya kepada Ecoworld Berhad yang mana TS Rashid mempunyai kepentingan dan saham dalam Ecoworld Berhad?
  2. Bahawa 308.72 ekar ini adalah sebahagian dari 1,172 ekar tanah yang telah dijual oleh PNSB kepada Tropicana dengan harga RM 1.3 Billion tetapi melalui satu perjanjian yang amat menguntungkan Tropicana? Iaitu dibayarnya RM 50 Juta sahaja dahulu diikuti bayaran-bayaran baki melangkaui tempoh 18 tahun?
  3. Bahawa jualan ini dari PNSB ke Tropicana telah dilakukan semasa tempoh care-taker government setelah Parlimen dan DUN telah dibubarkan iaitu selepas 3 April 2013?
Harap TSKI dapat jelaskan keseluruhan latar-belakang penjualan dan pembelian ini supaya semua memahami sebab Tropicana diberikan layanan istimewa sedemikian rupa dan mengapa jualan Tropicana ke Ecoworld tidak dihalang kerajaan Negeri? Ini adalah kerana sambil Tropicana mendapat tempoh bayaran yang begitu baik, mereka telah mendapat wang segera melalui penjualan kepada Ecoworld Berhad.

Begitu juga dengan penjualan 1,172 ekar tanah kepada Tropicana semasa DUN telah dibubarkan. Adakah ini wajar dan beretika? Adakah ianya sebagai persediaanexit strategy TS sekiranya kalah PRU13?

  1. Bahawa sebulan selepas BIMB menarik balik kes TSKI, maka TS telah menandatangani MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik yang dianggarkan bernilai RM 591 Juta?
  2. Bahawa pada asalnya projek berkenaan telah ditawarkan melalui open tender pada tahun 2010 dan kerajaan Negeri sedang pada ketika itu berunding dengan pihak yang telah disenarai-pendek dan ianya bukan Ecoworld Berhad?
Harap TSKI boleh jelaskan samada tawaran kepada Ecoworld ini telah melalui proses tender terbuka atau sebaliknya. Dan sekiranya sebaliknya, maka mengapa ianya dilakukan.

KESIMPULAN
Pada dasarnya surat SUA PKR menimbulkan kesangsian terhadap ‘kebebasan’ TSKI setelah beliau dibantu menyelesaikan hutang beliau sebanyak RM 59.5 Juta dengan BIMB melalui ‘penyelesaian luar mahkamah’ dengan cara yang agak mencurigakan. Kecurigaan ini bertambah apabila sebaik sahaja ianya diselesaikan, Ecoworld Berhad, iaitu syarikat di mana TS Rashid Manaf mempunyai kepentingan, telah mendapat projek dan berjaya membeli tanah melalui proses yang agak kabur. Kronologi peristiwa utama dalam drama ini adalah seperti berikut:
  1. 14 Mac 2014 - BIMB menarik balik kes terhadap TSKI secara rasmi setelah tercapai ‘penyelesaian luar mahkamah’ yang butirannya dirahsiakan. Dimaklumkan bahawa penyelesaian tercapai melalui bantuan TS Rashid Manaf.
  2. 19 Mac 2014 - Ecoworld Berhad menandatangi MOU untuk projek pembinaan 2,400 rumah pangsa mampu milik. TS Rashid Manaf memiliki kepentingan dengan Ecoworld.
  3. 25 Mac 2014 - Penjualan 308.72 ekar Tropicana kepada Ecoworld Berhad yang mana tanah ini adalah sebahagian dari 1,172 ekar tanah yang PNSB jual kepada Tropicana pada 2013 semasa Parlimen dan DUN dibubarkan.
Seorang Menteri Besar, mesti bebas dari apa jua ikatan yang boleh mendorong beliau bertindak dengan cara yang songsang dan tidak adil mengikut kepentingan pihak yang ‘memilikinya’. Oleh itu sekiranya kesangsian terhadap kebebasan TSKI dari ikatan sebegini rupa tidak dihapuskan, maka kelayakan TS untuk terus menjadi MB akan terus dipertikaikan. Tiada siapa inginkan seseorang itu sebagai MB sekiranya benar beliau telah dikompromi dan hidungnya telah dicucuk, walaupun dengan rantai emas bernilai berjuta-juta!

Saya yakin TSKI mampu memberi jawapan yang jelas dan menyakinkan dan dengan itu menyelesaikan segala kemelut berhubung jawatan MB Selangor yang sedang kita alami sekarang. Saya berharap agar jawapan akan dikemukakan dengan kadar seberapa segera, khususnya sebelum tarikh mesyuarat AJK PAS Pusat yang telah dijadualkan pada 17 Ogos 2014.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tuesday, June 17, 2014

1O AYAT PERTAMA DAN 10 AYAT TERAKHIR SURAH AL-KAHFI DAN DOA PERLINDUNGAN DARI DAJJAL.

1O AYAT PERTAMA DAN 10 AYAT TERAKHIR SURAH AL-KAHFI DAN DOA PERLINDUNGAN DARI DAJJAL.

Nabi saw bersabda :”Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal”. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam hari Jumaat sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi).

Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terlindung dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.

Dalilnya adalah hadits dari Abu Darda R.A dari Nabi berkata: “Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.” (HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)  

10 AYAT PERTAMA SURAH AL-KAHFI



Pada lafaz Tirmidzi: “Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.” Dia berkata: “Hadis hasan.”

Pada hadis yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda R.A bahwa Nabi SAW berkata : “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

 10 AYAT TERAKHIR SURAH AL-KAHFI



Hadith tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah R.A Dan pada lafaz Nasai menyatakan : “Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana-mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Rasulullah SAW juga telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini.  Baginda SAW mengajar satu doa untuk dibaca selepas tahiyyat akhir sebelum salam setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah : 


DOA SELEPAS TAHIYAT AKHIR SEBELUM SALAM


Maksudnya :  “Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal.”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...